Isnin, 2 Januari 2012

Sambut Tahun Baru dan Sekular




Sambut Tahun Baru dan Sekular




Setiap kali tiba Ambang Tahun Baru, maka bermulalah cerita-cerita yang sama. Esok lusa akan penuh di dada-dada akhbar pelbagai berita tentang kemeriahan sambutan, bagi akhbar-akhbar tabloid, mereka telah bersiap siaga mengerahkan para wartawan untuk bertugas mencari berita di hotel-hotel murah dan tempat-tempat strategik, dengan harapan esok atau lusanya ada berita HOT yang akan dipaparkan pada muka surat hadapan. "Bermukah dalam hotel murah", "Kondom bersepah", "Pasangan muda dicekup" dan macam2 lagi berita yang melariskan.

Kadang-kadang jadi bosan bila membaca karya-karya akademik berimpak tinggi tentang sekularisme agama. Karya-karya itu sangat baik tetapi tak membawa apa-apa erti kepada umat Islam. Buku-buku, artikel-artikel jurnal dan kertas-kertas kerja cukup banyak ditulis dan dibentang membahaskan tentang bahaya sekularisme agama, tetapi tiada juga kesannya.





Sama juga dengan liberalisme dan pluralisme agama, ditulis, dibahas dan dibentang berkali-kali dalam pelbagai seminar, namun hanya tinggal teori semata-mata. Bila pergi kepada praktikaliti, seolah-olah sekularisme, liberalisme, pluralisme itu tiada, cuma omong-omong kosong pengkaji, pembentang, pembahas dan penganjur sahaja.


Adakala pula, isu sebegini sekadar dijadikan bahan politik bermusim. Bila ada kesempatan untuk labelkan Parti B sebagai pendukung liberal, maka Parti A pun mencacai ke sana ke mari konon Parti B terkeluar landasan Islam kerana menganut liberal. Soalnya, benarkah Parti A suci dan bersih daripada liberal? Oh tidak, kerana Parti A juga terjebak dalam perbuatan liberal dan sekular, saat itu Parti A dan penyokong-penyokong hanya membisu.

Hati kecil mereka pun tahu, menghentam parti lawan itu memang KERJA LUMRAH dalam politik, biasalah "kami" orang politik. Jadilah agama modal orang politik bila-bila perlu. Tapi, bila tak perlu dan tak sesuai pada masa, tempat dan keadaan, agama pun dibuat tidak acuh. Institusi yang jaga agama pun tak perlu dirujuk. Katanya, ini tiada kaitan agama, tak perlu rujuk, kalau program Ma'al Hijrah ke, Maulidur Rasul ke, itu memang "kami" rujuk kepada institusi agama.





Inilah bahana sekularisasi agama, dari sekecil-kecil perkara merebak menjadi suatu polisi dalam bernegara. Kita biasa lihat seorang wanita yang tak bertudung akan memakai tudung bila ke Mekah, hadir ke majlis kematian atau bila masuk Ramadan. Rupa-rupanya amalan individu itu juga telah menjadi dasar negara, bila negara sedang menjalani ibadah Ramadan maka segala aktiviti keramaian dan hiburan dihentikan sebagai "menghormati" Ramadan, tetapi bila tiada Ramadan maka bebaslah sebebas-bebasnya seolah-olah Tuhan, titah perintah, halal dan haram hanya ada pada Ramadan, di Mekah/Madinah, majlis kematian dan upacara keagamaan sahaja.


Itu sebab sambutan Merdeka dan Ambang Tahun Baru yang dibuat saban tahun tak perlu rujuk institusi agama, sebab tiada kaitan dengan agama. Selagimana tak berlaku kematian mana-mana pembesar negara atau tidak terkena dengan masa berpantang (bulan Ramadan), maka dihalalkan segala-galanya. Memang pun pada kedua-dua malam tersebut kemuncak kepada segala pesta yang ditunggu-tunggu. Dari sebesar-besar pangkat sampai serendah-rendahnya akan turun meraikan. Segala ongkos akan dikeluarkan biarpun puluhan atau ratusan ribu, janji semua akan gembira dan terhibur sehingga ke tahap paling maksimum!

Buntu dan tak tahu, "sunnah" manakah yang dipakai oleh umat Islam pada hari ini? Adakah kemerdekaan negara dan sambut tahun baru itu lebih mulia dan signifikan jika dibanding dengan kemenangan hijrah Rasulullah SAW dan pembebasan kota Mekah (fathu Makkah)? Adakah hari merdeka dan tahun baru ini lebih utama dari hari raya yang disyariatkan dalam Idul Fithri dan Idul Adha? Tidak tahu adakah perayaan yang dibuat ini pernah dibuat oleh Rasulullah SAW, para sahabat, khulafa' al-rasyidin atau mana-mana khilafah Islam terdahulu?

Umat Islam sebenarnya, benar-benar telah terjebak ke dalam jerangkap samar Yahudi dan Nasrani seperti sabda Rasulullah SAW:

عن أبي سعيد الخدري قال ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لتتبعن سنن الذين من قبلكم شبرا بشبر وذراعا بذراع حتى لو دخلوا في حجر ضب لاتبعتموهم ، قلنا : يا رسول الله ، اليهود والنصارى؟ قال : فمن؟

Daripada Abu Sa’id al Khudri RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Riwayat Muslim)


Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada semua.





Belajar Terus Belajar !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan