Selasa, 29 April 2014

Gpms Melaka Bantah Himpunan 1 Mei

Sehingga kini, pelbagai pihak termasuk Gpms Melaka yang di ketuai oleh Tuan timb Pengerusi Ustaz Abdul Rahim Hj Yusoff telah menyuarakan bantahan dan membuat laporan polis mengenai perhimpunan haram yang akan diadakan pada 1 Mei ini. Pihak termasuk peniaga, pemandu teksi, pihak berkuasa seperti polis, pemimpin kerajaan dan badan bukan kerajaan juga memainkan peranan dalam membuat bantahan perhimpunan ini. Bagaimanapun, kumpulan pengacau ini tetap berdegil untuk meneruskan juga agenda mereka untuk turun di jalanan.

Kumpulan ini cuba menghalalkan tindak-tanduk mereka dengan menjadikan rakyat sebagai perisai, tanpa memikirkan kesan negatif yang akan timbul daripada tindakan mereka. Perhimpunan haram yang berlaku di Thailand, Indonesia dan Timur Tengah jelas memperlihatkan impak negatif yang sangat besar terhadap kestabilan politik, perpaduan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, selain merencatkan peningkatan kehadiran pelancong di negara terbabit. Apa yang lebih membimbangkan, ada pihak luar yang mengambil kesempatan dan ini boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.

Lebih malang lagi, tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengacau itu turut membawa kesusahan terhadap golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Golongan peniaga juga akan terjejas teruk sehingga terpaksa menanggung kerugian besar ekoran rusuhan yang terjadi ketika kumpulan pengacau ghairah berdemonstrasi.

Jika penganjur menyatakan tujuan perhimpunan haram ini untuk membantah GST kenapa ia tidak dibawa mengikut saluran yang betul, iaitu menyerahkan kepada menggunakan saluran undang-undang atau parlimen di dewan raktat untuk menuntut atau menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan. Malah, kerajaan sendiri telah menyatakan kesudian untuk mendengar tuntutan dan pandangan kumpulan pengacau ini.

Ada yang berpandangan berhimpun itu suatu bentuk kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun sejauh manakah keberkesanan pihak penganjur untuk menjamin demonstrasi yang dijalankan tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada banyak pihak, khususnya rakyat di sekitar Kuala Lumpur. Jika kita amati, berdasarkan pengalaman lalu, perhimpunan seumpama ini telah mengundang terlalu banyak impak buruk kepada negara apabila demonstrasi dijalankan di jalanan. Pihak yang berkepentingan tentunya tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini.

Kalau disoroti pengalaman dahulu, pihak berkuasa seperti polis dan pasukan anti rusuhan seperti FRU dilabel sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis yang berdemonstrasi. Wartawan asing dan media yang menyokong agenda perjuangan parti tertentu ternyata membuat liputan berat sebelah apabila hanya menyiarkan sedutan rakaman yang menggambarkan pihak berkuasa bertindak ganas menghuraikan perhimpunan yang diadakan.

Antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh golongan yang degil ini adalah kerugian yang bakal ditanggung banyak pihak jika demonstrasi haram ini diteruskan. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang, Datuk Aslah Abdullah mendakwa seramai 21,000 pemandu teksi di Lembah Klang akan mengalami kerugian RM3.2 juta sehari. Itu baru pemandu teksi. Bayangkan berapa besar jumlah keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung golongan peniaga dan individu di sekitar lokasi yang disasarkan pihak berkenaan untuk berdemo?

Perlukah kita mengikut adunan cara dari timur tengah dan barat yang melakukan demo setiap kali tidak berpuas hati kepada sesuatu isu sehingga menggugat keharmonian dan menggulingkan kerajaan ? Masih tidak relevankah ahli parlimen dan politik yang memperjuangkan hak mereka ?

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2009 melaporkan, peniaga di sekitar ibu negara menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta akibat demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didalangi oleh pihak yang sama sehari sebelumnya. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang meninjau lokasi terbabit, anggaran awal jumlah kerugian itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada para peniaga. Peniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman sahaja, menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Soalnya, sanggupkah penganjur perhimpunan itu membayar pampasan dan kerugian kepada golongan peniaga ini? Atau, adakah pihak penganjur akan sekali lagi bersikap lepas tangan dan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda awam akibat kedegilan dan kerakusan kumpulan berkenaan.


Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah b Hj Dolmat


posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan