Isnin, 8 Disember 2014

RENAISANS PENDIDIKAN MELAYU -Tinta Presiden Jais Abd Karim


RENAISANS PENDIDIKAN MELAYU

PERSIDANGAN AGUNG TAHUNAN (PAT) GPMS KALI KE- 60
SEKOLAH MENENGAH SAINS SULTAN HAJI AHMAD SHAH (PEKAN)
PEKAN, PAHANG DARUL MAKMUR
(5 - 7 DISEMBER, 2014)


Bismillahhirrahmanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


1. Ucapan Alu-Aluan, Laporan dan Analisa Pencapaian GPMS.


1.1.1 Yang dihormati, saudara Pengerusi Tetap GPMS, barisan kekanda, mantan Presiden merangkap Penasihat GPMS dan ahli-ahli Panel Pemikir GPMS, Sdra. Ezaruddin Abdul Rahman, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, sahabat Ahli-ahli Majlis Tertinggi, para Pengerusi GPMS Negeri, Yang Dipertua GPMS Cawangan, para perwakilan, wakil media, kepimpinan GPMS seluruh negara serta hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian.


1.1.2 Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah kita bersama berkumpul pada hari ini bagi menjayakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) GPMS buat kali ke-60, kali kelima untuk kepimpinan muda GPMS dari seluruh tanah air yang berumur di bawah 40 tahun berdasarkan ketetapan Akta 668 - Akta Pertubuhan dan Pembangunan Belia 2007.


1.1.3 Saya mewakili saf kepimpinan GPMS mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan jutaan terima kasih khas kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II di atas kesudian beliau hadir bagi merasmikan Persidangan Agung Tahunan kali ke-60 ini. Kehadiran beliau merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan khas kepada perjuangan GPMS yang kini berusia 66 tahun. Terima kasih juga kepada para jemputan di atas kesudian menghadiri Persidangan Agung Tahunan GPMS ini.


1.1.4 Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pengerusi GPMS Negeri Pahang, Sdr. Wan Emril Nizam Wan Embong dan seluruh ahli jawatankuasa PAT khususnya dari GPMS Cawangan Pekan yang bertungkus lumus bagi menjayakan persidangan agung pada kali ini.


Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi


1.2 Kejayaan yang dicapai pada tahun ini dan analisa ringkas.


1.2.1 Sejak mengambil alih tampok kepimpinan GPMS pada November 2009, kita telah mendapat sokongan jitu dari pihak kerajaan dan pelbagai institusi swasta bagi melaksanakan hampir 700 program yang memberi manfaat kepada hampir 3 juta pelajar di seluruh negara. Segala laporan aktiviti ini didokumentasikan di dalam Majalah Suara GPMS 2010, 2011, 2012 dan 2013. Laporan 2014 akan menyusul pada awal tahun hadapan. Majalah ini telah diedarkan kepada 10,000 buah sekolah dan institusi di seluruh negara pada setiap tahun sebagai bukti bahawa perjuangan ini wujud dan berfungsi untuk membantu meningkatkan prestasi pendidikan masyarakat Melayu. Saya bersyukur kerana “gear tiga” perjuangan yang kita pacu pada sepanjang 4 tahun lepas telah berjaya ditingkatkan ke ‘gear empat’ pada sepanjang tahun 2014 ini. Kita perlu bergerak dengan lebih mampan pada tahun 2015 ini, bagi mempertahankan ‘gear empat’ sebelum bakal Presiden baharu mengambil alih dan membawa GPMS kepada dimensi yang seterusnya pada masa hadapan.


1.2.2 Penaung GPMS, YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, pada pertengahan tahun 2014 ini, bermurah hati memberi geran khas kepada Yayasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (YGPMS) bagi membolehkan kita berkembang dan terus maju dalam bidang perniagaan dan pendidikan. Saya mewakili kepimpinan GPMS seluruh negara amat menghargai sokongan dan bantuan daripada beliau. Penghargaan khusus ditujukan kepada Sdr. Rosdi Amir yang bertungkus lumus menguruskan YGPMS sehingga berjaya memperoleh dana ini. Komitmen, semangat dan kegigihan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan GPMS sejak Januari 2012, wajar diberikan penghargaan, sokongan dan kerjasama daripada semua pimpinan GPMS seluruh negara.


1.2.3 Ahli-ahli Majlis Tertinggi GPMS juga telah memperbaiki prestasi pada tahun lepas dengan lebih fokus kepada bidang dan kecenderungan masing-masing bagi melaksanakan amanah tugas tersendiri. Rombakan kecil terus dilakukan bagi memantapkan saf kepimpinan GPMS. ”Pemimpin datang dan pergi; GPMS perlu kekal abadi”. Terima kasih kepada semua yang memahami.


1.3.1 Beberapa program utama anjuran GPMS di peringkat kebangsaan pada sepanjang tahun 2014 yang perlu diberikan penghargaan khas adalah seperti berikut:













Jumlah 32 program (di atas) membuktikan bahawa pihak GPMS Kebangsaan tidak pernah sunyi daripada melaksanakan program untuk memperkasakan pengetahuan bangsa.


1.3.2 Retreat Kepimpinan GPMS Kebangsaan di Pulau Pinang pada 27-29 Disember 2013 yang lalu amat menarik untuk direnung dan diberi perhatian. Sesi bersama Dr. Yahya Md Hassan dan Pak Rosli amat menarik untuk diingati semula bagi memastikan lebih ramai ‘maverick’ atau pejuang yang sanggup bergerak atau berusaha secara individu perlu dilahirkan dengan lebih ramai lagi dalam GPMS. Inilah realiti perjuangan GPMS.


1.3.3 GPMS semakin sedar tentang peri pentingnya peranan media sosial pada hari ini. Justeru, pada 16 Februari 2014 yang lepas, GPMS Kebangsaan dengan kerjasama GPMS Putrajaya telah menganjurkan Seminar Interaktif Media Sosial yang dihadiri oleh ramai Ketua Penerangan setiap negeri. Mulai saat itu hinggalah sekarang, segala makluman berkenaan GPMS boleh dilihat secara lengkap dalam laman sesawang www.gpms.my dan FB: GPMS ‘YES’ serta pelbagai kumpulan ‘WhatsApp’ dan ‘telegram’.


1.3.4 Hubungan rapat GPMS bersama Duta Besar (DUBES) Malaysia ke Indonesia, Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Sri Zahrain Hashim yang juga ahli Panel Pemikir GPMS semakin terjalin erat. GPMS terlibat secara langsung dengan Majlis Perasmian ‘Malaysian Hall’ di Medan pada Mac lepas.


1.3.5 Masalah ‘Persatuan Alumni GPMS Kebangsaan’ menjadi semakin komplikated apabila pejabat Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) telah membenarkan penubuhan persatuan ini tanpa merujuk langsung kepada GPMS. Notis Bantahan Rasmi telah dihantar kepada ROS pada 9 Oktober 2014 yang lepas dan kita masih menunggu penjelasan daripada pihak ROS.


1.3.6 Buat tahun yang kedua berturut-turut, Ayahanda Perdana Menteri telah membuat ucapan khas sempena Hari Ulang Tahun GPMS di laman sosial - tweeter beliau. GPMS juga telah membuat iklan khas dalam Akhbar Utusan Malaysia pada 14 Ogos 2014 sebagai tanda penghargaan GPMS terhadap bantuan dan kerjasama kerajaan Malaysia kepada GPMS selama ini. (Lampiran 1). Buat julung-julung kalinya juga Jamuan Sambutan Ulang Tahun GPMS ke-66 dan Jamuan Aidilfitri GPMS diadakan secara konsep ‘garden dinner’ di Taman Tasik Titiwangsa pada 14 Ogos 2014. Ramai tetamu kehormat menghadiri majlis ini dan diketuai oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang kita kasihi iaitu YABhg. Tun Abdullah Badawi. Turut hadir ialah YB Dato’ Sri Hilmi Yahya, Timbalan Menteri Kesihatan dan YBhg. Dato’ Khairun Aseh Che Mat, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri serta YB Dato’ Razali Ibrahim, Timbalan Menteri JPM. Tahniah kepada semua yang membantu menjayakan program ini. Satu konsep baharu yang sangat menarik.


1.3.7 GPMS turut dijemput menghadiri Bengkel Pemikiran Institusi Raja Melayu di Genting View Resort anjuran UiTM pada 19 – 21 Ogos 2014 yang lepas. Maka akan terciptalah lagi sejarah GPMS jika konsep dan idea ini berjaya diterjemahkan.


1.3.8 Terdapat dua program utama yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini:


(i) Puan Rafidah Mohd Ariffin – Naib Presiden Wanita kita telah mula aktif semula melalui perlaksanaan Program Majlis Makan Malam Srikandi GPMS. Program ini dan Pelancaran beberapa Program GPMS 2015 akan dirasmikan pleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 18 Disember 2014 nanti.


(ii) Program kedua ialah Program 1 Mahasiswa 1 Suara di 20 buah IPT seluruh negara tajaan KPDNKK. Sdri. Hazzirah Izzati Mat Hassim 24 tahun, mahasiswa termuda yang berjaya mendapat PhD di UTM akan berdialog secara teleconference semasa program ini berlangsung pada sepanjang Disember dan Januari ini.


1.3.9 Alhamdulillah, bagi pemilihan umum Ahli Parlimen Belia (APB) pada November lepas, seramai 25 orang ahli GPMS di seluruh negara telah berjaya memenangi kerusi tersebut daripada 29 calon yang kita pertaruhkan. Kita akan memberi Sijil Anugerah Tokoh Penggerak Muda GPMS kepada mereka semasa Majlis Perasmian PAT ini nanti. Marilah kita berikan tepukan sebagai tanda tahniah dan syabas kepada kesemua calon yang telah terpilih. Mereka ialah:


i. Sdr Muhamad Ridhwan Bin Muhamad Rosli – Selangor
ii. Sdr. Muzammil Arif Bin Kamaruddin - Putrajaya
iii. Sdr. Muhammad Abu Al Ghida – Selangor
iv. Sdr. Mohd Faiz Bin Mohamed Rafeek – Pulau Pinang
v. Sdr. Mohd Aishamuddin Bin Yaakob – Perlis
vi. Sdr. Mohd Faiz Mahayudin - Pahang
vii. Mohd Abroar Bin Mohd Sidek - Selangor
viii. Al- Muzaffar Shah bin Idris - Selangor
ix. Mohd Azfar Ariff Bin Mohd Farid - Selangor
x. Mohd Asril Ilmi Bin Mustaza Azuan - Selangor
xi. Nuralif Affandi Bin Nor Rahmat - Selangor
xii. Muhamad Syukur Bin Sabari - Selangor
xiii. Mohamed Khairul Azman Bin Abdul Azeez - Selangor
xiv. Asyraf Bin Adlan - Selangor
xv. Zarra Zuriaty Binti Dr. Rawi - Selangor
xvi. Nur Farah Ain Binti Abul Nasir - Selangor
xvii. Radhiah Binti Razmani - Selangor
xviii. Nik Nur Muhammad Ameer Bin Nik Zainuddin - Selangor
xix. Syed Mohsen Bin Syed Abu Bakar AlKaff - Selangor
xx. Muhammad Ismail Bin Alias - Selangor
xxi. Idzham Mohd Hasim - Selangor
xxii. Norzulaiqha Binti Zulkifli - Selangor
xxiii. Haerris Khizer Bin Mohd Riani - Selangor
xxiv. Azwan Bin Omar - Selangor
xxv. Mohd Syafiq Bin Abdullah - Selangor


1.3.10 Seorang pimpinan kanan GPMS telah terpilih sebagai Tokoh Belia Negeri (Anugerah Perdana Tokoh Belia Negara) semasa Sambutan Hari Belia Negara pada peringkat negeri masing-masing baru-baru ini. Beliau adalah Sdr. Izani Abdul Ghani (Pengerusi GPMS Negeri Terengganu) – Ikon Belia Negeri Terengganu


Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi


1.4 Beberapa kunjungan hormat dapat dilaksanakan di dalam kesibukan menganjurkan pelbagai program terutamanya dalam usaha memastikan semua usul PAT yang lepas dapat diperjuang dan dilaksanakan. Berikut adalah ringkasan informasi pertemuan yang telah diadakan:


1.4.1 Kunjungan Hormat dan perbincangan bersama dengan YB Tuan Khairy Jamaluddin (Menteri Belia dan Sukan) telah diadakan pada 7 Januari 2014, 3.30 Petang, di Pejabat Menteri, Menara KBS, Putrajaya. Intipati perbincangan lengkap dapat dirujuk di Lampiran 2.


1.4.2 Kunjungan Hormat ke pejabat YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya pada 13 Oktober 2014. Jemputan merasmikan PAT dan perbincangan isu-isu semasa. Keadaan Banglo Merah telah mendapat kritikan dan ditegur secara sinis oleh beliau. Namun, pihak GPMS Kebangsaan telah mengambil tindakan segera dan melakukan sedikit pembaikpulih agar imej bangunan GPMS terpelihara.


1.4.3 Dialog bersama YBhg. Dato’ Dr Marzuki (Setiausaha Politik Menteri Pendidikan I) di Banglo GPMS. Program ini dihadiri oleh ramai ahli GPMS yang menganggotai Alumni Sarjana Pendidikan Teknikal dan pada yang sama telah disampaikan memorandum khas dari GPMS. (Rujuk di Lampiran 3)


1.5.1 Terima kasih juga kepada Timbalan Presiden, Naib Presiden III dan ahli Majlis Tertinggi serta beberapa orang kepimpinan negeri juga cawangan yang sudi membantu memberi idea bagi menghasilkan ucapan dasar ini.


1.5.2 Pertukaran Pengerusi GPMS pada peringkat negeri di dua buah negeri terpaksa dilakukan di atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Semoga Pengerusi GPMS Selangor dan Wilayah Persekutuan yang baru dilantik mampu memikul amanah ini. Mewakili saf kepimpinan GPMS, saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas khidmat dan jasa mereka yang terpaksa dipendekkan tempoh perkhidmatan. Tempoh peralihan ini pasti sukar. Ucapan tahniah dan terima kasih kepada segala daya usaha mereka ini dan berharap perjuangan GPMS di setiap negeri akan bertambah hebat pada tahun hadapan.


1.5.3 Kepimpinan pada peringkat cawangan juga mula bertambah aktif. Muncul beberapa pemimpin baharu yang aktif dan berkarisma. Para pemimpin pada peringkat cawangan ini mempunyai peranan yang semakin penting seiring dengan perubahan zaman. Mereka perlu memberi fokus kepada isu setempat dan perlu melaksanakan program sebagaimana panduan yang disediakan oleh GPMS Kebangsaan. Kempen penambahan ahli pada peringkat cawangan penting dalam membentuk kekuatan tulen dan melahirkan kepimpinan pelapis yang lebih ramai. Bagi membolehkan GPMS pada peringkat negeri dan cawangan diperkasakan, GPMS Kebangsaan terus memberi bantuan yang sewajarnya kepada mereka yang membuat permohonan kewangan ke ibu pejabat.


1.5.4 Saya berharap para perwakilan di PAT kali ini dapat membuat perbincangan yang sesuai berikutan cadangan Kementerian Belia dan Sukan untuk membuat pindaan umur Akta Pertubuhan Belia – Di bawah 30 tahun menjelang tahun 2018. Kita perlu diputuskan sama ada kita ingin tubuhkan Pertubuhan Perkaderan GPMS (PPGPMS) @ GPMS Muda atau GPMS perlu terus dikekalkan di bawah akta ini.


Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi


2. PENDIRIAN GPMS DALAM PELBAGAI ISU TERUTAMANYA ISU PENDIDIKAN DAN KEBELIAAN SEPANJANG 2014.


2.1 Berikut adalah pendirian GPMS dalam pelbagai isu terutamanya berkenaan isu pendidikan sepanjang 2014. Kesemua pendirian ini dinyatakan dalam pelbagai media massa dan program-program jemputan dari pihak luar. Pendirian ini juga dibuat berdasarkan perbincangan dalam kalangan kepimpinan kanan GPMS.


2.2 GPMS telah dijemput oleh pejabat Y.A.B Perdana Menteri ke program ’Dialog NGO bersama Y.A.B Perdana Menteri’ di Seri Perdana pada 30 Januari 2014 yang lepas. Saya secara berterus terang telah menyuarakan empat isu sebagai mewakili suara dan pandangan GPMS:


(1) Mengucapkan terima kasih kepada Y.A.B Perdana Menteri di atas Agenda Pemerkasaan Bumiputra.


(2) Mohon ketegasan Y.A.B Perdana Menteri terhadap pegawai-pegawai di pejabat beliau dan menteri yang diamanahkan untuk menjaga Melayu serta ketua-ketua GLC yang gagal melaksanakan agenda membantu Melayu.


(3) Memaklumkan tentang kegagalan program perkaderan generasi muda anjuran kerajaan. Fungsi Biro Tata Negara (BTN) perlu diperkasakan supaya lebih sesuai dengan peredaran zaman.


(4) Memohon Y.A.B Perdana Menteri memperhalusi semula konsep KPI yang lebih mementingkan keuntungan dan bukannya tanggungjawab sosial.


2.3 Pada 4 Februari 2014 yang lepas, saya bersama beberapa orang pimpinan muda GPMS telah bergegas menyampaikan Nota Bantahan kepada YB Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh yang bersikap sangat ‘kurang ajar’. Keseluruhan nota bantahan itu boleh dibaca di Lampiran 4.


2.4 GPMS telah dijemput hadir dalam perbincangan bersama Menteri Pendidikan II pada 11 Ogos 2014 bagi berbincang tentang isu-isu pendidikan terkini. Antara NGO lain yang turut hadir ialah MPM, Perkasa, Biro Pendidikan UMNO dan NGO Pendidikan Melayu yang lain. Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada GPMS. Isu-isu yang dikemukakan oleh GPMS boleh dirujuk di Lampiran 5.


2.5 GPMS juga telah menghantar Memorandum Khas Kepada Y.A.B. Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Ketua Penasihat GPMS Pada 14 Oktober 2014 dengan tajuk: Mengkaji Semula Cadangan Meningkatkan Syarat Kemasukan Ke IPTA dan Syarat Graduasi Berdasarkan Keputusan MUET. (Lampiran 6)


2.6 Berikut pula adalah ringkasan kenyataan akhbar GPMS pada sepanjang 2014 ini:


i. GPMS terlibat dalam gerak saraf penentu harga barangan.


(Petikan Utusan Malaysia- Putrajaya -12 Februari 2014) - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terlibat dengan kempen gerak saraf kerajaan dalam mendidik pengguna agar mereka sedar hak dan peranan masing-masing terutama sebagai penentu utama harga barangan di pasaran.


ii. GPMS bantu UiTM wujudkan Kursi Institusi Raja Melayu.


(Petikan Utusan Malaysia- Bentong, 18 Ogos 2014) - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) terlibat dengan usaha UiTM untuk mewujudkan kursi tersebut bagi menjadi benteng terakhir bagi mempertahankan kedaulatan institusi tersebut. Kempen gerak saraf kerajaan dalam mendidik pengguna agar mereka sedar hak dan peranan masing-masing terutama sebagai penentu utama harga barangan di pasaran.


Antara objektif utama penubuhan kursi itu adalah memberi kesedaran dan kefahaman yang tepat kepada masyarakat, bertindak sebagai pusat rujukan Kesultanan Melayu; menjelaskan mengenai wasiat Raja-raja Melayu yang menjadi nadi kepada roh semangat Melayu dalam jiwa masyarakat serta menjelaskan peranan Raja-raja Melayu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan dan kedudukan orang Melayu tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan kaum-kaum lain.


iii.GPMS menyokong ketegasan kerajaan untuk terus tidak mengiktiraf UEC pada 25 Mac 2014. (Kenyataan penuh boleh dibaca di lampiran 7),


2.7 GPMS juga telah menjalin pelbagai kerjasama dengan NGO-NGO Melayu lain yang tumbuh umpama cendawan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


i. Perwakilan GPMS telah menghadiri Mesyuarat Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) di Nouvelle Hotel pada 8 Ogos 2014 dan saya sendiri telah dilantik di Parlimen sebagai ‘Duta Renaissans Melayu’. Kita juga akan terlibat secara aktif dalam Perhimpunan Renaisans Melayu yang dijangka akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 10 Januari 2015 nanti.


ii. GPMS juga telah menyertai satu gabungan 58 Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu / Islam yang telah dibentuk pada 28 Januari 2014 yang dipanggil Gabungan NGO-NGO Pribumi. Tujuan gabungan ini ditubuhkan ialah untuk menyiapkan satu dokumen rasmi yang dinamakan Memorandum Perpaduan Nasional (MPN) bagi mendesak kerajaan Malaysia mempertimbangkan pelbagai pendapat, cadangan dan rumusan yang terkandung dalam MPN sebagai asas kepada dasar pembentukan perpaduan nasional serta lain-lain dasar yang bermatlamat untuk memelihara kemakmuran, kesejahteraan, ketenteraman, keselamatan dan kelangsungan negara. Jawatankuasa ini telah bersidang sebanyak enam kali dan pada kemuncaknya satu ’Konvensyen Perpaduan Nasional’ telah diadakan pada 23 November, 2014 di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur.


iii. Baru-baru ini, GPMS juga dipelawa untuk menyertai Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (PEMIKIR) yang dipimpin oleh YBhg. Tan Sri Aziz Mohd Yassin. Pertubuhan ini ditubuhkan pada 7 April 2014 dengan matlamat:


1. Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, kesucian Islam, Kedaulatan Raja-raja Melayu dan hak-hak Bumiputera.


2. Mengeratkan perpaduan rakyat Bumiputera untuk menjamin kestabilan politik dan keselamatan negara.


3. Mempertingkatkan kedudukan ekonomi Bumiputera untuk memperkukuhkan kuasa politik Bumiputera.


GPMS komited untuk bersama-sama PEMIKIR bagi menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera Kebangsaan pada tahun 2015 nanti.


Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi


3. TEMA PAT: RENAISANS PENDIDIKAN MELAYU


3.1 Idea ini dicetuskan oleh YB Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan diangkat sebagai tema PAT pada kali ini. Tema ini akan dikupas dalam topik seterusnya dan memfokus kepada lingkungan yang berkaitan dengan perjuangan GPMS dan menjurus secara khusus dalam bidang pendidikan. Melalui Renaisans Melayu ini, semua lapisan masyarakat khususnya Melayu diminta untuk menerapkan nilai-nilai positif supaya lebih dinamik, maju dan mampu bersaing dengan kaum yang lain.


3.2 Beliau menegaskan bahawa masyarakat Melayu merupakan majoriti rakyat yang perlu memberi sumbangan besar kepada kemajuan negara kelak. Jelasnya lagi, kebangkitan sesuatu bangsa perlu berasaskan nilai-nilai bangsa itu sendiri seperti berilmu, berani, rajin, cemerlang, tekun dan pengasih supaya terjaga perpaduan negara. Beliau juga sering mengadakan Wacana Intelektual di seluruh negara untuk memberi pengetahuan dan pelbagai tahap ilmu kepada penjawat awam dan pemimpin masyarakat selain mengharapkan ianya mampu memperkasa sejarah, ketamadunan bangsa dan perlembagaan bagi membina pemimpin yang beragenda memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Kesimpulannya, Renaisans Melayu adalah satu kebangkitan yang menyeluruh bagi menjadikan Melayu sebagai satu bangsa yang HEBAT, BERMARUAH dan BERKAT. Kebangkitan ini akan membentuk satu kerangka pemikiran yang berbeza dan berorentasikan tindakan, berasaskan Islam dan nilai-nilai hebat yang perlu dijadikan amalan harian supaya Melayu boleh maju sehingga menerajui dunia.


3.4 Bagi GPMS, ‘Renaisans Pendidikan Melayu’ ini perlu bergerak atau bermula dengan semangat kesukarelawanan untuk melihat orang Melayu tersedar dari mimpi yang panjang dan bersedia menerima hakikat bahawa bumi yang dipijak hari ini tidak mungkin akan menjadi milik kita pada esok hari andai kita tidak bersatu dan berubah. Kita juga tidak mahu anak cucu kita mengemis di tanah air sendiri dek kerana kesilapan kita pada hari ini. Semuanya ini mesti bermula dengan menguasai ilmu dan memperhebatkan bidang pendidikan. Tindakan drastik dan bijak yang perlu kita lakukan ialah memperkasakan Sistem Pendidikan Sekolah Kebangsaan.


3.5 Pemikiran orang Melayu banyak dibentuk oleh adat resam dan budaya Melayu itu sendiri yang dilihat menjadi punca ‘kenapa’ kita masih ketinggalan jauh dari sudut pendidikan dan ekonomi. Malah, pada hari ini kuasa politik Melayu juga kian terhakis. Jika orang Melayu masih lagi bersikap “acuh tak acuh”, Melayu kelak hanya tinggal nama sahaja. Lantaran itu, barisan pemimpin muda dalam GPMS ingin turut mempelopori beberapa pemikiran Melayu baharu bagi menggantikan pemikiran Melayu yang sudah dianggap tidak sesuai dalam dunia yang penuh persaingan ini. Pokok pangkalnya, ‘di mana’ kita harus bermula. Ini adalah satu permulaan kepada perkara yang lebih besar pada masa hadapan.


3.6 Menurut YBhg. Tan Sri Sanusi Junid dalam salah satu majlis dialog berkenaan topik ini; “Sejak merdeka sehingga sekarang, kita yakin dan percaya bahawa kemunduran kita di dalam bidang pendidikan adalah sebab utama kemunduran kita yang perlu diselesaikan demi meningkatkan martabat dan memulihkan maruah bangsa. Kononnya, ada pendapat yang mengatakan; sekiranya kita berjaya menangani kekurangan atau kelemahan dalam bidang pendidikan maka selesailah masalah orang Melayu”.


Dahulunya, anak-anak Melayu tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan kerana MERIT terlalu rendah. Pimpinan universiti juga tidak pernah memberi pertimbangan kepada faktor taraf hidup yang rendah di luar bandar, kemudahan yang sangat sederhana dan tidak ada tuisyen diberikan secara percuma. Kuasa politik telah memutuskan supaya pihak universiti dipaksa mengambil pelajar Melayu dalam batasan ‘KUOTA’ yang ditentukan. Pengerusi Jawatankuasa Biasiswa di peringkat negeri terdiri daripada Pegawai Pelajaran Negeri bukan Melayu dan hanya seorang sahaja orang Melayu. Mereka menjadikan faktor MERIT sebagai alasan untuk menyekat dan menghalang permohonan pelajar-pelajar Melayu daripada mendapat biasiswa walaupun sudah ada kuota di universiti tempatan tersebut.


Berdasarkan desakan Pergerakan Pemuda UMNO pada waktu itu dan keputusan politik agar memindahkan jawatan Pengerusi Biasiswa Negeri daripada Pegawai Pelajaran Negeri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (yang semuanya terdiri daripada bangsa Melayu) dan kesan daripada tindakan tersebut, terdapat peningkatan jumlah pelajar-pelajar Melayu menerima biasiswa, malah peluang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara.


Kita dapati pada waktu itu kebanyakan anak-anak Melayu, dipilih kerana pintar untuk melanjutkan pelajaran di universiti, namun yang belajar dalam bidang ilmu yang diajar oleh bukan Melayu ini didapati GAGAL. Kita dapati para pelajar Melayu yang belajar dalam bidang agama, bahasa dan sastera Melayu di bawah pensyarah Melayu sahaja ramai yang berjaya. Kita juga dapati, para pelajar yang belajar di luar negara, walaupun yang dianggap kurang pintar, telah mencapai kejayaan. Di manakah silapnya sistem pendidikan di universiti tempatan kita dan hebatnya universiti luar sehinggakan pelajar Melayu yang pintar semuanya gagal dan yang kurang pintar mendapat kelulusan cemerlang di luar negara?


Maka berdasarkan keputusan politik, kita menghantar lebih ramai anak-anak Melayu yang ‘kurang pintar’ ke universiti luar negara untuk mengelak daripada mereka terkorban bersama pelajar pintar yang belum tentunya lulus di satu-satunya universiti tempatan pada ketika itu.


Inilah cabaran kita pada masa lalu. Kini, cabaran dan masalah seperti ini telah dapat ditangani dan tidak wujud lagi. Bercambah-cambah anak-anak Melayu yang berkelulusan universiti tempatan dan luar negara. Kita tidak lagi perlu mendesak kerajaan.


Kerajaan telah memperuntukkan banyak biasiswa untuk pelajar Melayu, jika dibandingkan peruntukan kepada pelajar bukan Melayu; Lantaran peluang, tempat, tabung biasiswa swasta jauh lebih besar disediakan untuk pelajar bukan Melayu di universiti luar seperti Singapura, Taiwan dan India dan kedudukan pelajar Melayu masih ketinggalan jika dibuat perbandingan.


Keputusan politik sebelum pemimpin masa kini, dalam persaingan untuk menawan hati pengundi China telah mengorbankan usaha merapatkan jurang pencapaian antara kaum ini apabila peruntukan biasiswa kerajaan hampir disamaratakan antara Bumiputera dan selainnya, sementara biasiswa swasta tetap kemarau untuk pelajar Melayu. Kita berasa sedih kerana angka/jumlah pelajar Melayu yang berpendidikan tidak seimbang dengan bukan Melayu yang berpendidikan.


Nampakkah kita bahawa kedurjanaan yang dilakukan oleh yang berpendidikan termasuk:


1. Rasuah yang lebih sofistikated dan tidak lagi seperti Melayu bodoh yang pandai hanya mencuri ayam;


2. Penyelewengan yang sukar dikesan kerana yang menyeleweng itu terpelajar;


3. Salah guna kuasa merata-rata kerana yang bodoh tidak berkuasa;


4. Penipuan secara yang lebih canggih kerana ilmu melimpah ruah; dan


5. LGBT, Liberalisma dan Pluralisma menjadi-jadi di bawah pimpinan orang yang cukup pintar.


*(Suntingan dan olahan berdasarkan Petikan ucapan YBhg. Tan Sri Sanusi)


3.7 Berdasarkan intipati petikan ucapan YBhg. Tan Sri Sanusi tersebut, GPMS berpendapat bahawa kaedah terbaik untuk mengukuhkan pendidikan Melayu ialah dengan cara MEMPERKASA SEKOLAH KEBANGSAAN. Justeru, pada persidangan agung tahunan GPMS kali ke-60 ini, GPMS akan menobatkan 100 IDEA TERKINI MEMPERKASA SEKOLAH KEBANGSAAN sebagaiDEKLARASI PAT 2014 yang digarap khusus oleh sebuah jawatankuasa khas yang diketuai oleh ahli panel pemikir GPMS iaitu YBhg. Dato’ Abdul Raof Husin, mantan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.


3.8 Matlamat tersirat idea ini juga jelas; Sekolah Kebangsaan yang hebat dan terbaik mampu menarik minat semua pelajar tanpa mengira kaum, seterusnya dapat menjayakan agenda sekolah satu aliran di negara ini dalam sebuah keharmonian dan meningkatkan kualiti pendidikan negara.


4. RENAISANS PENDIDIKAN POLITIK BELIA MELAYU.

4.1 Jauh di sudut hati ini sebenarnya, saya juga memikirkan kekecewaan terhadap ‘apa’ yang sedang menimpa belia dan pelajar Melayu dewasa ini. Di manakah silapnya hingga semua yang dikatakan oleh orang tua-tua yang berpengalaman termasuklah YBhg. Tan Sri Sanusi itu masih lagi terjadi? Di manakah puncanya kerana masih wujud masalah segelintir pemuda Melayu hari ini dan juga ribuan pemuda bangsa lain di luar sana masih menagih air ketum, penagih dadah, seks bebas, tersepit masalah hutang ‘along’, tidak berpendidikan, ‘mat rempit’ dan lain-lain masalah sosial, sedangkan mereka lahir dan hidup di Malaysia yang cukup bertuah ini? Bukankah kita sebagai pembela bangsa, ibu bapa yang mendidik, guru-guru terlatih yang mengajar, nilai-nilai murni Islam yang diajar oleh ustaz sejak dari awal pendidikan, semuanya telah memainkan peranan sebagai masyarakat yang prihatin?


4.2 Marilah kita renung dan perhatikan tindakan kerajaan Jepun menerusi pendidikan sosial dan disiplin yang diterapkan kepada rakyat Jepun sehinggakan mereka hidup dengan bersopan santun, hormat menghormati antara satu sama lain dan mampu berjaya dengan pantas.


Tidakkah sistem pendidikan kita sudah cukup baik?


Tidakkah semangat yang kita berikan dari semasa dan semasa melalui lagu patriotik, cerita teladan, motivasi, memadai?


Adakah kita tidak dibantu dan diberikan pelbagai bantuan kewangan, sahsiah/moral dan ekonomi oleh pihak Kerajaan? Di manakah silapnya?


4.3 Sedar tidak sedar dalam keselesaan yang kita capai pada hari ini, jika kita mahu menoleh ke belakang, menilai realiti statistik mengenai pencapaian bangsa kita, masih banyak lagi yang sebenarnya perlu kita lakukan untuk bangsa ini. Pemimpin politik harus berhenti bercakap mengenai angka memenangi pilihanraya sahaja. Ini membuatkan kita lupa tentang asas juang yang sebenar. Politik bukan sahaja SETAKAT wajib menang undi tetapi kita mempunyai hak istimewa berbanding yang lain dalam perjuangan tersebut.


4.4 Hari ini kita kekurangan pemimpin bangsa terutama pada peringkat belia - bawahan / pelapis yang seharusnya menjadi unit penting dalam perjuangan memperelokkan bangsa Melayu. Dalam Persidangan Agung UMNO yang berlangsung pada minggu lepas, dengan jelas Y.A.B Tan Sri Timbalan Presiden UMNO telah menegur para ‘warlord’ ini supaya meninggalkan legasi mereka dengan terhormat. Kita risau melihat mereka yang memimpin pada peringkat cawangan kebanyakannya merupakan ‘kaki ampu’, ‘kaki bodek’, ‘kaki kipas’ dan hanya berminat untuk politik diri atau untuk mendapat elaun khas dan projek-projek tertentu sahaja.

Dulu UMNO satukan orang Melayu untuk tolak Malayan Union, tolak beri tanah air ini kepada pihak British, tolak buka koata warganegara kepada semua dan KITA BERJAYA.


Dulu UMNO juangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu, perjuangkan bangsa kita yang miskin daif supaya dapat tempat dalam politik dan kepimpinan tanah air. Alhamdulillah, Tanah Melayu MERDEKA, kemudian negara Malaysia, menjadi tanah air bagi pelbagai bangsa, orang Melayu terus mentadbir semua bangsa dalam negara dengan saksama.


Dulu UMNO berjuang untuk kurangkan jurang ekonomi bangsa Melayu dengan bangsa lain kerana khuatir kita terus tertinggal. Orang Melayu daif, miskin dan tidak sekolah. Sejak 1970, pemimpin UMNO memperkenalkan Dasar Ekonomi Baharu, khusus untuk memberi bantuan pendidikan khas dan lain-lain. Alhamdulillah, bangsa kita daripada yang boleh membaca hanya 5%, hari ini tinggal 5% yang tidak boleh membaca. Rakyat yang ‘senang-senang’ dan berharta pun ramai di seluruh pelusuk negara.


4.5 Namun sejak UMNO stabil, kuat, selesa, nampaknya perjuangan Melayu ini tergendala. Ramai yang terlalu ingin berada dalam UMNO demi kuasa, jawatan dan nikmat, tetapi lupa tentang kerja perjuangan yang masih perlu dilakukan. Sejak itu, perjuangan kita terbantut. Majoriti yang kaya kekal kaya, yang miskin kekal miskin. Orang-orang yang miskin, daif di luar bandar pula semakin hari semakin selesa dengan ‘apa’ yang mereka ada dan tidak berusaha untuk meningkatkan taraf hidup. Sikap ini berbeza daripada rakan-rakan kita yang berbangsa bukan Melayu. Mereka tidak putus asa untuk berusaha bagi mendapat sesuatu lebih dari yang lain, usaha dan kerja keras untuk menjadi lebih selesa, menjadi lebih senang dan lebih kaya.


4.6 Orang yang lebih tua tidak ‘putus-putus’ mengingatkan orang muda tentang ancaman jika mereka miskin, tidak berpendidikan, tidak berduit dan tidak pernah berhenti memberi nasihat dan semangat agar sentiasa berusaha. Orang kita pula menasihatkan orang ramai untuk berasa cukup dengan ‘apa’ yang ada, kadangkala menggunakan alasan supaya selalu bersyukur dengan nikmat yang ada dan ramai juga yang suka bersikap ‘tak apa’. Sejak itu, kita kekalkan berada pada tahap yang sama dan keselesaan ini sedikit demi sedikit menjadi punca kita berada di belakang dan tidak lama lagi bakal membinasakan kita.


4.7 GPMS menganggap Renaisans Pendidikan Politik untuk generasi belia Melayu perlu diberi pemahaman yang lebih jelas dan diangkat sebagai satu gerakan kesedaran untuk membetulkan kembali persepsi politik yang jelas dan agenda untuk orang Melayu. GPMS akan melakukan gerakan ini secara serius dan tersusun demi perpaduan ummah.


4.8 Anak muda Melayu perlu sedar tentang nasib bangsa lain khususnya kaum cina yang telah memiliki kekuatan material dan secara tidak langsung mengunakan kekuatan ekonomi mereka untuk membina kekuatan politik. Justeru, anak muda Melayu perlu memahami bahawa kemunduran ekonomi tidak akan membina kekuatan politik untuk memastikan orang Melayu berkuasa di negara ini selamanya-lamanya. Sekiranya Melayu masih tidak faham, masih tidak sedar dan kita pasti menuju kehancuran.


Kita jangan jadi seperti "Lebai Malang".....dari dulu asyik bersorak bangga kerana kita ada Putrajaya....bangunan hebat....!


4.9 Akhirnya, Melayu hanya tinggal nama dan tiada hak serta tempat tinggal di tanah air sendiri. Adakah kita mahu melihat Melayu hanya mampu untuk mendiami rumah flat, tinggal di pondok-pondok usang dan sebagai gelandangan. Inilah cabaran buat kita semua. Bangkit dan SEDAR segera.


4.10 Untuk membentuk kesedaran pendidikan politik orang Melayu hendaklah berpandu kepada Al-Quran sebagai amalan hidup kerana Al-Quran menekankan persaudaraan Islam untuk memastikan mentaliti survival dapat diperkasakan.


4.11 Justeru, dalam persoalan ini orang Melayu perlu sedar bahawa selagi mereka tidak bersatu dan istiqamah dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu, selagi itulah kita akan diperlekehkan malah akan terhakis dan dicabuli. Cuba kita lihat, kini sudah ada keberanian luar biasa pihak tertentu berani menuntut hak, menghina dan memperlekehkan kedaulatan Raja-raja Melayu. Keberanian kerajaan mempertahankan Akta Hasutan adalah tindakan bijak kerana ini adalah benteng untuk menyekat pihak-pihak tertentu yang melampau.


Cuba kita perhatikan;


• Di Thailand, biar apapun konflik di dalam negara itu, namun seorang penganut Buddha pasti menjadi Perdana Menteri.


• Di Indonesia, pelbagai konflik berlaku di dalam negara itu, namun orang Melayu Indonesia tetap akan dilantik sebagai Presiden.


• Begitu juga dengan Filipina, orang Kristian tetap akan menjadi Presiden.


4.12 Namun di Malaysia, sekiranya orang Melayu terus berpecah-belah tanpa memikirkan kepentingan Islam dan bangsa, kuasa yang ada sekarang mungkin akan hilang kerana orang Melayu Islam akan hilang kuasa politik. Pengundi Melayu bukan lagi menjadi kuasa penentu politik negara kerana Melayu telah berpecah mengikut kepentingan individu atau parti politik. Orang muda Melayu perlu bijak dalam perkiraan ilmu kepartian politik. Belajar dan lihatlah di Selangor, keadaan politik semasa telah memecah belahkan kelompok orang Melayu sendiri. Kita mungkin tidak minat politik dan tidak mahu ambil peduli tetapi janganlah sampai alpa tentang kuasa politik Melayu. Ini tanggungjawab kita sebagai umat dan rakyat bagi menentukan pentadbir dan kuasa politik negara kita.


4.13 Justeru, pendidikan politik amat penting difahami dan diketahui oleh anak muda Melayu kerana mereka adalah sebahagian daripada jentera penentu arah politik negara terselamat di tangan bangsa Melayu. Kehidupan anak muda Melayu pada hari ini sangat mencabar kerana hanya menerusi telefon pintar dengan mudah mereka dapat akses maklumat terkini tentang negara dan politik semasa namun malangnya maklumat yang tersebar lebih berbaur ‘politik kotor’ dan fitnah dan mampu membawa kepada perpecahan ummah yang makin hebat.


4.14 Memang diakui bahawa anak muda mempunyai pemikiran idealistik tetapi janganlah terlalu dangkal dan terpengaruh dengan budaya pemikiran liberal sehingga ada yang tergamak memberi idea dan cadangan membuka peluang hak samarata kepada orang bukan Melayu dan Bumiputera belajar di UiTM. Nasihat saya, wahai adik-adik sekalian, ‘toleh-toleh’ ke belakang dan kaji sejarah sebelum melangkah ke depan dan korbankan negara bangsa kepada bangsa lain dengan begitu mudah. ANDA anak muda Melayu harus sedar bahawa survival Melayu semakin terhakis.


4.15 Jangan terlalu berfikiran ‘cool’ kerana loceng kebangkitan telah berbunyi dan ayuhlah kita soladariti perjuangan kita bersama bukan sibuk mempunyai sikap suka forward mesej telefon pintar untuk menambahkan lagi kehancuran. Percayalah, sekiranya orang-orang Melayu termasuklah pemimpin-pemimpin Melayu lebih mementingkan diri sendiri daripada bangsa dan negaranya, maka itu adalah kemusnahan bangsa dan negara. Ingatlah bahawa perjuangan GPMS masih belum selesai.
Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi


5. RENAISANS PENDIDIKAN PELAJAR MELAYU TERHADAP ISU DAN HAK KEPENGGUNAAN.


5.1 GPMS sedar tentang perlunya Renaisans; kebangkitan khas pelajar Melayu terhadap pelbagai isu kepenggunaan di negara ini perlu disegerakan akibat pelbagai perkembangan yang berlaku di sekeliling kita dewasa ini. Saf kepimpinan dan warga GPMS perlu memulakan langkah baik ini dengan mengetahui informasi asas Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu sendiri.


5.2 KPDNHEP (nama sebelum ini) pada asalnya ditubuhkan pada Oktober 1990 dengan matlamat untuk menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika di samping melindungi kepentingan pengguna. Bidang tanggungjawab KPDNKK termasuk pengawalseliaan perdagangan dalam negeri, perlindungan hak-hak pengguna, perlindungan harta intelek, dan pendaftaran serta penyeliaan perniagaan. Dalam menjalankan tanggungjawab ini, KPDNKK menggubal dan mengkaji dasar berkaitan perdagangan dalam negeri, memantau harga barang-barang perlu dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan bagi mewujudkan suasana perdagangan dalam negeri yang sihat. KPDNKK juga bertanggungjawab menyelaras dasar; pelesenan, peraturan dan aktiviti-aktiviti berkaitan keselamatan industri petroleum, petrokimia dan gas.


5.3 GPMS komited untuk membantu pihak kerajaan menggerakkan kempen gerak saraf dalam mendidik pengguna terutamanya dalam kalangan para pelajar dan mahasiswa Melayu agar mereka sedar dan faham mengenai hak dan peranan masing-masing, terutama sebagai penentu utama harga barangan di pasaran.


5.4 Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek telah menjelaskan bahawa kempen gerak saraf tersebut akan menumpukan pada kaedah menangani kos sara hidup dan budaya hidup pengguna menerusi maklumat yang bakal dikongsi oleh 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna termasuklah GPMS. Menurut beliau, kesemua NGO itu mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing itu akan berperanan mendekati masyarakat di seluruh negara melalui kaedah tersebut.


5.5 "Kita akan bekerjasama dengan NGO untuk memberikan penerangan dan menerapkan ilmu kepenggunaan kepada masyarakat di bandar dan luar bandar, tempat awam dan institusi pendidikan tinggi. Sebagai contoh untuk gerak saraf ini, kita telah mengenal pasti NGO berkenaan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang akan mendidik pelajar di sekolah menerusi kempen membawa ‘bekal’ makanan manakala Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berperanan mendidik masyarakat dalam isu produk halal," katanya.


5.6 Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan Kempen Pemerkasaan Pendidikan Pengguna Kepada NGO pada 4 Februari lepas dan mengulangi mesej yang sama ketika melancarkan Skuad Jelajah Motivasi Kepenggunaan 1 Malaysia bersama saf kepimpinan GPMS di Negeri Sembilan.


5.7 Pada masa yang sama, beliau berkata, pihaknya juga telah merangka pelan lima tahun tindakan pemerkasaan pendidikan pengguna yang meliputi sasaran jangka pendek, sederhana dan panjang. Antara pelan jangka pendek ialah penjelajahan pendidikan pengguna menerusi saluran media baharu bertujuan menyebarkan isu kepenggunaan dengan lebih cepat dan meluas. Menerusi pelan itu, NGO-NGO yang dipilih ini agar ‘turun padang’ untuk memberi ilmu kepenggunaan kepada rakyat mengenai hak dan pengetahuan sebagai pengguna. Media baharu pula akan berperanan menyebarkan isu-isu kepenggunaan dan menjadi sumber maklumat kepada orang ramai untuk membuat perbandingan harga di setiap kawasan yang terbabit.


5.8 GPMS berpendapat bahawa program Renaisans Pendidikan Kepenggunaan anjuran GPMS mesti berfokus kepada program Pendidikan kepenggunaan yang perlu ditanam dalam diri bermula dari peringkat awal pendidikan atau kanak-kanak. Para pelajar dan mahasiswa perlu menjadi agen dalam memastikan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang diberikan oleh peniaga kepada pengguna memenuhi kehendak dan keperluan pengguna pada harga yang berpatutan.


5.9 GPMS juga akan mendidik golongan ibu bapa yang muda bagi mendedahkan anak-anak mereka dengan pengetahuan berkaitan kewangan dan kepenggunaan kerana ini sama penting dengan proses tumbesaran minda anak mereka. Ketika proses tersebut, bukan sekadar mengenal pembelajaran asasi seperti mengajar mengenal huruf, mewarna dan mengeja sahaja.

5.10 Malahan, ibu bapa juga perlu melengkapkan diri mereka dengan bermacam-macam kemahiran mendidik supaya dapat membentuk anak yang cintakan ilmu pengetahuan sekali gus cemerlang dalam akademik. Bagi mereka, yang penting adalah berjaya dalam pelajaran kerana itu lebih menjamin masa hadapan anak. Adakah benar kanak-kanak tidak sesuai diajar mengenai "literasi kewangan"? Paling menyedihkan apabila terdapat tanggapan bahawa "literasi kewangan" kepada anak sudah cukup sekadar membuka akaun simpanan sahaja.


5.11 Mereka percaya langkah itu berupaya menyemai dan mendidik anak mengenai pengurusan kewangan. Tanggapan anak tidak matang jadi tidak perlu didedahkan pengetahuan kewangan adalah salah sama sekali. Mereka perlu dididik sejak awal kerana akan membantu membuat keputusan tepat. Pendedahan kewangan tidak hanya membuka akaun simpanan, tetapi mendidik mereka sebaiknya termasuklah mendisiplinkan budaya menyimpan.


5.12 Renaisans pelajar Melayu dalam bidang kepenggunaan mestilah berpaksikan kepada konsep utama pendidikan pengguna yang khusus di negara ini. Kefahaman terhadap konsep ini adalah asas untuk membantu kita dalam menerapkan pendidikan pengguna kepada seluruh pelajar Melayu di negara ini.


5.13 Berikut adalah beberapa konsep utama yang perlu disemai dan dipraktikkan:


i. Siapakah pengguna? Pengguna merupakan seseorang yang menggunakan barangan, perkhidmatan dan sumber semulajadi untuk kepuasan hidup secara umum.


ii. Pendidikan kepenggunaan penting dan mempunyai maksud yang berlainan bagi setiap individu. Contohnya, bagi pengguna biasa, pendidikan pengguna dilihat sebagai maklumat yang membantu mereka untuk membuat pilihan yang lebih baik terhadap barangan dan perkhidmatan di pasaran. Oleh itu, adalah penting untuk kita mengenalpasti golongan yang terlibat dan memahami maksud pendidikan pengguna mengikut seperti perspektif yang tersebut di atas.


iii. Kita memerlukan pendidikan pengguna untuk membina pengetahuan, kemahiran, bakat, nilai dan kapasiti dalam memainkan peranan sebagai pengguna yang bertanggungjawab. Terdapat lima aspek penting dalam pendidikan pengguna: pilihan bermaklumat, sistem nilai, kenalpasti tanggungjawab dan hak, membuat keputusan yang bijak dan faktor pemangkin untuk tindakan.


iv. Bagaimanakah pendidikan pengguna boleh membantu kita? Pendidikan pengguna hendaklah dapat memberi motivasi kepada pengguna untuk melibatkan diri secara proaktif dalam proses membuat keputusan terutamanya keputusan yang boleh mempengaruhi kehidupan seharian. Pendidikan pengguna adalah bersifat ‘kehidupan dan perkongsian’. Pendidikan pengguna mestilah mampu membuka mata pengguna, termasuk tanggungjawab sebagai pengguna, memastikan kewaspadaan yang berterusan mengenai hak pengguna dan membangunkan sistem nilai bersama.


5.14 Secara kesimpulan, renaisans pendidikan pengguna dalam kalangan pelajar Melayu perlu bermula segera dengan kesedaran bahawa pendidikan pengguna adalah perlu untuk membangunkan kemahiran bagi seseorang individu dan juga peranannya terhadap masyarakat. Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna merupakan salah satu daripada hak-hak pengguna yang asas. Hak pengguna terhadap pendidikan pengguna menggabungkan hak untuk pengetahuan dan kemahiran dalam mengambil tindakan bagi mempengaruhi faktor yang mengganggu analisis terakhir dalam membuat keputusan pengguna.


Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi


6. RENAISANS PELAJAR MELAYU DALAM MENGUASAI BAHASA INGGERIS.


6.1 GPMS menyedari dengan jelas pada hari ini bahawa salah satu faktor penghalang ke arah kejayaan pelajar Melayu untuk bersaing dengan bangsa lain di Malaysia terutama dalam bidang pengajian tinggi dan pasaran kerja adalah kegagalan majoriti daripada mereka untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Penguasaan bahasa Inggeris perlu diperkasakan tanpa melupai bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu semata-mata untuk meningkatkan pengetahuan para pelajar Melayu dalam dunia pendidikan antarabangsa.


Hakikatnya pencapaian pelajar Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menerusi peperiksaan utama seperti UPSR, PT3 dan SPM, masih berada pada tahap yang membimbangkan.


6.2 Hal ini memberi kesan yang amat negatif terhadap daya saing pelajar-pelajar Melayu yang bergraduasi dari Sekolah Kebangsaan terutama dalam mendapatkan tempat di Institusi Pengajian Tinggi, apatah lagi dengan langkah terbaharu pihak kerajaan yang akan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM 2015. Di samping itu, wajib lulus ujian Malaysia University English Test (MUET) sebagai pra-syarat bagi memasuki universiti awam dan telah diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Bejet 2015 baru-baru ini. Namun, tindakan ini ditangguhkan atas desakan pelbagai pihak yang sensitif dan peka terhadap keadaan semasa dan kesan jangka panjangnya terhadap pelajar-pelajar Melayu, Alhamdulillah, GPMS turut terlibat dalam desakan ini dan bukannya di atas dasar untuk membiarkan Melayu gagal tetapi kita perlu memberi peluang kepada para pelajar kita menguasai bahasa Inggeris secara total.


6.3 GPMS juga telah menjalankan beberapa kajian termasuk pemerhatian terhadap ahli-ahli GPMS sendiri dan mendapati bahawa kegagalan menguasai bahasa Inggeris juga salah satu punca pelajar Melayu ketinggalan jauh dalam persaingan bagi mendapatkan kedudukan yang baik dalam pasaran kerja. Ternyata, pelajar kita gagal untuk meyakinkan para majikan di luar sana bahawa mereka mampu berkomunikasi dan memahami bahasa Inggeris dengan baik semasa sesi temuduga dijalankan sedangkan mereka mempunyai keupayaan teknikal dan kemahiran lain yang cukup hebat berbanding calon-calon bukan Melayu.


6.4 Hal ini jelas menunjukkan bahawa dasar dan matlamat kerajaan memperkasa penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu termasuk dasar ’Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)’ yang diperkenalkan sejak 2011, masih jauh untuk dicapai dan perlu diperkasakan dengan pelbagai penambahbaikan serta modul baharu yang bersesuaian dengan pencapaian semasa pelajar Melayu.


Malah terdapat ramai ibu bapa pelajar Melayu pada hari ini, lebih berminat untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina kerana mempunyai persepsi bahawa anak mereka akan lebih mahir berbahasa Inggeris jika bersekolah di SJKC kerana dapat berintegrasi dengan pelajar-pelajar bangsa lain. Malah, lebih membimbangkan terdapat segelintir ibu bapa Melayu dalam kalangan keluarga berkemampuan dan elit lebih suka menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Antarabangsa seterusnya ke Universiti Swasta Luar Negara setelah tamat persekolahan dan hal ini menyebabkan anak-anak mereka tersisih jauh dari sistem pendidikan negara semata-mata kerana mahu anak mereka bijak berbahasa Inggeris.


6.5 Justeru, GPMS menggesa agar satu rombakan besar-besaran terhadap sistem Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan. Hal ini mesti dilakukan bagi memastikan matlamat Renaisans Pelajar Melayu Dalam Menguasai Bahasa Inggeris dapat dicapai.


GPMS menggesa pihak kerajaan untuk meneliti semula setiap polisi dan dasar yang melibatkan P&P Bahasa Inggeris supaya dapat memenuhi keperluan pelajar Melayu di negara ini. P&P Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan tidak lagi hanya boleh bertumpu kepada pangajaran dalam kelas semata-mata, sebaliknya ia mesti diperkasakan secara menyeluruh tanpa mengabaikan bahasa Melayu.


Pengajaran Bahasa Inggeris mesti bertumpu kepada aspek Communicative English atau Komunikasi dan bukan bertumpu kepada aspek Grammarian atau tatabahasa sahaja kerana matlamat akhir adalah untuk melahirkan pelajar Melayu yang mempunyai keyakinan untuk berbahasa Inggeris. Bukan hanya tahu menulis dalam bahasa Inggeris dengan tatabahasa yang betul sahaja malah boleh bertutur ’fasih’ dalam bahasa Inggeris.


6.6 Matlamat Renaisans Pelajar Melayu Dalam Menguasai Bahasa Inggeris seperti yang disarankan oleh para pakar bahasa berkenaan perlu diberi perhatian yang serius selain aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran. Ianya penting supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan. Langkah kerajaan mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha penting bagi mengatasi masalah kekurangan guru pakar dalam bahasa Inggeris.


Langkah mengambil pakar dari luar negara ini hanya untuk sementara sehinggalah negara kita dapat melahirkan lebih ramai guru yang mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris. Selain itu, terima kasih juga kepada pihak kerajaan kerana telah melaksanakan dasar untuk mengambil guru bahasa Inggeris yang sudah bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru ‘pencen’ yang diambil semula ini sudah semestinya memiliki kesihatan yang baik dan juga didedahkan dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris terkini.


6.7 Selain itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Melayu. Begitu juga dengan langkah menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa akan dapat memantapkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara keseluruhannya. Justeru, kerajaan perlulah membekal kemudahan komputer terkini dengan kadar segera ke semua sekolah di seluruh negara.


6.8 GPMS yakin dan percaya bahawa renaisans pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris akan mencapai kejayaan sekiranya mendapat sokongan daripada semua pihak yang terlibat. GPMS komited untuk melaksanakan agenda ini pada tahun 2015. Pusat bimbingan dan tuisyen khas akan diwujudkan di beberapa daerah terpilih bagi mengajar subjek Bahasa Inggeris. GPMS juga akan berkongsi kaedah-kaedah menarik dan berkesan dalam penerbitan buku ilmiah dalam bahasa Inggeris agar pelajar Melayu cepat mahir serta fasih berbahasa Inggeris.


7. RENAISANS KUALITI GURU MUDA MELAYU.


7.1 GPMS juga ingin memberi fokus khas kepada Renaisans Guru Muda Melayu. Dewasa ini, penambahan guru muda dalam kuota guru di sekolah kebangsaan merupakan satu usaha berterusan yang dijalankan oleh kerajaan dan Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan sistem pendidikan ke arah lebih berkesan dan menepati ciri-ciri di dalam falsafah pendidikan negara.


7.2 Namun, setelah masalah kekurangan guru dapat diselesaikan, timbul pula satu fenomena baharu dalam sistem dan iklim persekolahan. Golongan guru muda kini, dikatakan kurang memberi impak dan efektif kepada pentadbiran serta pengurusan sekolah. Hal ini adalah kerana sikap dan komitmen kerja tidak seperti yang dijangka dan diharapkan. Adakah isu ini benar atau hanya dijadikan sebagai isu politik atau media massa untuk memperkotak-katikkan usaha Kementerian Pendidikan dan Institusi Perguruan Malaysia?


7.3 Oleh itu, GPMS mengutarakan beberapa permasalahan yang perlu diatasi bagi memastikan renaisans kualiti guru muda Melayu dapat diterjemah dan dibuktikan kepada masyarakat.


i. Faktor Penempatan Mengajar Punca Guru Muda Kurang Motivasi


Guru muda yang meminati bidang perguruan ini akan benar-benar komited walaupun mereka dihantar bertugas di kawasan pedalaman. Rela berkorban dan berjauhan daripada keluarga demi tanggungjawab sebagai pendidik. Walau bagaimana terdapat segelintir yang mula memberi alasan kepada pihak pentadbir untuk memberikan komitmen yang optimum.


ii. Perguruan Sebagai Kerjaya Pilihan Ibu Bapa


Ramai guru muda yang memilih kerjaya sebagai guru berdasarkan kepada permintaan ibu bapa atau pilihan terakhir kerana bimbang tiada pekerjaan setelah tamat belajar. Ini akan menjadikan diri mereka bermasalah dalam menjalankan tugas sekiranya mereka ditempatkan di kawasan pedalaman atau pinggiran bandar. Mereka akan menjadi guru yang kurang berkeyakinan, kerap mencipta alasan sekiranya diminta menjalankan tugasan di luar waktu persekolahan.


iii. Salah Tanggapan


Terdapat juga guru muda menganggap kerjaya guru ini mudah dan banyak cuti, pemahaman ini diterapkan semasa mereka di IPG lagi. Mereka akan sibuk dengan perniagaan sendiri dan kurang fokus dalam menjalankan tugas, kerana prespektif perniagaan itu lebih mendatangkan keuntungan dan wang yang banyak.


iv. Fokus Bidang Tugas


Kesilapan pihak pentadbir menentukan bidang mengajar diawal penempatan guru muda tersebut tanpa melihat keupayaan dan pengkhususan guru itu terlebih dahulu dan ini menyebabkan mereka hilang fokus dan kemahiran. Keadaan ini juga menjadikan guru tersebut melaksanakan tugas tanpa kerelaan dan tanpa pengalaman. Jika berlaku sesuatu masalah akibat kekurangan pemahaman atau ‘bukan bidang’ maka guru tersebut akan dipersalahkan. Contohnya, seorang guru pemulihan diminta untuk menjalankan tugas mengajar Arus Perdana sedangkan beliau mempunyai tugas hakiki yang khusus kepada pemulihan sahaja. Walaupun guru tersebut dilatih untuk menjadi pendidik namun, kepakarannya tidak menepati sasaran dan objektif.


v. Bebanan Tugas


Lambakan dan tugasan di luar bidang pengkhususan. Guru muda ini dilambakkan dengan tugas dan jawatan di luar kemahiran dan opsyen mata pelajaran. Contohnya, guru opsyen Matematik diminta menjadi jawatankuasa Panitia Mata pelajaran Bahasa Inggeris.


vi. Mengajar Bukan Opsyen


Guru – guru muda melahirkan rasa terkilan kerana mereka terpaksa mengajar bukan opsyen pilihan dan terpaksa mengikut arahan pihak atasan sekolah.


vii. Pentadbir Pilih Kasih


Terdapat pihak pentadbir yang pilih kasih dan memberi tugasan yang sepatutnya kepada guru lama tetapi dilambakkan kepada guru-guru baharu atas alasan memberi latihan dan pendedahan awal tugasan.


viii. Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran


Guru-guru baharu menghadapi dilema apabila kejutan budaya sebenar di sekolah pedalaman yang serba kekurangan dan ini menyebabkan semangat dan iltizam mereka menjadi tumpul lantaran kurangnya keperluan dan bahan untuk mengajar. Mereka terpaksa mengeluarkan duit sendiri lantaran tidak cukup bahan mengajar asas. Mereka memerlukan kemudahan alat bantuan mengajar yang baik dari pihak kementerian. Sekiranya keadaan ini dapat diperbaiki, kualiti pengajaran dan pembelajaran para pelajar di luar bandar dan kawasan pedalaman dapat dipertingkatkan.


ix. Contoh Kurang Baik dari Pentadbir dan Guru Lama


Pihak pentadbir kurang peka dan menganggap guru baharu sebagai guru yang masih mentah dan tidak perlu mengambil tahu urusan pihak pentadbir. Contohnya, terdapat dalam kalangan guru lama tidak hadir ke sekolah di atas alasan yang tidak munasabah, kehadiran mereka tidak direkodkan. Guru yang telah lama berkhidmat biasanya akan mempunyai pendapat sendiri dalam memberikan contoh kepada guru muda. Malah terdapat segelintir guru lama yang berkecimpung dalam bidang perniagaan MLM akan memberi komentar bahawa perniagaan adalah lebih baik dari mengajar dan ini menjadi ‘virus’ kepada persepsi guru muda. Mereka semakin hilang semangat dan memberikan komitmen terbaik kepada pihak sekolah.


7.4 Segala isu yang diketengahkan tadi adalah keluhan dan dilema guru baharu yang sedang berkhidmat dan sebahagiannya berada di sekolah kawasan pedalaman. Bagi memastikan Renaisans Kualiti Guru Muda Melayu berjaya, adalah menjadi tanggungjawab dan kesedaran pihak GPMS agar isu yang dibangkitkan ini dapat diberikan perhatian serius oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia agar tenaga kerja guru baharu ini dapat dioptimumkan.


Para perwakilan dan hadirin yang dikasihi


8. RENAISANS GPMS SEBAGAI NGO PENDIDIKAN MELAYU BAGI MENANGGANI ISU MILITAN ‘ISLAMIC STATE’ (IS) DAN TERORISMA DALAM KALANGAN GOLONGAN MUDA MELAYU DI MALAYSIA.


8.1 GPMS berasa amat bertanggungjawab untuk bersama-sama kerajaan dalam menanggani isu penglibatan golongan muda dalam gerakan militan terorisma ISIS. Penglibatan beberapa orang rakyat Malaysia dalam kumpulan militan Islamic State (IS) yang berideologi ganas dilihat antara faktor yang boleh menjejaskan keamanan negara dan sekali gus merosakkan masa depan golongan belia Melayu sekiranya semakin ramai terbabit.


8.2 Justeru, GPMS amat menyokong ketegasan Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak membentangkan kertas putih berkenaan ancaman kumpulan itu di Dewan Rakyat pada minggu lepas. Dalam pembentangan tersebut, beliau mengimbas kembali penglibatan beberapa orang rakyat Malaysia dalam aktiviti keganasan bersama kumpulan militan IS. Beliau, antara lain menyebut tentang Ahmad Tarmizi Maliki, berusia 20 tahun yang sanggup menjadi pengebom berani mati kumpulan IS dan telah bertindak merempuh ibu pejabat pasukan keselamatan Iraq di wilayah Anbar dengan kenderaan yang penuh dengan bahan letupan. Tindakan itu mengakibatkan seramai 25 orang tentera Iraq terbunuh. Selain Ahmad Tarmizi, seramai empat orang lagi rakyat Malaysia telah terbunuh di Syria pada tahun ini. Mereka semua adalah golongan muda Melayu!


8.3 GPMS berkongsi kebimbangan ini memandangkan jumlah rakyat Malaysia yang terkorban di Syria mungkin meningkat kerana seramai 39 orang rakyat Malaysia telah disahkan sedang berada di Syria bagi menyertai konflik berdarah di negara itu. Y.A.B Perdana Menteri menarik perhatian umum kerana kemungkinan jumlah kematian rakyat Malaysia di negara bergolak tersebut akan bertambah sekiranya pihak berkuasa tidak menahan seramai 40 orang lagi rakyat Malaysia yang telah terpengaruh dengan ideologi kumpulan IS itu.


8.4 Berhubung dengan potensi ideologi kumpulan militan IS yang bertapak subur di Malaysia, merupakan kumpulan militan Abu Sayaf yang berpengkalan di kepulauan Mindanao, selatan Filipina dan mereka telah melakukan sumpah taat setia kepada IS. Oleh kerana kawasan operasi kumpulan Abu Sayaf begitu hampir dengan pantai timur Sabah, kemungkinan ideologi keganasan IS merebak ke Sabah dan seterusnya ke Sarawak dan tidak boleh dinafikan begitu sahaja.


Beberapa fakta lain yang menguatkan lagi kebimbangan dan potensi ideologi IS merebak dengan lebih luas ke negara ini termasuklah penggunaan media sosial oleh IS untuk mengembangkan ideologi ganas mereka dengan menggunakan bahasa Indonesia yang dikhuatiri boleh mempengaruhi golongan muda negara ini.


8.5 Pengaruh IS di media sosial juga telah terbukti apabila seorang remaja warganegara Australia berusia 17 tahun melarikan diri daripada keluarganya dan kemudian muncul dalam satu video dengan lengkap bersenjata bersama-sama militan-militan IS. Malah, seorang pemuda Belgium yang pernah berada di Syria selama setahun bertindak membunuh seramai empat orang awam di Belgium setelah terpengaruh dengan ideologi IS. IS dengan jelas telah menggunakan pendekatan menyalahtafsirkan konsep ‘jihad’ dan ‘hijrah ‘dalam Islam bagi mempengaruhi masyarakat Islam agar menyertai atau menyokong kumpulan mereka.


8.6 Hal ini amat membimbangkan kerana wujudnya pengaruh media sosial dan unsur-unsur dakwah yang berteraskan fahaman ganas. Maklumat ini mudah dilayari dari internet dan agak sukar untuk dikawal bagi membasmi tersebarnya fahaman ekstrimis ini. Berdasarkan kebimbangan ini, masyarakat dari pelbagai lapisan perlu bersatu dan mengatur langkah-langkah proaktif dalam memastikan anak-anak muda tidak mudah terpengaruh dengan maklumat menerusi internet.


8.7 Bagi mengekang penularan fahaman ekstrem ini, maka GPMS bersetuju dengan Y.A.B Dato’ Sri Najib yang telah menyatakan komitmen Malaysia untuk menjelaskan makna jihad yang sebenar dan telah disalahtafsir oleh IS. Pada masa yang sama akan menggubal undang-undang baharu, di samping memperkasa undang-undang sedia ada seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012), Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Kanun Keseksaan bagi mengekang ideologi ekstrem tajaan IS.


8.8 Berdasarkan fakta-fakta yang dinyatakan, ancaman kumpulan militan IS ke atas Malaysia memang benar-benar wujud dan berpotensi memberi ancaman yang lebih besar kepada negara ini andai langkah-langkah pencegahan tidak segera diambil. Sehubungan dengan itu GPMS menyatakan keazaman untuk menganjurkan satu KONVENSYEN BELIA MELAYU BAGI MENANGGANI ISU MILITAN DAN TERORISMA yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Mac 2015.


Konvensyen ini berteraskan kepercayaan bahawa fahaman ideologi songsang tidak boleh diberi ruang untuk bertapak dan mekar di bumi Malaysia. Fokus kepada belia sebagai pemimpin pada masa hadapan dan pentingnya bagi semua bersatu bagi membenteras propaganda dengan pendidikan dan pengetahuan. Para belia harus dididik dengan semangat bersatu padu dalam membina benteng dan dapat menjadi tunggak kestabilan dan keharmonian bangsa Melayu pada masa hadapan.


8.9 Strategi khusus akan dibentangkan oleh pihak GPMS bagi menanggani pengaruh Kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) ini. Kita akan menggunakan cara yang sama mereka gunakan iaitu menerusi pengaruh media di laman sosial. Dengan memanfaatkan sepenuhnya media sosial dan propaganda atas talian, beberapa pakar perang strategik percaya masyarakat berupaya menangani pengaruh kumpulan tersebut dengan menewaskan mereka menggunakan kaedah yang sama.


“Cabaran propaganda ISIS ini sangat menarik, seksi, kontra-budaya, anti-arus perdana,” kata Abdul Rehman Malik, seorang wartawan, pendidik dan penganjur berpengkalan di London. “Peranan kita dalam masyarakat umum adalah mengetahui makna sebenar tentang ISIS dan menangkis cerita mereka melalui jenaka, melalui langkah yang berani.”


8.10 GPMS setuju bahawa tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada kerajaan, tetapi individu yang memiliki akses kepada internet boleh menyertai perjuangan melawan ISIS. Kita perlu memanfaatkan sepenuhnya forum internet untuk merapati golongan muda Melayu dalam usaha menangani gesaan jihad. Kita perlu memberitahu orang ramai, kebenaran mengenai berapa ramai orang Islam yang dibunuh oleh kumpulan seperti al-Qaeda dan ISIS.


8.11 Kita mesti menunjukkan dengan jelas kepada golongan muda kita bahawa kebanyakan umat Islam ditipu untuk menyertai perjuangan mereka atas nama Islam. Kebanyakannya tidak mendapat gambaran sebenar tentang ‘apa’ yang sedang berlaku. Tujuan awalnya adalah untuk berjuang dan pertahankan Islam tetapi setibanya di Timur Tengah, mereka berpecah dalam banyak kumpulan seperti Jabhah Al-Nusrah dan ISIS dan akhirnya mereka bergaduh sesama sendiri. Hal ini telah dijelaskan oleh pakar dari Institut Perdamaian dan Pembangunan Antarabangsa.


8.12 Semoga renaisans GPMS yang bertujuan memberi pendidikan tentang fahaman ini dapat menyedarkan golongan muda Melayu terhadap ancaman sebenar yang sedang meresap dengan pantasnya dalam masyarakat Melayu pada hari ini. Justeru, kesedaran dan peranan generasi muda penting dalam membendung isu ini sebelum menjadi ‘nanah’ di dalam masyarakat kita. Inilah bukti peranan GPMS yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan sentiasa seiring dengan idealisma pimpinan negara dalam usaha mendidik masyarakat agar prihatin dan bertindak berdasarkan ilmu dan fakta yang sahih.


9. KESIMPULAN, PENGHARGAAN DAN PENUTUP


9.1 Akhir sekali, Persidangan Agung Tahunan pada hari ini memperingatkan agar ahli GPMS agar menghayati sepenuhnya makna Tema Persidangan Agung Tahunan GPMS pada tahun ini. Sesungguhnya, kepimpinan GPMS perlu banyak mengkaji dan membaca bagi menjadikan kita pejuang jitu dan tidak mudah dipesongkan.


9.2 Penghargaan khusus GPMS tujukan kepada semua pihak yang telah membantu GPMS bagi menjayakan pelbagai program pada tahun ini. Khususnya kepada pengurusan Kenshido International yang terus setia menjadi rakan strategik GPMS sehingga kini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Pekan di atas kesudian membenarkan pelbagai kemudahan sekolah ini digunakan bagi tujuan persidangan ini. Sesungguhnya jasa tuan pasti dikenang sepanjang zaman.


9.3 GPMS ingin merakamkan penghargaan istimewa kepada semua pihak yang banyak membantu GPMS sama ada dari aspek kewangan mahupun sokongan moral. Senarai penghargaan khas yang ingin saya lafazkan di sini agak panjang dan saya memohon maaf sekiranya ada yang terlepas pandang:-


I. Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Razak di atas kesudian memberi dana khas untuk YGPMS bergerak pada tahun ini dan kesudian mendengar pandangan GPMS dalam Dialog bersama beliau tempohari.


II. YB Tuan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan terima kasih di atas sokongan kepada pelbagai program GPMS dan juga bantuan pentadbiran yang berterusan saban tahun. Semoga peruntukan tambahan yang akan diberikan tahun depan akan membantu menyemarakkan lagi perjuangan ini.


III. Kakanda Penasihat GPMS yang sering bersama kami dalam memberi pelbagai khidmat nasihat dan suntikan tajaan kewangan terutamanya YB. Dato’ Sri Reezal Merican dan YB Dato’ Sri Hasan Malek. Penghargaan khas juga kepada semua Ahli Panel Pemikir GPMS yang banyak memberi pandangan kepada kami bagi terus berjuang dengan lebih hebat lagi.


IV. YBhg. Dato’ Khairun Aseh Che Mat, Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri yang juga banyak membantu dalam memudahkan urusan pihak YGPMS mendapat suntikan dana khas bagi memastikan kelangsungan program-program GPMS dijalankan dengan baik.


9.4 Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada barisan menteri, penaja program dan rakan strategik GPMS pada tahun ini semoga sumbangan ini berterusan pada masa hadapan. Antaranya ialah:


Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Yassin
YB. Dato’ Seri Hasan Malek
YB. Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah
YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom
YB. Dato’ Hj. Ahmad Maslan
YBhg. Dato’ Ibrahim Ahmad, Ketua Pengarah MARA
YBhg. Dato’ Abdul Malek Awang Kecil, Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM)
Y.M Dato’ Raja Arif Raja Ali, Ketua Pengarah BTN
Dr. Jason Kok, Kenshido International


9.5 Terima kasih kepada kepimpinan Majlis Tertinggi GPMS sesi 2012-2015 yang terus memberi komitmen jitu saudara dan saudari sekalian pada sepanjang tahun ini. Saya amat terharu di atas kepercayaan yang diberi kepada saya dan Sdr. Ezaruddin serta rakan-rakan lain untuk terus memacu GPMS dengan lebih hebat lagi bagi tahun yang terakhir ini.


Marilah kita sama-sama hayati sajak ciptaan A Aziz Deraman yang amat relevan dengan masa dan ketika ini.


LIDAH BANGSA.


Lidah bangsaku tiba-tiba kelu
di hujung satu dekad abad ke-21
buana yang resah benua tidak tentu
akan segala yang mungkin alaf baru
ketika kuasa-kuasa bertukar haluan
krisis ekonomi gelegak di tangan
budaya hidup yang terencat
sosial manusia yang bejat
di sisi globalisasi liberalisasi
bangsaku hilang berani.


Dari dahulu di bumi merdeka ini
bangsaku bingkas
bangun berdiri
bersatu langkah sederap serentak
yakin bangunkan nusa yang hebat
dimalui disegani dihormati orang
atas kekuatan aneka macam
taat setia rakyat menjulang
satu padu bukan kepalang
sepakat nikmat kemakmuran,
jika muncul aliran baru alur fikir
menerjah tanpa nyata batin zahir
nusa ini akan nanar
jadi pohon tidak berakar.


9.6 Kepada kepimpinan GPMS seluruh negara yang hadir ke PAT pada tahun lepas dan tahun ini, saya mewakili saf kepimpinan GPMS mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan berterusan daripada tuan-tuan dan puan-puan. Sesungguhnya amanah ini amat berat namun kami amat bersemangat dan percaya kita akan mampu bekerja bersama-sama bagi memastikan matlamat ’4 SEDAR’ kita pasti akan tercapai. Marilah kita sama-sama juga menghayati 5 SEDAR baharu pada zaman ini:


SEDAR bahawa ‘Dunia Adalah Bilik Darjah Terbaik Bagi Pemimpin GPMS.
SEDAR bahawa pendidikan pelajar Melayu semakin kritikal dan memerlukan pembelaan segera.
SEDAR bahawa orang Melayu semakin tersepit akibat permainan politik.
SEDAR bahawa pemimpin GPMS mempunyai amanah dan tanggungjawab yang semakin besar.
SEDAR bahawa GPMS perlu aktif mengembling tenaga bersama para pendidik bagi mengatasi segala rintangan dan masalah yang semakin mencabar dewasa ini.


9.7 Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada barisan penasihat dan panel pemikir serta kepimpinan GPMS dari seluruh negara yang sudi hadir pada hari ini. Sesungguhnya kita akan terus berusaha dan lantang dalam mempertahankan agenda yang terpahat kukuh sejak tahun 1948, akan kami teruskan. ‘Maju mundur, kaya miskin dan hina mulianya bangsa itu terletak di tangan kami’ merupakan azimat perjuangan kita selamanya.


“ TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA”


HIDUP MELAYU, HIDUP MELAYU, HIDUP MELAYU


“GPMS SINGA PERJUANGAN BANGSA”


SEKIAN, WABILLAHITAUFIK WALHIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.




JAIS ABDUL KARIM
Presiden GPMS

Ahad, 7 Disember 2014

Persidangan Gpms ke-60 "Renaisans Pendidikan Melayu"

Persidangan Agung Tahunan GPMS Kali Ke-60 hari ini dengan sempurnanya telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Idris Jusoh , Menteri Pendidikan II pada sesi pagi tadi.Rata-rata perwakilan GPMS dari seluruh negara yang berkampung di Pekan Pahang ternyata teruja dengan persidangan kali ini apatah lagi pada waktu yang sama YAB Datuk Seri Najib turut berada di Pekan dan diberitakan akan singgah untuk beramah mesra dengan para perwakilan GPMS di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah Pekan Pahang.

Dalam ucapan dasar Presiden GPMS Kebangsaan , Saudara Jais Abdul Karim semalam beliau menggariskan hala tuju perjuangan GPMS kepada beberapa perkara dengan tema Renaisans Pendidikan Melayu .

Merujuk kepada berita yang disiarkan oleh utusan online , Tema ini dikupas dalam topik seterusnya dan berfokus kepada lingkungan yang berkaitan GPMS dan menjurus secara khusus dalam bidang pendidikan. Melalui Renaisans Melayu ini, semua lapisan masyarakat khususnya Melayu diminta untuk menerapkan nilai-nilai positif supaya lebih dinamik, maju dan mampu bersaing dengan kaum yang lain.

Sistem pendidikan sekolah Kebangsaan harus diperkasakan lagi dan malah guru sekolah kebangsaan perlu diberi insentif yang menarik dan kerajaan tidak harus melayan desakan dan tekanan daripada aktivis radikal dan organisasi rasis seperti Dong Zhong yang sentiasa berjuang untuk kepentingan kaum sendiri dan tidak mempunyai aspirasi nasional.

Kerajaan selama ini amat memberi layanan cukup istimewa kepada kaum cina dan India dalam bidang pendidikan malah di Singapura sendiri pun tidak memiliki Sekolah Jenis Kebangsaan.

Pada 1999, GPMS pernah berhadapan dengan tuntutan daripada gerakan “ultra-chauvinist” keturunan cina yang mengemukakan 83 tuntutan. Begitu juga Dong Zhong sibuk menyalak agar kerajaan mengiktiraf peperiksaan New Era College ( NEC) sama taraf peperiksaan NEC dengan sistem peperiksaan kebangsaan.

Untuk mencapai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, sudah sampai masanya ketegasan kerajaan memansuhkan sistem sekolah tiga aliran secara perlahan-lahan demi kemajuan negara dan tidak membenarkan lagi pembukaan sekolah jenis kebangsaan baharu untuk masa depan negara.

Sejak kepimpinan muda mengambil alih tampuk kepimpinan GPMS pada November 2009, GPMS mendapat sokongan jitu dari pihak kerajaan dan pelbagai institusi swasta bagi melaksanakan hampir 700 program yang memberi manfaat kepada hampir 3 juta pelajar di seluruh negara.

Segala laporan aktiviti ini didokumentasikan di dalam Majalah Suara GPMS 2010, 2011, 2012 dan 2013 dan 2014. Penaung GPMS, Perdana Menteri banyak memberi sokongan dalam usaha kami memperkasakan gerakan kesedaran kepada anak-anak muda Melayu.

Perjuangan GPMS konteks perjuangan NGO di Malaysia sudah melalui tempoh yang cukup panjang sejak ia ditubuhkan pada 1948 . Dalam tempoh tersebut GPMS telah melahirkan ramai pemimpin belia negara.

Hari ini boleh dikatakan bekas pemimpin GPMS sangat hebat sehingga mampu menjadi Perdana Menteri dan memegang beberapa jawatan utama negara iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Musa Hitam.

Di samping Tun Abdullah, nama-nama Datuk Hasan Malek, Tan Sri Abdullah Ayob, Tan Sri Abdullah Salleh, Prof. Datuk Awang Had Salleh, Tan Sri Nordin Kardi, Datuk Jaafar Rahim, Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Datuk Raja Arif, Datuk Suhaimi Ibrahim, Datuk Seri Reezal Merican dan ramai lagi tokoh yang GPMS lahirkan. GPMS merupakan markas membina kematangan sebagai seorang pemimpin membina idealisme perjuangan.

Ketika dahulu penubuhan GPMS turut dilihat menjadi saluran kesinambungan golongan elit Melayu yang berpendidikan Melayu dan Inggeris sebelum dan selepas merdeka. GPMS sangat terkenal dengan program kelas tuisyen yang sangat berjaya melahirkan anak-anak Melayu hebat dalam pendidikan. GPMS telah lama menabur bakti meniupkan kesedaran bahawa pendidikan adalah kunci perjuangan bangsa.

Pada hari ini, GPMS dipimpin anak-anak muda di bawah usia 40 tahun ke bawah. Kepimpinan muda telah memikul kesinambungan perjuangan GPMS dengan penuh amanah dan kesedaran. Penambahan cogan kata “GPMS Singa Perjuangan Bangsa” adalah ingin membuktikan bahawa GPMS bukan sekadar hebat membuat kenyataan akhbar, laporan polis, bantahan dan demonstrasi malah memperjuangkan isu-isu pendidikan di forum-forum serta program-program di akar umbi.

Bagi GPMS, golongan muda penuh dengan radikal dan idealisme dan mereka harus digilap dengan bakat-bakat kepimpinan.

GPMS menyanjung tinggi keberanian Perdana Menteri yang mengekalkan Akta Hasutan 1948 malah akan diperkasakan lagi kerana ia adalah satu keputusan untuk kepentingan negara untuk masa hadapan. Tambahan pula, negara yang berbilang bangsa ini amat memerlukan akta ini untuk menyekat pihak tertentu menyentuh isu-isu sensitif.

Sekarang ini, media sosial seolah-olah menjadi pekan koboi tanpa undang-undang membolehkan pihak tertentu menghina institusi Kesultanan Melayu dengan sewenang-wenangnya dan menyemarakkan api perkauman.

Kita tidak perlu mengikut acuan negara Barat dengan kebebasan bersuara tanpa batas kerana negara Malaysia berbeza daripada segi pecahan kaum. Negara Barat kebanyakan mempunyai hanya satu bangsa dan bangsa asing yang sangat minoriti. Ini kerana perpaduan rakyat Malaysia adalah merupakan teras keamanan dan kemakmuran negara.

Tanggungjawab menjaga keamanan tidak harus dibebankan kepada pihak kerajaan semata-mata dan memelihara perpaduan nasional juga bukan hanya kaum pribumi semata-mata dan sikap rakyat bukan pribumi persepsi menyifatkan pemeliharaan perpaduan nasional bukan amalan dalam sebuah negara moden harus dikikis.

Dengan ekonomi pribumi masih lemah ke mana ekonomi pribumi pada tahun 2020 masih menjadi perjuangan NGO-NGO Melayu. Kadar pemilikan ekuiti syarikat korporat bumiputera masih belum memuaskan. Justeru, penglibatan generasi muda Melayu dan bumiputera dalam aktiviti keusahawanan perlu ditingkatkan bukan sekadar pada tahap usahawan kecil semata-mata. GPMS akan berganding bahu dengan kerajaan dalam merangka strategi untuk memperkasakan usahawan Melayu muda.

Pesanan Allahyarham Aminuddin Baki ada menyebut beliau tidak kesal sekiranya bangsanya menitiskan “air mata darah bercampur keringat” tetapi tidak mahu bangsanya menitiskan “air mata darah bercampur kekesalan” akibat daripada kealpaan mereka sendiri. Jangan merelakan bangsa Melayu “ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan” menjadi kenyataan.

Diharapkan persidangan ini akan terus membangkitkan kesedaran kepada anak-anak muda untuk memajukan diri dan meniupkan semangat untuk bekerja keras membela anak bangsa mereka.

Mereka harus bermentaliti kelas pertama agar bangsa Melayu setanding bagi menjamin masa depan Melayu dalam menghadapi arus globalisasi.

Jam dinding pasti akan berge-rak, PRU ke-14 pasti akan datang dan menuntut agar orang Melayu harus bermentaliti survival untuk mengekalkan kelangsungan politik Melayu dan bumiputera. Pemimpin Melayu dan orang Melayu diminta jangan “angau” lagi dalam kuasa politik Melayu semakin terhakis disebabkan kita berpecah belah. Orang Melayu mestilah sedar, insaf dan faham survival Melayu tidak terjamin jika kita sikap kita berterusan seperti PRU ke-13 lalu. PENULIS ialah Timbalan Presiden GPMS - UM




Bangkitlah anak bangsa !

Kita mungkin tidak perlu mengungkit hubungan Melayu dan Islam serta sikap Islam terhadap rasuah. Ia telah berada dalam pengetahuan semua Melayu yang mengaku dirinya beragama Islam.

Ditakdirkan ada Melayu yang tergamak menolak hukum Allah dengan menganggap rasuah tidak memudaratkan sesiapa, Melayu itu patutlah merenung sejenak kedudukan bangsanya di bumi Malaysia ini.

Sebagai bangsa yang masih bertaraf ‘pilihan kedua’ di negara sendiri, dan pada masa yang sama memiliki kuasa politik yang tidak boleh dipertikaikan, Melayu hanya menempah kecelakaan jika menghalalkan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia hanya akan memungkinkan
pihak-pihak lain yang lebih kaya membeli dan menjual mereka dengan sewenang-wenangnya.

Sejarah Tanah Melayu telah banyak kali merakamkan kisah bagaimana ada orang Melayu dijual, ada tanah dan negeri Melayu digadai atas nama emas dan ringgit. Sejarah begitu sama sekali tidak patut dibenarkan berulang. Kita tidak mahu orang Melayu menjadi seperti orang-orang Red Indian suku
Kwakiutl di British Columbia, Kanada, yang menerima budaya mencagarkan nama untuk berhutang sebagai satu cara hidup. Kalaupun sekarang ini sudah muncul banyak Melayu yang menjual nama dan menggadai bangsa bagi mencari kekayaan secara mudah, kita masih berharap ia tidak akan menjadi resam baru yang dihalalkan.

Untuk mengekang kemungkinan-kemungkinan itu, Melayu patut mengawal keghairahan mereka. Para pemimpinnya juga mestilah mempunyai kemahuan yang luar biasa untuk memerangi gejala yang meruntuhkan ini. Tindakan yang keras dan tegas perlu diambil bagi menghapuskan rasuah. Tidak ada salahnya jika undang-undang digubal dan wartakan bagi menghukum pemberi rasuah dua kali lebih berat daripada penerimanya. Apa salahnya jika jika kedua-dua pihak yang didapati bersalah melakukan rasuah dihukum sebat dengan rotan di khalayak ramai, di tempat-tmpat terbuka seperti di Dataran Merdeka? Jika pengedar dadah boleh dihukum gantung, perasuah juga mungkin tidak patut dibenarkan hidup lama dan selesa.

Kita sedar bahawa dalam mana-mana tamadun pun, keghairahan untuk maju akan bergerak seiring dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tetapi ini bukanlah suatu hukum yang bersikap absolute. Kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai anjuran bahawa untuk mengelak daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kita patut kekal mundur.

Kita boleh maju. Kita boleh berjaya. Malah kita mesti maju dan berjaya.

Namun kejayaan mempunyai dua wajah. Pertama, kejayaan yang singkat dan kedua, kejayaan yang kekal.

Untuk mencapai kejayaan jenis pertama amatlah mudah. Benarkan sahaja semua pemimpin dan pentadbir Melayu melakukan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Benarkan semua orang Melayu menjual dan menggadai tanah serta permit-permitnya. Esok atau lusa, anda pasti melihat begitu banyak Melayu yang kaya, yang maju dan berjaya. Tetapi selepas esok atau selepas lusa, Melayu mungkin tidak bersisa lagi.

Bagi mencapai kejayaan yang panjang dan kekal, manusia dituntut supaya mengimbangi kehendaknya dengan akal fikiran. Tidak salah untuk berasa ghairah terhadap kejayaan. Tetapi keghairahan di peringkat enthusiasm mempunyai nilai yang berbeza dengan keghairahan di tahap obsessi. Kita sepatutnya memilih yang pertama. Lakukanlah apa yang kita mampu bukan melakukan apa yang kita mahu.

Dalam ‘Russelas’nya, Samuel Johnson menyebut ‘ hasil kerja yang baik tidak dapat dicapai dengan perahan tenaga, tetapi dengan ketekunan yang berterusan.’ Dalam bahasa mudahnya ia bermakna kejayaan tidak akan dapat dinikmati melalui kegelojohan, sebaliknya ia akan diperolehi melalui kemahuan yang berpanjangan. Di dalam Islam prinsip ini menepati konsep istiqamah yang dituntut supaya diamalkan oleh setiap individu yang mahu menjadi insan cemerlang.

Secara semulajadi orang Melayu mewarisi sifat-sifat yang boleh membawa mereka ke arah kejayaan. Dua daripada sifat-sifat itu ialah ketaatan dan kesabaran. Di dalam ‘Bush-whacking’ (1882), Residen Inggeris di Pahang, Hugh Clifford mencatatkan: ‘…apabila dia (orang Melayu) bekerja untuk seseorang yang mengenalinya, dia akan bekerja seperti tidak ada orang lain bekerja.’

Catatan Clifford itu tidak harus dianggap sebagai kenyataan jelek, yang bermaksud menghina Melayu sebab berpotensi menjadi khadam yang baik. Dia mungkin tidak bermaksud begitu. Dia mungkin ikhlas apabila menyatakan kekaguman tersebut sebab di dalam buku yang sama, Clifford turut menyebut,”…mereka (orang Melayu) memang bagus. Bila-bila masa pun aku akan memilih mereka daripada memilih orang lain. Anehnya ada pula orang yang mengatakan orang Melayu adalah haiwan yang paling malas di muka bumi ini.”

Banyak orang Melayu sendiri tidak menyedari akan kelebihan mereka itu. Tradisi kurang berminat menganalisis diri menyebabkan mereka mengabaikan kelebihan tersebut.

Ketaatan adalah nilai yang dituntut di dalam kehidupan, baik yang menyangkuti urusan manusia dengan Tuhan, mahupun dalam hubungan manusia sesama manusia. Dalam sebarang bentuk kehidupan pula, ketaatan adalah tuntutan yang amat payah hendak disempurnakan.

Tetapi orang Melayu terkecuali daripada kepayahan itu. Seperti telah disebut dalam bab yang lebih awal, orang Melayu memiliki kesediaan untuk taat secara tradisi. Apabila raja mereka memeluk agama Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh Parameswara di Melaka, atas nama ketaatan, orang-orang Melayu yang menjadi rakyatnya turut memeluk Islam. Hal yang sama berlaku di negeri-negeri lain.

Kemudian, selepas beragama Islam, orang Melayu membuktikan bahawa mereka adalah penganut yang taat. Mereka tidak akan bertolak ansur dalam hal-hal yang membabitkan maruah dan kedaulatan agama suci itu.

Sebelum itu, ketika beragama Hindu, nenek moyang orang Melayu ternyata menjadi Hindu yang patuh. Kesetiaan mereka pada kepercayaan yang dianuti itu begitu kuat, sehinggakan selepas beratus tahun meninggalkan agama itu, mereka masih mempraktiskan sebahagian daripada resam budayanya.

Di dalam budaya hidup Melayu, penekanan terhadap nilai-nilai ketaatan sentiasa berada di tempat yang teratas. Anak diwajibkan taat kepada ibu bapa, murid dimestikan taat kepada guru, rakyat dituntut taat kepada pemerintah. Pendek kata, orang Melayu diajar supaya mentaati apa sahaja yang mempunyai hubungan langsung dengan mereka. Dalam Kanun Melaka jelas disebut bagaimana si penderhaka yang tidak mentaati raja bukan sahaja mesti dihukum bunuh, malah tapak rumahnya juga akan digali dan dibuang ke laut.

Seiring dengan ketaatan itu, Melayu juga memiliki tahap kesabaran yang luar biasa. Akar umbi Hindu mereka mungkin menjadi sebahagian daripada faktor yang membina peribadi itu. Di dalam agama Hindu wujud kepercayaan bahawa ‘kesengsaraan adalah satu kenikmatan’ dan kepercayaan itu banyak membantu proses pembentukan kesabaran di kalangan penganutnya.

Apabila mereka memeluk agama Islam, asas kesabaran yang sedia ada di lubuk hati orang Melayu itu menjadi bertambah mantap kerana Islam sememangnya meletakkan kesabaran di darjat yang cukup tinggi.

Dengan pemilikan kedua-dua elemen ini, taat dan sabar, Melayu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk berbuat sesuatu dengan ‘ketekunan yang berterusan’, sebagaimana disarankan oleh Johnson.
Malangnya, kebanyakan Melayu tidak menjadi begitu. Mereka mengabaikan potensi yang dimiliki. Mereka tidak mahu menjadi diri mereka sendiri, sebaliknya lebih cenderung hendak menjadi orang lain. Kesannya, muncullah Melayu jenis gelojoh dan gopoh. Kesan susulan daripada kegelojohan itu ialah muncul pula perbuatan-perbuatan yang telah disebutkan pada awal bab ini; rasuah, penyelewengan,penyalahgunaan kuasa, penjualan harga diri, penggadaian maruah bangsa dan bermacam-macam lagi perilaku buruk seumpamanya.

Tidak dinafikan bahawa di celah-celah karut-marut perangai Melayu spesis baru itu ada individu-individu Melayu yang menapak naik dengan jerih payah, bukannya dengan amalan-amalan korup yang busuk. Orang-orang seperti Tan Sri Azman Hashim, ahli bank yang terkemuka itu dan Tan Sri Shamsudin, pengasas Sapura, adalah contoh paling dekat untuk menunjukkan bahawa Melayu juga boleh berjaya di bidang ekonomi tanpa menggunakan jalan pintas sekiranya mereka memiliki tahap istiqamah yang tinggi.

Selain daripada kedua-dua nama itu, ada lagi nama beberapa kerat Melayu yang bermula dari bawah dan merangkak naik tanpa sudu emas di mulut. Tidak semua mereka menempah nama sebagai orang korperat. Sesetengahnya menjadi kaya raya sebagai pekebun, peladang atau nelayan di ceruk-ceruk terpencil yang tidak diketahui orang.

Orang-orang seperti mereka ini biasanya tidak gah. Dalam kebanyakan kes, kewujudan mereka tidak disedari sebab mereka tidak bergayut di bawah dagu sesiapa untuk mencari kemasyhuran. Namun realiti tidak akan boleh dibohongi. Secara realitinya, merekalah penyumbang sebenar terhadap pencapaian ekonomi Melayu. Merekalah wira kita yang sejati.

Sesungguhnya, kita tidak patut membiarkan nama baik orang seperti mereka ditenggelami dan dicemari oleh spesis-spesis Melayu yang karut dan rakus.

Jumaat, 5 Disember 2014

Tolong jangan khianat Melayu !

Siapa Khianat Melayu ?

Cetusan idea ini muncul apabila berborak bersama sahabat seperjuangan lantas menimbulkan persoalan siapakah yang sebenarnya khianat pada Melayu?

Apakah kita lupa melihat bandar Kuala Lumpur itu sendiri, berapa banyak bangunan yang tergadai terjual kepada usahawan Cina yang mempunyai tempat tertinggi di mata kepimpinan Melayu. Kita lihat kehadiran agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang kini bergelar UDA Holding Berhad, tanyakan kepada mereka berapa banyak tanah yang telah mereka cagar dan jual lantas kini segi tiga emas Kuala Lumpur itu sendiri seakan "China Town" kecuali bangunan UDA yang terletak di Jalan Imbi.

Kita belum meneliti peranan Peladang, FAMA, Nelayan dan beberapa pertubuhan peladang yang sebenarnya memeras ugut petani kecil lantas membenarkan kapitalis membolot kekayaan hanya sebagai orang tengah. Lihat bagaimana mereka memeras petani seperti penternak ayam lalu menyalurkan hasil belian murah mereka kepada peraih - peraih Cina yang menjadi saluran pembekal kepada pasar - pasar besar seperti Giant, Tesco dan Care Four. Di mana orang - orang Melayu yang sebenarnya menjadi penggiat ekonomi tersebut ?

Nelayan adalah satu contoh klasik pemerasan agensi kerajaan ke atas penggiat ekonomi tersebut. Berapa ramai sebenarnya nelayan berbangsa lain di Malaysia ini? Siapa pula yang menjadi pembekal utama sumber ikan di negara kita ini? Siapa pemegang utama menjadi pembekal kepada pasar - pasar utama negara kita ini khususnya pasar 'hyper" . Sekali lagi persoalan yang timbul ialah di mana kedudukan Melayu dalam kerancakan ekonomi negara ini ?

Sebenarnya apa yang berlaku adalah agihan tidak seimbang antara Melayu itu sendiri. Sungguhpun pembuat dasar sentiasa memikirkan kepentingan Melayu tetapi Melayu dalam agensi kerajaan sendiri hanya memikirkan diri sendiri lantas sanggup melakukan apa sahaja untuk diri sehingga mengorbankan Melayu lain.

Melayu berada dalam apa yang saya kategorikan sebagai "sakai" dalam ekonomi negara kita ini. Cuma segelintir Melayu yang DIKAYAKAN untuk menjadi pemangkin petunjuk bahawa Melayu itu sudah berjaya di bumi Malaysia. Dengan menjadikan beberapa Melayu yang terpilih menjadi kaya maka indeks keseluruhan pegangan Melayu individu dan kerajaan akan menunjukkan kekuatan palsu MELAYU dalam ekonomi negara.

Setakat hari ini kejayaan perkongsian kuasa itu di lihat dari segi pembangunan fizikal negara dan bagi saya adalah selama mana kita masih hidup harmoni dari tarikh 13 Mei 1969. Perkongsian kuasa dalam erti yang sebenarnya tidak wujud bagi kaum Cina dan kaum - kaum lain di Malaysia. Apa yang ada hanya satu gimik pilihan raya yang mahukan undi dari bangsa lain kepada Barisan Nasional termasuk UMNO yang kini merosot secara mendadak sokongan orang - orang Melayu terhadap partinya.

Dalam erti kata yang lain undi Cina amat di perlukan bagi membolehkan Melayu terus hidup dengan sebilangan kecil kepimpinan tertinggi memegang kuasa politik. Ini sebenarnya tidak dapat di sangkal oleh kerajaan memerintah dan sekiranya kita lihat perpecahan politik antara kaum Cina - MCA dan DAP, maka peratus perpecahan ideologi politik mereka amat kecil berbanding dengan peratus perpecahan dari sudut ideologi politik Melayu yang merangkumi UMNO-PAS dan KEADILAN. Sebenarnya ini sepatutnya menggerunkan kita.

Kita juga dapat melihat dari bahawa penyandang jawatan penting politik dari Setiausaha Politik, Timbalan Menteri dan Menteri memang sudah terbahagi dan peningkatan kaum - kaum lain kini semakin subur dalam politik negara ini. Kesuburan kehadiran mereka memang menunjukkan penyatuan dalam pemerintahan tetapi asas nya masih sama - pemberian hak politik kepada bangsa - bangsa lain di buat berteraskan perkongsian kuasa yang menjerumus kepada pemberian kuasa orang - orang Melayu tanpa pulangan yang menguntungkan kita.

Melihat dari sudut yang lain pula, apakah ada keseimbangan perkongsian kuasa politik dengan ekonomi dalam negara ini. Apakah berlaku peratusan yang sesuai dalam kita mengorbankan kuasa politik dan mereka mengorbankan kuasa ekonomi? Apakah mereka dalam industri - industri besar sanggup menerima kontraktor - kontraktor Melayu atau semestinya mereka mendahulukan bangsa mereka yang mereka anggap lebih berkaliber dalam melakukan sesuatu kerja kontrak.

Bagi memudahkan andaian, rumah banglo untuk orang Cina di siapkan oleh kontraktor Cina dan rumah banglo orang - orang Melayu turut di siapkan oleh orang - orang Cina. Kenapa, kualiti kerja ? Mungkin tetapi peluang langsung tidak di berikan sehinggakan kontraktor kecil bumiputera tersebut terus melukut di tepian gantang. Yang lebih menyepikan kita adalah barangan kontrak pembinaan, sekiranya kontraktor Melayu yang di lantik harus merujuk kepada "hardware" bangsa Cina yang mendominasi perniagaan tersebut.

Siapa pula yang berani menyangkal bahawa sekarang ini kuasa politik di pegang oleh dalang - dalang yang mempunyai kekuatan ekonomi? Seperti yang telah saya katakan sebelum ini kekuatan ekonomi dapat meletakkan tanda harga pada kuasa politik yang di pegang oleh orang - orang Melayu. Apakah ini satu kenyataan palsu atau sebenarnya kalau kita lebih terbuka berdiskusi mengenainya maka kita ketahui bahawa rasuah adalah alat yang menjadi kuasa sebenar bagi membeli kuasa politik negara ini. Siapa pula yang jadi majoriti perasuah dalam negara ini? Kita belum mengkaji atau mendapatkan statistik menyeluruh tetapi dari pengamatan kita, siapa yang sering di tangkap sebagai penerima rasuah dan siapa pula yang menjadi pemberi.

Mari kita lihat :

- Majoriti penagih dadah yang berada di Pusat Pemulihan adalah dari belia - belia Melayu.

- Majoriti mereka yang menerima rasuah sekiranya di amati secara terbuka tanpa statistik khas adalah orang - orang Melayu.

Salahkan kenyataan di atas. Apakah sebenarnya masalah orang - orang Melayu, apa kah sebenarnya masalah pemimpin - pemimpin Melayu?

Sebenarnya jawapan kepada beberapa persoalan di atas ada kepada kepimpinan Melayu itu sendiri. Kepada siapa projek - projek di salurkan dan kepada siapa di beri kontrak - kontrak mereka juga yang tahu. Kedudukan Melayu dalam politik serta bagaimana hambanya Melayu kepada ekonomi negara ini, mereka juga yang tahu. Perkongsian politik yang di berikan, mereka juga yang tahu mengapa.

Apakah mereka menjual bangsa mereka sendiri? Apakah Melayu tidak mampu, atau sebenarnya mereka yang di beri peluang untuk maju adalah mereka yang akan memajukan individu yang memegang kuasa politik. Sebenarnya di mana kesalahan kita kalau kita bandingkan dengan pemegang lesen komunikasi CELCOM yang kini merosot berbanding dengan pemegang lesen Maxis yang kini subur sungguhpun CELCOM adalah syarikat pertama memegang lesen tersebut. Apakah tidak langsung kita kaji mengenai individu yang menjadi tunjang utama dalam CELCOM sebelum penjualannya. Mungkin tidak salah kalau saya katakan - Melayu itu adalah antara Melayu yang terbodoh di dunia ini. Begitu juga Syarikat Penerbangan Malaysia MAS berbanding dengan Syarikat Penerbangan Air Asia. Apakah tidak boleh sekali lagi saya katakan bahawa Melayu yang menunjangi MAS sebelum "bail out" kerajaan adalah Melayu yang terbodoh di dunia.

Tanyakan pula kepada Melayu - Melayu yang menjaga kutipan TOL, apakah syarikat mereka mempunyai hasrat untuk membangkitkan mereka dengan memberi kemudahan pembelajaran, kursus dan sebagainya untuk menjamin masa depan mereka atau syarikat yang telah untung berbillion tersebut lebih rela melihat anak - anak Melayu menghulur tangan mengutip tol.

Tun M sudah mula mempertikaikan TPPA dan 1MDB serta dasar kerajaan yang di dapati memberi pengaruh negatif kepada negara melalui blog chedet.cc. Malaysia mula di beri tekanan oleh negara kuasa besar dunia dengan Kes MH17 dan MH370. Matawang Malaysia merudum teruk seperti tahun 1997/98.Tolong berlaku jujur dengan situasi ekonomi sekarang dan jangan mempermainkan angka import dan eksport yang di lihat retorik dan tidak signifikan dengan situasi masa kini. Bagaimana untuk ahli UMNO dan rakyat SOLIDARITI untuk mempertahankan pemimpin jika kualiti seperti ini di tunjukkan. Saya sanggup di gelar "friendly fire dan bangang" daripada membiarkan anak cucu kita nanti kencing di atas kubur kita.

Terlampau banyak persoalan dan terlampau banyak yang boleh di lakukan - cuma apabila diri mendahului segalanya - di tambah dengan ketamakan - maka di gadai nya bangsa. Dan satu pesanan khusus saya - UMNO martabat kan bangsa dan jangan menggadaikannya.