Di dalam sistem pendidikan kita, anak-anak Melayu mempelajari ilmu agama seawal peringkat pra-sekolahnya. Tidak memadai dengan apa yang diajar di sekolah pada sessi pengajian biasa, mereka dikehendaki menghadiri kelas-kelas agama di luar waktu sekolah.
Dengan himpunan kesemua itu, tradisi kekeluargaan dan masyarakat yang akrab serta pendidikan agama daripada peringkat awal usia, anak-anak Melayu mempunyai bekalan yang cukup untuk menghindar daripada terjebak dengan gejala-gejala buruk. Kalaupun semua yang disebutkan tadi tidak cukup untuk menjadikan mereka remaja yang baik, ia tetap lebih daripada mencukupi untuk mengelakkan mereka daripada menjadi remaja yang tidak baik.
Amat malang, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Dari setahun ke setahun bilangan remaja Melayu yang sakit dan menyakitkan bangsa ini bertambah dengan banyaknya. Lingkungan mereka juga menjadi semakin luas hingga ada kalanya kita merasakan ‘ghetto’ paling liar di Brooklyn atau ‘chicano’ paling nakaldi Bronx juga kagum kepada mereka.
Mengapa ini berlaku?
Di mana silapnya kita?
Banyak pihak berminat mengaitkan gejala sosial ini dengan arus pembangunan yang melanda negara. Pendapat yang konvensional ini tidaklah boleh dianggap salah. Pembangunan memang sentiasa meninggalkan dosanya ke atas setiap manusia. Suatu ketika dahulu kawasan yang merentang dari Mauritania hingga ke Pakistan, merentasi kawasan kawasan berbudaya Arab, Iran dan Turki, kebanyakannya dikuasai oleh model keluarga besar yang berkahwin dalam batasan kelompoknya sahaja. Sistem kekeluargaan mereka bersifat ‘yang tua berkuasa’, dengan institusi sosial yang berpengaruh serta hiraki yang terjalin erat.
Bagaimanapun pada penggal kedua abad ke-19, apabila komuniti-komuniti itu mula menerima angin pembangunan dari Eropah melalui skim penjajahan yang berterusan, segala nilai yang sedia ada itu mula longgar. Komuniti-komuniti itu mengalami kejutan sosial dan ekonomi yang teruk. Hasilnya, mereka mula berhadapan dengan masalah-masalah baru, bermula daripada pelanggaran adat perkahwinan di luar lingkungan keluarga hinggalah ke masalah kelahiran tanpa perkahwinan.
Keadaan yang serupa berlaku di mana-mana. Apabila mula menjadi besar dan maju, Tamadun Greek Purba terus dicemari oleh masalah-masalah sosial yang buruk sehingga rumah pelacuran berada di hampir setiap penjuru jalan. Pada era gemilangnya, Tamadun Mohenjo-Daro di Lembah Indus dipenuhi oleh sundal dan pemadat.
Alasan yang sama memang boleh digunakan dalam memperkatakan gejala kekalutan sosial di kalangan remaja Melayu. Kita memang boleh menyalahkan pembangunan.
Memang benar sewaktu negara belum bergerak maju, remaja Melayu tidak terancam sebegitu rupa. Mereka jarang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral. Kenakalan mereka masih berbatas.
Bagaimanapun apabila negara pesat berkembang, nilai nilai buruk yang tersembunyi di dalam diri mereka mula menampakkan wajahnya. Akibatnya, semakin maju negara, semakin teruk keadaan mereka; semakin tinggi tamadun bangsa, semakin mundur peribadi mereka.
Tetapi jangan salahkan kemajuan semata-mata. Ada banyak bangsa lain yang boleh maju dan pada masa yang sama berupaya meminimumkan gejala sosialnya. Di China, sebagai contoh, kadar gejala sosial masih rendah kalau dibandingkan dengan penduduknya yang berjumlah lebih 1.2 billion itu. Singapura juga setakat ini masih mampu bertahan dengan rekod yang tidak seburuk kita. Kalaupun ada, bohsia dan bohjannya masih tidak dapat mengatasi keberanian bohsia dan bohjan kita.
Jika contoh-contoh itu terlalu jauh, bagaimana pula dengan contoh yang ada di depan mata? Orang Cina dan India di Malaysia berada dalam situasi yang serupa dengan kita. Jika kita maju, mereka juga sama-sama maju. Jika kita diancam oleh gejala sosial yang datang bersama kemajuan itu, mereka juga tidak terkecuali. Tetapi kenapa kadar remaja mereka yang bermasalah jauh lebih rendah? Masakan jawapannya, kerana mereka lebih alim daripada kita?
Kemajuan sepatutnya dimanfaatkan. Peningkatan taraf ekonomi, keupayaan untuk hidup selesa dan kemampuan menyediakan asas pendidikan sempurna, yang turut datang bersama-sama kemajuan, seharusnya dijadikan perisai bagi menangkis ancaman-ancaman yang menggugat moral itu.
Tetapi semua itu sekadar menjadi impian yang indah. Kemajuan yang kian berkembang biak, kesempatan menimba ilmu yang semakin bertambah besar, asas pendidikan agama yang tidak pernah berkurangan, semuanya seakan gagal menyelamatkan sebahagian remaja Melayu daripada menjadi tidak senonoh.
Memang ada benarnya kenyataan bahawa kemajuan telah menghuru-harakan institusi kekeluargaan dan sistem masyarakat, lalu mengakibatkan tercetusnya pelbagai bentuk kecelaruan. Tidak dinafikan bahawa memang banyak remaja yang menjadi mangsa keghairahan ibu bapa mereka untuk maju. Kegilaan kepada kemajuan menyebabkan pertalian antara keluarga menjadi renggang dan hubungan sesama anggota masyarakat pula bertambah longgar. Masing-masing lebih senang membawa rasmi enau di dalam belukar yang cita-citanya cuma mahu melepaskan pucuk masing-masing. Mereka tidak begitu mempedulikan lagi apa yang terjadi hatta pada anak cucu sendiri.
Persoalannya ialah, kenapa sampai jadi begitu? Bukankah sama seperti anak-anak mereka, setiap ibu bapa Melayu telah diasuh untuk memilih nilai baik dan buruk sejak masih di dalam kandungan lagi? Tidakkah mereka dilahir dan dibesarkan dalam kumpulan masyarakat yang sentiasa mengutamakan norma-norma yang berteraskan kebaikan? Tidakkah ajaran Islam yang mereka miliki lebih daripada cukup untuk dijadikan panduan bagi mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok, termasuk mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat?
Lagi sekali jawapannya mempunyai kaitan dengan sikap enggan menjengah pada kesilapan sendiri. Sekiranya setiap Melayu meluangkan masa merenung kembali akar budaya mereka, masing-masing pasti akan menyedari bagaimana besarnya pengabdian nenek moyang mereka terhadap nilai dan resam yang baik. Kata-kata ‘biar mati anak, jangan mati adat’ misalnya, sudah memadai untuk menggambarkan betapa komitednya orang Melayu dalam hal mempertahankan norma-norma yang mereka warisi. Semestinyalah norma-norma itu baik dan sejajar dengan tuntutan agama.
Jika setiap Melayu melapangkan masa, sebagaimana mereka melapangkan masa untuk berbual kosong di kedai kopi atau menghadap skrin televisyen untuk menonton gusti atau cerita Hindi, lalu meneliti setiap baris perkara-perkara yang menjadi suruhan dan larangan agama Islam yang mereka anuti, dengan sendiri kecelaruan mereka akan terurai. Mereka pasti akan segera sedar bahawa dilahirkan sebagai Islam itu sebenarnya adalah rahmat yang amat besar,dan ianya sudah memadai untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi yang bukan-bukan.
Malang sekali, Melayu terlalu sibuk memandang ke hadapan sehingga melupakan tuntutan untuk menoleh ke belakang. Mereka terkejar-kejar untuk menjadi orang lain sehingga terlupa untuk menjadi diri sendiri. Mereka juga terlupa bahawa bangsa mereka sendiri mempunyai segala asas, yang jika dicerna betul-betul akan membolehkan mereka menjadi seribu kali lebih baik daripada orang lain.
Tidak ada sesiapa di dunia ini yang gembira melihat bangunan-bangunan tinggi yang dibina oleh kemajuan bangsanya menjadi tempat anak-anak muda bangsa itu mensia-siakan hidup dengan perilaku yang mencacatkan peradaban. Melayu tidak harus membenarkan gejala sosial itu dilindungi oleh kilau kemilau bangunan-bangunan tersebut.
Tuntutan untuk merawat keadaan ini sebahagian besarnya terpikul di bahu semua pihak. Tetapi yang paling berat memikul bebannya pastilah pemerintah. Dalam apa juga keadaan, pemerintah tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.
Menyalahkan golongan remaja Melayu kerana kerapuhan peribadinya adalah satu perkara. Mengungkit-ungkit kegagalan mereka menggali nilai-nilai baik daripada budaya bangsa dan agama mereka juga merupakan satu lagi perkara. Tetapi membiarkan mereka terus begitu adalah satu perkara yang lain.
Kemajuan tidak memadai dengan menyediakan segala nikmat yang bersifat material. Ia harus seimbang dengan keperluan-keperluan rohani yang bersesuaian. Tanggungjawab pemerintah untuk menyediakan keperluan rohani itu sama beratnya dengan tanggungjawab memberikan kemajuan material kepada rakyat.
Setakat manakah tanggungjawab itu telah dipenuhi?
Mohd Saifullah bin Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan