Teringat saya pada bulan Mei 2015, masyarakat Malaysia mengkritik kerajaan Malaysia kerana mengambil langkah yang tidak berperikemanusiaan setelah membiarkan pelarian Rohingya terdampar di tengah lautan dan tidak membenarkan kemasukan mereka.
Kenyataan Kementerian Dalam Negeri pada ketika itu dengan keras menyebut, "kita tidak mahu mereka (pelarian Rohingnya) di Malaysia. Kita tidak mahu mereka rasa mereka layak masuk ke Malaysia dan pelarian Rohingya dipersilakan untuk pulang ke negara asal mereka."
Keputusan kerajaan tersebut diambil dalam konteks menjaga kepentingan warganegara Malaysia.
Sentimen kita pada waktu itu adalah dengan mendesak kerajaan Malaysia membuka pintu pada pelarian Rohingya, ditambah lagi desakan media luar dan juga pemerhati hak asasi dunia. Akhirnya, kerajaan Malaysia membenarkan lagi kemasukan pelarian Rohingya ke negara kita.
Niat baik untuk membantu kini menimbulkan beberapa masalah kepada sekelompok warganegara kita, namun selepas membuka pintu negara kita, apa lagi yang kita mampu lakukan?
Itulah sebabnya dari awal kerajaan kita tak benarkan mereka masuk namun selepas desakan demi desakan, akhirnya yang terpaksa menanggung masalah adalah kerajaan dan masyarakat kita. Masalah ini pula bukanlah masalah sosial yang timbul hasil kemasukan mereka. Masalah yang lebih besar adalah pengurusan pelarian-pelarian ini.
Berapa lama kita perlu uruskan mereka? Tidakkah anda sedar, selagi kerajaan Myanmar masih tetap berpegang dengan agenda mereka, kita yang perlu tanggung tanggungjawab ini. Isu-isu pengurusan pelarian akan timbul, faktor kewangan juga akan diperlukan bagi menampung kos sara hidup mereka - cuma berapa lama?
Dengan membenarkan kemasukan pelarian, kerajaan kita mengambil langkah untuk membenarkan beberapa ratus individu pelarian mendapatkan peluang pekerjaan bagi membantu memberikan kehidupan yang lebih baik pada mereka, tetapi isu itu nampaknya mendapat reaksi negatif segelintir masyarakat kita.
Namun perlu diingatkan - jika mereka dipaksa untuk menetap setiap masa dalam kem tanpa berpeluang mendapatkan pekerjaan, 100% keperluan kehidupan mereka ditanggung oleh kerajaan Malaysia.
Inilah dilemanya. Kita rakyat biasa hanya berfikir ikut persepsi kita - apabila nampak tindakan kerajaan menghalang kemasukan mereka, kita mainkan sentimen kerajaan Malaysia zalim tak membantu orang Islam lain. Apabila orang Rohingya berkumpul di Jalan Tun Razak menuntut kerajaan Myanmar mengiktiraf hak mereka, kita katakan mereka dah besar kepala.
Namun, apa lagi jalan yang ada selain dari terus menekan kerajaan Myanmar, kan? Satu-satunya solusi yang ada adalah dengan berlakunya perubahan dalam kerajaan Myanmar. Selagi perkara itu belum tercapai, kita seharusnya terus membantu pelarian Rohingya agar mereka tidak terus diseksa di negara asal mereka.
Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan tepat membenarkan mereka masuk dari segi kemanusiaan, adakah anda berpandangan sedemikian? Pasti ramai yang setuju tetapi persoalannya sekarang ini, apa langkah seterusnya?
Bagaimana hendak menangani percanggahan budaya yang wujud apabila masyarakat Malaysia dan pelarian Rohingya ini mula berasimilasi atau anda salah seorang yang merasakan adalah lebih baik pelarian Rohingya ini diletak semula ke dalam bot dan dibiarkan terawang-awang di lautan seperti mana yang berlaku pada tahun 2015 dulu?
Adakah ini bermaksud, masyarakat Malaysia apabila hendak membantu ada hadnya?
Masyarakat kita terlalu memfokuskan persepsi kita pada perkara negatif yang datang berkenaan Rohingya seperti kisah-kisah dari Pasar Borong Selayang atau kisah-kisah viral yang kita sendiri tidak tahu kebenarannya. Terlalu mudah kita dibuai dengan elemen negatif yang mampu menukar persepsi kita sekelip mata.
Bukankah inilah waktunya kita cuba melihat sendiri sudut pandang positif terhadap atas bantuan yang telah kita lakukan. Berapa ribu nyawa sudah dapat hidup lebih baik, tidak lagi ketakutan hidup dalam risiko boleh dibunuh bila-bila masa. Itu sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan kita sedar keputusan kita mendesak kerajaan kita menerima kemasukan mereka tempohari, sebenarnya berbaloi.
Cabarannya sekarang, adalah bagaimana hendak menguruskan pelarian ini tanpa menyinggung sensitiviti rakyat Malaysia dan bagaimana hendak terus membenarkan pelarian Rohingya mampu hidup di Malaysia, tanpa membebankan kewangan Malaysia. Ini bukannya satu tugas mudah kerana ada kemungkinan krisis Rohingya dan Myanmar ini akan terus berlarutan berpuluh-puluh tahun, yang pasti akan membuatkan lebih ramai pelarian cuba mendapatkan perlindungan di negara kita.
Jika ini berterusan, jumlah yang masuk pasti akan terus melebihi jumlah yang keluar. Adakah patut jika sampai di satu tahap, kerajaan kita dan juga rakyat Malaysia patut membiarkan saja mereka di lautan tanpa dibenarkan masuk, sehingga ada yang mati di laut?
Perkara ini bukan mudah. Sentimen rakyat, masyarakat serantau, masyarakat Islam dan dunia perlu diperhalusi dengan keperluan fizikal, fasiliti, sensitiviti dan keperluan kewangan di peringkat tempatan. Berbuat baik kepada pelarian Rohingya pun mampu membawa perkara negatif pada negara kita.
Jadi rakyat Malaysia, jika anda berada di tempat pembuat dasar ketika ini - apa yang anda akan lakukan? Halau mereka ke laut, hantar pulang secara paksa, kurung di kem setiap masa atau teruskan dengan apa yang kita lakukan sekarang, sehinggalah satu hari nanti mana tau terbuka hati Aung San Suu Kyi untuk menerima Rohingya sebagai salah sebuah kaum, dalam masyarakat Myanmar?
Saya sebagai orang Islam hanya berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah dan mengikuti sabda Rasulullah bahawa setiap umat Islam itu bersaudara. Mari kita bantu saudara kita dan sebarkan kebaikan sesama kita pasti Islam di pandang mulia seantero dunia.
Mohd Saifullah B Hj Dolmat
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Melaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan