Diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah kamu mahu saya beritahu kamu tentang kepala segala urusan, tunggak dan kemuncaknya?” Saya menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda pun bersabda: “Kepala segala urusan ialah Islam. Tunggaknya ialah solat. Kemuncaknya ialah jihad.” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Tidakkah kamu mahu saya beritahu kamu tentang kunci semua perkara tersebut?” Saya menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: “Jagalah lidah ini.” Saya pun bertanya: “Wahai Nabi Allah, adakah kita akan diambil kira dan dibalas dengan sebab apa yang kita pertuturkan?” Baginda pun menjawab: “Semoga ibu kamu kehilangan kamu (1). Tidakkah manusia akan dihumban ke dalam neraka di atas muka (dalam riwayat lain, di atas lubang hidung mereka) melainkan oleh sebab hasil tuaian lidah mereka?”
Hadis hasan sohih yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi.
1. Maksud sebenar ungkapan ini adalah untuk melahirkan rasa hairan terhadap kelalaian Mu’az r.a terhadap perkara seumpama ini.
Pandangan Imam Ibn Rajab al-Hanbali tentang hadith ini:
“Ini menunjukkan bahawa menjaga, mengawal dan memelihara lidah adalah asas kepada segala kebaikan. Sesiapa yang dapat mengawal lidahnya, dia dapat mengawal, memperkukuh dan menjaga agamanya.”
Menurut Imam Ibn Rajab al-Hanbali, maksiat percakapan mencakupi:
1. Dosa syirik yang merupakan dosa yang paling besar di sisi Allah SWT.
2. Bercakap tentang Allah SWT tanpa ilmu. Perbuatan ini bergandingan dengan syirik.
3. Bersaksi secara dusta (syahadatuzzur) yang sama kedudukannya dengan dosa syirik kepada Allah SWT.
4. Perbuatan sihir dan menuduh orang berzina tanpa bukti yang sah (al-qazaf).
5. Dosa-dosa besar dan kecil yang lain seperti berdusta, mengumpat dan mengadu domba.
Maksiat-maksiat lain yang berbentuk perbuatan, kebiasaannya disertai oleh kata-kata yang membantu perlaksanaannya.
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Perkara yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka adalah dua anggota badan yang berongga iaitu mulut dan kemaluan.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi)
Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seseorang lelaki bercakap dengan suatu kalimah tanpa memikirkan keburukan dan kesannya. Kerana kalimah itu, dia tergelincir ke dalam neraka sejauh-jauh jarak antara timur dan barat.” (Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Imam Malik meriwayatkan daripada Zaid bin Aslam daripada ayahnya, bahawa ‘Umar r.a telah masuk menemui Abu Bakar as-Siddiq r.a yang sedang menarik lidahnya. ‘Umar r.a pun berkata: “Cukuplah, semoga Allah mengampuni kamu.” Abu Bakar r.a berkata: “Lidah inilah yang membawaku kepada pelbagai kebinasaan.”
Ibnu Buraidah berkata: “Saya melihat Ibnu ‘Abbas r.’anhuma memegang lidahnya sambil berkata: “Kasihan kamu. Ucapkanlah perkataan yang baik, nescaya kamu akan mendapat ganjaran yang besar, atau diamlah daripada berkata sesuatu yang jahat, nescaya kamu akan selamat. Jika tidak, ketahuilah kamu akan menyesal.”(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Kitab az-Zuhd dan Abu Nu’aim dalam Kitab al-Hilyah)
Yunus bin ‘Ubaid berkata: “Saya tidak pernah melihat seseorang yang menjaga lidahnya melainkan saya turut melihat kebaikan pada seluruh amalannya.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dalam Kitab ash-Shomit)
Yahya bin Abi Katsir berkata: “Percakapan seseorang itu tidak baik, melainkan kamu dapat mengetahui kebaikan itu pada semua amalannya. Dan percakapan seseorang itu tidak rosak, melainkan kamu dapat mengetahui kerosakan itu pada seluruh amalannya.” (Diriwayatkan oleh Abu Nu’aim dalam Kitab al-Hilyah)
Allahu a’lam.
Rujukan: Imam Ibn Rajab al-Hanbali r.h.m, Kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (Kitab Himpunan Ilmu dan Hikmah), Huraian Hadith ke-29.
Pesanan penulis: “Berhati-hatilah dalam percakapan sekalipun dalam perkara-perkara yang dianggap mudah. Ingatlah kepada Allah SWT sebelum, semasa dan selepas menuturkan sesuatu perkara. Percakapan yang terburu-buru kebiasaannya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan, sama ada kepada penuturnya, pendengarnya atau kedua-duanya. Kata-kata yang diucapkan dengan penuh jujur dan benar adalah jauh lebih mulia daripada perbahasan yang mengagumkan pendengaran manusia.”
“Janganlah kamu menghina satu dosa yang kecil, kerana sesungguhnya gunung-ganang berasal daripada batu kelikir.” (Petikan syair oleh Ibnu al-Mu’taz)
Belajar Terus Belajar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan