Selasa, 17 Januari 2012

MASA DEPAN ORANG MELAYU





Tidak seorang pun tahu tentang masa depan.Mungkin masa depan itu cerah.Mungkin masa depan itu gelap.Mungkin masa depan itu tidak ada sama sekali.

Kita cuma tahu manusia boleh berusaha dan mereka masa depannya.Usaha itulah yang akan menentukan sama ada masa depan itu cerah,gelap atau musnah sama sekali.

Mencari masa depan tidak sama dengan bermimpi.Masa depan orang Melayu mesti berasaskan pada realiti hari ini, pada masalah-masalah hari ini, pada apa yang kita mahu dan telah kita capai, dan pada apa yang kita mahu tetapi belum tercapai, pada apa yang kita boleh buat dan pada apa yang kita tidak boleh buat.REALITI banyak.



Realiti Pertama :

Politik ialah perjuangan.Kalau orang Melayu mahu terus berkuasa alam politik orang Melayu mesti sanggup berjuang.Orang Melayu mesti tahu apakah yang mereka perjuangkan itu.Satu parti ialah kumpulan manusia yang mempunyai perjuangan yang sama.Apakah perjuangan orang Melayu sekarang.Sana sini kita dengar orang Melayu bergaduh fasal balak, fasal bijih, fasal tanah, fasal gadai negeri pada Cina.Tidak pernah fasal orang Melayu masih miskin.Bila perjuangan mati orang Melayu mati.



Realiti Kedua :

Politik ialah Kuasa.Kita berpolitik kerana kita mahu parti kita berkuasa.Bila berkuasa kita pilih beberapa orang anggota parti untuk membentuk kerajaan.Pemimpin-pemimpin inilah yang bertanggungjawab menggunakan kuasa ini untuk melaksanakan apa yang diperjuangkan oleh parti.Tetapi hari ini orang Melayu heboh dengan soal pemimpin-pemimpin yang tidak jujur, yang tidak berkebolehan melaksanakan cita-cita orang Melayu.Negeri-negeri yang terlibat ialah Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka, Perak, Kedah.Pagar sudah makan padi.

Realiti Ketiga :

Seorang pemimpin mempunyai pengikut-pengikut.Kita harus akui apabila pengikut jujur, pemimpin juga mahu tidak mahu akan turut jujur.Tetapi banyak pengikut ampu bodek kerana hendak itu, hendak ini.Sebelum mesyuarat agung pengikut ‘hot’ menyatakan si anu tak ada guna.Bila mesyuarat agung, si anu menang juga.Ada pengikut yang boleh dibeli undinya.Pengikut yang jujur sahaja boleh melahirkan pemimpin yang jujur.Bila kita memilih, kita dasarkan pada otak kita, bukan perut.

Realiti Keempat :

Politik di negara kita ialah pilihanraya.Dalam pilihanraya siapa dapat banyak undi dia menang.Masa depan orang Melayu bergantung pada undi orang Melayu.Tak usahlah harap pada bangsa lain.Untuk menang orang Melayu mesti ramai bilangannya.



Realiti Kelima :

Orang Melayu sekarang mempunyai kuasa politik di luar bandar.DI bandar, bangsa lain yang berkuasa.Orang Melayu tidak laku.Pulau Pinang bukan orang Melayu punya.Ipoh bukan orang Melayu punya.Kuala Lumpur bukan orang Melayu punya.Gua Musang orang Melayu punya.


Realiti Keenam :

Orang Melayu yang sedar dan mahu berkecimpung dalam politik ialah rakyat biasa.Orang-orang Melayu yang berpelajaran tinggi tidak mahu berpolitik. Mereka anggap politik untuk orang bodoh.Satu trend yang perlu difikirkan ialah bila orang Melayu bertambah cerdik, mereka tidak mahu berpolitik.Mereka tidak mahu mengundi.Mereka tidak mahu berparti seolah-olah faktor menyatupadukan orang Melayu ialah kebodohan, bukan kecerdikan.makin cerdik orang Melayu, makin bankrap bangsa Melayu.


Realiti Ketujuh :

Mestilah merupakan satu parti yang dinamis, bukan satu parti yang statis. Ia mesti dapat menyahut cabaran-cabaran baru.cabaran-cabaran baru memerlukan pemimpin-pemimpin baru.Soal siapa menjerit dan menggenggam tangan pada tahun 1946 tidak timbul.Tahun 1946 lain masalah.Tahun 1977 lain masalah.Mesti faham kekuatan dan kelemahannya.Mana yang kuat dipertahankan. Mana yang lemah diganti.


Realiti Kelapan :

Kita banyak musuh dan lawan.Kita mesti kenal musuh kita, dan lawan kita.Kita kaji strategi mereka.Kita kaji kelemahan mereka.Kita gunakan semua yang kita tahu tentang mereka untuk mengalahkan mereka.Mana yang kita tidak tahu, kita cari.Politik ialah hidup.Untuk hidup kita mesti bunuh politik orang lain.Orang lain memang berusaha membunuh kita.Dadah, dakwah rasuah mesti difikirkan sebagai taktik-taktik orang lain bagi membunuh politik Melayu.

Realiti Kesembilan :

Masa depan orang Melayu ditentukan oleh golongan muda Melayu sekarang.Golongan tua akan mati.Terpulanglah pada generasi hari ini untuk mencari sifat-sifat politik Melayu yang baik.Mereka mesti sanggup menegakkan sesuatu demi menjamin masa depan mereka.Mereka mesti mempunyai kemampuan semangat untuk bersatu.Mereka mesti sanggup berjuang.Dan paling penting mereka mesti mempunyai kemahuan untuk hidup.Permainan politik sekarang bukan lagi menjerit-jerit. Politik sekarang politik catur, siapa cerdik dia menang.Masa depan Melayu bergantung pada otak Melayu yang cekap.

Realiti Kesepuluh :

Wahai orang Melayu, carilah masa depan kamu sebelum terlambat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan