- Menurut rekod tahun 2011 anak muda berumur antara 15 sehingga 19 tahun, kadar pengangguran ialah 15% atau 78,000 jumlahnya; dan di kalangan mereka yang berumur 20 ke 24 tahun, kadar penganggurannya 8.5% atau jumlahnya 157,000. Dalam tahun 2013, Bank Dunia telah menganggarkan kadar pengangguran di kalangan graduan telah mencecah 21%; di kalangan pemegang STPM/Diploma purata penganggurannya ialah 13%, di kalangan PMR-SPM/SPMV 10%. Pengangguran di kalangan anak muda kita adalah antara yang tertinggi di rantau Asia melainkan Indonesia walaupun keadaan di Eropah lebih buruk. Tetapi kita tidak harus bersenang hati dengan keadaan ini. Jika ekonomi negara menghadapi krisis, yang kita jangka dalam masa terdekat, masalah pengangguran belia ini sungguh membimbangkan.
- Isu yang lebih besar dalam hal pengangguran ini ialah taraf kemahiran yang ada pada anak muda ini; apa yang kita keluarkan dari sekolah dan institusi pengajian tinggi kita sekarang semakin kurang menggalakkan jika diambil kira keperluan industri. Mengikut Bank Dunia, dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2009, yang menyentuh maklumbalas dari majikan tentang keupayaan pelajar lepasan pengajian menengah dan tinggi, terdapat beberapa konstrain atau kekurangan kemahiran dalam beberapa bidang.
- Empat puluh lapan peratus (48%) dari bancian terhadap majikan menyatakan kekurangan keupayaan IT di kalangan graduan muda kita, 46% melaporkan kekurangan Bahasa Inggeris, 37% melaporkan kekurangan dalam kebolehan am berkomunikasi, 30% dalam keupayaan kreativiti, dan 28% berkata kekurangan kemahiran teknikal/professional , dan 25% dalam penyelesaian masalah (problem solving). Dalam kajian Talent Corp bagi 2014, didapati 81% majikan melaporkan defisit kemahiran di kalangan graduan baru lepasan universiti negara kita dalam bidang kemahiran komunikasi; 56% dalam pemikiran kritikal dan kreatif; 51% defisit dalam kemahiran analisis; dan 47% mengatakan mereka kurang upaya bekerja secara sendiri atau bebas, tanpa tunjuk ajar.
- Sikap terlalu memilih pekerjaan merupakan faktor utama meningkatnya bilangan pengangguran di negara ini. Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan bagaimanapun jika pencari pekerjaan itu masih meletakkan beberapa syarat maka peluang pekerjaan seolah-olah tertutup buat mereka.
- Menurut sumber kaji selidik mendapati rata-rata daripada mereka memilih untuk tinggal bersama keluarga dan bekerja di dalam pejabat sahaja.Ramai juga pencari kerja berminat bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin daripada bekerja di ladang. Selain itu masalah utama yang menyebabkan kegagalan mereka mendapatkan pekerjaan ialah prestasi calon berkenaan yang terlalu tinggi daripada jawatan ditawarkan. Sebagai contoh, jawatan juruteknik hanya memerlukan kelulusan sijil tetapi kebanyakan calon yang hadir adalah di kalangan pemegang diploma dan ijazah.Jika mereka diterima bekerja akan menimbulkan masalah dari aspek skim gaji yang tidak sesuai dengan kelulusan.
- Golongan belia di Malaysia disifatkan antara yang paling bertuah kerana memiliki banyak kelebihan berbanding golongan sama di negara sedang membangun yang lain.Golongan belia mewakili 49.5% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia yang hampir mencecah 30 juta penduduk ketika ini. Jika kita lihat di negara membangun seperti Greece dan Sepanyol, kadar pengangguran belia mencapai hampir 40% kerana peluang pekerjaan yang terhad, tetapi di Malaysia, hanya 3% sahaja.
- Apakah peranan belia dan kerajaan dalam menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar untuk pembayaran balik pinjaman yang tinggi , hutang isi rumah yang semakin meningkat dan mengurangkan pendapatan boleh guna. Datuk Seri Abdul Wahid Omar mendedahkan satu lagi angka yang terkini yang mana purata pendapatan isi rumah di Malaysia melibatkan rakyat telah meningkat kepada RM5,900 sebulan pada 2013 berbanding angka purata pendapatan isi rumah di Malaysia pada tahun 2012 hanya RM 5,000 sebulan sahaja. Adakah angka ini relevan dan mewakili isi rumah rakyat di Malaysia?
- Persoalannya, siapa yang menjadi mangsa terbesar di sebalik beberapa siri pengumuman harga barang di Malaysia? Sudah pastinya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang terpalit kesan domino ini. Kesan tersebut akan terus menimpa rakyat apabila bermulanya Malaysia GST 2015 6%. Kenaikan inflasi naik di Malaysia yang lebih cepat berbanding kenaikan gaji naik di Malaysia akan menghakis kuasa beli rakyat sekaligus memberikan kesan besar kepada perbelanjaan boleh guna daripada GDP Malaysia.
- Dalam mengklasifikasikan maju mundurnya sesebuah negara, indikasi utama yang digunakan daripada perspektif ekonomi ialah pendapatan. Sedangkan pendapatan banyak dipengaruhi oleh tingkat harga. Walaupun seseorang mempunyai satu tingkat pendapatan yang sama namun kerana perbezaan harga menyebabkan kedudukan ekonominya berbeza. Misalnya, makanan sekitar gerai di Kuala Lumpur seperti nasi putih, lauk ikan dengan sedikit sayur berharga sekitar RM7.00 sedangkan nasi yang sama di Perlis atau Kelantan berharga sekitar RM3.50. Ini bermakna kos hidup di Kuala Lumpur dua kali lebih tinggi berbanding Perlis dan Kelantan.
- Sepanjang tahun 2013 dan pada awal tahun 2014 menyaksikan perubahan secara drastik oleh kerajaan Malaysia dalam mengurus ekonomi negara apabila langkah rasionalisasi pengurangan subsidi kerajaan dilaksanakan meliputi keperluan barangan seperti petrol dan diesel, gula serta tarif elektrik yang tentunya menjadi permulaan kepada impak yang besar kepada pengguna di negara ini dalam urusan perbelanjaan harian.
- Keperluan lain yang turut dijangka naik seperti kadar tol, tambang tren LRT dan Keretapi Tanah Melayu (KTMB), petrol, diesel dan juga kenaikan tidak langsung melibatkan kelompok tertentu seperti yuran institusi pendidikan, harga perabot, barangan elektrik dan lain-lain lagi. Hal ini akan turut menambah kesannya apabila Pelan Pelaksanaan GST yang akan dilaksanakan oleh kerajaan menjelang April 2015 kelak.
- Namun, kesan negatif akibat daripada kenaikan kos sara hidup ini akan amat dirasai oleh golongan berpendapatan tetap dan rendah. Hal ini berlaku kerana kuasa membeli mereka yang telah meleset dan terjejas kerana terpaksa berjimat cermat untuk perbelanjaan keperluan asas yang lebih utama. Menurut kajian penganalisis Alliance Research, kadar inflasi 2014 dijangka mencecah 3.2% iaitu paras tertinggi sejak 2011 akibat daripada kes langkah rasionalisasi pengurangan belanjawan kerajaan ini. Berikut adalah kadar inflasi di Malaysia sejak tahun 2008 (5.4%), 2009 (0.6%), 2010 (1.7%), 2011 (3.2%), 2012 (1.6%) dan 2013 (2.1%).
- Di samping itu, pemberi hutang juga akan menerima bayaran balik yang berkurangan dari segi kuasa beli yang berkurangan akibat daripada kenaikan kos hidup. Hal ini akan menjadi satu bebanan berganda kelak.
- Selain itu, kesan lain akibat kenaikan kos sara hidup menyebabkan golongan miskin bandar semakin meningkat kerana jurang pendapatan begitu ketara berbanding masyarakat di luar bandar. Golongan inilah yang akan paling terkesan akibat peningkatan kos ini dan tentunya suatu langkah perlu digariskan bagi membantu mereka.
- Bagaimana kesannya kepada sosial masyarakat? Respon dan tindak balas rakyat tentunya berbeza. Ada yang akan menyambutnya secara negatif dengan mengambil jalan pintas untuk memperolehi wang melalui jalan yang salah seperti merompak, mencuri, mengambil rasuah, menyogok dan pelbagai jenayah. Secara langsung, ini akan meningkatkan kadar jenayah yang sudahpun semakin parah sekarang ini.
- Bagaimana pula dengan perkembangan institusi keluarga? Ibu bapa akan berfikir untuk menambah pendapatan keluarga dengan pelbagai alternatif yang boleh. Tidak menghairankan hari ini, rata-rata di kalangan masyarakat mempunyai dua hingga tiga pekerjaan untuk menampung keperluaan kos sara hidup yang kian meningkat. Bilangan isteri yang terpaksa bekerja juga semakin bertambah.
- Akibatnya, pengabaian terhadap pendidikan anak-anak akan berlaku lantaran fokus dan masa ibu-bapa yang banyak tergadai di luar rumah dek mencari sesuap rezeki. Lebih parah, hal ini akan menyumbang kepada penularan masalah sosial di kalangan remaja di negara kita yang membesar jauh daripada pantauan keluarga.
- Namun kenaikan kos hidup ini amat menguntungkan golongan peniaga. Ini kerana kebiasaannya mereka akan mengalihkan beban kenaikan kos kepada pengguna dengan menaikan harga barangan sara hidup yang menjadi keperluan asasi pengguna. Di samping itu orang berhutang juga mendapat manfaat daripada kenaikan harga. Ini berlaku kerana walaupun jumlah bayaran hutang akan tetap sama namun kuasa beli yang berkurangan menjadikan sebenarnya jumlah yang diterima oleh pemberi hutang akan berkurangan. Sebagai contoh sebuah kereta pada tahun 1970an berharga sekitar RM10,000. Tapi kini kereta yang dalam kelas yang sama berharga sekitar RM40,000. Ini bermakna jika seseorang itu berhutang sebanyak RM40,000 sekitar tahun 1970an dulu, dia akan berupaya membeli empat buah kereta.
- Atau pada masa yang sama jika peminjam wang tidak meminjamkan wangnya kepada sesiapa, dia akan mampu memiliki empat buah kereta. Tetapi hutang yang dipinjamkan sebanyak RM40,000 (bersamaan empat buah kereta) pada tahun 1970an tadi jika dibayar balik pada masa sekarang bermakna ia hanya mampu membeli sebuah kereta saja. Dengan kata lain dia meminjam empat buah kereta tapi membayar balik hanya sebuah kereta. Ini berlaku kerana kenaikan harga kereta. Inilah yang dimaksudkan peminjam wang akan rugi tapi orang yang berhutang akan untung.
- Saya berharap agar kerajaan memberi penekanan komphrehensif kepada pihak bank dan pengeluar dalam mengawal kenaikan barang ini demi menjamin sosioekonomi di kalangan belia dan generasi akan datang.
Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan