Malaysia merupakan sebuah negara yang terkenal dengan masyarakat yang berbilang bangsa dan keturunan.
Kita sering mencanangkan negara kita merupakan sebuah negara yang harmoni, aman dan damai.
Semua bangsa dapat bekerjasama secara kolektif dan mengamalkan prinsip-prinsip jitu perpaduan.
Namun hakikatnya, tahap perpaduan kita sampai di mana? Benarkah kita bertanya kepada diri sendiri bahawa sejauh manakah tahap perpaduan yang wujud dalam negara kita?
Adakah kita semua sudah berpuas hati dengan segala yang ada sekarang? Atau kita mampu mengubahnya supaya ia menjadi lebih harmoni lagi?
Dari segi semantik bahasa, perkataan ‘perpaduan’ ini asalnya dari perkataan ‘padu’ iaitu ‘mampat’, ‘pejal’ dan ‘padat’.
Maka perkataan perpaduan membawa maksud ‘penggabungan’. Selain itu, secara definasinya pula, perpaduan merupakan satu keadaan rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama dan wilayah, hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu dengan memberi komitmen yang penuh kepada identiti kebangsaan berlandaskan kepada Perlembangaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Perkara ini dinyatakan dengan jelas oleh Mesyuarat Panel Penasihat Perpaduan Negara, yang berlangsung pada Februari 1992.
Jadi daripada pengabungan dua definisi di atas, kita boleh simpulkan bahawa perpaduan merupakan satu proses menyatupadukan seluruh masyarakat supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta akan tanah air.
Malangnya, tanggal 13 Mei 1969 tercetus satu detik hitam dalam lipatan sejarah negara. Pertelingkahan kaum yang berlaku telah mengakibatkan negara kehilangan banyak nyawa dan kerugian harta benda.
Ia mempunyai kaitan rapat dengan Pilihan Raya Umum 1969 dan merupakan puncak manifestasi masalah perpaduan kaum di Malaysia.
Dalam pilihan raya tahun tersebut banyak isu-isu sensitif telah dibangkitkan dan ditimbulkan seperti status bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.
Dalam suasana yang tegang dan penuh emosi itu, maka tercetuslah peristiwa 13 Mei 1969. Ia juga telah menyebabkan negara kita menjadi tumpuan seluruh dunia.
Ironinya, 13 Mei ini merupakan antara masalah perpaduan yang telah lama berakar umbi dalam masyarakat majmuk Malaysia sebelum tahun 1969 lagi.
Masalah ini telah disebabkan oleh British yang telah memainkan peranan yang cukup besar untuk mewujudkan keadaan sedemikian.
Apabila pengasingan kaum berdasarkan kelompok ekonomi menjerat penyatuan mahupun persefahaman antara etnik, walaupun duduk di bawah satu bumbung yang sama maka akhirnya tercetuslah insiden berdarah 13 Mei 1969.
Dalam usaha membendung masalah 13 Mei supaya keamanan dan kedamaian yang berterusan dapat terus dikekalkan, kerajaan mengetahui bahawa kita memerlukan satu ideologi untuk kita bersatu.
Maka Rukun Negara telah diperkenalkan. Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dan diluluskan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Draf Rukun Negara telah dibincangkan dan dibuat pindaan beberapa kali oleh Majlis Perundingan Negara(MPN) sebelum diluluskan.
Rukun Negara juga telah menjadi platform untuk membentuk dan membimbing masyarakat Malaysia ke arah perpaduan.
Rukun Negara juga menjadi rujukan yang penting bagi sebarang dasar dan keputusan yang hendak dibuat oleh pihak kerajaan pada masa-masa mendatang, supaya perpaduan dapat dicapai.
Memang sudah banyak usaha telah dilancarkan dan dijalankan oleh kerajaan dari dulu hingga sekarang.
Hal ini kerana kerajaan menyedari betapa pentingnya perpaduan kaum, kerana tanpa perpaduan di manalah terletaknya nilai kemerdekaan negara kita.
Dalam usaha membangunkan negara kita supaya seiring dengan negara lain, maka perpaduan merupakan kunci utama yang kita sediakan sebelum membuka semua laluan.
Kerajaan telah memperkasakan sekolah kebangsaan untuk menyatukan generasi muda melalui pendidikan dan bahasa kebangsaan.
Dengan cara ini, dapat menerapkan disiplin dalam pembelajaran dan pengajaran seperti aktiviti kokurikulm dan kurikulum.
Selain itu dengan adanya sekolah kebangsaan ini ia akan merapatkan lagi hubungan dan komunikasi antara kaum yang sebelum ini begitu terhad.Masih relevankah sekolah vernakular?
Dasar Integrasi Nasional juga telah dilancarkan – iaitu satu proses dinamik untuk merapatkan masyarakat negeri-negeri di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, untuk membentuk satu Bangsa Malaysia yang mempunyai identiti sendiri yang berteraskan Perlembangan Persekutuan dan Rukun Negara.
Dasar Integrasi Nasional ini juga mesra bangsa-bangsa minoriti yang lain. Sekolah-sekolah jenis kebangsaan diwujudkan dengan memberikan hak mutlak kepada bangsa minoriti untuk menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengajaran.
Melalui Dasar Ekonomi Baru, satu lagi usaha mewujudkan keadaan di mana, tiada perbezaan fahaman pembelajaran dan tiada pengasingan dan perbezaan antara miskin dan kaya di antara kaum. Bekerjasama dalam pergaulan khususnya agar kekayaan negara dibahagikan sama rata antara pelbagai kaum.
Dan yang terkini, Program Khidmat Negara, Program Sekolah Bestari juga merupakan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan tahap perpaduan dan hubungan mesra antara kaum yang telah dijalankan.
Segala yang diusahakan oleh kerajaan selama 59 tahun tetap tidak cukup lagi. Hal ini adalah kerana peristiwa pergaduhan antara kaum tetap wujud.
Misalnya satu pergaduhan terjadi di kafeteria Universiti Putra Malaysia pada 17 Julai 2006. Kejadian ini berlaku antara kumpulan pelajar Melayu dan Cina.
Seramai 11 orang pelajar terbabit dalam insiden ini. Sebuah klip video menunjukkan pergaduhan antara pelajar-pelajar UPM telah dimuatnaikkan ke laman YouTube dan boleh diakses oleh seluruh dunia.
Insiden yang masih saya ingat lagi satu pergaduhan di sebuah restoran makanan segera di Shah Alam antara seorang pelanggan keturunan Cina dengan pekerja Melayu telah cuba dikaitkan dengan isu rasis.
Insiden ini juga telah dimuatnaikkan dalam laman YouTube sehingga komen-komen yang dilemparkan boleh dikatakan kesemuanya berbaur rasis dan memperlihatkan kebencian di antara kaum yang sangat mendalam.
Kejadian seperti ini semua akan menjadi bertambah hangat sebaik sahaja orang politik cuba campur tangan dan ingin menjadi juara kaum masing-masing dan bukannya hendak mendamaikan keadaan.
Akibat daripada semua kejadian ini, adakah kita masih boleh katakan negara kita telah mencapai peringkat perpaduan yang tinggi?
Kerajaan sebenarnya perlu mengkaji tentang punca yang menyebabkan peristiwa pergaduhan dan keretakan hubungan antara kaum ini. Hal ini kerana kesan daripada pergaduhan dan keretakan antara kaum akan membawa padah lagi jika tiada tindakan yang diambil.
Perkara begini sepatutnya tidak boleh dipandang remeh. Ketegangan kaum mudah tercetus sekiranya sensitiviti antara kaum tidak dijaga.
Langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini bukan sesuatu yang senang dan harus berlaku secara timbal balas.
Kekurangan penyertaan rakyat dalam urusan pergaulan merupakan punca utama proses perpaduan antara kaum dilambatkan dan melemahkan keberkesanan apa jua dasar kerajaan yang ingin dilaksanakan untuk tujuan perpaduan.
Usaha kerajaan akhirnya menjadi tidak berkesan sangat kerana hanya kerajaan saja yang beriya-iya bertindak, manakala sebagai rakyat, kebanyakkan kita menganggapkan isu perpaduan ini akan wujud dengan sendiri tanpa sebarang usaha sehingga lupa ancaman yang boleh tercetus.
Sikap rakyat yang sombong dan enggan bergaul terutamanya di bandar besar serta tidak prihatin terhadap isu-isu perpaduan dan menganggap ia tidak mendatangkan sebarang faedah, akhirnya menjadikan kita semakin jauh antara satu sama lain.
Sifat sombong dan bangga diri merupakan penghalang utama bagi kita untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain.
Sikap ini turut mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumahtangga, keluarga, masyarakat dan juga bernegara.
Sikap sombong sering membawa individu atau kumpulan tertentu melakukan keganasan dan kekerasan ke atas orang lain. Akhirnya ia mencetuskan permusuhan dan peperangan malah anarki.
Selain itu, sikap tidak jujur atau tidak adil terhadap orang lain juga menimbulkan rasa tidak puas hati dan dendam yang berpanjangan antara sesama manusia, lebih-lebih lagi antara yang memerintah dengan yang diperintah.
Perbuatan ini akan merenggangkan perhubungan dan menghapuskan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Di samping itu, sebilangan rakyat pula tidak memberi kerjasama, malah membantah segala yang dilakukan oleh kerajaan.
Seperti sesetengah pemuda enggan menyertai khidmat negara menjelmakan penentangan mereka terhadap berbagai-bagai perkara yang mereka anggap tidak adil.
Segala sikap yang dinyatakan merupakan faktor utama yang menjadikan tahap perpaduan kita dalam keadaan sekadar ‘cukup makan’ sahaja.
Sikap yang suka bergantung terhadap kerajaan harus diubah, kerana perpaduan tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata tetapi memerlukan penyertaan setiap seorang daripada kita rakyat Malaysia.
Bersifat terbuka merupakan kunci kejayaan pergaulan antara kaum. Pergaulan dengan mereka yang berlainan bangsa tidak bermakna kita harus mengorbankan prisip dan agama masing-masing.
Kita harus bersifat terbuka dan perbezaan itu bukan penghalang untuk kita mengenali lebih rapat antara satu sama lain.
Sikap terbuka ini jika tidak disemai dari kecil telah terbukti akan menyukarkan sebarang usaha mewujudkan perpaduan kaum.
Ibu bapa juga berperanan besar dalam membentuk sikap yang mulia ini kepada anak-anak mereka. Hal ini kerana, segala yang ada pada ibu bapa sebenarnya akan diwaris kepada generasi akan datang.
Ibu bapa perlu memahami tanggungjawab mendidik anak-anak tidaklah terhad kepada soal adab, asuhan keagamaan dan juga pembentukan jati diri.
Sebaliknya kanak-kanak harus diterapkan dengan nilai-nilai murni yang universal seperti menghormati bangsa dan agama lain, bertolak ansur serta saling hormat menghormati.
Semua ini patut bermula dari rumah ketika anak-anak masih kecil lagi. Kita mampu mengubahnya. Kita hanya perlu mengamalkan sikap terbuka terlebih dulu.
Aktiviti merapatkan hubungan dan menjalin hubungan serta menambah kemesraan antara kaum perlu diperbanyakkan lagi.
Seperti sempena hari perayaan, rumah terbuka harus digalakkan supaya kita mempunyai peluang untuk bergaul dan memahami budaya kaum lain.
Pendidikan juga merupakan alat meningkatkan tahap perpaduan yang penting. Guru-guru di sekolah juga perlu mendidik pelajarnya supaya tahu betapa pentingnya perpaduan itu kepada pembentukan sebuah masyarakat yang aman dan bersatu padu.
Semangat Bangsa Malaysia patut disemai ke dalam hati rakyat Malaysia. Bangsa Malaysia ialah satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai satu masa depan yang sama dan dikongsikan bersama.
Saya percaya, segala masalah yang wujud pasti ada faktor yang mencetuskannya. Jadi segala usaha yang dilakukan perlu berpandukan faktor itu, supaya tindakan yang diambil akan lebih berkesan.
Jadi kerjasama semua lapisan masyarakat amat diperlukan untuk kita berjaya. Jika rakyat kita boleh bersikap terbuka tanpa mengira dari mana kita datang, tanpa mengira tentang kepentingan diri, dan tanpa prasangka, sudah pasti ketika itu kita semua akan bangga terhadap diri kita sendiri sebagai satu bangsa yang bersatu padu.
Demi tanah tumpah darah, kita patut dan rela berkorban bukan untuk kita semua tetapi sebagai contoh kepada generasi akan datang.
"Selamat Hari Malaysia"
Mohd Saifullah B Hj Dolmat
Pengerusi GPMS Melaka
"Belajar terus Belajar"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan