Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia? Kalau tidak, jenis Melayu yang bagaimanakah yang akan menghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur, apabila Melayu sudah kehilangan kuasa? Ke manakah akhirnya perlawanan Melayu sesama Melayu ini? Mungkinkah akhirnya ialah Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa bukan Melayu yang tidak peduli terhadap Melayu? Andaian ini boleh jadi mungkin, dan boleh jadi tidak. Yang lemah biasanya ditelan oleh yang gagah. Segala-galanya terserah kepada Melayu dan arah tuju serta matlamat perjuangannya.
Perlu diingat, perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancurleburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah yang muncul menjadi benteng paling kuat dalam proses menghapuskan keganasan bersenjata komunis. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan bangsa Melayu dan budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.
Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa. Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan simpulan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja.
Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita memastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca. Untuk tidak kehilangan arah dan supaya tidak kehilangan punca, maka perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”
Jadi, pokoknya sekarang, biar berlaga ayam di reban, biar menendang kuda di kandang, namun adat wajib dijaga. Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.
Yang nyata, Politik ekstremis adalah berbahaya. Politik cauvanis adalah suatu ancaman. Politik ketaksuban individu adalah sesuatu yang sia-sia bakal mengundang kehancuran Melayu. Fikir-fikirkanlah sahabat !
Belajar Terus Belajar !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan