Khamis, 5 Januari 2012

Hubungan Pendidikan dan Akhlak Pelajar dalam Kehidupan



Pendidikan sering diertikan sebagai tarbiyah yakni proses yang berterusan dalam mendidik seorang insan berdasarkan acuan yang ingin dibentuk. Namun, Syed Naquib al-Attas telah mendefinisikan proses pendidikan itu sebagai taadib yang bermaksud penyemaian dan penanaman adab dalam diri seseorang. Syed Hussein Nasr juga mengikuti garis hujah yang sama dengan menekankan bahawa prinsip pendidikan itu bukan sekadar untuk melatih fikiran semata-mata, tetapi juga untuk melatih keseluruhan potensi manusia.

Secara prinsipnya, pendidikan dilihat sebagai instrumen penting dalam mempersiapkan manusia untuk memahami tentang tugas dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan sama ada tanggungjawab sebagai seorang manusia yang mempunyai identiti pelbagai dalam konteks manusiawi seperti seorang anak, pelajar, ibu, bapa, warganegara dan ahli dalam masyarakat ataupun memenuhi tanggungjawab dalam konteks profesion dan skill dalam pekerjaan.

Sesungguhnya tugas yang paling penting bagi seorang manusia adalah sebagai seorang khalifah yang mampu mentadbir urus dunia sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah Baqarah, ayat 30 dan juga seorang hamba-Nya yang menjulang ketaatan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Tanpa proses pendidikan yang disertai dengan proses adab, kedua-dua tugas ini tidak akan mampu untuk melahirkan produk-produk insan yang mempunyai perwatakan seorang khalifah tetapi berjiwa seorang hamba.

Hujah Syed Naquib berhubungan dengan konsep taadib melangkaui definisi pendidikan sebagai tarbiyah. Konsep taadib yang menuntut suatu proses yang berterusan di samping pemeliharaan adab sepanjang proses pengajaran dan penerimaan ilmu merupakan suatu definisi yang harus menjadi sarana yang jelas terhadap seluruh masyarakat yang benar-benar menjulang kemuliaan ilmu.

Proses taadib itu pula tidak dihadkan terhadap pengajar dan penuntut semata-mata, malahan dikembangkan sehingga mencakupi suasana mahupun pengurusan sesebuah institusi. Inilah perkara yang seringkali dilupakan, lantas, berlakulah penodaan ilmu dalam kalangan masyarakat yang membudayakan semangat keilmuan, seterusnya membawa kepada korupsi pendidikan yang ketara. Perkara yang perlu ditinjau oleh sebuah pengurusan di sebuah taman ilmu adalah mengenai kejujuran dan ketelusan dalam menguruskan proses kewangan serta hak-hak pembudayaan ilmu dalam kalangan para penuntut dan pengajar benar-benar terjamin tanpa sebarang campur tangan yang berkepentingan. Pengurusan inilah yang menjadi akar kepada seluruh pembentukan suasana keilmuan yang didasari dengan adab, semacam satu perumpamaan, andai mahu dilihat rakyat jelatanya, lihatlah pada pimpinannya.

Berbalik kepada soal pendidikan sebagai taadib, wahyu Tuhan yang pertama yang mendengungkan kalimah Iqra’ bukanlah semata-mata untuk dibaca berulang-ulang tanpa kesedaran. Namun, itu merupakan suatu petanda daripada Tuhan untuk menggalakkan proses pencarian ilmu itu berterusan dalam usaha untuk membentuk generasi ulul albab, yang mampu untuk menggunakan seluruh inderanya menghayati hakikat penciptaan dan pencipta dan seterusnya bermanfaat kepada alam yang merangkumi hubungan dengan manusia dan alam sekitar. Walaupun begitu, telah dijelaskan juga melalui firman-Nya dalam surah al-Alaq, ayat 6 dan 7 yang bermaksud: “Sekali-kali tidak! Sungguh manusia itu benar-benar melampaui batas, apabila melihat dirinya serba cukup.”

Inilah satu peringatan daripada Tuhan kepada manusia, ilmu itu harus disertasi dengan adab, yang tidak melahirkan golongan manusia yang bongkak dengan ilmu yang dimilikinya, apatah pula sehingga mengagungkan ilmu itu melebihi pemilik ilmu itu sendiri, sehingga merasakan dirinya adalah manusia yang cukup sempurna. Oleh kerana itulah, proses beradab dengan ilmu harus dititikberatkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Seorang pelajar harus mematuhi etika seorang pelajar serta menghormati pensyarah yang mengajar dengan menunjukkan kesungguhan dan komitmen sepanjang proses pembelajaran termasuk dari sudut kehadiran dan penyiapan tugas-tugas.

Manakala seorang pensyarah pula, seharusnya beradab terhadap ilmu termasuklah jujur terhadap pengetahuan yang dimiliki serta seringkali mampu untuk mengaitkan segala yang diajari itu dalam konteks sebagai seorang muslim. Perkara inilah yang harus dititikberatkan dalam proses membudayakan pembentukan adab dalam kalangan warga taman ilmu supaya graduasinya mereka daripada taman ini, menjadi manusia yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat melalui pengetahuan dan karakter yang dimiliki.

Sebagaimana yang telah dinyatakan pada awalnya, pemerkasaan adab dalam universiti tidak difokuskan kepada satu pihak semata-mata. Permasalahan utama adalah apabila seluruh pihak menunding jari hanya kepada pelajar apabila berlaku permasalahan dari sudut krisis adab sama ada dalam bentuk aplikasi ilmu atau dalam konteks mendalami ilmu, namun, harus diingatkan, pepatah Arab ada menyebut, setiap bekas akan mengeluarkan apa yang berada di dalamnya. Maka, proses taadib itu sendiri adalah suatu proses yang merangkumi semua pihak, bermula daripada pihak atasan universiti, pengajar mahupun penuntut.

Belajar Terus Belajar !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan