Khamis, 15 September 2016

Selamat Hari Malaysia- Salam Perpaduan

Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat yang berbilang bangsa dan keturunan.
Kita sering mencanangkan negara kita merupakan sebuah negara yang harmoni, aman dan damai.
Semua bangsa dapat bekerjasama secara kolektif dan mengamalkan prinsip-prinsip jitu perpaduan.
Namun hakikatnya, tahap perpaduan kita sampai di mana? Benarkah kita bertanya kepada diri sendiri bahawa sejauh manakah tahap perpaduan yang wujud dalam negara kita?
Adakah kita semua sudah berpuas hati dengan segala yang ada sekarang? Atau kita mampu mengubahnya supaya ia menjadi lebih harmoni lagi?
Dari segi semantik bahasa, perkataan ‘perpaduan’ ini asalnya dari perkataan ‘padu’ iaitu ‘mampat’, ‘pejal’ dan ‘padat’.
Maka perkataan perpaduan membawa maksud ‘penggabungan’. Selain itu, secara definasinya pula, perpaduan merupakan satu keadaan rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembangaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, yang berlangsung pada Februari 1992.
Jadi daripada pengabungan dua definisi di atas, kita boleh simpulkan bahawa perpaduan merupakan satu proses menyatupadukan seluruh masyarakat supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta akan tanah air.
Malangnya, tanggal 13 Mei 1969 tercetus satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara. Pertelingkahan kaum yang berlaku telah mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda.
Ia mempunyai kaitan rapat dengan Pilihan Raya Umum 1969 dan merupakan puncak manifestasi masalah perpaduan kaum di Malaysia.
Dalam pilihan raya tahun tersebut banyak isu-isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti status bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.
Dalam suasana yang tegang dan penuh emosi itu, maka tercetuslah peristiwa 13 Mei 1969. Ia juga telah menyebabkan negara kita menjadi tumpuan seluruh dunia.
Ironinya, 13 Mei ini merupakan antara masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi.
Masalah ini telah disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian.
Apabila pengasingan kaum berdasarkan kelompok ekonomi menjerat penyatuan mahupun persefahaman antara etnik, walaupun duduk di bawah satu bumbung yang sama maka akhirnya tercetuslah insiden berdarah 13 Mei 1969.
Dalam usaha membendung masalah 13 Mei supaya keamanan dan kedamaian yang berterusan dapat terus dikekalkan, kerajaan mengetahui bahawa kita memerlukan satu ideologi untuk kita bersatu.
Maka Rukun Negara telah diperkenalkan. Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dan diluluskan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Draf Rukun Negara telah dibincangkan dan dibuat pindaan beberapa kali oleh Majlis Perundingan Negara(MPN) sebelum diluluskan.
Rukun Negara juga telah menjadi platform untuk membentuk dan membimbing masyarakat Malaysia ke arah perpaduan.
Rukun Negara juga menjadi rujukan yang penting bagi sebarang dasar dan keputusan yang hendak dibuat oleh pihak kerajaan pada masa-masa mendatang, supaya perpaduan dapat dicapai.
Memang sudah banyak usaha telah dilancarkan dan dijalankan oleh kerajaan dari dulu hingga sekarang.
Hal ini kerana kerajaan menyedari betapa pentingnya perpaduan kaum, kerana tanpa perpaduan di manalah terletaknya nilai kemerdekaan negara kita.
Dalam usaha membangunkan negara kita supaya seiring dengan negara lain, maka perpaduan merupakan kunci utama yang kita sediakan sebelum membuka semua laluan.
Kerajaan telah memperkasakan sekolah kebangsaan untuk menyatukan generasi muda melalui pendidikan dan bahasa kebangsaan.
Dengan cara ini, dapat menerapkan disiplin dalam pembelajaran dan pengajaran seperti aktiviti kokurikulm dan kurikulum.
Selain itu dengan adanya sekolah kebangsaan ini ia akan merapatkan lagi hubungan dan komunikasi antara kaum yang sebelum ini begitu terhad.Masih relevankah sekolah vernakular?
Dasar Integrasi Nasional juga telah dilancarkan – iaitu satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identiti sendiri yang berteraskan Perlembangan Persekutuan dan Rukun Negara.
Dasar Integrasi Nasional ini juga mesra bangsa-bangsa minoriti yang lain. Sekolah-sekolah jenis kebangsaan diwujudkan dengan memberikan hak mutlak kepada bangsa minoriti untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengajaran.
Melalui Dasar Ekonomi Baru, satu lagi usaha mewujudkan keadaan di mana, tiada perbezaan fahaman pembelajaran dan tiada pengasingan dan perbezaan antara miskin dan kaya di antara kaum. Bekerjasama dalam pergaulan khususnya agar kekayaan negara dibahagikan sama rata antara pelbagai kaum.
Dan yang terkini, Program Khidmat Negara, Program Sekolah Bestari juga merupakan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan tahap perpaduan dan hubungan mesra antara kaum yang telah dijalankan.
Segala yang diusahakan oleh kerajaan selama 59 tahun tetap tidak cukup lagi. Hal ini adalah kerana peristiwa pergaduhan antara kaum tetap wujud.
Misalnya satu pergaduhan terjadi di kafeteria Universiti Putra Malaysia pada 17 Julai 2006. Kejadian ini berlaku antara kumpulan pelajar Melayu dan Cina.
Seramai 11 orang pelajar terbabit dalam insiden ini. Sebuah klip video menunjukkan pergaduhan antara pelajar-pelajar UPM telah dimuatnaikkan ke laman YouTube dan boleh diakses oleh seluruh dunia.
Insiden yang masih saya ingat lagi satu pergaduhan di sebuah restoran makanan segera di Shah Alam antara seorang pelanggan keturunan Cina dengan pekerja Melayu telah cuba dikaitkan dengan isu rasis.
Insiden ini juga telah dimuatnaikkan dalam laman YouTube sehingga komen-komen yang dilemparkan boleh dikatakan kesemuanya berbaur rasis dan memperlihatkan kebencian di antara kaum yang sangat mendalam.
Kejadian seperti ini semua akan menjadi bertambah hangat sebaik sahaja orang politik cuba campur tangan dan ingin menjadi juara kaum masing-masing dan bukannya hendak mendamaikan keadaan.
Akibat daripada semua kejadian ini, adakah kita masih boleh katakan negara kita telah mencapai peringkat perpaduan yang tinggi?
Kerajaan sebenarnya perlu mengkaji tentang punca yang menyebabkan peristiwa pergaduhan dan keretakan hubungan antara kaum ini. Hal ini kerana kesan daripada pergaduhan dan keretakan antara kaum akan membawa padah lagi jika tiada tindakan yang diambil.
Perkara begini sepatutnya tidak boleh dipandang remeh. Ketegangan kaum mudah tercetus sekiranya sensitiviti antara kaum tidak dijaga.
Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini bukan sesuatu yang senang dan harus berlaku secara timbal balas.
Kekurangan penyertaan rakyat dalam urusan pergaulan merupakan punca utama proses perpaduan antara kaum dilambatkan dan melemahkan keberkesanan apa jua dasar kerajaan yang ingin dilaksanakan untuk tujuan perpaduan.
Usaha kerajaan akhirnya menjadi tidak berkesan sangat kerana hanya kerajaan saja yang beriya-iya bertindak, manakala sebagai rakyat, kebanyakkan kita menganggapkan isu perpaduan ini akan wujud dengan sendiri tanpa sebarang usaha sehingga lupa ancaman yang boleh tercetus.
Sikap rakyat yang sombong dan enggan bergaul terutamanya di bandar besar serta tidak prihatin terhadap isu-isu perpaduan dan menganggap ia tidak mendatangkan sebarang faedah, akhirnya menjadikan kita semakin jauh antara satu sama lain.
Sifat sombong dan bangga diri merupakan penghalang utama bagi kita untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain.
Sikap ini turut mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan juga bernegara.
Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan tertentu melakukan keganasan dan kekerasan ke atas orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan malah anarki.
Selain itu, sikap tidak jujur atau tidak adil terhadap orang lain juga menimbulkan rasa tidak puas hati dan dendam yang berpanjangan antara sesama manusia, lebih-lebih lagi antara yang memerintah dengan yang diperintah.
Perbuatan ini akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Di samping itu, sebilangan rakyat pula tidak memberi kerjasama, malah membantah segala yang dilakukan oleh kerajaan.
Seperti sesetengah pemuda enggan menyertai khidmat negara menjelmakan penentangan mereka terhadap berbagai-bagai perkara yang mereka anggap tidak adil.
Segala sikap yang dinyatakan merupakan faktor utama yang menjadikan tahap perpaduan kita dalam keadaan sekadar ‘cukup makan’ sahaja.
Sikap yang suka bergantung terhadap kerajaan harus diubah, kerana perpaduan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata tetapi memerlukan penyertaan setiap seorang daripada kita rakyat Malaysia.
Bersifat terbuka merupakan kunci kejayaan pergaulan antara kaum. Pergaulan dengan mereka yang berlainan bangsa tidak bermakna kita harus mengorbankan prisip dan agama masing-masing.
Kita harus bersifat terbuka dan perbezaan itu bukan penghalang untuk kita mengenali lebih rapat antara satu sama lain.
Sikap terbuka ini jika tidak disemai dari kecil telah terbukti akan menyukarkan sebarang usaha mewujudkan perpaduan kaum.
Ibu bapa juga berperanan besar dalam membentuk sikap yang mulia ini kepada anak-anak mereka. Hal ini kerana, segala yang ada pada ibu bapa sebenarnya akan diwaris kepada generasi akan datang.
Ibu bapa perlu memahami tanggungjawab mendidik anak-anak tidaklah terhad kepada soal adab, asuhan keagamaan dan juga pembentukan jati diri.
Sebaliknya kanak-kanak harus diterapkan dengan nilai-nilai murni yang universal seperti menghormati bangsa dan agama lain, bertolak ansur serta saling hormat menghormati.
Semua ini patut bermula dari rumah ketika anak-anak masih kecil lagi. Kita mampu mengubahnya. Kita hanya perlu mengamalkan sikap terbuka terlebih dulu.
Aktiviti merapatkan hubungan dan menjalin hubungan serta menambah kemesraan antara kaum perlu diperbanyakkan lagi.
Seperti sempena hari perayaan, rumah terbuka harus digalakkan supaya kita mempunyai peluang untuk bergaul dan memahami budaya kaum lain.
Pendidikan juga merupakan alat meningkatkan tahap perpaduan yang penting. Guru-guru di sekolah juga perlu mendidik pelajarnya supaya tahu betapa pentingnya perpaduan itu kepada pembentukan sebuah masyarakat yang aman dan bersatu padu.
Semangat Bangsa Malaysia patut disemai ke dalam hati rakyat Malaysia. Bangsa Malaysia ialah satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan dikongsikan bersama.
Saya percaya, segala masalah yang wujud pasti ada faktor yang mencetuskannya. Jadi segala usaha yang dilakukan perlu berpandukan faktor itu, supaya tindakan yang diambil akan lebih berkesan.
Jadi kerjasama semua lapisan masyarakat amat diperlukan untuk kita berjaya. Jika rakyat kita boleh bersikap terbuka tanpa mengira dari mana kita datang, tanpa mengira tentang kepentingan diri, dan tanpa prasangka, sudah pasti ketika itu kita semua akan bangga terhadap diri kita sendiri sebagai satu bangsa yang bersatu padu.
Demi tanah tumpah darah, kita patut dan rela berkorban bukan untuk kita semua tetapi sebagai contoh kepada generasi akan datang.
"Selamat Hari Malaysia"
Mohd Saifullah B Hj Dolmat
Pengerusi GPMS Melaka
"Belajar terus Belajar"

Jumaat, 2 September 2016

Hilang BAHASA Hilanglah BANGSA

Abdullah Munsyi pada tahun 1882 mengenai mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri:

"Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?"

Mungkin isu bahasa sudah lapuk untuk diperkatakan ataupun sudah muak didengari atau dibaca di mana-mana. Walaupun jauh di sudut pemikiran ini masih berpintal soalan antara tuntutan keperluan Bahasa Inggeris di zaman ini dan juga kecemerlangan Bangsa Melayu, saya rasa perlu sedikit ruang untuk aku melontarkan pendapatku. Pertamanya jika dikatakan pada pentingnya Bahasa Inggeris, saya hanya akan sekadar mengangguk. Kedua bila ditanya bolehkah Bahasa Inggeris ditingkatkan penguasaannya melalui pengajian matematik dan sains (PPSMI), sama sekali saya bantah!

Rasis rasanya apabila kita membicarakan persoalan orang-orang Melayu. Rasis bila kita cuba membangkitkan persoalan bahasa Melayu. Rasis bila kita menceritakan berkenaan betapa ketinggalan orang - orang Melayu dari sudut ekonomi dan rasis bila kita berusaha untuk menyedarkan orang - orang Melayu betapa mereka perlu bangkit, menolak Melayu - Melayu Perdana, menolak mereka yang menitiskan apa yang telah diperuntukkan kepada orang - orang Melayu dan bangun menentukan kehebatan bangsa dan agama. Kenapa itu semua rasis? Kenapa perjuangan mempertahankan bahasa - bahasa ibunda kaum lain, mempertahankan sekolah dan sebagainya tidak dianggap rasis? Bekali dibicarakan bahawa mereka berhak menuntut, memperjuangkan dan kita juga berhak menuntut dan mempertahankan bukan dari sudut yang bersifat rasis tetapi dari sudut pembangunan bangsa itu sendiri. Sebenarnya beberapa kesedaran perlu kita beritahu, perjuangan membebaskan Melayu dari sekatan minda, sekatan perekonomian dan sekatan budaya bukan satu perjuangan mendiskriminasikan kaum lain. Ini ditegaskan berkali-kali tetapi kenapa kegerunan berlaku dan ada antara Melayu - Melayu kita yang turut risau seolah - olah ini melanggar demokrasi, melanggar hak kemanusiaan dan mendiskriminasikan Melayu. Masalah Melayu semakin kritikal bila suara untuk memartabatkan Melayu dibantahi oleh orang Melayu yang mempunyai hajat lain.

Mungkin sekali lagi kita perlu sedarkan bahawa perjuangan membasmi kemiskinan adalah perjuangan tanpa sekatan atau sempadan perkauman tetapi mungkin penelitian diberi kepada Melayu kerana Melayu dalam keadaan yang lebih rapuh. Kita bukan membicarakan soal Melayu miskin hanya dari segi harta dan pegangan ekonomi tetapi kemiskinan yang menyeluruhi Melayu adalah erti kemiskinan yang sebenarnya, bila segala ruang alternatif untuk memajukan diri tertutup. Kemiskinan yang didefinisikan dengan ketiadaan ruang untuk membangunkan, kebuntuan arah dan kesempitan pergerakan. Ini adalah bentuk kemiskinan yang lebih buruk dari kemiskinan harta kerana kemiskinan ini melibatkan diri dari segi fizikal dan jasmani. Oleh itu sedarlah bahawa Bahasa adalah jiwa bangsa, ia lebih dari sekadar rasis, jadi tiada makna jika kita tiada punya berbudi bahasa.

Usaha mendaulatkan Bahasa Melayu di segenap lapangan merupakan tindakan murni yang bukan sahaja menepati semangat undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembangan Persekutuan yang memperuntukan kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di dalam perkara 152. Usaha ini harus dilihat sebagai satu jihad untuk menguat dan mengekalkan identiti serta jati diri bangsa dan negara Malaysia. Keputusan yang diambil oleh Datuk Seri Dr Rais Yatim ketika menjadi Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan suatu ketika dahulu untuk menukar istilah-istilah asing yang digunakan pada nama jalan dan tempat di Putrajaya harus diberikan pujian serta wajib untuk dilaksanakan.

Sebagai sebuah negara berdaulat dan mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tentu hairan apabila istilah-istilah asing seperti “Presint, Boulevard dan Parcel”digunakan secara meluas di Putrajaya. Apakah dengan menggunakan istilah-istilah sedemikian maka ia akan membantu perkembangan serta kemajuan pemerintahan negara? Sudah tentu tidak, malah ia menyumbang kepada dua kesan iaitu kekeliruan minda dan kerendahan jiwa. Ia menyumbang kepada kekeliruan minda melalui persoalan apakah tidak ada langsung istilah-istilah ataupun nama-nama di dalam bahasa kebangsaan yang boleh digunakan untuk dijadikan nama jalan dan tempat di negara kita. Ia menyumbang kepada kerendahan jiwa apabila kita secara terbuka menyokong dan berbangga terhadap penggunaan istilah-istilah asing lebih daripada istilah dalam bahasa kebangsaan sendiri. Hal sedemikian bukan sahaja berlaku di Putrajaya malah turut berlaku di segenap pelusuk negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk menyatakan keperihatinan terhadap perkara ini.

Bila datangnya Thomas Kuhn dengan magnus opus-nya, The Structure of Scientific Revolutions, sepatutnya kefahaman kita tentang hubungan antara bahasa dengan budaya makin arif. Apatah lagi, sebelum itu sudah ada beberapa karya yang melakarkan perkara persis. Misalnya, menerusi Oswald Spengler dalam The Meaning of Numbers, dan Alvin White dalam Essay in Humanistic Mathematics. Semua nukilan ini sudah mendahului dalam memaparkan kelemahan ketara semesta Barat, tatkala mahu memandang bangunan ilmu secara kebelakaan. Kuhn, seorang ahli falsafah sains dari Massachusetts Institute of Technology (MIT) dalam karyanya tersebut jelas menunjukkan bahawa sains tabii yang dibangunkan barat itu hakikatnya sarat nilai. Manakala Spengler menyerlahkan ikatan antara budaya dan nombor dengan begitu kemas, sementara White pula gencar memperkatakan kaitan antara budaya dengan matematik. Sebenarnya, seluruh hubungan ini mampu dipindahkan ke dalam wacana bahasa.

Memang, sebahagian dari kita sering ralat kerana memikirkan bahasa itu bebas nilai. Hakikatnya, ini persepsi keliru. Bahasa adalah subjek yang sangat akrab dengan nilai-nilai ketamadunan sesuatu bangsa. ¨Bahasa jiwa bangsa¨itu adalah peribahasa yang betul, dengan syarat difahami dalam konteks yang juga betul. Bahkan, terbukti banyak peribahasa kita bukan sahaja mengandungi unsur-unsur sains sosial yang menawan, tapi sekaligus juga sains tabii-nya yang menarik. Malahan, sesetengah peribahasa kita tampaknya lebih unggul dari kosmologi sains tabii yang difahami barat. Umpamanya, ¨bagai pinang dibelah dua¨ itu adalah sebuah peribahasa yang melampaui konsep simetri yang terdapat dalam fizik barat. Tapi sayangnya, kita sendiri tidak mencungkil khazanah ini untuk dimodelkan dalam kaedah saintifik. Ketirisan penghargaan pada tamadun sendiri terhimpit lagi dengan pendekatan pendidikan yang berorientasikan bahasa serta paradigma asing. Malang sungguh, betapa dasar herot ini terus dilaksanakan biarpun bercanggah dengan tabii hubungan antara manusia dan bahasa.

Bila kita menyingkirkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan, itu sebenarnya bermakna kita turut menimbus terlalu banyak keistimewaan yang terdapat dalam jiwa bahasa itu sendiri. Bahkan, lebih pilu lagi, yang telah diruntuhkan itu adalah sistem pendidikan iaitu sektor terkental hierarki pembinaan ilmu. Wajarnya kita harus berfikir jernih, dan menyisih dengan hemah tentang perbezaan makna antara kalimah Melayu dengan Inggeris tersebut. Kefahaman inilah yang sering diabaikan. Apaila diperhalusi, terbukti ada sejarah akrab hubungan antara bahasa Melayu itu dengan Islam, sepertimana yang diwar-warkan pada 1970-an oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam dalam Sejarah Kebudayaan Melayu.

Bahasa Melayu, menurut al-Attas, adalah bahasa yang sarat nilai-nilai Islamnya. Memang, tesis al-Attas kini sudah boleh disanggah dengan beberapa data baru yang menunjukkan kelemahannya. Namun, sekurang-kurangnya dalam konteks makna bahasa Melayu-Islam, tesis ini maseh boleh dipertahankan lagi. Tesis inilah yang membebaskan jiwa abdi serta minda tertawan di kalangan bangsa Melayu, setelah berabad terjajah. Mithalnya, yang paling popular ialah perbezaan makna ¨keadilan¨ yang cuba disesuaikan dengan ¨justice.¨ Ternyata, dalam takrifnya yang seni, masing-masing adalah mewakili suatu kosmologi makna yang berbeza! Kalau dalam sains tabii pula, kadang-kala kita sering terperangkap dengan bentuk terjemahan mudah bagi ¨natural¨ yang kemudiannya lekas disebandingkan dengan ¨semulajadi.¨

Walhal, di sebalik kedua-dua kosakata ini mengusung makna terdalamnya iaitu yang kemudiannya sampai kepada jarak antara ateistik dan teistik. Hal seperti inilah yang tidak disedari ramai ekoran kegagalan untuk memikirkan sesuatu yang lebih jauh dari permukaannya. Sama juga dalam sistem angka. Sebelum ini, sering saja ada yang berhujah bahawa Bahasa Inggeris dilaksanakan atas alasan ¨mahu kembali ke ilmu asal.¨ Tapi, sebenarnya, ilmu asal sains dan matematik bukanlah bermula dari Bahasa Inggeris.

Kesamaran ini akan terungkap bila didedahkan perkataan science itu sendiri, yang jelas sekali merupakan peminjaman dari bahasa lain. Kata itu datangnya dari scientia, Bahasa Latin. Begitu juga mathematics yang bermuara dari mathema, pinjaman dari Bahasa Greek. Bahkan, hampir seluruh angka sa — 0 sampai 9 — adalah bukan murni dari Inggeris sama sekali. Sebaliknya, seluruh angka sa Melayu terbukti lebih murni, lebih mantap, atau lebih asal dari Inggeris itu sendiri. Itulah kelebihan membangun ilmu dalam acuan sendiri. Kita membangunnya dengan kosmologinya sekali. Walau bagaimanapun, bukan sahaja Melayu, atau Islam, yang tertanam keistimewaan-keistimewaan sebegini. Tetapi, pengalaman tabii ini terhukum pada semua bahasa. Masing-masing bahasa ada keistimewaan sendiri, yang antaranya barangkali tiada pada bahasa-bahasa lain.

Bahasa Jerman misalnya diketahui dalam kebanyakan displin ilmu adalah jauh lebih lengkap mengatasi bahasa Inggeris. Kelebihan ini terbina natijah dari tradisi ilmunya yang lebih lama, atau lebih asal, sedangkan penguasaan Bahasa Inggeris baru saja muncul pada abad ke-19. Di samping itu juga, bila kita bercakap soal bahasa, seringkali hujah-hujah yang dikemukakan ialah kuasa capaian keilmuan yang terdapat dalam Bahasa Inggeris itu lebih meluas, dan lebih jitu. Secara keseluruhannya, sebenarnya hujah sebegini amatlah rapuh. Bahasa Inggeris menjadi kukuh bukan kerana khazanah pengetahuan induk yang terdapat di dalamnya, tetapi kerana bahasa ini terhablur menerusi suatu proses terjemahan yang agresif yang begitu lama — di mana budaya penerjemahan ini kini kian terpinggir dalam tradisi kita.

Sehingga kini, Bahasa Inggeris masih lagi bersusah payah untuk menerjemahkan banyak buku falsafah ke dalam bahasanya. Mereka tiada budaya falsafah yang tegar bebanding bangsa Jerman contohnya. Satu contoh yang kini menjadi klasik ialah buku Sein und Zeit adikarya Martin Heidegger, yang memerlukan lebih 30 tahun untuk diterjemahkan kepada khalayak berbahasa Inggeris. Bukan kerana tiada yang ingin menerjemah, tapi kerana kesukaran untuk memadankan Bahasa Inggeris agar tersuai dalam kosmologi yang Heidegger maksudkan. Ini jelas, menunjukkan kemiskinan bahasa pengungkapan falsafah yang terdapat dalam Bahasa Inggeris, berbanding Bahasa Jerman. Malah, kalau dalam bidang sains dan teknologi lagilah ketara. Sampai kini sekalipun, bangsa Jerman diakui memang terkenal dalam displin sains tabii, sampaikan mekanik kuantum itu pun sendiri diistilahkan mereka sebagai Sains Jerman bagi mencabar Teori Kenisbian Einstein yang dianggap mereka sebagai Sains Yahudi. Manakala Perancis pula kaya dalam displin sains sosial, terutamanya menerusi tradisi di Université Paris-Sorbonne.

Bahasa Inggeris jika di kaji dalam perspektif kepelbagaian Eropah seperti disepakati bahawa bukanlah antara bahasa ilmu utama. Kalau tidak kerana kesungguhan mereka menerjemah, tidak mungkin Bahasa Inggeris menjadi begitu sejagat dewasa ini. Tapi, persoalannya, kenapa kita tidak meniru tatakaedah ilmu melalui penerjemahan ini? Barangkali jawapan terbaiknya kerana kedangkalan sendiri. Kita salah berfikir logik. Mantik, atau nyaya dalam Bahasa Sanskrit, yang kita pakai selama ini sedayanya cuba dikaburkan dan dikelirukan. Padahal jika mahu dibangunkan bangsa, yang perlu dilakukan ialah turut memperkasa bahasanya sendiri, selain memindahkan pengetahuan dari bahasa-bahasa lain ke dalam bahasanya.

Itulah yang sepatutnya dilaksanakan melalui terjemahan, bukan sebaliknya! Selain dari itu, dampak penggunaan bahasa asing dalam pendidikan turut menghakiskan daya kreativiti sesuatu bangsa tersebut. Ini jelas termuat dalam teori linguistik, yang menghubungkan antara mutu pengaryaan dengan penggunaan bahasa intim. Hakikatnya, ¨bahasa yang paling mampu untuk kita berkreativiti adalah bahasa yang kita bermimpi.¨ Sebab itu, ekoran pelaksanaan dasar pendidikan bukan dalam bahasa sendiri, pendidikan kita akan menjadi lebih kaku, dan yang paling kuat pun hanya bertakat malar saja dengan paradigma pinjaman. Sudah tentu, secara logiknya kita takkan mungkin dapat menandingi tingkat keilmuan Inggeris, kerana cara pengaryaan kita — yang meniru itu — tidaklah akan menyamai mereka.

Tidak hairan, kini sudah ada dakwaan bahawa Bahasa Inggeris itu bukanlah bahasa kreatif. Edward de Bono, pengarang Six Thinking Hats, sendiri mengakui bahawa Bahasa Inggeris bukan sebuah bahasa kreatif. Paradigma bahasanya kerap terhenti pada perkataan-perkataan tertentu yang sering dijadikan alasan tanpa-bantah. Bahasa Sepanyol, ataupun bahasa Itali, ternyata mempunyai rekod pembangunan ilmu asal yang jauh lebih cemerlang daripada Bahasa Inggeris ini. Bahasanya banyak melangkaui wacana bukan-fizikal. Usah bandingkan dengan bahasa Jerman dan Perancis, atau Latin dan Greek, sudah tentu lebih-lebihlah lagi. Harus dicatat juga, dalam tema bahasa ini, menelusuri pengalaman Eropah memang banyak iktibarnya. Menerusi mereka, kita memperoleh pengajaran bahawa bentuk pendidikan terbaik adalah membina acuan sendiri — dengan kebudayaan sendiri. Inilah yang diajar oleh negara-negara Eropah yang kecil, seperti Czech, Norway, Bosnia & Herzegovina, Luxembourg, dll itu. Mereka sehingga kini terus melestarikan bahasanya sendiri di kala hambatan globalisme Bahasa Inggeris. Hasilnya, mereka tidak hilang identiti, tapi tidak juga tertinggal arus perkembangan ilmu sejagat.

Sweden mungkin yang terbaik. Dalam contoh ini, lebih dari dua pertiga rakyat Sweden memang terbukti mampu menguasai Bahasa Inggeris, meskipun dalam waktu yang sama seluruh sistem pendidikan dan urusan domestik mereka adalah dilaksanakan dalam bahasanya sendiri. Jadi, persoalannya, kenapa kita tidak meneladani dari negara-negara Eropah ini, yang jelas lebih berjaya dan bergaya dari negara kita sendiri? Ini samalah dengan beberapa negara-negara Asia — China, Korea, Taiwan, Hong Kong — yang mana sistem pendidikan dalam bahasa sendiri mereka telah berjaya melahirkan olimpiad-olimpiad emas dalam beragam pertandingan sains antarabangsa, meskipun mereka tidak faseh berbahasa Inggeris. Malah, Amerika Syarikat dan Britian sendiri akhirnya terpaksa mengalah dengan kehebatan pelajar negara-negara Asia ini, sehingga mereka sering saja ´mencuri´ pelajar-pelajar asing ini untuk dihantar mewakili mereka dalam olimpiad antarabangsa tersebut. Sebab itu, jangan hairan jika ada kenyataan bahawa Anglo-Saxon itu bukanlah sebuah bangsa yang bijak. Anehnya, kita yang terhegeh-hegeh memikirkan bahawa Bahasa Inggeris itu bersinonim dengan sains dan matematik. Walhal, itu berbeza. Kita boleh semak saja pengalaman Amerika Syarikat. Mereka akhirnya terpaksa meminjam minda-minda luar untuk merintis pengetahuan baru buat mereka.

Tawaran Amerika Syarikat kepada saintis-saintis Jerman sewaktu Perang Dunia Kedua, bagaimana mereka mendepa tangan pada Albert Einstein, Thedeor Adorno, Kurt Gödel, dll, demi mebangunkan ilmu di negara tersebut. Namun, sayangnya, semua hujah-hujah ini gagal dihayati oleh para perumus dasar bahasa dalam sistem pendidikan kita. Hari ini, negara-negara Eropah berbahasa Inggerís sudah menilai kembali pendekatan dalam sistem pendidikan mereka. Mereka bermuhasabah kerana menyedari adanya keherotan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran. Malah, Amerika Syarikat turut mengambil langkah awal dengan mula menawarkan pendidikan dalam Bahasa Sepanyol untuk kalangan Hispanik dan Latino — selepas menginsafi keperluan untuk mengajar dalam bahasa bangsa itu sendiri. Tapi, kita? Kita — dengan niat — untuk mengambil jalan pintas dalam rangka mengejar status negara maju menerusi dasar peng-inggeris-an, rupa-rupanya sedang memintas jalan kemunduran. Di saat khalayak makin tahu erti serta kepentingan sesuatu ilmu haruslah dibangunkan dalam acuan sendiri; bahasa sendiri — yang sarat nilai, nyata identiti, dan penuh pengaryaan — kita sebaliknya terus bebal dengan fikiran singkat yang sampai kini pun masih tak kenal jatidiri.

Jepun terbukti sebuah negara yang sangat maju dalam sains dan teknologi. Demi untuk memberi peluang kepada pelajarnya menghayati sains dan matematik sehingga lahir pemikiran sains dan pemikiran matematik, mereka menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa untuk mengajar sains dan matematik walaupun Bahasa Inggeris tidak di abaikan. Keberkesanan penguasaan Bahasa Inggeris menekankan kepada penguasaan grammar, communicative approach dan authentic material. Semua itu dapat di laksanakan di kelas Bahasa Inggeris bukannya di kelas sains dan matematik. Penguasaan Bahasa Inggeris tidak ada kaitan menghafal istilah sains dan matematik dalam bahasa inggeris. Pengajaran sains dan matematik dalam BI malah menghancurkan pengajaran matematik dan sains kepada satu suasana yang membinggungkan dan membosankan. Sains dan matematik pula bukan hanya terhad kepada menghafal istilah dan fakta tetapi lebih kepada melahirkan insan sains matematik yang dapat mencabar teori lama dengan pemikiran baru. Meletakkan halangan bahasa kepada pengajaran Sains dan matematik adalah silap dan satu kecelakaan. 

"Hilang Bahasa Hilanglah Bangsa"


Mohd Saifullah B Hj Dolmat

Jumaat, 19 Ogos 2016

Apa NASIB pelajar Melayu ?

Kontroversi biasiswa JPA terus berlaku saban tahun. Apabila senarai penerima biasiswa dikeluarkan, suara ultra kiasulah yang paling lantang. Mereka akan menyediakan senarai panjang calon-calon mereka yang dikatakan layak tetapi tidak tersenarai. Mereka tidak sedar, masih ramai pelajar Melayu yang layak juga tidak tersenarai. Apakah benar nasib pelajar Melayu telah terbela?
Tidak cukup dengan itu, biasiswa yayasan-yayasan negeri yang ditawarkan turut menjadi rebutan, terutama Yayasan Selangor. Ultra kiasu semakin mendesak supaya mereka juga diberikan peluang yang sama. Saya tidak nafikan hak setiap warganegara, tetapi biarlah berpada-pada, berpandukan kepada ‘formula’ dan garis panduan yang ada.
Jika ada kalangan ahli mereka yang layak tidak dapat atau tercicir, maka hebohlah satu dunia, dengan mengatakan bahawa hak bangsanya dinafikan oleh agensi-agensi tersebut. Mereka akan mencanangkan berlaku diskriminasi. Kenapa perlu ada sistem kuota? Pendek kata, ini tidak adil, itu tidak adil, semuanya tidak adil selagi tidak berlaku fair and square. Tidak lama lagi, jika kerajaan mengiktiraf UEC (Unified Examination Certificate), yakni sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina, perebutan dan persaingan akan menjadi semakin sengit, walaupun ada kalangan mereka yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mendapat pangkat yang baik dalam peperiksaan.
Isu ini sengaja dipolitikkan oleh ultra kiasu untuk mendapatkan sokongan walaupun hakikatnya pemberian biasiswa JPA adalah terjemahan kepada apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan perlembagaan negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum. Akibat tekanan dan desakan ini, ditambah pula kepentingan politik, kini pemberian biasiswa tidak lagi mengira kuota, tetapi berasaskan kepada merit peperiksaan semata-mata. Temuduga yang cuba dilakukan oleh JPA ditentang habis-habisan, kerana mereka tahu apa kelemahannya.
Sebaliknya, jika mereka telah mendapat sebahagian besar bantuan tersebut, maka isu ini disenyapkan. Pada saya, jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan hak semua kaum, kenapa mereka tidak bersuara apabila tidak ada orang Melayu (Islam) tidak tersenarai sebagai penerima biasiswa Sun-MAPCU tersebut.
Inilah strategi yang amat licik, biasiswa mereka, untuk mereka sahaja. Manakala biasiswa orang lain hendaklah dikongsi. IPTS untuk mereka sahaja (walaupun terbuka), IPTA mesti dikongsi bersama. Syarikat mereka untuk orang mereka sahaja, manakala syarikat kerajaan mesti dikongsi bersama. Dalam kata lain, hak orang lain mesti dikongsi, manakala hak sendiri untuk bangsa sendiri.
Trend sebegini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, ia akan berterusan dalam segala sektor dan profesion pekerjaan. Kesan jangka panjang amat tidak menguntung kita jika tidak ditangani dari sekarang. Syarikat-syarikat bukan Melayu (sektor swasta) akan mengambil graduan-graduan IPTS kepunyaan kaum tertentu. Manakala dalam sektor awam pula yang dikatakan dipenuhi oleh orang Melayu, perlu dibuka kepada semua kaum.
Setiap parti politik berasaskan akan menjadi mata dan telinga atau watch dog dalam jabatan kerajaan. Mereka akan melihat segala ruang dan peluang untuk memberikan yang terbaik kepada kaumnya. Jika ada yang pincang, mereka akan keluar sebagai jaguh. Jika ‘formula’ ini terus dibiarkan berjalan, akhirnya nanti, siapa yang untung, siapa yang rugi? Janganlah dibincangkan keuntungan dalam jangka masa panjang.
Saya amat yakin, apabila dicampur tolak nanti, keputusannya tidak banyak berpihak kepada Melayu dan bumiputera. Puncanya kerana kita tidak menguasai ekonomi. Akibatnya, pribumi terpaksa berpaut atau bergantung kepada kerajaan. Justeru, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius. Kepentingan jangka pendek tidak akan kekal lama berbanding kepentingan jangka panjang. Justeru, hari ini kita perlu bangkit, apa yang menjadi hak kita, mesti diperjuangkan, kita boleh senyap atau mengalah sahaja. Memang sifat ini baik, tetapi untuk berhadapan dengan ultra kiasu, kita mesti juga turut agresif.
Sebenarnya, saya tidak mahu melakukan tolak campur ini, tetapi perkembangan mutakhir ini menjadi saya begitu teruja. Lebih serius lagi hari ini kebanyakan ahli-ahli perniagaan, dan jutawan bangsa-bangsa tertentu mencurahkan segala derma dan sumbangannya kepada IPTS berasaskan bangsanya yang sahaja. Mereka juga mendapat pengecualian cukai.
Akhirnya nanti, cukai pendapatan akan menjadi semakin kurang. Sudah tentu ia akan meninggalkan kesan kepada IPTA. IPTA-IPTA yang begitu banyak terpaksa berkongsi peruntukan kerajaan. Sedangkan IPTS mendapat solid bantuan daripada hartawan dan jutawan berasaskan kaum.
Saya yakin, dalam jangkamasa panjang, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS berasaskan kaum. Tidak perlulah saya berbicara soal IPTA antarabangsa, sudah tentu kabelnya lebih besar.
Pengajaran yang lalu perlu diambil sebagai iktibar. Ia amat dituntut dalam Islam. Misalnya, kedudukan Bahasa Melayu. Saya telah pergi ke sebuah bank yang baharu sahaja melakukan penggabungan. Polisi bank tersebut, adalah pertama bahasa Inggeris, kedua bahasa Mandarin dan ketiga lain-lain bahasa. Petunjuk atau papan tanda dalam bahasa Melayu dalam bank tersebut hampir tiada, kecuali dua atau tiga orang pekerja kaunter sahaja yang berbangsa Melayu. Itupun mereka begitu berlagak menggunakan bahasa lain. Tidak lama lagi bahasa Melayu akan pupus.
Justeru, di manakah slogan "Malaysian first" yang dicanangkan. Apabila ada di antara kita yang berkata Malay first, heboh satu dunia menuduh orang ini rasis orang itu rasis. Tetapi apabila mereka mengenepikan agenda nasional, mengutamakan bangsa sendiri, itu bukan rasis namanya. Politik rimba apakah ini? Jangan jadi kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.

Rabu, 10 Ogos 2016

Jom Sambung Belajar Bersama GPMS Melaka

Adik-adik kecewa tidak dapat sambung belajar ke pusat pengajian tinggi ? GPMS Negeri Melaka akan cuba membantu adik-adik melalui kerjasama dengan pusat pengajian tinggi di Negeri Melaka untuk menempatkan adik-adik di pusat pengajian tinggi yang di iktiraf oleh MQA , KPT dan amat kondusif. Sila lengkapkan maklumat adik -adik di link yang di beri. Belajar Terus Belajar.

Permohonan Jom Sambung Belajar



Selasa, 9 Ogos 2016

Politik Melayu Tidak Matang ?

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur dalam lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu aggresif hingga boleh meletakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.”
Pertembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihanraya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan ketika. Pihak yang yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyak yang di bawah.
Rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Dan apabila keputusan diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam pilihanraya Amerika suatu ketika dulu) mereka merujuk kes itu ke mahkamah.
Namun setelah mahkamah memutuskan yang Bush ada pemenang mutlak, Al Gore menerimanya dan bekata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu serang menyerang tidak berlaku lagi.
Rakyat tidak kira anggota Parti Demokrat ataupun Republikan akan terus berkerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Republikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak memaksimakan keuntungan rakyat dan keutuhan negara sepanjang tempoh pemerintahan Republikan.
Jika adapun kritikan tetapi ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara.
Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibok ‘berpolitik’ kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibokkan oleh tanggung-jawab dan peranan di bidang masing-masing.
Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai alat negara secara global bukan lagi sebagai jentera parti secara sempit. Sebagai balasan, kerajaan akan menerima komitmen serta kesetiaan bukan sahaja daripada anggota parti tertentu tetapi dari seluruh rakyat.
Nampaknya kematangan yang sama belum ada di kalangan orang Melayu. Sama ada di pihak manapun sama-sama masih kuat terikat dengan kepentingan parti walaupun musim pilihanraya telah berlaku. Akibatnya, yang menang gagal ‘mengisi’ kemenangan manakala yang kalah pula terus menggigit tidak kira masa, tempat dan perkara.
Apa sahaja yang dikatakan ‘putih’ oleh satu pihak, pihak yang sebelah lagi akan berkata ‘hitam’. Dan rakyat seluruhnya turut terheret dalam gaya politik ‘separuh masak’ ini ke jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, mesjid, sekolah-sekolah, kedai-kedai kopi, kaki lima dan lain-lain tempat. Akibatnya, orang Melayu berpolitik hampir setiap masa, setiap tempat dan setiap perkara.
Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, penilaian dan pengkajian tidak lagi bersandarkan pada etika sesuatu kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartaian.
Untuk memberi sesuatu jawatan misalnya, perlu diteliti sipulan orang parti mana? Untuk memberi satu tender atau kenaikan pangkat misalnya, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang ketimbang kemampuan di bidang-bidang yang berkenaan. Dan praktik ini nampaknya mula membudaya dalam semua parti yang diterajui oleh orang Melayu.
Budaya negatif ini telah merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah-mati yang diamalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, orang Melayu akan menjadi semakin emosi berbanding rasional dalam menghadapi sesuatu isu peringkat nasional atau antarabangsa.
Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang tertentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampaui batas-batas parti politik. Mungkin seorang pentadbir yang cekap dan amanah boleh tersingkir kerana adanya calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya oleh sesuatu pihak.
Ataupun ada pula pentadbir atau pengurus yang bertindak bukan atas penilaian ilmu dan etika bidang kepakarannya (walaupun ia memiliki kemampuan itu) dalam jabatan, agensi dan unit yang diterajuinya.
Bayangkan apa akan jadi jika sesuatu perkara, polisi, isu atau dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya telah disorot oleh seorang pentadbir, pengurus atau pengerusi melalui kacamata pemikiran dan jiwa yang lebih dipengaruhi oleh untung-rugi parti yang disokongnya.
Jika sikap yang sama menular ke bidang pendidikan, ekonomi, budaya, sukan dan lain-lain maka lama-kelamaan akan berleluasalah penguasaan tenaga kerja yang tidak pakar di semua bidang di semua peringkat sama ada di daerah, negeri dan negara.
Yang dominan nanti ialah tenaga yang hanya ada ketaatan tetapi tidak ada kepakaran, yang dengan ini nanti akan menyebabkan umat Melayu tidak akan menjadi bangsa yang cemerlang.
Walaupun ada banyak persatuan tetapi orang Melayu seharusnya punya satu kesatuan. Yang berbeza cuma cara dan kaedah, tetapi prinsip dan matlamat tetap sama. Pada waktu tenang, kaedah yang sesuai dengan ketenangan digunakan, tetapi pada waktu tegang, kaedah yang sesuai dengan keadaan itu pula digunakan. Dalam hal ini sekali lagi kematangan bangsa Cina terserlah.
Kecapaian di bidang ekonomi dan akademik oleh bangsa Cina misalnya, sentiasa diiringi oleh tuntutan-tuntutan politik yang matang dan kena pada masanya. Sebagai contoh, secara berkesan, kaedah ini telah berjaya menambah ruang dan peluang mereka dalam bidang akademik dengan terbinanya berbagai-bagai institusi pengajian tinggi swasta, mengamalkan budaya dan bahasa dengan lebih meluas. Ya, parti politik mereka berbeza, tetapi perbezaan itu lebih bercorak ‘the same differences’.
Cuba lihat kematangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang politik dan ketenteraan buat menghadapi dunia Islam. Sebaik sahaja WTC diserang mereka terus bersatu dengan Amerika, kononnya untuk memerangi keganasan. Negara-negara Eropah juga telah berjaya mengatasi perbezaan pendapat dalam bidang ekonomi apabila rela menggunakan mata wang yang sama untuk menghadapi era ekonomi global yang lebih mencabar. Mereka tidak membesarkan krisis yang ada apabila ada cabaran dari pihak ketiga. Malangnya, kematangan yang sama belum ada dalam senario politik Malaysia.
Kebencian akan membunuh kerasionalan. Kebencian orang Melayu kepada penjajah menyebabkan lahirnya segelintir mereka yang memilih komunis (PKM) sebagai cara berjuang menegakkan keadilan, sedangkan komunis bukanlah ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah. Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menilai.
Cuba lihat apa kata Sayidina Muawiyah apabila kerajaan Kristian cuba mempengaruhinya bagi menjatuhkan ‘rival’ politiknya Sayidina Ali. Beliau menulis kepada raja Kristian, “Saya telah mengetahui bahawa anda beranggapan pemerintahan Ali lemah, dan memutuskan untuk menyerangnya kerana beranggapan Muawiyah tidak akan membantu Ali. Demi Allah, sangkaan anda keliru. Ini adalah masalah ‘ghairat’ Islam. Jika anda berani menyerang Ali maka diantara tentera-tentera yang berperang di puhak Ali, Muawiyah akan berdiri di barisan paling hadapan!”
Barangkali sudah tiba masanya ujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpoliik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan ‘gentleman’ dalam menghadapi perbezaan pegangan politik.
Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka terhadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan. Aktiviti politik mereka mungkin terhad pada musim pilihan raya sahaja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan berkerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah dipertanggung-jawabkan.
Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, itu tidak dijadikan alasan untuk ‘mensabotaj’ kerajaan ‘dari dalam’, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut peruntukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan ‘berpolitik’ dengan menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihanraya yang akan datang.
Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mempunyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut keyakinan dan keimanan (fardu Ain) sekaligus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu Kifayah).
Dengan sifat Mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.
Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak ditangan parti tersebut, tetapi sebalik survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu.
Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada ‘public victory’ (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan membina kekuatan diri sendiri (‘personal victory’) terlebih dahulu.
Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apapun masalah yang melanda parti. Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kaomintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara.
Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu jalan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah matlamat. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk menuju matlamatnya!
Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang-orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara lansung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-duanya aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya. Inilah kematangan berpolitik namanya.
Aliran ketiga ini bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi korporat, tanpa melihat dan dilihat secara prajudis. Asalkan peluang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekersama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan ‘tidak ke mana-mana tetapi ada di mana-mana’.
Idea perlu ujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk menangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali.
Yang ‘bergaduh’ atas ijtihad masing-masing ialah kedua pemimpin itu… Tetapi masyarakat Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan peranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa perkembangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak terhenti sekalipun terjadi peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.
Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama berpolitik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana meletakkan kepentingan Allah dan Rasul tertinggi di atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus berkembang dengan cepat dan meluas?
Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukanlah lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat yang bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian, ejekan,  dan sebagainya.
Apa yang umat Melayu dapat dari ‘wacana’ seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik ‘lipstik’ dan ‘kosmetik’ ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pemikiran Melayu.
Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama.
Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang, ‘What we see depends mainly on what we look for’, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.
Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara di kalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk ‘menguruskan’ perbezaan ini. Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’ bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu pertentangan!

Khamis, 4 Ogos 2016

Program GPMS Negeri Melaka sepanjang Mei-Julai

PROGRAM GPMS NEGERI MELAKA



1)      Nama Program : Program Tazkirah Maghrib Di Seluruh Kem PLKN
  Tarikh : 10/ Mei / 2016
  Lokasi : 5 Kem PLKN Negeri Melaka

2)      Nama Program : Program gotong-royong di sekitar pantai Pengkalan Balak
                           Program kerjasama dengan GPMS Negeri Pulau Pinang
  Tarikh : 23/ Mei/ 2016
  Lokasi : Parlimen Masjid Tanah

3)      Nama Program : Program Motivasi Dan Qiamullail untuk pelajar Tahun 6 dan
                           Tingkatan 3
  Tarikh : 28/ Mei/ 2016
  Lokasi : Masjid Kampung Tedong, Merlimau

4)      Nama Program : Kunjungan Hormat Kepada Ketua Menteri Melaka
                           Sempena Sambutan Hari Belia Negeri Peringkat Negeri Melaka
  Tarikh : 29/ Mei/ 2016
  Lokasi : Dataran Pahlawan Melaka

5)      Nama Program : Taklimat Pendaftaran Pertubuhan (ROY)
                           Anjuran MGBM Negeri Melaka
  Tarikh : 3/ 6/ 2016
  Lokasi : Kompleks Belia Dan Sukan, Ayer Keroh

6)      Nama Program : Program Majlis Berbuka Puasa, Malam Amal Meraikan Anak Yatim
                           dan Warga Emas Kerjasama dengan LPKPM
  Tarikh : 11/ 6/ 2016
  Lokasi : Ayer Keroh D’Village Resort

7)      Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Bersama Y.A.B Perdana Menteri
                           bersama dengan kepimpinan GPMS Kebangsaan
  Tarikh : 15/ 6/ 2016
  Lokasi : Seri Perdana, Putrajaya

8)      Nama Program : Program 1 Beras 1 Asnaf Anjuran GPMS Negeri Melaka sepanjang     
                            bulan Ramadhan
  Lokasi : Seluruh Negeri Melaka

9)      Nama Program : Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al-Quran
                           kerjasama dengan Perwakilan Pelajar KAYM
   Tarikh : 20/ 6/ 2016
   Lokasi : Dewan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM)



10)  Nama Program : Program Singgah Sahur dan Kuliah Subuh MRSM
                            dibawah Biro Agama GPMS Kebangsaan
  Tarikh : 22/ 6/ 2016
  Lokasi : MRSM Terendak dan MRSM Jasin

11)   Nama Program : Sesi Kunjung Hormat dan Memperkenalkan Kepimpinan GPMS Melaka bersama TYT Negeri Melaka
Tarikh : 24/ 6/ 2016
Lokasi : Istana TYT Negeri Melaka

12)   Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Bersama Mantan Presiden GPMS dan Veteran GPMS dibawah   GPMS Kebangsaan
Tarikh : 24/ 6/ 2016
Lokasi : Restoran D’ Saji Ampang

 

13)  Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Meraikan Anak-anak Yatim Sekitar Negeri Melaka anjuran    GPMS Negeri Melaka
   Tarikh : 28/ 6/ 2016
   Lokasi : Surau Ozana Villa

14)  Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Melaka anjuran MGBM Negeri Melaka
  Tarikh : 2/ 7/ 2016
  Lokasi : Kediaman Rasmi Ketua Menteri Melaka

15)  Nama Program : Kunjungan Hormat ke Pejabat CEO Micost
  Tarikh : 13/ 7/ 2016
  Lokasi : Kolej Micost

16)  Nama Program : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri GPMS Negeri Melaka
  Tarikh : 24/ 7/ 2016
  Lokasi : Taman Duyung Permai

17)  Nama Program : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MGBM (Juadah makanan oleh GPMS Melaka)
  Tarikh : 30/ 7/ 2016
  Lokasi : Tapak bangunan WAY