Menangani Peningkatan Kos Sara
Hidup
1.
Dalam
menghadapi situasi mencabar, seharusnya tindakan serta mekanisme terbaik harus
dilaksanakan oleh semua pihak secara praktikal, konsisten dan berhemah. Pihak
kerajaan sebagai kepimpinan negara harus mengemukakan dan melaksanakan pelan
induk yang konsisten dalam merealisasikan aspirasi 1 Malaysia iaitu Pencapaian
Diutamakan, Rakyat Didahulukan. Agensi kerajaan, pihak swasta, masyarakat dan
rakyat juga harus melakukan satu langkah bersepadu dalam menghadapi situasi ini
secara bersama.
2.
Kenaikan
kos sara hidup boleh ditangani melalui beberapa tindakan berikut :
3.
Pertama, melaksanakan kerangka pengurusan
ekonomi secara Islam seperti yang telah digerakkan oleh Nabi Yusoff AS ketika
beliau menjadi menteri kewangan Mesir suatu masa dahulu. Ekonomi adalah suatu
ilmu mengurus sumber yang kita perolehi. Lihat bagaimana Nabi Yusof AS
melaksanakan simpanan hasil pengeluaran negara di saat negara kaya raya sebagai
langkah berjaga-jaga di saat susah. Sesungguhnya ini ialah satu langkah jangka
panjang.
4. Kebijaksanaan
ini adalah formula dan rahsia pengurusan ekonomi yang cemerlang dari dahulu
sehinggalah masa-masa mendatang. Ciri-ciri ekonomi cara Islam juga harus
dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip yang dirumuskan oleh Prof Dr Yusof al
Qaradawi dalam penulisannya sebagai berikut: [1] Ekonomi Rabbani (ketuhanan),
[2] Ekonomi Akhlaqi (akhlak), [3] Ekonomi Insani (kemanusiaan), [4] Ekonomi
Wasatiyah (seimbang).
5.
Ciri
khusus ini membezakan ekonomi Islam dengan aliran ekonomi yang lain. Aliran
ekonomi yang lain bermatlamatkan keuntungan dan kebendaan semata-mata tetapi
ekonomi Islam adalah menggapai keredhaan Allah SWT. Ini bezanya; antara redha
manusia dengan redha Tuhan kepada manusia. Dalam hal ini semua pihak seharusnya
merancang keadaan ekonomi masing-masing termasuk individu, organisasi juga
negara.
6.
Kedua, mengubah gaya hidup yang
bersesuaian dengan keadaaan semasa. Hal ini berkait rapat dengan sikap kita
semua dalam menentukan gaya hidup yang sederhana dan berada di bawah pendapatan
kita sendiri. Perkara ini harus meliputi semua pihak termasuk kerajaan, para
pemimpin dan rakyat jelata.
7.
Mengubah
gaya hidup sangat berkait rapat dengan mengubah kadar perbelanjaan kita yang
sejajar dengan kemampuan dan keperluan hidup. Asas ini harus dicernakan oleh
pihak kerajaan dalam mengemudi pengurusan tertinggi negara bermula daripada
aspek-aspek penjanaan ekonomi sehingga kepada pengurusan aset kerajaan dalam
premis kerajaan yang sedia ada. Tidak boleh ada ketirisan mahupun salahguna
ataupun pengecualian khas. Ketelusan mestilah dijaga jika mahukan dokongan
daripada rakyat.
8.
Begitu
juga dengan rakyat , gaya hidup serba sederhana sebenarnya bermula dengan diri
kita sendiri. Disiplinkan diri untuk tidak berbelanja melainkan perlu. Lihatlah
jenama pakaian, rumah tempat tinggal, aksesori kenderaan kita sehingga
kemewahan makanan harian kita. Tepuk dada, tanyalah diri.
9.
Contoh
yang mudah, jika dahulu kita sentiasa mengunjungi kedai makan, kini cubalah
beralih untuk memasak di rumah pula. Pasti jimat. Ajar anak-anak kita erti
penjimatan dan kesusahan hidup. Selain itu, boleh juga membawa bekal makanan ke
pejabat atau sekolah.
10. Di samping itu, kita mesti mengawal diri daripada
terperangkap dengan bebanan hutang yang mungkin tidak terbayar sekiranya kita
kehilangan pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi. Langkah-langkah awal perlu
bermula daripada sekarang. Dengan kesedaran sekarang bahawa ekonomi Malaysia
akan mengharungi saat-saat getir, elakkan diri daripada berhutang selain
daripada hutang sediada yang sedang dibayar balik.
11. Kelicikan para pengiklan produk dan perkhidmatan amat
mengelabui mata para pengguna hinggakan kita jatuh menjadi mangsa bilamana
membeli benda yang kita tidak perlu. Contohnya dalam kemelut ekonomi sekarang,
pemaju-pemaju perumahan yang mendapat segala insentif lumayan daripada pihak
kerajaan rakus membina rumah-rumah, apartmen, kondominium dan rumah kedai, serta
mengiklankannya seolah-olah harga jualan itu amat berpatutan. Over-building
ataupun pemajuan hartanah ini dijadikan alat pencetus ekonomi dengan sistem
perbankan menjadi pendana terbesar penjanaan kecairan kewangan dalam pasaran
konsumer.
12. Seni pemasaran mereka yang menarik membuat pengguna
tertipu dengan membeli rumah yang pada zahirkan hanya bernilai RM300,000 pada
kadar harga jualan pemaju RM900,000 dengan insentif diskaun 7% untuk
bumiputera. “Artificial inflated pricing” atau harga tidak manasabah berlipat
ganda ini seolah-olah tiada siapa yang boleh menghalangnya daripada berlaku,
kadangkala dikaitkan dengan gahnya nama syarikat pemaju berkenaan,
kadang-kadang kerana lokasi perumahan yang agak elit ataupun pra-sarana awam
sokongan perumahan yang kononnya lebih anggun daripada yang lain.
13. Pembeli membiarkan diri mereka tertipu dengan psikologi
hartanah dan pakar pemasaran. Pembeli juga harus dipersalahkan dalam hal ini
kerana sanggup masuk jerat yang dipasang. Rumah yang didiami sekarang pun belum
habis bayar namun pemaju berjaya memujuk kita membeli rumah baru yang
diinflasikan tiga kali ganda dengan janji manis bahawa pelaburan kita itu bakal
mengundang pembeli baru enam bulan ke depan dengan harga tidak kurang RM1.3
juta. Spekulasi apakah ini yang menjerat umat manusia daripada berpijak di bumi
nyata? Halalkah perniagaan spekulatif sebegini? Apa akan terjadi sekiranya
ekonomi merudum – rumah RM900,000 tidak laku atau terpaksa dilelong?
14. Yang sah mereka yang akan membeli rumah sedemikian
bukanlah orang kampung yang serba dhaif tetapi golongan terpelajar dan elit
yang sudahpun selesa dengan kemewahan yang dialami sekarang. Mereka membeli di
ketika ekonomi masih utuh dan berharap dapat melakukan “quick kill” dengan
menjual hartanah tersebut pada kadar yang lebih tinggi dalam jangkamasa yang
paling singkat. Mereka mengambil pinjaman yang banyak, kadang-kadang sehingga
90% pada harga jualan, untuk merealisasikan impian mereka untuk menjadi kaya.
Bayangkanlah jika mereka ini dibuang kerja atau perniagaan terpaksa gulung
tikar, apakah pihak kerajaan akan sekali lagi bail out hutang tidak berbayar
golongan ini dengan menyelamatkan pemaju-pemaju dan bank-bank pemberi pinjaman
tadi? Dari mana kerajaan akan mencedok wang sebanyak itu?
15. Kerakusan dan ketamakan hati sering memakan diri
manusia. Persediaan mengalami saat-saat getir ini kena bermula daripada
sekarang. Kita tidak boleh menunggu sehingga ia tiba di depan kita kerana kita
akan terlambat dengan lambakan hutang sendiri yang akan menjerat leher-leher kita.
16. Ketiga, mengamalkan amalan berjimat
cermat. Mencegah lebih baik daripada merawat. Formula ini sebenarnya
sangat-sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang merupakan contoh tauladan
umat manusia. Ia sangat selari dengan tuntutan Islam itu sendiri.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak
menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan".
( Surah Al- A'raaf 7 : 31)
( Surah Al- A'raaf 7 : 31)
Sifat boros adalah sifat yang bertentangan dengan ruh
Islam. Ia sangat disukai oleh musuh Allah dan musuh umat Islam iaitu syaitan.
Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud :
17. "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang
musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau belanjakan hartamu
dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu
adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang
sangat kufur kepada Tuhan-Nya".
( Surah Al-Israa' 17 : 26 – 27)
( Surah Al-Israa' 17 : 26 – 27)
18. Keempat, berbelanja secara beretika,
berhemat dan bijaksana. Dalam hal ini, Prof Dr Yusof Al-Qaradawi memberikan
panduan yang jelas kepada kita secara umum dalam berbelanja dalam kitabnya Daur
al-Qiyam Wa al-Akhlak Fi al-Iqtisad al-Islami :
[1] Berbelanja untuk perkara yang halal secara
seimbang.
[2] Menyedekahkan (infaq) kepada ahli keluarga dan
jalan Allah SWT.
19. Elemen secara bersih, halal dan seimbang menjadi asas
utama etika berbelanja dalam Islam di samping sentiasa memikirkan mengeluarkan
zakat dan infaq untuk insan-insan yang memerlukan. Indahnya Islam dalam
mengurus sumber hasilan dan kewangan ini tentunya akan menjadi dunia ini aman
makmur sekiranya ia dilaksanakan secara amanah dan jujur, jauh daripada sifat
rakus, tamak dan kikir seperti zahirnya dalam sistem ekonomi sekarang.
Urus Ekonomi Secara Roh Islam
20. Jelas kepada kita bahawa kenaikan harga melibatkan
keperluan asas ini akan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat.
Ini akan menjejaskan taraf hidup rakyat jelata dan sudah pasti akan memberi
kesan kepada matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
menjelang 2020. Apa guna mencapai taraf negara maju jika rakyatnya hidup
sengsara dengan segala kemiskinan dan kesempitan.
21. Hasil laporan Jabatan Audit Negara (PAC) setiap tahun
memberikan gambaran ketirisan, kebocoran, salahlaku dan juga pembaziran dalam
pengurusan sumber kewangan negara yang seharusnya ditangani dengan sebaik cara.
Penyelesaian yang terbaik adalah kembali kepada amalan pengurusan ekonomi
secara roh Islam dan mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Setiap lapisan masyarakat, tidak kira pemimpin ataupun rakyat harus terlebih
dahulu takut kepada ketentuan dan kemampuan Allah SWT mencorakkan untung nasib
kita untuk kita selamat di dunia dan akhirat. Ingat firman ALLAH “ Allah tidak
akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu tidak mengubah nasibnya sendiri
”.
Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan