Sabtu, 28 Februari 2015

Realiti perpaduan ummah di Malaysia

Jika kita perhatikan, istilah perpaduan dan penyatuan pernah sinonim dengan orang Melayu. Walaupun banyak peristiwa-peristiwa seharian yang menonjolkan perpecahan Melayu, kita masih mampu mencanangkan kebanggaan kerana kita juga kaya dengan peristiwa-peristiwa bersejarah yang menjuruskan kepada perpaduan dan penyatuan bangsa.

Peristiwa suka duka ini sepatutnya menyediakan satu bangsa Melayu yang telah mengalami evolusi pemikiran yang lebih matang, bijak, waras dan bertolak ansur.

Apabila kita membicarakan perpaduan dan penyatuan bangsa, mahu tidak mahu, kita akan memfokuskannya kepada politik bangsa Melayu itu sendiri. Kita sudah maklum dengan keretakkan perpaduan bangsa Melayu melalui politiknya.

Kesenangan dan kerelevanan bangsa Melayu itu sebenarnya bergantung kepada kekuatan politik Melayu sendiri. Tanpa keutuhan politik, orang Melayu boleh digertak dan titik pemfokusan kita menjadi kabur.

Penyatuan orang Melayu seperti penyatuan suara politik menyediakan satu persoalan asas iaitu bagaimanakah kaedahnya perpaduan dan penyatuan orang Melayu ini dapat dicapai?

Pada pendapat saya, terdapat tiga kaedah yang boleh digunakan iaitu :-

1. Mewujudkan hanya satu wakil Melayu.

2. Mewujudkan satu induk utama untuk semua parti Melayu.

3. Mewujudkan perpaduan melalui semangat kolektif dan sepakat di antara parti Melayu.

Kaedah mewujudkan satu wakil Melayu adalah yang paling ideal sekali iaitu mewujudkan satu wakil parti politik orang Melayu! Satu parti Melayu sudah cukup untuk menjamin kekuatan dan penerimaan sebulat suara seluruh orang Melayu di negara ini, insya-Allah.
Dengan jaminan politik, bangsa Melayu dapat kembali memfokuskan matlamat asas iaitu memajukan bangsa, sama ada dari segi agama, pelajaran, ekonomi dan sebagainya. Melaluinya juga, segala sandiwara yang membuka pekung di dada orang Melayu dapat dihindarkan daripada terus tersebar luas ke seluruh dunia.
Persoalannya ialah apakah ia boleh menjadi kenyataan?

Orang Melayu pernah berjaya di dalam matlamat mereka apabila menggunakan kaedah ini. Puncanya ialah Malayan Union, tindak-balasnya ialah penyatuan bangsa Melayu melalui pembubaran persatuan-persatuan Melayu dan hasilnya ialah keutuhan bangsa dan kemerdekaan negara tercinta ini!

Hari ini, puncanya ialah kerapuhan perpaduan orang Melayu dan hasilnya tentulah untuk mewujudkan kembali keutuhan dan kesatuan bangsa, tetapi persoalan terpenting ialah apakah pemimpin-pemimpin Melayu hari ini mampu menghadirkan reaksi sama seperti tahun 1946, iaitu pembubaran parti-parti demi mewujudkan satu wakil tunggal?

Jika kita perhalusi, kaedah penyatuan seperti di atas memerlukan pengorbanan yang amat besar, terutamanya di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu itu sendiri.

Pengorbanan yang dimaksudkan ialah sesetengah daripada mereka mesti bersedia untuk melepaskan kesenangan dan kuasa yang selama ini dikecapi semasa berada di parti masing-masing kerana penyatuan besar-besaran menjadi satu parti tunggal akan menyebabkan berlakunya pertindihan atau pun lebihan pemimpin. Dalam konteks realitinya hari ini,

a) Apakah pemimpin-pemimpin Melayu sanggup melepaskan kesenangan dan kuasa masing-masing demi penyatuan bangsa?

b) Apakah orang Melayu hari ini akan dapat menyaksikan sendiri penyatuan suara hati dan politik ala Malayan Union tahun 1946?

Politik Melayu pernah menghadirkan kaedah mewujudkan satu badan induk utama untuk semua parti Melayu iaitu dengan penubuhan Barisan Nasional (BN) pada peringkat awal di mana UMNO dan Pas, walaupun tidak satu tetapi mereka berada dalam satu rumah yang sama.

Penyatuan sebegini rupa tetap akan menguntungkan orang Melayu kerana tidak akan berlaku undi pecah. Kekuatan politik orang Melayu akan tetap berkisar di dalam rumah itu sahaja.

Malah, perbezaan pandangan di antara parti-parti Melayu boleh diselesaikan secara dalaman. Cara begini juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat di antara parti-parti dengan berlumba-lumba mensignifikankan parti masing-masing melalui program-program sosial untuk merapatkan diri dengan rakyat biasa.

Persoalannya sekarang ialah jika kaedah ini digunakan, apakah akan berlaku kompromi di antara parti-parti politik dalam menentukan rumah yang bakal dikongsi di antara mereka?

Persoalan ini sungguh menarik untuk dibincangkan. Lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia dan terdapatnya pandangan-pandangan yang mengatakan bahawa usaha perpaduan tersebut perlu lebih menyeluruh dan melibatkan semua bangsa di Malaysia.

Dalam masa yang terdekat ini, dua kaedah yang diterangkan di atas mungkin secara relatif adalah lebih sukar untuk mencapai matlamatnya.

Oleh yang demikian, kaedah ketiga ini boleh dipraktikkan selari dengan segala usaha jangka panjang. Ia lebih berupa usaha untuk memurnikan perpaduan melalui semangat kolektif di antara parti politik Melayu.

Perpaduan yang saya maksudkan ini ialah perpaduan di dalam sebulat suara bersetuju mempraktikkan atmosfera berpolitik yang saling hormat menghormati, tidak tindas menindas, tidak prejudis, tidak caci mencaci dan saling bantu membantu di antara parti-parti Melayu. Abraham Lincoln pernah berkata, Our votes may differ, but not our hopes! (Undi kita mungkin berbeza, tetapi harapan kita serupa).

Dalam konteks perpaduan orang Melayu ini, saya rasa kata-kata tersebut begitu relevan sekali. Biarpun parti-parti Melayu mempunyai perbezaan fahaman politik dan penyokong-penyokong, kita tetap mempunyai satu harapan ataupun matlamat asas iaitu merealisasikan perjuangan orang Melayu.

Jika ada agenda-agenda Melayu yang berbangkit timbul seperti pelajaran, ekonomi dan sebagainya, parti-parti Melayu ini mampu disatukan dengan pantas, tanpa kerumitan, di tempat yang berkecuali, contohnya dengan mewujudkan Balai Melayu. Tempat ini menjadi pusat perjumpaan pemikir-pemikir Melayu untuk bermuzakarah, mencari jalan dan mencapai kata sepakat di dalam perkara-perkara yang berbangkit tadi.

Balai ini boleh juga menjadi mercu tanda bagi orang Melayu kerana perbelanjaannya dikongsi bersama oleh seluruh orang Melayu, tidak kira fahaman politik.

Jika kita perhatikan, pendekataan ini juga merupakan satu kaedah perpaduan dan penyatuan orang Melayu. Tidak begitu rumit dan tidak akan berlaku pertindihan ataupun limpahan pemimpin Melayu.

Malah politik menjadi lebih bersih! Tetapi yang terpenting sekali ialah ia menguntungkan Melayu sejagat. Semestinya ia akan turut menguntungkan seluruh kaum lain di Malaysia ini.

Sebenarnya jika kita renungi di antara ketiga-tiga parti Melayu ini, terdapat lebih banyak persamaan daripada perbezaan. Malangnya, yang lebih tertonjol di mata dunia adalah perbezaannya, yang sebenarnya merupakan kelemahan-kelemahan kita sendiri!

Seperkara lagi, usaha penyatuan bangsa Melayu ini tidak akan dapat lari dengan ranjau duri dan rintangan yang sengaja menyusahkan proses metamorfosis bangsa Melayu ini. Kita tahu ada pihak-pihak yang akan rasa tergugat dan berpeluh sejuk apabila niat baik pemimpin-pemimpin Melayu ini rupa-rupanya telah disahut dengan nada yang begitu positif oleh bangsanya.

Kita juga tahu bahawa masih ada segelintir pemimpin Melayu yang masih ego dan memandang sinis kepada usaha ini. Biar apa pun dakwaan mereka, saya pasti kesinisan dan keegoan itu bukan kerana memandang rendah pemimpin-pemimpin Melayu lain tetapi ia lebih berupa sandiwara manusia yang takutkan realiti dan bayang-bayangnya sendiri!

Mereka ini takut yang usaha penyatuan Melayu ini akan mengetepikan mereka dan menenggelamkan kepopularitian yang selama ini penat ditonjolkan oleh mereka melalui demonstrasi, masuk keluar mahkamah, kacau-bilau dan bukannya melalui usaha-usaha murni memajukan bangsa mereka sendiri.

Biarpun begitu, sebagai satu bangsa yang sama agama, kita akan tetap mengharapkan agar mereka ini akan kembali fokus dan berjuang dengan satu nada yang sama iaitu untuk Melayu sejagat. Pokoknya, agenda Melayu ini mesti diteruskan dan disegerakan, tiada kompromi. Sama-samalah kita tekadkan niat dan usaha. Kali ini kita, bangsa Melayu akan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan perpaduan dan penyatuan bangsa, insya-Allah.

Tentunya kita juga tidak mahu agenda terbesar bangsa Melayu ini tenggelam timbul, bagaikan mengikut musim ataupun hilang begitu sahaja apabila kehangatannya pudar, ditelan peredaran masa! Rasanya sudah acap-kali agenda-agenda bersangkutan dengan orang Melayu yang tidak lagi kedengaran, lenyap kerana tiada momentum dan kehangatannya lagi.

Hidup Melayu biarlah hidup yg bermartabat!