Rabu, 14 Oktober 2015

Calon Tunggal Gpms Melaka

Saya secara peribadi amat mengenali calon tunggal Gpms Melaka yang bertanding Naib Presiden Gpms Kebangsaan. Secara ironi beliau telah bertanding sebanyak 2 kali sebelum ini. Saya pernah di amanahkan untuk pegang jawatan Penolong SU , YDP Gpms Bandar Melaka , Ketua Penerangan Gpms Melaka dan terbaru ini sebagai Setiausaha Gpms Melaka. Satu amanah yang amat berat bagi saya. Penglibatan saya selama dari sebelum kahwin sehingga selepas kahwin hampir 7 tahun peringkat negeri telah memberikan banyak pengalaman pada saya untuk mendalami Gpms dengan lebih mendalam. Perjuangan dalam martabatkan agama, bangsa dan tanah air.


Perkenalan Calon Naib Presiden GPMS 2015-2018.

Misi perjuangan calon Naib Presiden GPMS sesi 2015-2018, En. Mohd. Marwan Bin Abu Kassim dan juga sedikit latar belakang beliau, taraf pendidikan dan juga penglibatan beliau bersama dengan NGO.

MISI

1. Memperjuangkan hak org Melayu terutamanya para pelajar Melayu yang bersekolah di luar bandar atau sekolah-sekolah berprestasi rendah;
2. Mempertingkatkan angka kemasukan pelajar Melayu ke Universiti;
3. Memperbanyakkan & mendesak kerajaan mewujudkan semula asrama desa.
4. Memastikan pelajar Universiti mendapat pembelaan sewajarnya termasuk memastikan GPMS diwujudkan di seluruh Pusat Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta.
5.Memastikan GPMS akan terlibat dalam semua jawatankuasa yg berkaitan dgn Pendidikan Tinggi dan Pelajaran; di mana wakil GPMS perlu bsama dlm.pembentukan dasar.
6. Memperkasakan Majlis Mahasiswa Negara seperti Parlimen Belia supaya sebarang persidangan/perjumpaan Menteri Pelajaran dgn KP Pelajaran dan Menteri KPT akan melibatkan pandangan GPMS secara tidak langsung.
7. Memastikan wakil-wakil GPMS diletakkan dlm Kementerian tertentu sekaligus memastikan agenda memperkasakan Melayu tercapai sebagaimana perjuangan UMNO.


LATAR BELAKANG
Nama: Mohd Marwan Hj. Abu Kasim
Tarikh Lahir: 6 September 1978
Umur : 37
Asal : Melaka
Status: Berkahwin

Anak ke-4 dari 7 orang adik beradik. Memiliki 3 orang cahaya mata, seorang putera dan 2 orang puteri.

TARAF PENDIDIKAN

Pendidikan Tinggi:
a) Sedang menghasilkan proposal untuk paper PhD, in shaa Allah di Uni. Kebangsaan Malaysia (UKM)
b) Sarjana Pentadbiran Awam (MPA), Universiti Malaya (UM)
c) Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran (B.A Hons), Uni. kebangsaan Malaysia (UKM)

Pendidikan Menengah:
a) SM St Francis
b) SMK Durian Daun
c) SMK Munshi Abdullah

Pendidikan awal:
a) SRK Seri Bandar

PENGLIBATAN BERSAMA NGO

Penglibatan bersama NGO semenjak berusia 17 tahun dan sehingga kini.
Penglibatan awal beliau dengan GPMS ialah ketika beliau menghadiri kelas bimbingan GPMS ketika itu diketuai oleh Allahyarham Cikgu Yaamah dan Cikgu Md Lasah, yang merupakan orang kuat GPMS Melaka pada ketika itu.

Antara jawatan yang dijawat oleh beliau sepanjang penglibatan beliau bersama GPMS ialah seperti berikut:

a) Pengerusi GPMS Negeri Melaka (2009 - kini)
b) Penolong Setiausaha Agung GPMS (2012-2014)
c) YDP GPMS Ayer Keroh
d) Bendahari GPMS Melaka (2008)
e) K. Penerangan GPMS Melaka (2002)

Antara penglibatan beliau bersama NGO selain dari GPMS ialah seperti berikut:

1. Pengerusi GB4B Kg. Durian Daun
2. JK GB4B Kwsn. Kota Melaka
3. Dinamakan sbg SU Negeri (Penaja) semasa GB4B diletakkan di bwh ROY.
4. Ahli Lembaga Masjid Pengkalan Rama Melaka
5. Tim. Pengerusi Biro IPT; Majlis Belia Malaysia, Melaka (2012/14)
6. Tim. Pengerusi KRT; Tmn Cheng Perdana (2012-2014)
7. Timb. Pengerusi PEKIDA Negeri (2011-2012)
8. YDP PIBG SMDD (2010)
9. AJK Biro Usahawan MGBM (2008/10)
10 Setiausaha PEKIDA Negeri Melaka (2002-2009)
11. S/U Biro Pendidikan Sukarelawan Al Taqwa MAIM
12. S/U Biro Pendidikan, Biro Sukarelawan DMDI
13 Tim. YDP Persatuan Seni Silat Gerak Insan Melaka
14. Pengerusi Kelab Motor Skuter Melaka (1998/00)

LATAR BELAKANG KERJAYA

Kerjaya terkini:

Pen. Pendaftar,
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)

Pengalaman Kerjaya:1. Pengurus Sumber Manusia Pandanusa Island Resort Melaka (2008)
2. Pen. Pengurus Psmasaran Akhbar Melaka.Hari Ini (2008/2009)
3. Pem. Kewangan; Jbtn Akauntan Negara, Cwgn Melaka (2007-2008)
4. Dipinjamkan ke Jabatan Ketua Menteri sbg Pegawai. Khas kpd YAB Ketua Menteri - btanggugjwb khas utk pelajar (2010- 2011)
5. Dilantik YAB sbg Pengarah NGO Melaka (2012)
5. Ketua Pegawai Operasi; Akademi Teknologi Hijau Melaka (2013)

Diharapkan dengan sesi perkenalan ringkas oleh terhadap bakal calon Naib Presiden GPMS Kebangsaan 2015-2018, En. Mohd Marwan Bin Abu Kassim ini akan dapat membantu serba sedikit untuk para perwakilan GPMS yang akan turun mengundi pada Oktober 2015 nanti untuk mengenali beliau dengan lebih rapat supaya mempertimbang dan membuat pilihan yang bijak dan akan mengundi beliau sebagai salah seorang Naib Presiden GPMS sesi 2015-2018

Terima kasih,

"BELAJAR TERUS BELAJAR"
"GPMS: SINGA PERJUANGAN BANGSA"




Jumaat, 21 Ogos 2015

Anak Kecil Main Api

Semalam apabila mendengar lagu anak kecil main api di program Gpms saya teringat senikata lagu anak kecil main api yang di tulis oleh Dato Dr Nordin Kardi "Melayu kan gagah di nusantara" yang menusuk hati saya .Dato Dr Nordin Kardi pernah menjadi moderator semasa pembentangan saya dan sahabat-sahabat semasa di UiA dahulu semasa program PAT di sana. Saya telah membentangkan tajuk "Peranan Media Sosial dalam Samudera Biru" dan menekankan kepentingan anak bangsa dalam menguasai bidang ini. Baru-baru ini PM sekali lagi menekankan kepentingan media sosial dalam mempertahankan dasar kerajaan. Adakah seruan ini hanya sekadar dendangan tidur? Saya tidak mahu menangguk di air yang keruh kerana Melayu memang mudah lupa. Tidak mungkin seorang ketua tak kira semut hitam atau semut api sahaja dapat menangkis fitnah ini tanpa bantuan barisan semut yang lain.Mana semangat soladariti seperti setiakawan dalam semut? Adakah semut api Melayu mudah lupa?

GPMS Negeri Melaka telah memberi watikah pelantikan Datuk Hajah Mas Ermieyati Samsudin Timb Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sebagai panel penasihat Gpms Negeri kerana sumbangan beliau dalam pembangunan belia dan ingin berkongsi idea dan sumbangan untuk menaikkan perjuangan pendidikan anak bangsa. YB Datuk Hjh Mas Ermieyati yang saya kenali dulu adalah Ketua Puteri Umno Melaka , Setiausaha Perhubungan Negeri dan kini menjadi Ketua Puteri UMNO Malaysia merangkap Timb Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Saya pernah membantu beliau di program Konvensyen Media Sosial bersama SMMK , semasa bertanding ahli parlimen dan KPUM.Pada pandangan saya beliau seseorang yang gigih , amanah dan rajin dalam melakukan sebarang tugasan. Harapan saya agar beliau pegang pada azimat lagu anak kecil main api agar Melayu terus gah di Nusantara agar anak bangsa terus maju ke hadapan.

Tidak siapa yang dapat menyangkal bahawa Melayu sekarang ini berada dalam kedudukan yang agak kritikal baik dari segi sosial, ekonomi dan politik. Statistik khusus tidak dapat di ajukan namun secara kasar nya ianya dapat di lihat dan di rasai oleh kita sendiri.

Dari semua sudut Melayu itu terus tertekan. Keruntuhan kaum Melayu tidak dapat tidak seharusnya sudah di jangka tetapi sehingga hari ini isu kemerosotan Melayu dalam semua bidang dalam negara ini masih tidak di maklumkan secara terbuka kerana isu ini amat sensitif untuk di bahaskan.

Namun mungkin Melayu sahaja yang merasakan perlu untuk isu sensitif ini di jaga tetapi kaum lain sudah mula mendesak pelbagai kemudahan sehingga adakalanya mereka tersasar dengan mempersoalkan hak dan keistimewaan orang - orang Melayu.

Adakalanya kita agar runsing dengan persoalan mereka yang merangkumi persoalan tentang agama Islam khususnya persoalan - persoalan seperti hukum murtad yang di katakan sebagai mencabuli hak individu Islam sehingga di label hukum tersebut sebagai satu hukum yang jahil dan secara langsung menghina Islam itu sendiri. Itu mungkin di lihat sebagai remeh tetapi isu ini melanggari integriti Agama Islam itu sendiri dan sekiranya isu ini di jawab maka ianya mungkin akan berlarutan sehingga memecah belahkan perpaduan kaum. Justeru itu Melayu sendiri khususnya kepimpinan yang sedia ada merasakan bahawa perpaduan kaum itu penting sehingga terpaksa menelan bulat - bulat kritikan mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap hukum syarak agama Islam.

Kita harus mengkaji dan melihat peranan yang di mainkan oleh organisasi Cina khususnya pertubuhan bukan kerajaan, parti - parti pembangkang Cina dan media - media Cina yang tidak terikat membicarakan isu - isu tuntutan yang secara jelas mahu menghakis pegangan dan hak keistimewaan Melayu itu sendiri. Mereka berani dan di lihat sebagai tidak sensitif terhadap perasaan orang - orang Melayu. Apa yang kita mampu lakukan hanya mencabar agar mereka supaya jangan bermainkan api tetapi tidak langsung meneliti asal usul keberanian mereka yang kini se olah - olah berani memijak kedaulatan dan maruah bangsa Melayu.

Siapa yang harus di salahkan, di mana perjuangan bangsa?

Bagi pembangkang dan mereka yang memegang ideologi pembangkang, kerajaan harus di salahkan dan kesalahan ini merujuk kepada UMNO sebagai nadi pertubuhan orang -orang Melayu yang memegang kuasa politik. Ada pula antara pendapat yang mengatakan bahawa Melayu sendiri harus di persalahkan atas kemunduran mereka sehingga kaum lain mampu mengatakan apa sahaja. Sememang nya isu mencari siapa yang salah itu penting agar kesalahan itu tidak berlaku lagi lalu dapat di bendung serta di ambil langkah - langkah baru yang bersesuaian untuk memartabatkan kembali bangsa Melayu itu. Namun asas yang perlu bagi kita adalah kesedaran. Kesedaran ini perlu untuk kita menarik nafas yang panjang lantas melakukan usaha pembaharuan agar bangsa ini dapat semula bertapak dengan kukuh. Justeru itu bagi menimbulkan kesedaran maka pengetahuan mengenai kedudukan Melayu harus di maklumkan tanpa sekatan biarpun ianya amat memilukan. Jangan pula kita sorokan kebenaran hanya kerana kita mahu rakyat terus tertipu dengan khayalan bahawa Melayu itu bangsa yang utuh dan dominan di Malaysia ini. Jangan kita palsukan hakikat kononnya kita masih memegang kuasa khususnya kuasa politik sedangkan kini kuasa politik bergantung kepada kedudukan ekonomi yang mampu meletakkan tanda harga pada kuasa politik pegangan kita. Kita jangan sorokkan statistik pencapaian Melayu dengan menukar angka - angka yang akan menunjukkan bahawa kita sudah maju dan sudah punyai pegangan kuat politik dan ekonomi sedangkan itu hanya satu pembohongan pada diri yang mampu menjahanamkan bangsa kita sendiri.

Apakah sekiranya statistik, 254,000 penagih dadah dengan peningkatan mendadak setiap jam "statistik Agensi Dadah kebangsaan" yang menjerumuskan majoriti penagih adalah belia Melayu tidak merisaukan kepimpinan negara ini?

Apakah lebih dari 90% industri peruncit negara ini di pegang oleh kaum Cina termasuk perniagaan barang makanan halal tidak merisaukan Melayu itu sendiri.

Apakah kita tidak ketinggalan dengan pegangan majoriti sektor pembinaan, sektor pembekalan peralatan dan bahan bangunan yang di pegang hampir 95 % oleh kaum Cina.

Industri Telekomunikasi seperti telefon bimbit dan lain - lain alat telekomunikasi sungguhpun baru tiba di Malaysia sekitar 8-10 tahun sudah kita di pegang oleh bangsa lain tidak memeranjatkan kita. Contoh terbesar isu Low Yat.

Televisyen yang kini mula di dominasi oleh bangsa - bangsa lain adalah satu hakikat yang perlu di maklumkan untuk menimbulkan kesedaran Melayu itu sendiri.Siapa pemilik Astro?

Adakah pernah kita membuat kajian harta - harta pegangan kaum Cina khususnya dari segi bangunan dan perumahan di bandar - bandar utama berbanding dengan harta - harta Melayu.

Pernahkah kita di sedarkan tentang kemerosotan pegangan tanah rizab Melayu di seluruh negara.

Sebenarnya pelbagai statistik sekiranya di beri oleh kerajaan Malaysia kepada kita untuk di nilai amat merisaukan bangsa kita yang semakin terjejas kehadiran nya di Malaysia. Kita dapat melihat sekeliling kita industri besar yang di pegang oleh kaum lain khususnya Cina berbanding dengan Melayu. Kita dapat lihat sekiranya mahu bahawa Melayu adalah hamba pada pegangan ekonomi yang telah di dominasi oleh kaum lain khususnya Cina dan kini mereka mula untuk menonjolkan kehadiran nya di negara ini.

Siapakah yang sebenarnya khianat pada Melayu? Apakah kita lupa melihat bandar Kuala Lumpur itu sendiri, berapa banyak bangunan yang tergadai terjual kepada usahawan Cina yang mempunyai tempat tertinggi di mata kepimpinan Melayu. Kita lihat kehadiran agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang kini bergelar UDA Holding Berhad, tanyakan kepada mereka berapa banyak tanah yang telah mereka cagar kan dan jual lantas kini segi tiga emas Kuala Lumpur itu sendiri seakan "China Town" kecuali bangunan UDA yang terletak di Jalan Imbi.

Kita belum meneliti peranan Peladang, FAMA, Nelayan dan beberapa pertubuhan peladang yang sebenarnya memeras ugut petani kecil lantas membenarkan kapitalis membolot kekayaan hanya sebagai orang tengah. Lihat bagaimana mereka memeras petani seperti penternak ayam lalu menyalurkan hasil belian murah mereka kepada peraih - peraih Cina yang menjadi saluran pembekal kepada pasar - pasar besar seperti Giant, Tesco dan Care Four. Di mana orang - orang Melayu yang sebenarnya menjadi penggiat ekonomi tersebut ?

Nelayan adalah satu contoh klasik pemerasan agensi kerajaan ke atas penggiat ekonomi tersebut. Berapa ramai sebenarnya nelayan berbangsa lain di Malaysia ini? Siapa pula yang menjadi pembekal utama sumber ikan di negara kita ini? Siapa pemegang utama menjadi pembekal kepada pasar - pasar utama negara kita ini khususnya pasar 'hyper" . Sekali lagi persoalan yang timbul ialah di mana kedudukan Melayu dalam kerancakan ekonomi negara ini ?

Sebenarnya apa yang berlaku adalah agihan tidak seimbang antara Melayu itu sendiri. Sungguhpun pembuat dasar senantiasa memikirkan kepentingan Melayu tetapi Melayu dalam agensi kerajaan sendiri hanya memikirkan diri sendiri lantas sanggup melakukan apa sahaja untuk diri sehingga mengorbankan Melayu lain. Melayu berada dalam apa yang saya kategori kan sebagai "sakai" dalam ekonomi negara kita ini. Cuma segelintir Melayu yang DIKAYAKAN untuk menjadi pemangkin petunjuk bahawa Melayu itu sudah berjaya di bumi Malaysia. Dengan menjadikan beberapa Melayu yang terpilih menjadi kaya maka indeks keseluruhan pegangan Melayu individu dan kerajaan akan menunjukkan kekuatan palsu MELAYU dalam ekonomi negara .

Baru - baru ini kita telah di gegarkan bahawa kejayaan Barisan Nasional mentadbir Malaysia adalah melalui perkongsian kuasa antara kaum di negara ini. Sungguhpun begitu setakat hari ini kejayaan perkongsian kuasa itu di lihat dari segi pembangunan fizikal negara dan bagi saya adalah selama mana kita masih hidup harmoni dari tarikh 13 Mei 1969. Perkongsian kuasa dalam erti yang sebenarnya tidak wujud bagi kaum Cina dan kaum - kaum lain di Malaysia. Apa yang ada hanya satu gimik pilihan raya yang mahukan undi dari bangsa lain kepada Barisan Nasional termasuk UMNO yang kini merosot secara mendadak sokongan orang - orang Melayu terhadap partinya. Dalam erti kata yang lain undi Cina amat di perlukan bagi membolehkan Melayu terus hidup dengan sebilangan kecil kepimpinan tertinggi memegang kuasa politik. Ini sebenarnya tidak dapat di sangkal oleh kerajaan memerintah dan sekiranya kita lihat perpecahan politik antara kaum Cina - MCA dan DAP, maka peratus perpecahan ideologi politik mereka amat kecil berbanding dengan peratus perpecahan dari sudut ideologi politik Melayu yang merangkumi UMNO-PAS dan KEADILAN. Sebenarnya ini sepatutnya menggerunkan kita.

Kita juga dapat melihat dari bahawa penyandang jawatan penting politik dari Setiausaha Politik, Timbalan Menteri dan Menteri memang sudah terbahagi dan peningkatan kaum - kaum lain kini semakin subur dalam politik negara ini. Kesuburan kehadiran mereka memang menunjukkan penyatuan dalam pemerintahan tetapi asas nya masih sama - pemberian hak politik kepada bangsa - bangsa lain di buat berteraskan perkongsian kuasa yang menjerumus kepada pemberian kuasa orang - orang Melayu tanpa pulangan yang menguntungkan kita.

Melihat dari sudut yang lain pula, apakah ada keseimbangan perkongsian kuasa politik dengan ekonomi dalam negara ini. Apakah berlaku peratusan yang sesuai dalam kita mengorbankan kuasa politik dan mereka mengorbankan kuasa ekonomi? Apakah mereka dalam industri - industri besar sanggup menerima kontraktor - kontraktor Melayu atau semestinya mereka mendahulukan bangsa mereka yang mereka anggap lebih berkaliber dalam melakukan sesuatu kerja kontrak.

Bagi memudahkan andaian, rumah banglo untuk orang Cina di siapkan oleh kontraktor Cina dan rumah banglo orang - orang Melayu turut di siapkan oleh orang - orang Cina. Kenapa, kualiti kerja ? Mungkin tetapi peluang langsung tidak di berikan sehinggakan kontraktor kecil bumiputera tersebut terus melukut di tepian gantang. Yang lebih menyepikan kita adalah barangan kontrak pembinaan, sekiranya kontraktor Melayu yang di lantik harus merujuk kepada "hardware" bangsa Cina yang mendominasi perniagaan tersebut.

Siapa pula yang berani menyangkal bahawa sekarang ini kuasa politik di pegang oleh dalang - dalang yang mempunyai kekuatan ekonomi? Seperti yang telah saya katakan sebelum ini kekuatan ekonomi dapat meletakkan tanda harga pada kuasa politik yang di pegang oleh orang - orang Melayu. Apakah ini satu kenyataan palsu atau sebenarnya kalau kita lebih terbuka berdiskusi mengenainya maka kita ketahui bahawa rasuah adalah alat yang menjadi kuasa sebenar bagi membeli kuasa politik negara ini. Siapa pula yang jadi majoriti perasuah dalam negara ini? Kita belum mengkaji atau mendapatkan statistik menyeluruh tetapi dari pengamatan kita, siapa yang sering di tangkap sebagai penerima rasuah dan siapa pula yang menjadi pemberi nya.


Majoriti penagih dadah yang berada di Pusat Pemulihan adalah dari belia - belia Melayu. Melayu ?

Majoriti mereka yang menerima rasuah sekiranya di amati secara terbuka tanpa statistik khas adalah orang - orang Melayu. Melayu ?

Apakah sebenarnya masalah orang - orang Melayu, apa kah sebenarnya masalah pemimpin - pemimpin Melayu?

Sebenarnya jawapan kepada beberapa persoalan di atas ada kepada kepimpinan Melayu itu sendiri. Kepada siapa projek - projek di salurkan dan kepada siapa di beri kontrak - kontrak mereka juga yang tahu. Kedudukan Melayu dalam politik serta bagaimana hambanya Melayu kepada ekonomi negara ini, mereka juga yang tahu. Perkongsian politik yang di berikan, mereka juga yang tahu mengapa.

Apakah mereka menjual bangsa mereka sendiri? Apakah Melayu tidak mampu, atau sebenarnya mereka yang di beri peluang untuk maju adalah mereka yang akan memajukan individu yang memegang kuasa politik. Sebenarnya di mana kesalahan kita kalau kita bandingkan dengan pemegang lesen komunikasi CELCOM yang kini merosot berbanding dengan pemegang lesen Maxis yang kini subur sungguhpun CELCOM adalah syarikat pertama memegang lesen tersebut. Apakah tidak langsung kita kaji mengenai individu yang menjadi tunjang utama dalam CELCOM sebelum penjualannya. Mungkin tidak salah kalau saya katakan - Melayu itu adalah antara Melayu yang terbodoh di dunia ini. Begitu juga Syarikat Penerbangan Malaysia MAS berbanding dengan Syarikat Penerbangan Air Asia. Apakah tidak boleh sekali lagi saya katakan bahawa Melayu yang menunjangi MAS sebelum "bail out" kerajaan adalah Melayu yang terbodoh di dunia.Siapa CEO MAS sekarang?

Tanyakan pula kepada Melayu - Melayu yang menjaga kutipan TOL, apakah syarikat mereka mempunyai hasrat untuk membangkitkan mereka dengan memberi kemudahan pembelajaran, kursus dan sebagainya untuk menjamin masa depan mereka atau syarikat yang telah untung berbillion tersebut lebih rela melihat anak - anak Melayu menghulur tangan mengutip tol.

Terlampau banyak persoalan dan terlampau banyak yang boleh di lakukan - cuma apabila diri mendahului segala nya - di tambah dengan ketamakan - maka di gadai nya bangsa. Dan satu pesanan khusus saya - Parti Keramat martabatkan bangsa dan jangan menggadai nya.

Mohd Saifullah Bin Dolmat
Setiausaha Gpms Negeri Melaka




Sabtu, 15 Ogos 2015

Perjuangan Melayu Islam belum selesai !

Sayidina Ali r.a. berkata, “Orang bijak bukan sahaja dapat membezakan antara kejahatan dengan kebaikan, tetapi dapat mencari kebaikan antara dua kejahatan.” Imam Ghazali juga pernah menyatakan, salah satu cara mengenal keaiban diri adalah dengan mendengar celaan musuh. Mari kita lihat kesan pencerobohan Amerika di Iraq dari dimensi yang unik ini. Malaysia walaupun agak jauh dari lokasi pergolakan itu, namun kita hakikatnya dekat sebab rakyat Iraq ialah saudara seagama kita. Lebih-lebih lagi agenda “Pax Americana” yang didukung oleh Presiden-presiden Amerika sejak dahulu bukan hanya untuk Arab-Muslim tetapi juga untuk muslim Melayu, Pakistan dan lain-lain.

Cabaran luaran pada asasnya ialah satu proses membina kematangan dalaman. Setelah melalui proses pengukuhan dalaman pasca merdeka, Melayu Islam kini sudah sampai ke tahap perlukan cabaran luaran (dalam konteks ini Barat dan Amerika) untuk muncul sebagai satu bangsa yang unggul bertaraf dunia. Keadaan ini samalah seperti seorang peninju yang memerlukan seorang “sparing partner” yang handal dalam usahanya menjadi juara. Inilah hikmah tersirat di sebalik “pil-pil” pahit – tragedi di Iraq, Afghanistan, Palestin dan lain-lain lagi. Semua itu mengejutkan kita daripada lena yang panjang dalam kitaran jatuh bangun bangsa-bangsa di dunia.

Fasa perjuangan Melayu Islam sudah melalui tiga tahap. Daripada perjuangan tahap pertama – menuntut kemerdekaan pada tahun-tahun 1950-an, kemudian tahap kedua – membina kestabilan ekonomi dalam era mengisi kemerdekaan. Sejak selepas merdeka hingga kini langkah Melayu Islam terus maju ke hadapan. Kini Melayu Islam berada di tahap ketiga, yakni berusaha menjadi sebuah negara maju dengan mengekalkan nilai-nilai murni mengikut acuan sendiri.

Kepimpinan Melayu Islam masa kini sedang diuji dalam tempoh terdekat untuk mengambil alih kemudi “perjuangan yang belum selesai” ke tahap seterusnya. Bangsa Melayu telah dipimpin dengan pelbagai gaya, tetapi yang pasti hala tujunya tetap sama – negara maju dengan mengekalkan nilai-nilai murni. Dan apakah ada cara lain untuk mengekalkan nilai-nilai murni dan jati diri bangsa Melayu selain berpegang teguh kepada ajaran Islam?

Melayu Islam pernah mencapai zaman kegemilangannya dalam pemerintahan Empayar Islam Melayu Melaka. Oleh itu ada baiknya jika kita renung sejenak keberkesanan kepimpinan zaman keemasan Empayar Melayu Melaka itu. Keberkesanan kepimpinan Sultan Mansor Shah yang bervisi tinggi, keunggulan peribadi Sultan Alauddin Ri’ayat Shah yang bersih, cekap, amanah, keterampilan pentadbiran Tun Perak, keberanian Bendahara Sri Maharaja, adalah elemen-elemen penting dalam kepimpinan Melayu Islam yang telah memartabatkan Melaka sebagai pusat perkembangan ekonomi, politik dan Islam di Asia Tenggara. Pengaruh Melaka disegani hingga ke Eropah, India dan China.

Begitu pun, semakin tinggi mendaki, semakin kuat angin yang menggoyang. Empayar Melayu Melaka, akhirnya tumbang dipukul Portugis setelah kekuatannya diragut oleh krisis dalaman. Meriam Portugis, armada Belanda mahupun senapang Inggeris tidak akan melumpuhkan Melaka jika kesatuan pemikiran dan jiwa pemimpin dan rakyatnya masih kukuh. Tetapi apabila muncul watak Si Kitol dan Raja Mendaliar yang mengkucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan, Melaka menanti saat untuk dihancurkan. Justeru, walau seghairah mana pun kita berusaha mencipta kemenangan dan kejayaan, kita seharusnya tidak lupa pada sejarah kalah, sejarah musnah.

Mengetahui apa yang menyebabkan kita kalah sama pentingnya dengan mengetahui apa yang menyebabkan kita menang. Lantaran itu kestabilan politik yang dicapai oleh pemimpin-pemimpin Melayu sejak mencapai kemerdekaan hingga kini seharusnya tidak digugat oleh percubaan musuh yang ingin mencetuskan krisis dalaman. Cukuplah peristiwa pahit perpecahan Melayu musim lalu menjadi pengajaran. Sesungguhnya, Melayu tidak mampu berdepan dengan satu lagi krisis seumpama itu terutamanya ketika negara diancam neokolonialisma alaf baru.

Mujur, setakat ini Melayu bernasib baik kerana mempunyai pemimpin yang mampu membaca isyarat-isyarat penting di sebalik berlakunya sesuatu peristiwa. Tragedi 13 Mei 1969 misalnya, menyebabkan kepimpinan ketika itu bertindak atas keyakinan bahawa kuasa politik semata-mata tidak menjamin kekuatan Melayu Islam jika kekuatan ekonominya tidak diperkukuhkan. Dan ini juga mendorong UMNO dan PAS kembali bersatu dalam satu saf perjuangan yang dinamakan Barisan Nasional (BN).

Walaupun sekali imbas, tindakan ini bersifat reaktif tetapi agenda perjuangan Melayu menjadi lebih sistematik dan semakin terancang selepas itu. Hasilnya, agenda besar negara – Dasar Ekonomi Baru (DEB) – telah diangkat sebagai Dasar Pembangunan Nasional yang kemudiannya memainkan peranan yang sangat penting dalam meningkatkan pencapaian ekonomi, pendidikan dan sosial bangsa Melayu.

Walaupun media Barat sejak dahulu lagi cuba menangguk di air keruh dengan mengapi-apikan sentimen perkauman, tetapi keberkesanan perancangan kerajaan telah berjaya menyekat usaha jahat mereka. Jurang ekonomi antara kaum mula dirapatkan. Rekod pencapaian cemerlang itu kemudiannya disambung dengan jayanya oleh kepimpinan seterusnya.

Dan kini, ketika dunia Islam dilanda keadaan yang tidak menentu, kita bertuah kerana mempunyai barisan pemimpin Melayu yang telah “memaksa” Melayu menjadi pelaku-pelaku aktif (tidak sekadar pemerhati) dalam era globalisasi. Dengan pelbagai projek dan prasarana, bangsa Melayu telah didorong untuk proaktif dalam perkembangan teknologi maklumat. Momokan IT yang kononnya penuh dengan maksiat telah berjaya diatasi secara rasional kerana hakikatnya tiada siapa yang mampu menutup langit yang telah terbuka. Kita didorong melakukan “self-censored” untuk menangkis apa sahaja bentuk budaya negatif yang menjengah langit dunia yang telah dilabel sebagai “global village” ini.

Walau apa pun Melayu dikira bertuah, kerana di celah-celah amukan budaya yang bersimpang-siur ini agenda Islam terus mendapat tempat. Gandingan prinsip ketuanan Melayu-Islam dengan sikap toleransi bangsa-bangsa adalah resepi yang cukup mantap untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dari aspek material dan spiritual. Semuanya seolah-olah sudah begitu teratur dan berjalan dengan baik hinggalah berlakunya serangan spekulator dan pencerobohan Iraq, yang menyebabkan nafas perkembangan ekonomi kita sedikit semput. Dan entah kenapa kredibiliti kepimpinan negara turut dipertikaikan oleh pihak Barat. Daripada gangguan ekonomi, kerenah Barat berjangkit kepada urusan politik. Apakah Barat ingin melihat Malaysia juga tersungkur jatuh seperti negara-negara Islam yang lain?

Apa yang diidamkan Amerika ialah jangan ada negara Islam yang berani dan kuat. Negara Islam yang berani “menyanyi” lagu lain daripada apa irama Rumah Putih akan menerima padahnya. Lantas negara itu perlu “dijinakkan” dengan cara melumpuhkan pemimpinnya. Inilah rasional kenapa Amerika begitu marahkan Saddam, Ghaddafi, Khameini dan lain-lain pemimpin negara Islam. Mereka sedar, sekawan kambing jika dipimpin oleh seekor singa dapat mengalahkan sekawan singa yang kambing menjadi pemimpinnya.

Jadi tidak hairanlah jika kepimpinan Melayu Islam turut menjadi sasaran. Kemampuan kita melaksanakan idea-idea besar walaupun pada mulanya dipandang kecil dan kerdil telah mula digeruni. Ini bermakna kritikan, kecaman atau ancaman yang diterima oleh kepimpinan Melayu Islam sebenarnya adalah pengiktirafan secara tidak langsung kepada potensi kita untuk memimpin umat Islam di dunia!

Walaupun begitu, keyakinan ini seharusnya tidak menutup mata kita kepada masalah-masalah yang boleh meruntuhkan. Di sebalik rekod pencapaian yang memberansangkan, Melayu masih dilanda masalah politik wang, rasuah, gejala sosial, dadah dan deretan masalah. Gejala ini perlu ditangani dengan pantas dan tuntas. Jika tidak, kecemerlangan yang sudah mekar ini boleh layu dan gugur semula seperti padamnya keagungan Empayar Melayu Melaka dahulu.

Kekuatan Melayu akan reput dari dalam, sebelum ditolak jatuh dari luar. Inilah pemasalahan pokok yang mesti ditangani segera oleh para pemimpin Melayu. Kita tentu ingat betapa besarnya kesan keruntuhkan akhlak Sultan Mahmud, ketamakan Bendahara Tun Mutahir, keruntuhan akhlak rakyat Melayu Melaka oleh judi, zina dan arak pada kekalahan mereka di tangan Portugis.

Ya, jika dilihat melalui perspektif ilmiah, keunggulan sesuatu bangsa bergantung kepada dua faktor utama. Pertama, kekuatan budaya. Kedua, kemampuan pemimpin. Tanpa dua faktor ini, sesuatu bangsa akan jatuh walau sekuat mana kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Kedua-duanya merupakan prasyarat yang mesti dipenuhi jika ingin memartabatkan bangsa. Semakin tinggi dan jauh perjalanan ke arah pencapaian cita-cita bangsa, maka seharusnya semakin kuatlah pula budaya dan wibawa kepemimpinnya.

Dua faktor itu umpama tiang seri pada sebuah rumah. Jika rumah ingin dibesarkan, maka semakin perlulah tiangnya diperkukuhkan. Pembesaran sebuah rumah, tanpa mengukuhkan tiang serinya hanya akan mempercepatkan robohnya rumah itu. Maka begitulah kias ibarat dalam usaha membangunkan kekuatan sesuatu bangsa. Tanpa usaha pengukuhan budaya dan memantapkan kepimpinan, satu bangsa akan tumbang oleh beban cita-cita besarnya.

Bangsa yang sudah alah dan dipermalukan di pentas sejarah sekalipun masih mampu bangun jika kedua-dua faktor itu diperkukuhkan. Apa yang terjadi kepada Jerman dan Jepun, yang pernah mengalami kekalahan seperti yang disifatkan oleh sejarah sebagai “The worst defeat in history”? Kebangkitan yang amat menakjubkan. Dalam masa yang relatif singkat, dua negara itu telah bangun sebagai raksaksa ekonomi dunia. Budaya Jepun yang kaya dengan nilai ilmu, semangat patriotik, etika kerja yang kuat dan lain-lain itu telah mampu membina semula Jepun daripada puing-puing ledakan atom di Hiroshima dan Nagasaki.

Atas kesedaran inilah, kita mesti mempunyai budaya yang sesuai untuk menjadi sebuah bangsa yang maju. Istilah-istilah seperti tranformasi budaya, Melayu baru dan lain-lain adalah menifestasi pada keinginan yang meluap-luap untuk mengukuhkan budaya Melayu. Sudah dirasakan bahawa, pada jati diri Melayu ada nilai-nilai positif yang perlu digilap untuk lebih menyerlah. Pada masa yang sama ada juga kelemahan yang perlu diatasi. Tegasnya, Melayu sebagai satu bangsa, wajib berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi darjah kecemerlangan nilai-nilai budayanya yang baik. Soalnya bagaimana proses tranformasi budaya ini hendak dilaksanakan? Siapa yang akan menerajuinya?

Persoalan ini menjadikan faktor kedua (kekuatan pemimpin), menjadi begitu signifikan. Oleh sebab itulah sejak dahulu lagi apabila suatu bangsa muncul sebagai satu bangsa yang unggul, ia mesti diketuai oleh seorang pemimpin yang kuat. Contohnya, Meiji pada bangsa Jepun, Bismark untuk bangsa Jerman, Churchill untuk Inggeris dan George Washington pada bangsa Amerika.

Hakikat ini lebih jelas bila disorot melalui kaca mata Islam. Jelas apabila Allah kehendaki sesuatu bangsa itu menjadi kuat dan berdaulat, maka Allah akan utuskan seorang pemimpin kepada bangsa tersebut. Pada umat Arab jahiliah, Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun, misi kedatangan Rasulullah adalah untuk seluruh manusia, pada seluruh dimensi masa, namun tidak dapat dinafikan bangsa Arablah yang pertama dijulang oleh kekuatan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.

Begitulah juga Nabi Musa a.s. di kalangan Bani Israel, yang kemudiannya memartabatkan Bani Israel setelah sekian lama ditindas oleh bangsa Qibti. Secara “Natural Law” atau Sunnatullahnya, jika sesuatu bangsa hendak ditakdirkan menjadi kuat, maka sudah pasti dianugerahkan buat mereka seorang pemimpin yang bertindak sebagai peneraju, aspirasi dan pemangkin pada proses transformasi budaya.

Bangsa Melayu juga tertakluk kepada hukum ini. Tahun-tahun mendatang perlukan pemimpin yang relevan dengan perubahan dan keadaan semasa. Cabaran-cabaran semasa selalunya menentukan corak kepimpinan pemimpin yang dimaksudkan. “Kelembutan dan ketegasan” Abraham Lincoln, lahir ketika perlunya kesatuan Amerika tanpa dipisahkan oleh permasalahan penghambaan kulit hitam negara Utara dan Selatan. “Tangan Besi” Bismark perlu untuk membentuk satu Jerman yang kukuh dan utuh. Dari segi kerohanian pula, kedatangan Nabi Isa a.s., Nabi Musa a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. sangat signifikan ketika nilai-nilai kemanusiaan hancur lebur oleh sifat tamak dan rakus manusia.

Seorang cendekiawan Melayu, Profesor Dr. Siddiq Fadhil pernah menegaskan seorang “culture builder” ialah pemimpin yang boleh dijadikan role-model kepada rakyatnya. Menurutnya, tidak mungkin seseorang pemimpin mampu mengubah orang lain, jika dia sendiri tidak mampu mengubah dirinya.

Seorang “culture builder” harus mempunyai kemampuan yang lebih daripada itu. Dia bukan sekadar memimpin orang lain untuk mengikuti dirinya, tetapi dia juga mesti mampu memimpin orang itu untuk memimpin diri mereka sendiri. Setelah rakyat mampu memimpin diri mereka sendiri, barulah proses tranformasi budaya dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini juga syarat yang tidak boleh dipandang ringan dalam hikari kepimpinan Melayu Islam terkini.

Hasrat membentuk masyarakat maju dengan acuan tersendiri (masyarakat Madani) adalah pancaran perjuangan untuk menyerlahkan nilai-nilai Islam tanpa meminggirkan kekuatan ekonomi, politik dan realiti perubahan yang melanda dunia. “Civilised Society” saranan al-Farabi yang Islamik tidaklah sama dengan “Social Contract” ilham Reaseau atau pemikir-pemikir politik Barat yang lain. Masyarakat Madani ialah masyarakat yang menggabungkan tiga teras kekuatan utama yakni politik, ekonomi dan agama demi kesejahteraan dan kemakmuran ummah. Inilah “the true colours of Islam” yang perlu ditampilkan oleh kepimpinan Melayu Islam di persada dunia antarabangsa.

Barangkali inilah “perang baru” yang menghantui Samuel Huntington dalam “Clash of Civilization”nya. Walau bagaimanapun kebimbangan itu tidak berasas kerana imej Islam yang cuba diketengahkan oleh Melayu Islam berbeza sama sekali dengan imej Islam yang sedang dibina di Timur Tengah dan Indo-Pakistan pada masa ini.

Sayangnya, prejudis Barat tidak pernah padam. Mereka seolah-olah terus diburu oleh trauma Perang Salib walaupun penderitaan di Palestin dan Bosnia lebih tragik. Siapakah penyambung wadah perjuangan Melayu Islam ?



Isnin, 10 Ogos 2015

Adakah kita telah merdeka ?

Setelah lebih lima dekad Melayu memerintah

merancang dan melaksanakan pembaharuan

mengapa katanya Melayu masih ketinggalan?

menjadi ‘penumpang’ dengan gelar ketuanan

menjadi ‘pengemis’ dalam watan yang kaya-raya

menjadi ‘miskin’ di kepuk bumi sendiri

menjadi ‘melukut’ dalam gantang peribumi

Ah, melayukah Melayu ini?

yang melarat di pertiwi sendiri?



Tahap ekonomi masih jauh dari sasaran DEB

Impian 30% kabur,

langkah mencapainya sering terbantut

usahawan kecil lemas dalam bantuan

korporat ‘instant’ tenggelam dalam pinjaman

Lahir segelintir elit ekonomi yang lupa jati diri

kaya raya oleh label bumiputera, tapi sudahnya melupakan bangsa

Lahir pula usahawan marhein yang miskin

Walau ilmu ditabur modal dihulur,

tapi bisnes tak ‘betul-betul’

‘berniaga buluh kasap’

modal habis untung lesap!

bankrap terlalu kerap – itu bukan lagi sesuatu yang hina

tapi satu strategi penuh rencana



Dasar Pelajaran Kebangsaan masih impian

Bila pelajar Melayu terus ketinggalan

Di IPTA atau di IPTS – dari segi kuantiti atau kualiti

bilangan mahupun kelulusan… siswazah Melayu masih pinggiran

soal kuota tak terisi atau kantung ibu-bapa yang tak berisi?

bahana idealisme atau bahang hedonisme?

kata seorang pengkaji: Itu gara-gara makanan Melayu tidak bergizi

kata media Melayu: Itu angkara sikap yang terlalu dimanjakan

kata pemimpin: Itu akibat malas, lembab dan tak mahu bersaing

ah, ketika begini teringat pula lagu lama – lagu Melayu

‘bangau, oh! bangau…’

bila semua pihak saling menuding jari

demi menyelamatkan maruah diri



Jenguk-jenguk pulalah ke Pusat Serenti

(sekarang sudah ditukar nama tetapi tidak bertukar isi)

tanyakan apa ‘khabar’ orang di sana

atau singgah sahaja di lorong sempit di belakang Chow Kit

sapalah remaja harapan bangsa yang telah menjadi mangsa

jangan bicara soal patriotisme,

‘perut’isme pun mereka sudah lupa

bukan ratus, bukan ribu, tetapi ratus ribu

itu belum dikira bohjan dan bohsia

belum dicampur penjenayah juvana

perogol, liwat dan penzina

judi, arak, mencuri, merompak

ah, tidak perlu data statistik dan angka-angka komputer

cukup sahaja dengan mata dan telinga

untuk memastikan siapakah mereka?

ya, siapa lagi… Melayulah jua



Lebih kronik konflik politik

diantara parti dengan parti

dan sesama sendiri dalam satu parti

sama-sama nekad, sama-sama dahsyat

musim pilihanraya – ajak kawan lawan parti lawan

musim pemilihan – ajak kawan makan kawan

riuh sejak lama tentang politik wang

heboh sampai sekarang tak hilang-hilang

bergaduh soal nyamuk membakar kelambu

bertikai soal ‘cara’ mengorbankan ‘hala’

terlupa nilai adat dan tatasusila bangsa

terpinggir prinsip akhlak dan hukum agama

kuasa jadi ‘komiditi’ yang menjanjikan laba

bukan lagi amanah yang berisikokan dosa

ah, semakin ramai Melayu yang ingin memimpin

sedangkan ada yang tak layak… walaupun sekadar untuk dipimpin

tak mahu jadi gerabak, bertolak-tolak nak jadi kepala

akhirnya ‘keretapi’ bangsa terhenti…

perjalanan bangsapun tergendala!



Kembalilah ke sejarah, belajarlah dari Rasulullah

bagaimana baginda membina satu bangsa bermaruah

sedangkan awalnya terkenal barbar dan jahiliyah

lihat apa yang disuburkannya di peringkat Makkah

lihat apa yang digemburkannya di peringkat Madaniah

bukankah apa yang dihadapinya penuh persamaan

dengan nasib kita yang sering ditimpa kehinaan

justeru Arab jahiliyah itu cermin sejarah

bagi setiap bangsa yang bermasalah…

belajarlah dari Arab jahiliyah



Politiknya kacau-bilau – perang saudara tak pernah aman

antara kabilah, bani dan suku sentiasa bercakaran

sebab yang sedikit, perangnya berkait-kait

Ekonominya tenat – monopoli Yahudi mencengkam nadi

telaga, pasar dan kebun dimonopoli

terpaksa menjadi ‘hamba’ di bumi sendiri

Sosialnya parah – zina, arak, tenung nasib, bunuh bayi

bangsa hilang maruah, umat hilang arah

Rom dan Parsipun tak sudi menjajah!



Itulah gambaran bangsa yang sangat tenat

gersang, kontang, lemah, kalah

menunggu saat untuk dicampakkan ke longkag sejarah!

Tiba-tiba datang Rasulullah membedah masalah

‘first thing first’ – operasi di dalam diri, diselesaikannya ‘soal hati’

disingkirkannya syirik dicantasnya berhala meterialistik

lalu diperkenalkan Allah – agar cinta dan takut hanya pada-NYA

dikenalkannya Akhirat – agar ghairah syurga dan gundah neraka

lihat alam, lihat semesta… bukti kewujudan-Nya

jangan nafikan penciptaan kedua (akhirat)…

ketika penciptaan pertama (dunia) sudahdi depan mata!



Walaupun ekonomi, politik, sosial jahilyah menghadapi masalah

tetapi Rasul mendahulukan akidah

diperhebatkannya dakwah, dipertingkatkan tarbiah

disemai iman, dituainya persaudaraan

justeru ekonomi sakit sebab iman sedikit

justeru politik tersasar apabila ukhwah melonggar

justeru sosial hancur akibat iman dan ukhwah meluntur

bukan menafikan keperluan ilmu, kepakaran teknologi

Tapi jangan sekali-kali diremehkan soal hati

kerna ini bukan hanya soal pengetahuan

tapi sebenarnya soal kemahuan

bukan masalah kurang harta tapi masalah ‘miskin’ jiwa

bukan kekuatan luaran tapi kekuatan dalaman

kerana bangsa tanpa kekuatan iman…

bagai kapal hilang pedoman



Indahnya bila iman menjadi teras kepakaran dan pengetahuan

gagahnya bila iman menjadi asas pembangunan dan kemajuan

itulah langkah susulan selepas iman di Makkah

Rasul membina sosial, ekonomi dan siasah…

dengan roh iman di Madinah

bukan seperti Arab jahiliyah…

yang memisahkan kehidupan daripada akidah



Belajar daripada sejarah menangnya Rasulullah

Belajarlah daripada sejarah kalahnya Arab Jahiliyah!

Aduhai bangsa ku,

Jangan hanya merdeka geografi, tapi hati terjajah…

Mohd Saifullah B Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

Ahad, 9 Ogos 2015

Rasionalkah Fitnah Isu Derma ?

Perbezaan pendapat bukanlah masalah. Tetapi yang kerap menimbulkan masalah ialah SIKAP orang yang berbeza pandangan itu. Kerap kali sikap itulah yang menimbulkan perbalahan, bukan perbezaan itu. Malah pada banyak keadaan, perkara khilaf yang dipertikaikan menyebabkan terkorbannya akhlak budi yang lebih aulawiyat dipertahankan.

Sering saya bertanya, dan sering juga saya ditanya. Kekadang oleh sebab kedangkalan ilmu saya banyak berdiam. Cuba terus belajar. Ke sana kemari, mendengar dan meneliti. Pada ketika itu saya berpegang kepada apa yang diyakini dan tinggalkan apa yang diragui. Namun saya tidak pernah menutup pintu untuk mendengar dan berbincang. Tetapi apa pun akhlak dan adab mesti dipertahankan. Jangan dicampur soal personal dan jurusan ilmu dan kaedah berfikir yang sifatnya lebih profesional.

Yang memertahankan qunut hingga meninggalkan solat berjemaah. Yang tidak berqunut, berhujjah sehingga mencarikkan ukhwah. Kenapa? Dia itu wahabi, tauhidnya uluhiyyah dan Rububiyyah. Dia itu As’ariah dan Maturidiah dengan jumud Sifat 20. Dia itu Salafi yang menentang bid’ah. Dia itu Sufi, yang asyik dengan tazkiatun nafsi. Dan kini di Malaysia, ada yang menjawab (bahkan menulis), “saya muslim Ahli Sunah” bila ditanya soalan, “apa agama kamu?”Ketika ditanya mengapa jawapan kamu begitu? Dia menjawab, “saya nak bezakan dengan muslim wahabi”
Ah, apakah ini langkah ke depan, atau langkah ke belakang atau langkah pusingan U?

Padahal sewaktu kecil dahulu kita diajar melalui Kitab Risalah Tauhid (tauhid), Mutaa Badrin (feqah), Penawar Bagi Hati (akhlak atau tasawuf). Itulah kitab yang mengenalkan kita kepada agama yang holistik. Kemudian bila meningkat dewasa, di universiti mula pula belajar lebih tinggi. Ataupun melalui majlis usrah yang dikendalikan oleh para naqib dan mas’ul. Kedua-dua kaedah menuju matlamat yang sama – menanamkan roh tauhid. Tidak ada sebab untuk ‘bergaduh’. Memang ada perbezaannya, tetapi titik pertemuannya terlalu banyak!

Oleh sebab Al Ghazali menghentam Ibnu Sina dan Al Farabi dengan hujjahnya dalam al Munqizul minad Dalal dan Tahafut al Falasifah, saya yang begitu dekat dengan Ihya Ulumuddin turut mengambil sikap berhati-hati dengan Ibnu Sina dan tokoh-tokoh yang sewaktu dengannya. Tetapi bila Ibnu Sina disebut sebagai role model, saya tidak membantah. Mereka mungkin ada hujah yang tidak saya ketahui. Pada saya biarlah gajah sama gajah yang berhujjah, saya yang kancil ini ambil sahaja yang yakin, yang muktamad dan masyhur… itu pun belum dan tidak habis-habis untuk diamalkan.

Saya melihat kesan ilmu dan sumbernya. Bukan hanya melihat kesan tetapi meninggalkan sumber. Atau bukan hanya meneliti sumber tetapi meminggirkan kesan. Kedua-duanya harus sebati dan serasi. Akhlak adalah buah ibadah. Ibadah adalah buah ilmu. Ilmu itu sumber keyakinan dan kepercayaan. Alhamdulillah, kini saya rasa serabut iktilaf, furu’ dan bid’ah terungkai dengan jelas. Dalil di sana dan di sini kekadang sama setara dan seimbang. Tidak ada obsesi diri dan puak. Tidak ada kafir mengkafir. Tidak ada penyakit ‘ana khairu minhu – aku lebih baik daripada kamu!

Fitnah kini lebih teruk lagi di kalangan skop pemimpin politik di Malaysia. PM di tuduh menerima derma sebanyak 2.6 Billion sehingga di laporkan hingga peringkat media antarabangsa. Matawang merudum teruk sehingga USD 1 bersamaan RM 3.92 dan menimbulkan perspeksi fitnah lagi. Fitnah ini tidak di kawal pasti akan mewujudkan sosiopolitik yang tidak stabil di Malaysia.
Tiada dalil atau sumber rujukan yang boleh di percayai untuk menangkis fitnah ini dan yang terbaru fitnah ini menjadi lebih teruk apabila pegawai SPRM di tukarkan secara tiba-tiba. Adakah perspeksi rakyat Malaysia pada pemimpin boleh di kawal lagi bila jawapan yang di beri oleh pemimpin identiti penderma tidak boleh di dedahkan? Rakyat tiada sumber jawapan dan di dendang lagi dengan fitnah dari pihak tidak bertanggungjawab. Fitnah mula wujud apabila wang derma bernilai lebih RM 2.6 B dan mula bermain di fikiran rakyat yang kian di momok dengan berita negatif dari pihak pembangkang.

Apakah jalan penyelesaian fitnah wang derma RM 2.6 Billion ini? Menurut pandangan saya insan kerdil ini kita perlu kembali kepada penyelesaian Islam apabila PM sendiri perlu telus memberitahu siapa penderma dan penerima duit tersebut. Penyelesaian dalam Islam amat mudah jika untuk menjawab isu fitnah dengan menyatakan kebenaran bagi menangkis segala tohmahan. Rakyat Malaysia sangat rasional dan pasti menerima apa jawapan ikhlas daripada pemimpin mereka. Katakanlah kebenaran walaupun pahit . Jawapan ini pasti memberi keyakinan semula kepada rakyat. Tanggungjawab pemimpin adalah kepada Allah. Ingat amanah Allah ini bukan kemegahan tetapi pasti akan di tanya di akhirat kelak atas setiap apa yang di kerjakan.

Mohd Saifullah B Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


Selasa, 4 Ogos 2015

Matangkah Politik Melayu ?

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur dalam lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu agresif hingga boleh meletakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.”

Pertembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihanraya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan ketika. Pihak yang yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyak yang di bawah.

Rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Dan apabila keputusan diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam pilihanraya Amerika suatu ketika dulu) mereka merujuk kes itu ke mahkamah.

Namun setelah mahkamah memutuskan yang Bush ada pemenang mutlak, Al Gore menerimanya dan berkata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu serang menyerang tidak berlaku lagi.

Rakyat tidak kira anggota Parti Demokrat ataupun Republikan akan terus berkerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Republikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak memaksimakan keuntungan rakyat dan keutuhan negara sepanjang tempoh pemerintahan Republikan.

Jika adapun kritikan tetapi ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara.

Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibok ‘berpolitik’ kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibokkan oleh tanggung-jawab dan peranan di bidang masing-masing.

Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai alat negara secara global bukan lagi sebagai jentera parti secara sempit. Sebagai balasan, kerajaan akan menerima komitmen serta kesetiaan bukan sahaja daripada anggota parti tertentu tetapi dari seluruh rakyat.

Nampaknya kematangan yang sama belum ada di kalangan orang Melayu. Sama ada di pihak manapun sama-sama masih kuat terikat dengan kepentingan parti walaupun musim pilihanraya telah berlaku. Akibatnya, yang menang gagal ‘mengisi’ kemenangan manakala yang kalah pula terus menggigit tidak kira masa, tempat dan perkara.

Apa sahaja yang dikatakan ‘putih’ oleh satu pihak, pihak yang sebelah lagi akan berkata ‘hitam’. Dan rakyat seluruhnya turut terheret dalam gaya politik ‘separuh masak’ ini ke jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, mesjid, sekolah-sekolah, kedai-kedai kopi, kaki lima dan lain-lain tempat. Akibatnya, orang Melayu berpolitik hampir setiap masa, setiap tempat dan setiap perkara.

Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, penilaian dan pengkajian tidak lagi bersandarkan pada etika sesuatu kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartaian.

Untuk memberi sesuatu jawatan misalnya, perlu diteliti sipulan orang parti mana? Untuk memberi satu tender atau kenaikan pangkat misalnya, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang ketimbang kemampuan di bidang-bidang yang berkenaan. Dan praktik ini nampaknya mula membudaya dalam semua parti yang diterajui oleh orang Melayu.

Budaya negatif ini telah merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah-mati yang diamalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, orang Melayu akan menjadi semakin emosi berbanding rasional dalam menghadapi sesuatu isu peringkat nasional atau antarabangsa.

Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang tertentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampaui batas-batas parti politik. Mungkin seorang pentadbir yang cekap dan amanah boleh tersingkir kerana adanya calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya oleh sesuatu pihak.

Ataupun ada pula pentadbir atau pengurus yang bertindak bukan atas penilaian ilmu dan etika bidang kepakarannya (walaupun ia memiliki kemampuan itu) dalam jabatan, agensi dan unit yang diterajuinya.

Bayangkan apa akan jadi jika sesuatu perkara, polisi, isu atau dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya telah disorot oleh seorang pentadbir, pengurus atau pengerusi melalui kacamata pemikiran dan jiwa yang lebih dipengaruhi oleh untung-rugi parti yang disokongnya.

Jika sikap yang sama menular ke bidang pendidikan, ekonomi, budaya, sukan dan lain-lain maka lama-kelamaan akan berleluasalah penguasaan tenaga kerja yang tidak pakar di semua bidang di semua peringkat sama ada di daerah, negeri dan negara.

Yang dominan nanti ialah tenaga yang hanya ada ketaatan tetapi tidak ada kepakaran, yang dengan ini nanti akan menyebabkan umat Melayu tidak akan menjadi bangsa yang cemerlang.

Walaupun ada banyak persatuan tetapi orang Melayu seharusnya punya satu kesatuan. Yang berbeza cuma cara dan kaedah, tetapi prinsip dan matlamat tetap sama. Pada waktu tenang, kaedah yang sesuai dengan ketenangan digunakan, tetapi pada waktu tegang, kaedah yang sesuai dengan keadaan itu pula digunakan. Dalam hal ini sekali lagi kematangan bangsa Cina terserlah.

Kecapaian di bidang ekonomi dan akademik oleh bangsa Cina misalnya, sentiasa diiringi oleh tuntutan-tuntutan politik yang matang dan kena pada masanya. Sebagai contoh, secara berkesan, kaedah ini telah berjaya menambah ruang dan peluang mereka dalam bidang akademik dengan terbinanya berbagai-bagai institusi pengajian tinggi swasta, mengamalkan budaya dan bahasa dengan lebih meluas. Ya, parti politik mereka berbeza, tetapi perbezaan itu lebih bercorak ‘the same differences’.

Cuba lihat kematangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang politik dan ketenteraan buat menghadapi dunia Islam. Sebaik sahaja WTC diserang mereka terus bersatu dengan Amerika, kononnya untuk memerangi keganasan. Negara-negara Eropah juga telah berjaya mengatasi perbezaan pendapat dalam bidang ekonomi apabila rela menggunakan mata wang yang sama untuk menghadapi era ekonomi global yang lebih mencabar. Mereka tidak membesarkan krisis yang ada apabila ada cabaran dari pihak ketiga. Malangnya, kematangan yang sama belum ada dalam senario politik Malaysia.

Kebencian akan membunuh kerasionalan. Kebencian orang Melayu kepada penjajah menyebabkan lahirnya segelintir mereka yang memilih komunis (PKM) sebagai cara berjuang menegakkan keadilan, sedangkan komunis bukanlah ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah. Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menilai.

Cuba lihat apa kata Sayidina Muawiyah apabila kerajaan Kristian cuba mempengaruhinya bagi menjatuhkan ‘rival’ politiknya Sayidina Ali. Beliau menulis kepada raja Kristian, “Saya telah mengetahui bahawa anda beranggapan pemerintahan Ali lemah, dan memutuskan untuk menyerangnya kerana beranggapan Muawiyah tidak akan membantu Ali. Demi Allah, sangkaan anda keliru. Ini adalah masalah ‘ghairat’ Islam. Jika anda berani menyerang Ali maka diantara tentera-tentera yang berperang di puhak Ali, Muawiyah akan berdiri di barisan paling hadapan!”

Barangkali sudah tiba masanya ujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpoliik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan ‘gentleman’ dalam menghadapi perbezaan pegangan politik.

Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka terhadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan. Aktiviti politik mereka mungkin terhad pada musim pilihan raya sahaja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan berkerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah dipertanggung-jawabkan.

Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, itu tidak dijadikan alasan untuk ‘mensabotaj’ kerajaan ‘dari dalam’, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut peruntukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan ‘berpolitik’ dengan menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihanraya yang akan datang.

Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mempunyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut keyakinan dan keimanan (fardu Ain) sekaligus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu Kifayah).

Dengan sifat Mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.

Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak ditangan parti tersebut, tetapi sebalik survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu.

Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada ‘public victory’ (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan membina kekuatan diri sendiri (‘personal victory’) terlebih dahulu.

Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apapun masalah yang melanda parti. Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kaomintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara.

Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu jalan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah matlamat. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk menuju matlamatnya!

Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang-orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara lansung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-duanya aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya. Inilah kematangan berpolitik namanya.

Aliran ketiga ini bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi korporat, tanpa melihat dan dilihat secara prajudis. Asalkan peluang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekersama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan ‘tidak ke mana-mana tetapi ada di mana-mana’.

Idea perlu ujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk menangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali.

Yang ‘bergaduh’ atas ijtihad masing-masing ialah kedua pemimpin itu… Tetapi masyarakat Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan peranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa perkembangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak terhenti sekalipun terjadi peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.

Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama berpolitik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana meletakkan kepentingan Allah dan Rasul tertinggi di atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus berkembang dengan cepat dan meluas?

Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukanlah lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat yang bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian, ejekan, dan sebagainya.

Apa yang umat Melayu dapat dari ‘wacana’ seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik ‘lipstik’ dan ‘kosmetik’ ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pemikiran Melayu.

Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama.

Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang, ‘What we see depends mainly on what we look for’, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.

Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara di kalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk ‘menguruskan’ perbezaan ini. Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’ bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu pertentangan!

Mohd Saifullah B Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


Didik Belia Benci Rasuah !

Menurut sejarah Jepun, rasuah mula diperkatakan pada era Edo (1603-1868) yang diistilahkan sebagai “sidepno-shito” yang bermaksud ‘wang dari bawah meja’. Apabila disebut sahaja rasuah, terbayanglah kepada kita ada dua pihak iaitu yang memberi dan yang menerima. Menyedari betapa seriusnya keadaan ini belia perlu berikrar untuk membanteras perbuatan rasuah hingga ke akar umbi. Hal ini kerana rasuah adalah umpama barah yang akan meruntuhkan negara jika tidak dibendung dengan segera. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang individu mudah terlibat dengan rasuah.

Antara faktor berlakunya gejala rasuah ialah kepimpinan seseorang individu yang lemah. Individu yang mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri dan mudah dipengaruhi oleh orang lain untuk melakukan rasuah. Mereka mudah disogok dengan pelbagai kemewahan seperti harta benda, wang ringgit, kedudukan dan pangkat. Malah sejarah juga telah membuktikan bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon tumbang ekoran perbuatan rasuahnya dalam skandal ‘Water Gate’. Ada kalanya penerima rasuah dianggap sebagai kerbau dicucuk hidungnya dan mudah patuh dengan kehendak pemberi rasuah. Akibatnya, amalan rasuah menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap individu dan kepimpinan organisasi berkenaan.

Pada masa yang sama, kurangnya didikan agama dan didikan moral mendorong berlakunya perbuatan rasuah dalam masyarakat kita. Individu yang tidak mempunyai iman yang kukuh dan mantap akan mudah terpesong. Golongan seperti ini akan menggunakan kedudukan dan peluang yang ada pada dirinya untuk menerima habuan tanpa berasa bersalah. Dengan tidak memikirkan akibatnya, rasuah menjadi rutin dalam tugas mereka. Malah individu yang terlibat dengan rasuah tidak berasa malu atau takut kepada Allah serta balasannya sama ada di dunia ataupun pada hari akhirat.

Rasuah juga berlaku kerana wujudnya birokrasi dalam sistem pemerintahan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan daripada berbagai-bagai peringkat mengambil kesempatan. Hal ini berlaku kerana proses pengurusan pentadbiran terpaksa melalui banyak saluran. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentulah pemprosesan sesuatu permohonan memerlukan masa yang lama atau panjang. Bagi individu yang terdesak atau mahu segera menyelesaikan masalah, mereka akan mudah memberikan imbuhan dengan harapan pemprosesan permohonan didahulukan oleh penerima rasuah. Oleh hal yang demikian, sudah tentu situasi ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap golongan yang tidak terlibat dengan rasuah.

Di samping itu, amalan rasuah turut meninggalkan pelbagai kesan. Malah, amalan rasuah jika tidak dicegah akan terus merebak dan membawa banyak kesan negatif kepada individu, masyarakat ataupun negara. Individu yang terlibat dengan rasuah akan dipandang hina oleh masyarakat. Keluarga mereka juga akan dicemuh dan dipulaukan oleh jiran-jiran. Apabila seseorang menjadikan rasuah sebagai amalan biasa, sudah tentulah amalan ini akan merebak dan mempengaruhi orang lain. Oleh itu, rasuah perlu dibanteras segera supaya tidak memberi kesan buruk terhadap sistem pentadbiran dan sosial negara. Masyarakat perlu mengambil sikap berwaspada agar perbuatan rasuah tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.

Sebenarnya, jika perbuatan rasuah tidak dibendung, kehidupan masyarakat dan birokrasi sistem pemerintahan akan terganggu dan sekali gus menyebabkan imej negara pada mata dunia tercalar. Seluruh masyarakat, bangsa dan negara akan menjadi kucar-kacir dan hancur seperti yang pernah berlaku dalam sejarah tamadun besar dunia seperti di Mesir dan Mesopotamia. Natijahnya, negara tersebut bukan sahaja akan dipandang serong oleh negara lain. Malahan, hubungan dagangan yang sedia ada juga akan terputus dan ekonomi negara akan terjejas teruk lalu agenda pembangunan negara akan terbantut. Oleh itu, perbuatan rasuah yang bagaikan duri dalam daging hendaklah dibanteras sejak awal lagi.

Kesimpulannya, rasuah merupakan musuh negara yang berbahaya dan perlu dibanteras melalui kerjasama anggota masyarakat dan pihak berkuasa.Adakah kita rela melihat tabiat buruk ini terus menular? Tegasnya, adalah penting bagi semua pihak untuk melaporkan gejala rasuah kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemimpin juga perlu menunjukkan contoh yang baik jangan jadi seperti ketam ajar anak jalan lurus. Sifat integriti dan ketelusan perlu ada antara pemimpin dan rakyat. Tidak perlu bimbang dan jangan sembunyikan sesuatu dari rakyat sehingga mewujudkan perspektif negatif. Tidak salah dedahkan akaun persendirian dan bentangkan tanpa berselindung jika itu adalah kebenaran.

Islam mengharamkan umatnya memberi dan menerima rasuah. Jika kita sayang akan negara kita, cegahlah rasuah sebelum parah. Sesungguhnya, amalan rasuah hanya menjual prinsip, maruah dan harga diri!

Mohd Saifullah B Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


Isnin, 3 Ogos 2015

Apa Lagi Melayu Mahu ?

SELEPAS beribu tahun menduduki Tanah Melayu dan selepas lebih 60 tahun merdeka, setiap Melayu wajar bertanya pada diri sendiri, di manakah kita sekarang? Kemudian bertanyalah lagi, inikah yang kita mahu?

Melayu bukan lagi setakat bangsa yang dewasa, malah merupakan bangsa yang cukup tua. Ketuaan sepatutnya menjadikan setiap manusia itu lebih waras. Tetapi telah cukup waraskah kita?

Mengikut ukuran material, nasib Melayu memang jauh lebih baik jika dibandingkan dengan seratus tahun atau sepuluh tahun dahulu.

Lupakan soal pemilikan Melayu di sektor ekonomi pada era sebelum merdeka. Ianya terlalu kecil, barangkali tidak cukup untuk dijadikan angka bagi membolehkan kita mencongaknya.

Lihat sahaja di mana kita tatkala Rancangan Malaysia Kedua bermula. Penguasaan Melayu di bidang ekonomi ketika itu cuma 1.9 peratus. Diulang: 1.9 peratus!

Mengambilkira bahawa Melayu mewakili lebih daripada separuh penduduk Malaysia, angka itu jelaslah kelihatan seperti tidak munasabah. Ia malah menjadi masalah besar pada pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua yang mensasarkan pada tahun 1990 penguasaan Melayu berada pada tahap 30 peratus, bukan Melayu 40 peratus dan pemodal asing 30 peratus.

Bagi sesiapa pun, menukar 1.9 peratus menjadi 30 peratus sesungguhnya bukanlah kerja yang mudah.

Usaha pemimpin-pemimpin Melayu untuk meletakkan bangsa mereka di tahap sepatutnya memang tidak pernah mengenal jemu. Mereka malah menjadikannya tanggungjawab wajib. Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut secara jelas matlamat untuk meningkatkan taraf ekonomi Melayu. Dan siapakah yang memikul tanggungjawab untuk menggerakkan matlamat tersebut jika bukan para pemimpin Melayu sendiri?

Atas kesedaran pemimpin-pemimpin Melayu, Bank Kebangsaan Melayu yang pendek umurnya itu ditubuhkan. Atas desakan dan keluhan pemimpin-pemimpin Melayu juga, Pesuruhjaya British mengusulkan penubuhan RIDA (yang kemudiannya berkembang menjadi MARA), yang melaluinya memungkinkan orang Melayu mula menapak dengan agak kukuh di bidang perniagaan dan pendidikan.

Para pemimpin Melayu, dengan kuasa politik yang mereka ada telah menubuhkan pelbagai badan dan agensi demi menjaga kepentingan bangsa Melayu. Untuk Melayu ditubuhkan FLDA (kemudiannya FELDA). Untuk Melayu muncul Bank Kerjasama. Untuk Melayu tegaknya Bank Bumiputera. Untuk Melayu dilancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Untuk Melayu diwujudkan ASN, ASB dan entah apa lagi.

Pendek kata, kalau menolong bangsa sendiri itu merupakan satu dosa, maka sahlah bahawa pemimpin Melayu akan merupakan kumpulan manusia yang paling banyak dosanya di muka bumi ini.

Hasil kerja keras para pemimpin Melayu itu, nasib Melayu di Malaysia berubah. DEB menyaksikan kemunculan kumpulan usahawan dan ahli korperat Melayu, di samping berjaya merealisasikan impian untuk melihat tahap kehidupan orang Melayu umumnya menjadi lebih baik.

Tidak ada sesiapa yang boleh menidakkan pencapaian ini. Sejarah menjadi saksi bahawa menerusi DEB, golongan kelas pertengahan Melayu telah meningkat secara berganda iaitu daripada 13 peratus pada awal 1970-an menjadi 28 peratus pada tahun 1993. Di sektor pekerjaan, peningkatan yang lebih besar berlaku bila mana angka 7.8 peratus pada 1970 bertukar menjadi lebih daripada 25 peratus dalam tempoh 23 tahun berikutnya.

Tetapi apakah angka-angka itu mencerminkan DEB telah benar-benar berjaya? Apakah ianya cukup untuk menjadi kayu pengukur bahawa hasrat untuk memartabatkan Melayu telah menjadi kenyataan?

Jawapannya mungkin tidak menggembirakan mana-mana Melayu yang rasional.

Apabila DEB yang dilancarkan pada tahun 1971 sampai pada tempoh matangnya, ternyata hasrat untuk melihat Melayu menguasai 30 peratus daripada kekayaan negara tidak kesampaian. Daripada segi peratusnya angka tersebut cuma berada di sekitar 20 peratus sahaja. Tidak terlalu jauh, tetapi hampir separuh perjalanan daripada sasaran sebenar.

Dan lebih memedihkan lagi, angka itu bukanlah mencerminkan jumlah perkongsian sebenar orang Melayu ke atas kekayaan negara. Yang menjadikan angka itu kelihatan agak banyak ialah pemilikan melalui institusi yang digerakkan oleh kerajaan.

Jika perincian yang lebih halus dibuat, sehingga akhir abad ke-20, peratus pemilikan Melayu hanyalah pada kadar 7 peratus – diulangi, 7 peratus! – dan angka ini disebut sendiri oleh Mahathir dalam satu kenyataannya di Norwich, England pada awal Oktober, 2000.

Persoalan ini tidak mati setakat itu. Kita juga tidak harus lupa bahawa pemilikan sebanyak 7 peratus itu bukannya bersifat menyeluruh ke atas semua Melayu, sebaliknya ia dimonopoli dan dikuasai oleh beberapa kerat Melayu sahaja. Majoriti Melayu lain masih terkial-kial mengejar mimpi.

Sehingga pada tahun 1987, bagi kumpulan 40 peratus terendah, isi rumah bumiputera di bandar dianggarkan menerima RM 306 sebulan berbanding dengan RM 538 bagi kaum Cina dan RM 459 bagi kaum India. Di sebalik peningkatan berkali ganda tenaga kerja Melayu di sektor iktisas dan teknik, pengagihannya mengikut kaum masih tidak seimbang. Pembabitan Melayu dalam kumpulan yang berpendapatan tinggi masih rendah. Jumlah arkitek bumiputera pada tahun 1988 misalnya, cuma 192 orang berbanding dengan 679 arkitek Cina. Melayu yang menjadi akauntan pula cuma 514 orang, berbanding dengan 4,079 Cina dan 315 India. Keseluruhannya,jumlah penyertaan bumiputera dalam kumpulan iktisas cuma 25.1 peratus, berbanding dengan Cina sebanyak 58.4 peratus dan India 14.3 peratus.

Angka-angka itu tidak setakat mencerminkan wujudnya ketidakseimbangan, tetapi juga menjadi petunjuk terhadap kegagalan DEB mencapai sasarannya.

Apakah reaksi Melayu terhadap kegagalan itu?

Hampir tidak ada apa-apa. Reaksi-reaksi yang timbul kebanyakannya cuma merupakan kes-kes terpencil, yang membabitkan kumpulan-kumpulan kecil Melayu yang menginsafi nasib bangsanya.

Majoriti Melayu lain tidak mempedulikannya. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa tahun yang menjadi titik kematangan DEB itu, iaitu 1990, mempunyai erti yang amat besar dalam kehidupan bangsa mereka. Mereka langsung tidak tahu bahawa tahun itu menjadi titik untuk mengukur keupayaan dan kekuatan mereka.

Tidak ada Melayu yang menangis apabila mendapat tahu mengenai kegagalan bangsa mereka mencapai sasaran 30 peratus tersebut. Mereka tidak berasa kecewa. Mereka kebanyakannya lebih sibuk membilang hari untuk menjual unit-unit ASN yang bakal matang.

Dan itulah antara contoh kegagalan DEB. Dasar yang baik dan murni itu, dalam satu konteks, gagal mengubah pradigma kebanyakan Melayu. Ia mungkin berupaya menyuntik impian baru di jiwa Melayu, tetapi ia gagal menyedarkan mereka secara total tentang peri pentingnya peranan ekonomi di dalam kehidupan. Hasilnya, banyak Melayu yang merebut peluang-peluang yang dibuka oleh DEB secara sambil lewa bukan dengan kesedaran dalam erti kata yang sebenar. Perebutan itu lebih didorong oleh keinginan dan nafsu bukan oleh kehendak yang diimbangi dengan akal fikiran.

Bapa Pembangunan, Allahyarham Tun Abdul Razak dan anak Melayu pertama yang menjadi Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah, dalam ucapan-ucapan awal mereka selepas pelancaran DEB kerap mengingatkan Melayu bahawa dasar itu menyediakan peluang yang hampir tidak terbatas kepada setiap Melayu, tetapi hanya Melayu yang gigih sahaja akan berjaya. Mereka juga berkali-kali menekankan bahawa dalam dunia perniagaan tiada apa yang dinamakan kebajikan.

Kira-kira 20 tahun kemudian kita menyaksikan peringatan yang diberikan oleh kedua-dua tokoh itu masih tidak begitu dipedulikan. Melayu rata-ratanya masih menyekutukan perniagaan dengan amal kebajikan. Melayu masih keliru.

Menyedari bahawa penyakit lama bangsanya masih belum sembuh, Mahathir yang mula menerajui negara sejak hampir sepuluh tahun sebelum DEB mencapai tempoh matangnya, melakukan bermacam cara untuk merawat mereka. Beliau tidak sekadar mengulangi peringatan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu, malah menyuntik idea-idea baru yang boleh memperkukuhkan kedudukan Melayu.

Hasilnya tampak menakjubkan. Melayu kelihatan terus bergerak laju ke atas. 10 tahun pertama selepas tamatnya DEB menyaksikan kian banyak muncul Melayu korporat dan sekaligus menjadikan saiz Melayu kelas pertengahan bertambah besar. Melayu, bangsa yang sebelum merdeka dianggap tidak tahu membuat jarum ini menutup abad ke-20 dengan satu bukti bahawa mereka sebenarnya mampu menjadi kuasa di mana sahaja, di darat, di laut dan di udara.

Secara prinsipnya, Mahathir memang telah berjaya menjadikan Malaysia – dalam kes ini Melayu – sebagai bangsa yang bergerak maju di atas asas-asas pembangunan yang telah disediakan oleh Tun Razak.
Tetapi masalah Mahathir sebenarnya akan sama dengan masalah Tun Razak. Jika Allahyarham Tun masih hidup, barangkali beliau akan menangis melihat bagaimana Melayu sendiri menggagalkan hasratnya untuk melihat mereka menjadi bangsa yang besar. Mahathir pula telah berkali-kali menangis atas sebab-sebab yang hampir sama. Dan Mahathir akan terus menangis. Sebahagian besar Melayu tidak akan membenarkan beliau dan mana-mana juga pemimpin mereka berhenti daripada menangis dan tersenyum bangga.
Sebagaimana DEB menyaksikan Melayu mencapai kejayaan material dengan kelowongan fikiran, segala dasar dan rancangan yang diperkenalkan semasa era kepimpinan Mahathir juga menghadapkan Melayu dengan realiti yang sama. Kalau ada kekecualian, kesnya amat kecil.

Jika sehingga berakhirnya DEB kita menyaksikan Melayu berlumba merebut peluang secara sambil lewa, selepas DEB pula kita berhadapan dengan Melayu yang terlalu ghairah untuk berjaya sehingga terlupa adab dan budinya. Jika Melayu di era DEB kurang menggunakan fikiran, Melayu selepas DEB pula terlebih menggunakan perasaan.

Tahun 1990 dan tahun-tahun selepasnya telah melihat bagaimana Melayu begitu ghairah untuk berjaya. Tiba-tiba sahaja kebanyakan Melayu menjadi ahli ekonomi. Pagi dan petang mereka bercakap mengenainya.

Sesiapa pun yang melihat perkembangan itu akan berkata ia adalah petanda baik. Ia merupakan alasan paling kukuh untuk menolak dakwaan bahawa Melayu tidak menyedari akan kepentingan ekonomi. Atau setidak-tidaknya, ia membolehkan orang berkata, selepas gagal mencapai sasaran DEB, Melayu sekali lagi terkejut jaga dan bangkit untuk menegakkan kedaulatan mereka.

Tetapi apakah Melayu benar-benar sedar?

Tidak ada Melayu yang akan gembira menjawab soalan ini.

Di sebalik cerita-cerita indah tentang kesedaran dan keinsafan Melayu itu sebetulnya terselit banyak kisah-kisah yang amat menyayat. Kesedaran yang melampau-lampau telah meletakkan Melayu dalam satu bentuk igauan baru. Sebahagian besar daripada mereka berubah menjadi manusia manusia rakus. Terlalu bersungguh-sungguh untuk berjaya telah menjadikan mereka cepat hilang pertimbangan.

Kumpulan Melayu ini mentafsirkan pencapaian ekonomi dengan cara sendiri dengan mengenepikan nilai-nilai sebenar, termasuk nilai-nilai yang menjadi asas keteguhan bangsa mereka. Mereka meletakkan matlamat pencapaian itu di atas segala-galanya. Mereka bekerja siang malam untuk mencapai matlamat tersebut. Jalan dan haluannya tidak lagi penting. Halal dan haramnya juga tidak lagi mustahak.

Kebanyakan Melayu di era pelaksanaan DEB adalah saki baki Melayu totok yang masih tebal dengan sifat mudah berpuas hati. Melayu jenis inilah yang menganggap dapat makan dan dapat pakai sebagai pencapaian besar dalam hidup. Bagi Melayu jenis pesimis ini, mendapat sedikit adalah lebih baik daripada tidak mendapatnya langsung. Mereka adalah Melayu yang enggan memandang ke hadapan.

Selepas tahun 1990, kelompok Melayu ini diganti oleh satu spesis Melayu lain. Melayu kali ini adalah jenis yang tidak pernah berpuas hati. Mereka adalah Melayu serba optimis yang beranggapan lebih baik tidak mendapat apa-apa daripada mendapatnya sedikit. Mereka adalah Melayu yang
tidak menoleh ke belakang lagi.

Kemunculan Melayu spesis baru ini memang membawa banyak manfaatnya kepada umat Melayu di Malaysia. Kita semua terhutang budi pada mereka. Tanpa mereka mungkin tahap pencapaian Melayu di sektor ekonomi akan balik ke tahap 1.9 peratus, angka sebelum DEB dilaksanakan.

Tetapi sebahagian daripada Melayu spesis baru ini juga mempunyai dosanya terhadap kita. Mereka terlalu banyak menjual bangsa!

Keghairahan mereka yang berlebih-lebihan untuk berjaya telah menyebabkan Melayu spesis baru itu hidup dalam nilai-nilai baru yang bukan sahaja bertentangan dengan nilai Melayu jati, tetapi juga dengan nilai kemanusiaan sejagat. Dan mereka menjadi berdosa apabila cuba menyuntik nilai
itu kepada kita, dan pada masa yang sama menggunakan nilai tersebut untuk melacurkan kehormatan bangsa.

Berkat kemahuan mereka untuk berjaya, sebahagian kecil orang mula menjadi kaya. Jika dahulu mereka cuma bermain dengan kupang tembaga, kini mereka mula berada dalam timbunan ringgit yang berjuta. Seperti biasa, wang yang banyak dengan diiringi oleh kewarasan yang sedikit, akan menjadikan manusia lebih haloba. Di sinilah segala-galanya bermula.

Sama ada kerana mereka mengalami kejutan sebab tiba-tiba menjadi kaya, atau kerana mereka sememangnya mendendami bukan-Melayu yang sejak lama bermain dengan wang untuk membeli kejayaan, Melayu spesis baru itu menjadi seperti orang lupa diri. Mereka akan berbuat apa sahaja untuk menjadi kaya dan kemudian menjadi lebih kaya.

Dalam keadaan begini, rasuah mula diterima sebagai budaya hidup. Tanggapan terhadap rasuah berubah lagi. Kali ini, rasuah yang membabitkan jumlah yang banyak tidak lagi dianggap perbuatan yang salah. Dalam beberapa keadaan, ia malah dianggap mendatangkan ‘pahala’ sebab di dalamnya terkandung unsur ‘berkongsi nikmat’. Di samping itu terdapat pula kes-kes lain, di mana perasuah beria-ia mengangkat dirinya sebagai wira. Alasannya, dia melakukan rasuah demi untuk kepentingan bangsa!

Tempoh 10 tahun terakhir abad ke-20 menyaksikan bagaimana Melayu spesis baru ini benar-benar menguasai kehidupan Melayu secara keseluruhannya. Mereka menyalah tafsirkan seruan pemimpin supaya Melayu bergerak maju dengan menganggap ianya sebagai lesen yang menghalalkan perbuatan mereka. Mereka menganggap seruan supaya Melayu menjadi pintar dan licik dalam perniagaan sebagai tiket yang membolehkan mereka bermain dengan hamburan wang.

Hasilnya? Untuk tempoh lebih sedekad yang lalu muncul begitu banyak istilah baru yang popular di dalam kehidupan orang Melayu. ‘Orang dalam’, ‘orang atas’, ‘orang A’, ‘orang B’, ‘tabung politik’, dan entah apa lagi, semuanya timbul dengan leluasa. Walaupun bunyi istilah-istilah itu berbeza, ia menjurus pada maksud yang sama: RASUAH!

Serangan wabak rasuah tidak terhenti setakat hal-hal yang berkisar dengan ekonomi sahaja. Ia tidak habis setakat soal mendapatkan projek, tender atau pinjaman. Sebaliknya penyakit itu menular lebih jauh, mula-mula ke dalam politik Melayu, dan kemudian ke dalam kehidupan Melayu keseluruhannya.

Apabila kumpulan Melayu spesis baru itu telah mempunyai banyak wang dan merasakan mereka telah cukup kuat, masing-masing cuba membina kekuatan baru dengan memasuki arena politik. Mereka yakin dengan kuasa politik yang diperolehi nanti, peluang untuk menambah kekayaan akan menjadi lebih berlipatganda.

Tetapi jangan salahkan mereka seratus peratus. Mereka jadi begitu kerana mereka ‘diajar’ supaya menjadi begitu. Mereka melihat contoh teladan di kalangan sesetengah pemimpin mereka sendiri. Mereka melihat bagaimana pemimpin-pemimpin itu membuat duit dengan menggunakan kuasa.

Berbekalkan contoh itulah mereka masuk ke gelanggang. Mereka berusaha menggunakan duit yang ada untuk membeli kuasa. Dan setelah berjaya memiliki kuasa, mereka akan menggabungkannya dengan duit, lalu mengamuk untuk mengumpulkan kekayaan seterusnya tanpa batas dan sempadan, tanpa adab dan sopan.

Bagi Melayu spesis ini, tidak ada apa yang tidak boleh. Sebagaimana mereka menggunakan jalan pintas untuk menjadi kaya, mereka juga akan menggunakan jalan pintas untuk berkuasa. Kemudian sekali lagi mereka mempraktikkan cara yang sama untuk kekal berkuasa. Akibatnya? Yang paling ketara ialah, UMNO, yang menjadi parti politik Melayu terunggul itu, terpaksa meminda perlembagaannya berkali-kali bagi tujuan membendung politik wang atau lebih tepat lagi politik rasuah. Oleh kerana UMNO itu terlalu akrab hubungannya dengan Melayu, tidakkah apa yang berlaku di dalam UMNO itu boleh dijadikan cerminan terhadap betapa parahnya kerosakan jiwa orang Melayu sekarang?

Dalam kehidupan sehari-harian, Melayu spesis baru itu berjaya membina rangkaian pengkagum dan pengikut yang besar jumlahnya. Maka rasuah pun tidak terbatas pada urusan yang membabitkan transaksi berjumlah jutaan ringgit, malah dalam urusan mendapatkan lesen memandu atau permit arked video. Di mana-mana sahaja, orang Melayu mula pandai bercakap tentang ‘upah’ dan ‘pulangan’ sehinggakan untuk mendapatkan sehelai borang ada yang tanpa segan silu bertanya tentang duit kopi. Penangkapan besar-besaran kumpulan ‘tonto’ di PUSPAKOM pertengahan tahun 2000 yang lalu, serta pembongkaran skandal 100,000 ‘lesen terbang’ di Jabatan Pengangkutan Jalan hanyalah dua contoh kecil tentang bagaimana rasuah telah diterima sebagai cara hidup. Itu belum lagi dimasukkan kisah-kisah tentang dakwaan wujudnya unsur-unsur rasuah di agensi-agensi yang mengendalikan urusan perniagaan arked video, seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan polis. Memang benar ia turut membabitkan orang bukan-Melayu. Tetapi benar juga bahawa ia cukup banyak membabitkan Melayu!

Ditegaskan sekali lagi, saya tidak bermaksud menuding jari pada sesiapa. Sekiranya ada yang patut dipersalahkan, maka si pesalah itu ialah semua umat Melayu. Rasuah tidak akan berlaku tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak. Rasuah boleh dikekang jika satu pihak tidak merestui kehendak pihak yang satu lagi.

Pemimpin boleh bercakap. Pemimpin boleh menyeru. Pemimpin boleh merayu. Tetapi semua itu tidak memberi erti jika orang Melayu di peringkat akar umbi bersikap tidak peduli. Dan ia semakin menjadi tidak bererti apabila si pemimpin sendiri bersikap ‘cakap tak serupa bikin’.

Tanggungjawab untuk membina kepedulian ini tidak terletak pada pemimpin semata-mata. Tidak juga pada rakyat jelata. Ia merupakan kewajipan bersama. Dan bagi menunaikan kewajipan itu semua Melayu, pemimpin dan rakyat, harus berhenti meracau, sebaliknya segera bergerak dan bertindak.

Tanyalah mana-mana Melayu pun, rata-rata akan memberi jawapan mereka membenci rasuah. Mereka tahu agama mengharamkan perbuatan keji itu.

Tetapi anehnya, kebencian Melayu pada rasuah seringkali hanya dalam kes-kes yang tidak membabitkan kepentingan mereka sahaja. Apabila ia berhubungkait dengan kepentingannya, Melayu akan lupa pada segala kebencian tadi. Dan yang haram pun tiba-tiba menjadi halal semula.

Sikap sebegini telah banyak menjahanamkan Melayu. Tidak sedikit pemimpin dan pentadbir Melayu yang terperangkap dengannya. Apabila mereka tidak mengamalkan rasuah, mereka akan dianggap tidak mahu menolong bangsa, sebaliknya jika mereka berbuat demikian, mereka akan dituduh merosakkan bangsa. Dengan perkataan lain, mereka langsung tidak diberi pilihan untuk menjadi baik. Tetapi apabila menjadi tidak baik, mereka akan dimusuhi pula oleh Melayu-Melayu yang lain.

Proses ini telah berlaku berulang-ulang kali dan belum menampakkan sebarang tanda akan berhenti.
Selagi Melayu masih bersikap demikian selagi itulah masalah yang membelenggu mereka tidak akan selesai. Selagi itu jugalah rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pecah amanah akan menjadi barah yang akan merosakkan kehidupan mereka.

Kita sedar rasuah menjadi sebahagian daripada budaya dalam sistem ekonomi yang digerakkan oleh kapitalisme. Kita juga sedar bahawa yang terbabit dengan rasuah bukanlah setakat sekerat dua orang Melayu, tetapi boleh dikatakan hampir kesemua bangsa di dunia ini. Kita malah sedar bahawa ada bangsa yang menjadi begitu berkuasa kerana rasuah. Kita sedar kesemuanya.

Tetapi kes Melayu di Malaysia agak kompleks dan kerana itu kita tidak boleh menjadikan orang lain sebagai kayu pengukur di dalam apa juga bentuk tindakan kita.

Kita mungkin tidak perlu mengungkit hubungan Melayu dan Islam serta sikap Islam terhadap rasuah. Ia telah berada dalam pengetahuan semua Melayu yang mengaku dirinya beragama Islam.

Ditakdirkan ada Melayu yang tergamak menolak hukum Allah dengan menganggap rasuah tidak memudaratkan sesiapa, Melayu itu patutlah merenung sejenak kedudukan bangsanya di bumi Malaysia ini.

Sebagai bangsa yang masih bertaraf ‘pilihan kedua’ di negara sendiri, dan pada masa yang sama memiliki kuasa politik yang tidak boleh dipertikaikan, Melayu hanya menempah kecelakaan jika menghalalkan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia hanya akan memungkinkan
pihak-pihak lain yang lebih kaya membeli dan menjual mereka dengan sewenang-wenangnya.

Sejarah Tanah Melayu telah banyak kali merakamkan kisah bagaimana ada orang Melayu dijual, ada tanah dan negeri Melayu digadai atas nama emas dan ringgit. Sejarah begitu sama sekali tidak patut dibenarkan berulang. Kita tidak mahu orang Melayu menjadi seperti orang-orang Red Indian suku
Kwakiutl di British Columbia, Kanada, yang menerima budaya mencagarkan nama untuk berhutang sebagai satu cara hidup. Kalaupun sekarang ini sudah muncul banyak Melayu yang menjual nama dan menggadai bangsa bagi mencari kekayaan secara mudah, kita masih berharap ia tidak akan menjadi resam baru yang dihalalkan.

Untuk mengekang kemungkinan-kemungkinan itu, Melayu patut mengawal keghairahan mereka. Para pemimpinnya juga mestilah mempunyai kemahuan yang luar biasa untuk memerangi gejala yang meruntuhkan ini. Tindakan yang keras dan tegas perlu diambil bagi menghapuskan rasuah. Tidak ada salahnya jika undang-undang digubal dan wartakan bagi menghukum pemberi rasuah dua kali lebih berat daripada penerimanya. Apa salahnya jika jika kedua-dua pihak yang didapati bersalah melakukan rasuah dihukum sebat dengan rotan di khalayak ramai, di tempat-tmpat terbuka seperti di Dataran Merdeka? Jika pengedar dadah boleh dihukum gantung, perasuah juga mungkin tidak patut dibenarkan hidup lama dan selesa.

Kita sedar bahawa dalam mana-mana tamadun pun, keghairahan untuk maju akan bergerak seiring dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tetapi ini bukanlah suatu hukum yang bersikap absolute. Kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai anjuran bahawa untuk mengelak daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kita patut kekal mundur.

Kita boleh maju. Kita boleh berjaya. Malah kita mesti maju dan berjaya.

Namun kejayaan mempunyai dua wajah. Pertama, kejayaan yang singkat dan kedua, kejayaan yang kekal.

Untuk mencapai kejayaan jenis pertama amatlah mudah. Benarkan sahaja semua pemimpin dan pentadbir Melayu melakukan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Benarkan semua orang Melayu menjual dan menggadai tanah serta permit-permitnya. Esok atau lusa, anda pasti melihat begitu banyak Melayu yang kaya, yang maju dan berjaya. Tetapi selepas esok atau selepas lusa, Melayu mungkin tidak bersisa lagi.

Bagi mencapai kejayaan yang panjang dan kekal, manusia dituntut supaya mengimbangi kehendaknya dengan akal fikiran. Tidak salah untuk berasa ghairah terhadap kejayaan. Tetapi keghairahan di peringkat enthusiasm mempunyai nilai yang berbeza dengan keghairahan di tahap obsessi. Kita sepatutnya memilih yang pertama. Lakukanlah apa yang kita mampu bukan melakukan apa yang kita mahu.

Dalam ‘Russelas’nya, Samuel Johnson menyebut ‘ hasil kerja yang baik tidak dapat dicapai dengan perahan tenaga, tetapi dengan ketekunan yang berterusan.’ Dalam bahasa mudahnya ia bermakna kejayaan tidak akan dapat dinikmati melalui kegelojohan, sebaliknya ia akan diperolehi melalui kemahuan yang berpanjangan. Di dalam Islam prinsip ini menepati konsep istiqamah yang dituntut supaya diamalkan oleh setiap individu yang mahu menjadi insan cemerlang.

Secara semulajadi orang Melayu mewarisi sifat-sifat yang boleh membawa mereka ke arah kejayaan. Dua daripada sifat-sifat itu ialah ketaatan dan kesabaran. Di dalam ‘Bush-whacking’ (1882), Residen Inggeris di Pahang, Hugh Clifford mencatatkan: ‘…apabila dia (orang Melayu) bekerja untuk seseorang yang mengenalinya, dia akan bekerja seperti tidak ada orang lain bekerja.’

Catatan Clifford itu tidak harus dianggap sebagai kenyataan jelek, yang bermaksud menghina Melayu sebab berpotensi menjadi khadam yang baik. Dia mungkin tidak bermaksud begitu. Dia mungkin ikhlas apabila menyatakan kekaguman tersebut sebab di dalam buku yang sama, Clifford turut menyebut,”…mereka (orang Melayu) memang bagus. Bila-bila masa pun aku akan memilih mereka daripada memilih orang lain. Anehnya ada pula orang yang mengatakan orang Melayu adalah haiwan yang paling malas di muka bumi ini.”

Banyak orang Melayu sendiri tidak menyedari akan kelebihan mereka itu. Tradisi kurang berminat menganalisis diri menyebabkan mereka mengabaikan kelebihan tersebut.

Ketaatan adalah nilai yang dituntut di dalam kehidupan, baik yang menyangkuti urusan manusia dengan Tuhan, mahupun dalam hubungan manusia sesama manusia. Dalam sebarang bentuk kehidupan pula, ketaatan adalah tuntutan yang amat payah hendak disempurnakan.

Tetapi orang Melayu terkecuali daripada kepayahan itu. Seperti telah disebut dalam bab yang lebih awal, orang Melayu memiliki kesediaan untuk taat secara tradisi. Apabila raja mereka memeluk agama Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh Parameswara di Melaka, atas nama ketaatan, orang-orang Melayu yang menjadi rakyatnya turut memeluk Islam. Hal yang sama berlaku di negeri-negeri lain.

Kemudian, selepas beragama Islam, orang Melayu membuktikan bahawa mereka adalah penganut yang taat. Mereka tidak akan bertolak ansur dalam hal-hal yang membabitkan maruah dan kedaulatan agama suci itu.

Sebelum itu, ketika beragama Hindu, nenek moyang orang Melayu ternyata menjadi Hindu yang patuh. Kesetiaan mereka pada kepercayaan yang dianuti itu begitu kuat, sehinggakan selepas beratus tahun meninggalkan agama itu, mereka masih mempraktiskan sebahagian daripada resam budayanya.

Di dalam budaya hidup Melayu, penekanan terhadap nilai-nilai ketaatan sentiasa berada di tempat yang teratas. Anak diwajibkan taat kepada ibu bapa, murid dimestikan taat kepada guru, rakyat dituntut taat kepada pemerintah. Pendek kata, orang Melayu diajar supaya mentaati apa sahaja yang mempunyai hubungan langsung dengan mereka. Dalam Kanun Melaka jelas disebut bagaimana si penderhaka yang tidak mentaati raja bukan sahaja mesti dihukum bunuh, malah tapak rumahnya juga akan digali dan dibuang ke laut.

Seiring dengan ketaatan itu, Melayu juga memiliki tahap kesabaran yang luar biasa. Akar umbi Hindu mereka mungkin menjadi sebahagian daripada faktor yang membina peribadi itu. Di dalam agama Hindu wujud kepercayaan bahawa ‘kesengsaraan adalah satu kenikmatan’ dan kepercayaan itu banyak membantu proses pembentukan kesabaran di kalangan penganutnya.

Apabila mereka memeluk agama Islam, asas kesabaran yang sedia ada di lubuk hati orang Melayu itu menjadi bertambah mantap kerana Islam sememangnya meletakkan kesabaran di darjat yang cukup tinggi.

Dengan pemilikan kedua-dua elemen ini, taat dan sabar, Melayu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk berbuat sesuatu dengan ‘ketekunan yang berterusan’, sebagaimana disarankan oleh Johnson.
Malangnya, kebanyakan Melayu tidak menjadi begitu. Mereka mengabaikan potensi yang dimiliki. Mereka tidak mahu menjadi diri mereka sendiri, sebaliknya lebih cenderung hendak menjadi orang lain. Kesannya, muncullah Melayu jenis gelojoh dan gopoh. Kesan susulan daripada kegelojohan itu ialah muncul pula perbuatan-perbuatan yang telah disebutkan pada awal bab ini; rasuah, penyelewengan,penyalahgunaan kuasa, penjualan harga diri, penggadaian maruah bangsa dan bermacam-macam lagi perilaku buruk seumpamanya.

Tidak dinafikan bahawa di celah-celah karut-marut perangai Melayu spesis baru itu ada individu-individu Melayu yang menapak naik dengan jerih payah, bukannya dengan amalan-amalan korup yang busuk. Orang-orang seperti Tan Sri Azman Hashim, ahli bank yang terkemuka itu dan Tan Sri Shamsudin, pengasas Sapura, adalah contoh paling dekat untuk menunjukkan bahawa Melayu juga boleh berjaya di bidang ekonomi tanpa menggunakan jalan pintas sekiranya mereka memiliki tahap istiqamah yang tinggi.

Selain daripada kedua-dua nama itu, ada lagi nama beberapa kerat Melayu yang bermula dari bawah dan merangkak naik tanpa sudu emas di mulut. Tidak semua mereka menempah nama sebagai orang korperat. Sesetengahnya menjadi kaya raya sebagai pekebun, peladang atau nelayan di ceruk-ceruk terpencil yang tidak diketahui orang.

Orang-orang seperti mereka ini biasanya tidak gah. Dalam kebanyakan kes, kewujudan mereka tidak disedari sebab mereka tidak bergayut di bawah dagu sesiapa untuk mencari kemasyhuran. Namun realiti tidak akan boleh dibohongi. Secara realitinya, merekalah penyumbang sebenar terhadap pencapaian ekonomi Melayu. Merekalah wira kita yang sejati.

Sesungguhnya, kita tidak patut membiarkan nama baik orang seperti mereka ditenggelami dan dicemari oleh spesis-spesis Melayu yang karut dan rakus.

Data peminjam PTPTN menunjukkan bahawa lebih 170,000 orang pelajar majoriti Melayu di senarai hitamkan. Mereka terhimpit dengan kos taraf hidup yang tinggi dan juga merupakan aset kepada negara. Data PTPTN pada tahun 2013 sebanyak 417 juta di beri kepada pelajar Cina dan hanya 112 juta pada pelajar Melayu yang mendapatkan kelas pertama dalam bentuk biasiswa. Dasar ini memberi kelebihan kepada Cina dan seperti membunuh orang Melayu yang majoritinya baru ingin bertapak dan membina hidup. Apakah nasib mereka apabila di senarai hitamkan ? Cuba kita hapuskan dasar kelas pertama dan selamatkan majoriti Melayu yang tertindas adakah itu langkah yang mengutamakan Melayu. Kenapa Melayu bunuh Melayu ?

Jangan hanya laung hidup Melayu tetapi itu adalah retorik semata-mata. Hidup Melayu biarlah hidup yg bermartabat!

Mohd Saifullah B Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka