Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu tetapi mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah."(Riwayat At-Tirmidzi)
Huraian Hadith:
1. Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.
2. Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud:"Setiap yang bernyawa pasti akan mati." (Al-Anbia': 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.
3. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut syariat dan ketetapan Islam.
4. Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang sebaliknya.
Larangan Meminta-minta Mati
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: " Jangan sesekali seseorang daripada kamu bercita-cita hendak mati kerana sesuatu bencana yang menimpanya; kalau keadaan mendesaknya meminta mati, maka hendaklah ia memohon dengan berkata : Ya Tuhanku, hidupkanlah daku selagi hidup itu lebih baik bagiku, dan matikanlah daku apabila mati itu lebih baik bagiku." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
i) Seorang mukmin dilarang keras meminta mati kerana bosan dan tidak tahan menanggung sesuatu bencana yang menimpanya; sebaliknya dia mestilah mensifatkan bala bencana yang menimpanya itu sebagai ujian dan menerimanya dengan redha.
ii) Sesungguhnya segala dugaan itu adalah kaffarah (penghapus) dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana tersebut . Oleh itu Allah menyeru kita agar menghadapinya dengan sabar dan akan ditulis pahala amal baik sebagai ganjarannya.
iii) Allah S.W.T adalah bersifat dengan Maha Pengasih dan Penyayang, Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya berada di dalam kesusahan selagi hamba-Nya itu ingat dan berserah diri serta bertawakkal kepada-Nya dalam segala keadaan.
كَيۡفَ تَكۡفُرُونَ بِٱللَّهِ وَڪُنتُمۡ أَمۡوَٲتً۬ا فَأَحۡيَـٰڪُمۡۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمۡ ثُمَّ يُحۡيِيكُمۡ ثُمَّ إِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ
"Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)"
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)
Belajar Terus Belajar !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan