Jumaat, 24 Oktober 2014

Menghayati Konsep Hijrah Rasulullah

Hijrah adalah peristiwa penting dan bersejarah bagi seluruh umat Islam. Ia bukan saja bermakna bermulanya perkiraan takwim bulan hijrah, malah merujuk kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah yang mengandungi rahsia, keistimewaan dan konsepnya tersendiri.

Sejarah merakamkan peristiwa Nabi Muhammad SAW diperintahkan oleh Allah berhijrah dari Makkah ke Madinah ketika ruang perjuangan Rasulullah terlalu sempit dan terhimpit. Baginda tidak memilih untuk berdoa meminta kelapangan yang sudah tentu Allah kabulkan. Sebaliknya, terpaksa menempuh laluan sukar, berbahaya dan berisiko tinggi kerana diburu musuh untuk mencapai suatu keadaan yang lebih baik. Melalui perintah hijrah, Rasulullah SAW berusaha merancang dan bertindak.

Penghijrahan seumpama Rasulullah dan sahabat tidak berlaku lagi kepada umat Islam selepas Baginda. Namun, konsep penghijrahan tetap berterusan di kalangan umat Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi hijrah yang tetap ada adalah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa); dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.”

Merujuk kepada bahasa Arab, perkataan hijrah bermaksud bergerak meninggalkan satu tempat untuk ke tempat lain dalam usaha mencari pembaharuan yang menjurus kepada yang lebih baik.

Dalam konteks lebih luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari suatu keadaan kurang baik kepada keadaan lebih baik, daripada keadaan negatif kepada yang lebih positif. Ia juga bererti meninggalkan kepercayaan dan amalan serta peraturan dan cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam sebagai agama yang diredai oleh Allah.

Diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud daripada Abdullah bin Hubsyi, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.”

Sehubungan itu, persoalan yang sering berlegar di pemikiran adalah apa, di mana dan ke mana arah tuju kita, khususnya umat Islam di negara ini dalam menghayati konsep hijrah pada era globalisasi?

Jika diteliti dan dihayati, konsep hijrah pada era globalisasi mengajak umat Islam untuk memanfaatkan pelbagai aspek kemajuan masa kini bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Tetapi, tanpa sifat sanggup berhijrah, mustahil kejayaan akan tercapai dan kemajuan ummah tidak akan berhasil.

Islam tidak menyuruh kita berdiam diri dan menunggu Allah memberi sesuatu kepada kita tanpa berusaha. Allah berfirman bermaksud: “Bagi setiap seorang ada malaikat penjaganya dari hadapan dan belakangnya, yang menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)

Justeru, umat Islam hari ini mestilah berusaha mempersiapkan diri untuk melakukan hijrah menuju pada alaf baru. Dunia tidak akan menunggu suatu umat untuk sama-sama mencapai kemajuan dan kecemerlangan. Golongan mundur biasanya sengaja mewujudkan halangan untuk cemerlang dalam hidupnya.

Bagi golongan cemerlang mereka sentiasa bersedia berhadapan dan berusaha untuk mengatasi segala hambatan dan rintangan seperti perasaan takut gagal untuk bersaing, sikap suka bertangguh, malas, banyak dalih dan banyak alasan.

Hijrah turut mengajak bagaimana muhasabah dan menilai diri, hati dan jiwa serta usaha untuk memiliki sifat mahmudah (terpuji) seperti ikhlas, reda, sabar, amanah dan berperibadi mulia.

Pada masa sama menghindari sifat mazmumah (keji) seperti sombong, riak, dengki dan kikir untuk tidak diamalkan dalam kehidupan.

Selain itu, usaha mewujudkan perpaduan dan persaudaraan dalam hidup bermasyarakat, berbangsa dan bernegara perlu menjadi agenda, peranan dan tanggungjawab bersama untuk dilaksanakan dalam konteks kepentingan umat Islam sejagat.

Kepentingan dan kelebihan ilmu pengetahuan amat penting bagi membantu kejayaan dalam apa juga bidang.

Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk sentiasa menambah ilmu sama ada yang berkaitan dengan urusan dunia mahupun kehidupan sesudah mati. Firman Allah bermaksud: “Apakah orang yang taat beribadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri, dia takutkan azab hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya, sama dengan orang musyrik? Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.” (Surah az-Zumar, ayat 9)

Ayat di atas jelas menerangkan kelebihan orang yang berpengetahuan berbanding orang yang tidak berpengetahuan dalam memainkan peranan bagi mencapai kemajuan.

Konsep hijrah menyarankan agar segala kemudahan yang ada dapat dimanfaatkan, selain memahirkan diri dan menguasainya.

Ini akan menambah keselesaan dan kesejahteraan kehidupan, di samping membantu usaha menyebarluaskan lagi syiar Islam di merata tempat, tanpa mengira masa dan keadaan. Semua ini akan membantu mengembalikan kegemilangan, tamadun dan martabat umat Islam di arena antarabangsa.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1436.

Belajar terus belajar

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

MANA HILANG MARUAH MELAYU ?

Hidup Melayu selalu malang,
Hidup merempat di bumi merdeka,
Di hina pula sebagai pendatang,
Oleh teman talam dua muka.

Sekolah wawasan sekolah vernakular,
Mencari satu identiti bangsa,
Orang Melayu sentiasa di cabar,
Niat hidup rukun bersama.

Tanah ini milik orang Melayu,
Ekonomi pula milik orang Cina,
Kenapa kita tidak boleh bersatu,
Untuk hidup tinggi rendah bersama.

Bahasa Melayu Bahasa Inggeris,
Faktor pasaran dunia pekerjaan,
Orang Melayu ramai menangis,
Akibat diskriminasi kulit majikan.

Oktoberfest anjing video lucah,
Jarum liberal jarum Yahudi,
Mengapa kita ingin berpecah,
Lupakah kita adat dan jati diri.

Jujur lihat renung dalam hati,
Adakah kita satu negara bangsa,
Janji bersama sehidup semati,
Walaupun hakikat hati terseksa.

Nukilan :
Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka.

Jumaat, 3 Oktober 2014

Selamat Menyambut hari raya Aidiladha

Ibadat korban merupakan antara amalan yang amat disukai oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di mana baginda sentiasa menggalakkan sahabat-sahabat baginda melakukan ibadat korban. Ini memandangkan ibadat korban itu mempunyai banyak hikmah dan kelebihan-kelebihan yang memberi kebaikan kepada diri kita, agama dan masyarakat. Oleh yang demikian, sebagai umat Islam yang mampu seharusnyalah mengambil iktibar terhadap galakan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepada sahabat-sahabat baginda untuk berbuat demikian.
Terdapat banyak hadis yang menganjurkan ibadat korban antaranyab di mana Rasulullah s.a.w. bersabda;

مَاعَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلاً أَحَبَّ إِلَى الله عَزَّ وَجَلَّ مِنْ إِهْرَاقَةِ دَمٍ. وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلاَفِهَا وَأَشْعَارِهَا. وإِنَّ الدم لَيَقَعُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الأَرْضِ. فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً


“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi.[1] Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban itu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah hasan. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 7949.)

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّناَ – رواية ابن ماجه
Maksudnya : Sesiapa yang mempunyai kemampuan sedangkan dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.

Hukum ibadat korban
Hukum korban ialah sunat muakkad (iaitu sunat yang amat-amat digalakkan oleh agama) bagi orang yang memenuhi syarat-syarat berikut;[2]
Muslim
Baligh dan berakal
Bebas/merdeka
Ada kemampuan; iaitu memiliki lebihan belanja setelah ditolak nafkah dirinya dan orang-orang di bawah tanggungannya merangkumi makanan, pakaian dan tempat tinggal sepanjang hari raya dan hari-hari tasyriq.
Ibadah ini terbuka kepada semua orang Islam yang memiliki kelapangan atau kemampuan sama ada orang badar atau orang kampung/pedalaman, orang dalam musafir atau berada dalam negeri dan termasuklah kepada jamaah haji di Mina.[3] Terdapat riwayat dalam Soheh Imam Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. melakukan korban di Mina bagi isteri baginda dengan menyembelih lembu. (Riwayat dari Saidatina Aisyah r.a.)[4]
Dimakruhkan meninggalkan ibadah korban ini bagi orang yang memenuhi syarat-syarat di atas. Berkata Imam as-Syafi’ie; “Aku tidak memberi rukhsah untuk meninggalkannya bagi sesiapa yang mampu melakukannya” (yakni Imam Syafi’ie memandang makruh meninggalkannya bagi orang yang mampu).[5]
Manakala di antara hikmat dari syariat ibadah korban itu pula ialah

Pertama : Untuk mengekalkan ingatan kita kepada kisah Nabi Ibrahim Alaihissalam yang sanggup menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban, akan tetapi Allah menggantikannya dengan seekor kibasy. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, dia berkata : Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya, wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab dengan sabdanya maksudnya :
“Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim. Mereka bertanya lagi : Apa yang akan kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi : Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab : Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya”.

Kedua : Melatih dan membentuk kaum Muslimin supaya sanggup berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.

Ketiga : Memupuk sikap pemeduliaan dan prihatin terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan sebahagian daging korban itu sebagai makanan atau meluaskan rezeki orang-orang fakir miskin sempena Hari Raya Aidiladha.

Keempat : Menyemai dan menanamkan sifat terpuji dan nilai-nilai murni ke dalam diri dengan meneladani kesabaran Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat keduanya yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wata’ala.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha daripada kepimpinan Gpms Melaka.

Belajar terus belajar.

Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah b Hj Dolmat