Isnin, 26 Disember 2011

PEMIKIRAN GENERASI MUDA DALAM PEMBINAAN KEBUDAYAAN MELAYU





MUKADDIMAH

Terlebih dahulu sebelum berbicara panjang adalah lebih baik untuk memahami definisi perkataan “ kebudayaan ”. Definisi bagi sesuatu perkataan itu mungkin berbeza mengikut taraf pendidikan, sosial dan faktor persekitaran yang lain bagi seseorang yang mentafsirkannya. Seorang doktor akan mentafsirkan sesuatu perkataan mengikut ilmu dan pengalamannya yang mengarah lebih kepada bidang kedoktoran. Begitu juga dengan peguam yang mengarah kepada bidang perundangan. A.L.Kroeber dan C. Kluckhohn dalam bukunya Culture, a critical review of concept and definition telah mempertemukan 160 definisi kebudayaan.

Bagi memudahkan perbincangan, saya merujuk kepada Kamus Dewan yang memberikan definisi kepada perkataan “kebudayaan” sebagai cara hidup sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi) iaitu merujuk kepada keseluruhan cara hidup manusia dalam apa jua bidang yang melibatkan akal budi dan daya usaha mereka.

HUBUNGKAIT AGAMA DAN KEBUDAYAAN

Sebagai satu gerakan pelajar Melayu dan Islam, tentunya pengertian itu disandarkan kepada apa yang digariskan oleh Islam. Maka, perlu juga kita perlihatkan apa yang dimaksudkan dengan kebudayaan dalam bahasa Arab.

Kebudayaan disebut antaranya dengan menggunakan kalimat ath-tahaqafah; dan ath-thaqafah al-Islamiyah itu bermaksud keseluruhan cara hidup dan berfikir serta nilai-nilai dan sikap, termasuk institusi-institusi serta artifak-artifak yang membantu manusia dalam hidup, yang semuanya itu timbul dan berkembang serta disuburkan dalam acuan syariat Islamiah dan sunnah Nabi s.a.w. (Uthman el-Muhammady).

Bapak M. Natsir pernah menterjemahkan definisi yang diambil daripada H.A.R. Gibb bahawa Islam sebenarnya bukan sekadar sistem teologi tetapi ia adalah suatu peradaban yang sempurna. Peradaban yang dimaksudkan itu adalah kebudayaan yang didominasi oleh nilai-nilai moral dan spiritual (Mohammad Hatta, 1954).
Ini menunjukkan bahawa kebudayaan adalah suatu cara hidup sesuatu masyarakat yang membentuk suatu peradaban berpandukan nilai-nilai moral dan spiritual berdasarkan syariat Islamiah dan sunnah Nabi s.a.w. Mohammad Hatta pernah berpidato dalam Kongres Kebudayaan Indonesia pada 1948 yang mengatakan :

Apakah anasir-anasir yang menjadi sendi dan isi daripada kebudayaan kita? Adalah banyak akan tetapi yang terpenting ialah agama, bahasa, adat, seni, muzik, teknik, senibina, ilmu, organisasi masyarakat dan negara. Oleh kerana itu kita harus menyusun negara sedemikian rupa, supaya Republik Indonesia tidak saja menjadi negara hukum tetapi menjadi negara kultur [budaya] Sendi dan isi yang dinyatakan Mohamad Hatta jelas menunjukkan bahawa kebudayaan itu berteraskan nilai-nilai moral dan spiritual. Nilai-nilai moral itu diterapkan dalam bahasa, adat, seni, muzik, teknik, senibina, dan lain-lain. Manakala unsur spiritual pula berteraskan agama yang bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Daripada kebudayaan inilah terciptanya suatu peradaban seperti penciptaan alat-alat pertukangan, cara-cara pengucapan dan komunikasi, sistem ekonomi, politik, benda-benda material dan teknik pembuatan (Mac Iver, 1950).

Menyentuh unsur spiritual tadi, kita harus tahu bahawa agama mempunyai dua unsur asas iaitu credo dan ritus atau creed dan rites yang bermaksud aqidah dan ibadah (Saifuddin Anshari, 1979).
Asas paling utama adalah aqidah atau kepercayaan kerana ibadah atau amalan adalah pelaksanaan daripada beraqidah. Hanya orang yang mempercayai sesuatu dan meyakininya akan melakukan seruan daripada apa yang dipercayainya. Menteri Kesihatan, Pendidikan dan Keamanan Amerika Syarikat, John W. Gardner sewaktu pemerintahan John F. Kennedy mengatakan :

Tiada satu bangsa yang dapat berjaya melainkan mereka mempunyai keyakinan kepada sesuatu yang mempunyai dimensi moral untuk mengekalkan sesebuah peradaban. Celakalah bangsa yang tidak memiliki nilai-nilai yang tinggi atau memilikinya tetapi tidak mahu berjuang terus-menerus mempertahankan nilai-nilai yang dimilikinya.

Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna telah berjaya membuktikan penyataan tersebut dengan kejayaan bangsa Arab mengekalkan peradaban mereka. Bangsa Arab yang mempunyai aqidah yang tinggi kepada Allah pada waktu itu telah membentuk amalan yang baik sehingga wujudnya satu peradaban yang hebat.
Penciptaan masjid yang indah megah tidak akan terbina di Istanbul dan Cordova sekiranya tidak ada syariat Islam mengenai solat yang dibawa Muslim Arab ke sana walaupun bahan-bahan pembuatannya sudah tersedia.

Bermula daripada aqidah kepada Tuhan yang Agung mendorong mereka melakukan ibadah yang sempurna seterusnya membentuk budaya hidup tersendiri yang akhirnya mencipta satu peradaban yang tinggi. Bahan-bahan pembuatan masjid seperti pasir, air, plaster dan sebagainya sudah wujud, namun tidak dimanfaatkan sekiranya tiada ibadah solat yang dilaksanakan atas teras aqidah.
Jadi, umat Islam perlu mempertahankan nilai-nilai yang tinggi ini bagi membina kebudayaan mereka dengan :

1- Memelihara nilai-nilai kebudayan yang positif.
2- Menolak nilai-nilai kebudayaan yang negatif.
3- Menerapkan elemen nilai-nilai positif dalam kebudayaan yang belum dimilikinya.
4- Bersikap selektif terhadap kebudayaan secara umum.
5- Menyucikan kebudayaan sedia ada agar sesuai, selari dan tidak bertentangan dengan Islam.


BUKTI-BUKTI SEJARAH ISLAM DAN KEBUDAYAAN


Seni khat merupakan bukti kebudayaan yang terbit daripada agama Islam itu sendiri. Penegasan al-Quran atas suruhan membaca seperti yang didapati dalam al Quran (surah al-Alaq : 1) telah menyumbang ke arah budaya ilmu.

Bagi menarik perhatian pembaca, tulisan sesuatu buku termasuk al-Quran diperelokkan dan diperkemaskan. Maka, timbullah seni khat yang turut membawa ke arah lukisan berbentuk seperti burung dan sebagainya. Lukisan tersebut walaubagaimanapun tetap membawa mesej al-Quran kerana jika diperhatikan ia adalah ayat suci al-Quran yang dibentukkan menyerupai burung.

Begitu juga dengan lambang. Raja-raja muslim sering memasang lambang pada benda-benda milik mereka sejak abd ke-14. Lambang kebesaran itu berbentuk bulat, bujur telur atau bulatan terpecah. Di dalam bentuk itu pula diletakkan gambar-gambar seperti burung, binatang buasa, pedang dan sebagainya bagi melambangkan peribadi raja tersebut. Lambang-lambang tersebut diwarnakan dengan warna yang semarak atau cerah.

Kini penggunaan lambang telah meluas. Didapati kebanyakan lambang atau logo itu masih mengekalkan ciri-ciri perlambangan yang serupa.
Industri tekstil dan karpet merupakan contoh seni budaya yang telah ditonjolkan muslim. Pada abad ke-13, orang Itali telah meniru Islam yang telah lama mendirikan Dar al-Tiraz (rumah penyulaman terbesar di negara Arab) dengan membangunkan psta industri sutera.
Seni menjilid buku pula berasal dari Kordova. Industri kulit buku cukup terkenal pada waktu itu sehingga nama Kordova melekat pada jenama produk buku yang tertulis Cordovan atau Cordwain. Bahagian-bahagian cekung di kulit buku dicat dengan cat emas. Seni ini kemudian ditiru oleh golongan Barat pada abad ke-15.
Jika kita melihat motif-motif dekorasi seni lukis Eropah, nyata kelihatan dalam pakaian mereka ini dilukis pola geometris, dedaunan, kaligrafi dan binatang-binatang eksotik. Motif-motif ini adalah seni lukisan yang dipelopori oleh seniman-seniman muslim Arab suatu ketika dahulu.

Seni muzik juga terbukti dipelopori golongan arab muslim. Sekitar 3000 tahun sebelum Masihi, telah dijumpai alat-alat gendang, alat tiup dan alat muzik bertali. Pada zaman dinasti ke-18 raja Mesir sudah wujud ensemble muzk di istana. Seni ini kemudiannya dibawa oleh kerajaan Mesir hingga ke peradaban Yunani.

Rombongan dari Sepanyol, Jerman dan Perancis mula datang ke Mesir pad 213 Hijriah untuk mempelajari ialmu muzik. Sekolah muzik pun kemudiannya ditubuhkan pada zaman Abdurrahman al-Awsat.
Peradaban Arab ini akhirnya telah mempesona hati pemuda dan intelektual Eropah. Ini terbukti apabila timbul rungutan daripada seorang pendeta di Kordova pada abad ke-9 kerana pemuda Kristian tertarik dengan bahasa Aarab daripada bahasa Latin (yag dipertuturkan di Eropah) dan menyanyikannya dalam perkumpulan dan pertemuan sosial.

Puisi masyhur muwasysyah yang memperkenalkan pola berirama dalam akhiran ayat turut ditiru dalam lagu ballad (balada). Pola ini serupa dengan pantun Melayu hari ini yang menyamakan bunyi akhiran ayat pertama dengan ayat ketiga dan bunyi akhiran ayat kedua dengan ayat keempat.

Pada abad ke-12 pula, pemuzik Eropah mula belajr sistem tablature atau sistem penanda fret (tempata menempatkan jari) pada instrumen seprti gitar daripada orang-orang Arab. Seni ini telah tertulis dalam kitab Al-Farabi yang bertajuk Ala Musiqi al-Kabir.
Seni ini kemudiannya dikembangkan pada 1216 hingga 1294 oleh Muhammad Safi’uddin Abdul Mu’min yang menggunakan sistem notasi huruf dan angka. Notasi tablature tadi kini berdasarkan dengan sistem ini. Sistem ini hanya dikenali oleh pemuzik-pemuzik Eropah pada permulaan abad ke-15.

Maka, berdasarkan sejarah Islam yang berkait rapat dengan kebudayaan yang akhirnya mencipta kepada peradaban yang begitu hebat, membuktikan bahawa kebudayaan itu adalah rentetan daripada tuntutan aqidah agama.

Peniruan atau perkembangan kebudayaan Arab ini ke negara-negara lain berlaku akibat penghijrahan, perdagangan, penaklukan dan sebagainya. Jadi, sekiranya sesuatu kebudayaan itu hendak dibina dengan baik, perlulah kembali berpegang teguh kepada ajaran agama yang berasaskan tauhid.

PENGARUH ISLAM DALAM KEBUDAYAAN MELAYU

Agama Islam sejak 500 tahun lampau telah menjadi landasan hidup orang Melayu dan kebudayaan mereka terutama bercorak ideologi dan bukan material seperti kepercayaan, nilai, pandangan dunia atau falsafah yang berpandukan Islam (Mohd Taib Osman, 1988).
Sepertimana yang dibincangkan sebelum ini, kebudayaan sesuatu bangsa itu bermula dengan kepercayaan dan keyakinan kepada sesuatu yang mempunyai unsur-unsur dan nilai-nilai moral dan berakhir dengan suatu peradaban yang unggul.

Warisan budaya Islam telah menjadi landasan kebudayaan Melayu kerana persamaan kepercayaan yang berbentuk ideologi itu. Ini dapat dilihat daripada bentuk bangunan, bahan makanan, citarasa, bentuk alat-alatan, adat resam dan sebagainya.

Ini hanya terdapat pada kebudayaan Melayu Malaysia yang kita maksudkan kerana erti Melayu di Malaysia ialah orang yang berbangsa Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu yang beragama Islam. Ciri beragama Islam tidak terdapat pada Melayu Indonesia dan Filipina. Ini sekaligus membezakan kebudayaan Melayu Malaysia dan lain-lain.

MENGAPA HARUS DIBANGUNKAN KEBUDAYAAN MELAYU?

Kebudayaan Melayu perlu dibangunkan kerana berlakunya pertembungan budaya asal dengan budaya dominan. Kita sepatutnya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya yang pernah menubuhkan muzium etnografi bertujuan menyeldiki sosiobudaya Melayu.

Malangnya muzium ini bertembung dengan budaya dominan. Pameran budaya melalui artifak atau alat-alat tidak mendatangkan kesan dalam pendidikan tentang hidup manusia. Ini kerana soal penjelasan bagi pameran itu tidak berlaku. Penjelasan bagi pameran itu lebih penting kerana konsep mempamerkan benda-benda itu mesti didampingi oleh makna trhadap bnda-benda yang dipamerkan (Mohd Taib Osman, 1985).

Kita mengambil contoh pertembungan budaya di Australia. Di bandar-bandar besar, terdapat muzium yang mempamerkan budaya orang asli. Kesannya mereka memandang budaya sendiri sebagai suatu yang rendah kerana teknologinya yang ketinggalan zaman. Pandangan sebegini berlaku kerana budaya dominannya ialah budaya “kulit putih” Australia.

Perkara yang sama dikhuatiri berlaku apabila budaya dominan anak-anak muda sekarang bukannya budaya sendiri. Bangsa Melayu yang telah membudayakan tudung dan baju kurung sebagai pakaian bagi golongan wanita kini dianggap seolah-olah ketinggalan zaman oleh sesetengah anak muda. Budaya dominan dalam pemakaian bagi mereka ialah seperti berskirt pendek dan berbaju ketat. Tambah memalukan apabila pelajar Cina mula meminati pakaian baju kurung tetapi pemilik budaya itu pula sebaliknya.

Selain itu, budaya hiburan juga semakin menjadi-jadi di Malaysia. Hiburan yang disajikan setiap hari membuktikan bahawa muzik mempunyai hubungan dengan masyarakat dalam proses pembentukan budaya bangsa. Maka, jika ditanya kepada golongan muda hari ini, ramai yang meletakkan artis sebagai idola mereka.

Beberapa kajian mengenai muzik Melayu atau istilahnya etnomuzikologi telah dilakukan oleh pengkaji tempatan seperti Ghouse Nasaruddin, Tan Soo Beng dan Ku Zam Zam. Begitu juga dengan pengkaji luar negara seperti Malm (Amerika Syarikat), Kartomi (Australia) dan Patricia Matusky. Kajian mereka berdasarkan muzik wayang kulit, muzik Mak Yong, muzik nobat dan sebagainya. Hubungan muzik dengan masyarakat walaupun pernah disentuh, tetapi masih banyak lagi berkurangan (Mohd Taib Osman, 1989).

Pendidikan agama yang semakin longgar juga antara penyebab keruntuhan kebudayaan. Sudah menjadi fenomena biasa sesetengah anak-anak muda masih tidak pandai membaca al-Quran. Begitu juga dengan tidak menunaikan solat lima kali sehari.

Berbalik kepada kekuatan pengekalan kebudayaan yang dibincangkan tadi adalah bertunjangkan aqidah yang kukuh. Maka, apabila ilmu agama yang seharusnya dipelajari bagi memupuk kekuatan aqidah tidak dipentingkan, ia pasti memberi kesan kepada kebudayaan Melayu seterusnya peradaban yang suatu ketika dulu pernah dibangga oleh umat Islam.

Orang Melayu dahulunya selalu dikatakan hidup tradisional bercucuk tanam untuk diri sendiri sahaja sudah mencukupi. Namun, apabila mereka diberi peluang menjadi pekebun kecil dan menoreh getah, mereka tidak segan-segan dan ramai yang mengambil peluang untuk menyertainya (Hirshman,1976).

Persoalannya adakah benar agama dan kepercayaan memberikan motivasi untuk mereka bersikap demikian atau dorongan mengejar keuntungan semata-mata?

Perubahan budaya Melayu daripada peradaban Hindu kepada peradaban Islam telah menekankan konsep ideologi tauhid percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa. Inilah yang membangkitkan kebudayaan Melayu itu apabila panduan pemerintahan diambil daripada kisah Nabi dan sahabat-sahabat, khalifah dan raja-raja Islam yang adil berbanding ketaatan tanpa batasan dan menganggap raja sebagai dewa pada zaman sebelumnya. Maka, lahirlaha ungkapan , “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”

KESENIAN ADALAH TARIKAN KEPADA GOLONGAN MUDA

Golongan muda lebih mudah tertarik dengan bidang kesenian berbanding yang lain dalam konteks kebudayaan. Kesenian ini meliputi seni suara, seni lukis, seni tari, dan sebagainya.
Unsur-unsur yang diterapkan dalam sesuatu seni itu seharusnya difahami mereka agar dapat membina jatidiri bangsa. Seni ini mempunyai beberapa aspek seperti pernyataan dan simbolik.
Aspek pernyataan ini berfungsi. Ia jelas dilihat dalam budaya tradisional Melayu. Muzik, drama dan sebagainya mempunyai fungsi atau peranannya dalam kehidupan manusia. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi ekspresi diri selepas bercucuk tanam.

Keramaian diadakan selepas musim menuai. Pada waktu inilah, pernyataan budaya itu dinyatakan penuh keghairahan. Antara contohnya ialah dikir barat yang menceritakan tentang cara hidup kaum petani. Ekspresi rasa susah, penat, gembira dan sebaganya diceritakan dalam dikir yang dinyanyikan.

Aspek simbolik pula menyampaikan maksud secara tidak langsung iaitu seperti tarian, lakonan dan permainan. Cerita yang ditarikan dan didramakan membawa mesej yang memberi kesedaran dan kepuasan.

Berbeza dengan aspek pernyataan tadi, seni ini perlu diperhatikan perlambangan di sebalik gerak-geri yang dipersembahkan kerana simbol ini menyatakan nilai hidup budaya itu.

Simbol ini tidak dipersembahkan secara ekspresif bagi mengelakkan audiens lekas jemu dan keindahan serta ciri-ciri inteleknya hilang. Peraturan sering dicipta berbentuk ekspresif untuk menyatakan sesuatu tetapi kadangkala masih dilanggar. Maka, budaya berperanan mengadakan cara-cara atau denda-denda untuk mengatasi pelanggaran itu.

Sebagai contoh, anak-anak kecil perlu diajar solat dan dipukul sekiraya tidak bersolat apabila berumur 10 tahun. Tindakan memukul ini merupakan budaya seni yang simbolik untuk menyatakan kewajipan solat. Ini lebih memberikan kesan berbanding dinyatakan kewajipan itu secara lisan kerana tahap pemahaman mereka yang masih rendah sewaktu berumur 10 tahun.

Begitu juga dengan perlakuan solat. Tidak ada hadis yang menyatakan perihal gerak solat. Gerak geri dalam solat yang kita lakukan adalah mengikut budaya seni yang simbolik berdasarkan penglihatan para sahabat kepada gerak geri Nabi Muhammad s.a.w. Mungkin jika gerak geri solat itu dinyatakan secara lisan, pemahaman para sahabat atas apa yang dimaksudkan nabi boleh jadi berbeza.

Namun, seni yang berbentuk ekspresif atau simbolik pada hari ini mungkin boleh berubah mengikut peredaran masa. Saya berpendapat banyak perkara hari ini perlu diterangkan dalam bentuk ekspresif kerana mesej yang hendak disampaikan melalui seni yang simbolik tidak difahami sesetengah golongan muda. Walaubagaimanapun, ekspresi pernyataan itu perlulah dengan cara berhikmah.

Saya ingin mengambil contoh sebuah drama Melayu bertajuk Sehelai Selendang Putih terbitan Rosyam Noor yang ditayangkan pada malam Aidilfitri pada tahun 2005. Penerbitnya menyatakan bahawa drama itu bertujuan menunjukkan golongan muda masa kini telah lupa diri kerana sanggup mengorbankan hidup hanya kerana seorang wanita. Namun, respon yang diperolehi menyatakan bahawa drama itu bertujuan menunjukkan kesetiaan cinta yang perlu dipegang oleh pasangan yang bercinta.

Seni yang simbolik terdapat dalam drama tersebut tidak dapat membentuk budaya cintakan Tuhan yang sepatutnya akibat salah faham mesej yang sebenarnya ingin disampaikan. Maka, dalam keadaaan sebegini seni itu perlubersifat ekspresif.

CADANGAN-CADANGAN MEMBINA KEBUDAYAAN GENERASI MUDA MELAYU

Pertama, semua pihak harus memainkan peranan memupuk pandangan hidup dan nilai sosial dalam generasi muda. Lukisan yang dihasilkan seorang seniman tidak bermakna hanya dia yang berperanan memupuk pandangan hidup dan nilai sosial berkenaan. Begitu juga degan pengarang yang menghasilkan novel atau sajak. Pelakon pun tidak dapat memainkan banyak peranan dalam drama dan filem yang dilakonkan. Penyanyi dan penggubah juga begitu terhadap lagu dan muzik ciptaan mereka.

Pandangan hidup dan nilai sosial itu kebanyakannya berlaku dalam proses sosialisasi di sekolah. Golongan muda ini akan belajar daripada apa yang diperolehi dalam kelas dan apa yang mereka alami dalam persekitaran mereka melalui penglihatan, pendengaran dan percakapan.

Media massa harus mempunyai tanggungjawab yang tinggi kerana suratkhabar, buku-buku popular, radio dan televisyen merupakan penghubung antara individu dengan masyarakat umum dan masyarakat kecil dengan masyarakat besar.

Tidak salah jika diberikan ruang untuk bahan hiburan kepada penyanyi dan bintang-bintang filem. Tetapi selain daripada melayani selera penonton atau pembaca, kita juga bertanggungjawab membentuk selera tersebut.

Kedua, masjid perlu dijadikan pusat kegiatan masyarakat. Masjid sudah dikenali sebagai pusat ibadah, namun hasil daripada ibadah tadi jarang dilihat umat Islam. Masjid adalah pusat ibadah, ibadah melahirkan takwaaa, takwa tunjang segala amalan, amalam membentuk kebudayaan Islam (Sidi Gazalba, 1962).

Persamaan dan persaudaraan umat manusia dipraktikkan di masjid. Setiap orang akan berdiri, rukuk, sujud, dan duduk bersama-sama. Mereka saling bahu-membahu, menteri bersebelahan penarik beca, orang Malaysia bersebelahan orang Amerika. Mereka diikat oleh tali persaudaraan Islam (ukhuwwah islamiyyah).

Solat berjemaah paling sempurna yang membangkitkan semangat perkenalan, keakraban, ikatan silaturrahim dan kenangan apabila sama sikap, gerak, ucapan, dan alam fikiran dan dan perasaan. Masing-masing menuju ke masjid atas maksud yang sama iaitu untuk membentuk takwa. Mereka saling bercakap, berbincang dan bertanya susah senang.

Ikatan jemaah yang terjalin dalam masjid kemudiannya dibawa ke luar. Ini mampu menjana semangat bekerjasama dan tolong-menolong sesama jiran tetangga. Ikatan batin yang tumbuh disambungkan oleh takwaa dalam kehidupan sosial dapat menjadikan negara ini negara yang sejahtera da dirahmati Tuhan (baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafur).

Apabila persamaan status antara semua muslim, masjid yang tenang, hubungan mesra sesama mereka, penuh dengan ucapan memuji Allah, ini merangsangkan kepada manusia untuk melihat dan muhasabah diri sendiri. Maka, masjid adalah tempat terbaik untuk wmengawal diri dan perbaiki diri seterusnya menanam takwa dalam diri.

Sidi Gazalba membahagikan kesatuan sosial melalui masjid kepada tiga peringkat. Peringkat prtama ialah masjid kecil atau surau yang terdapat di kompleks kerajaan atau di taman-taman perumahan dan sebagainya. Muslim berdekatan harus setiap hari menunaikan solat berjemaah di sini yang boleh dianggarkan dalam ruang lingkup pekan.
Peringkat kedua ialah masjid sederhana di mana muslim mengadakan solat Jumaat. Ruang lingkupnya lebih besar umpama negeri.

Pertemuan sesama ahli mungkin berlaku sekali seminggu.
Peringkat ketiga pula adalah masjid terbesar iaitu Masjidil Haram yang megumpulkan muslim seluruh dunia sekali setahun.
Peringkat pertama itulah peringkat perbincangan dan pelaksanaan yang praktikal dalam masyarakat manakal peringkat kedua merupakan tempat mereka mendapatkan pesanan dan maklumat berkaitan keadaan negeri. Setelah itu, mereka perlu kembali ke peringkat pertama untuk perbincangan dan pelaksanaan. Begitu juga dengan peringkat ketiga yang menyampaikan perkara yang sama membabitkan umat Islam sedunia dan diperincikan dalam peringkat kedua sebelum diperbincangkan dengan lebih teratur dalam melaksanakannya dengan berkesan.

Maka, bagi menarik perhatian golongan muda, program-program kesenian juga patut diadakan di masjid-masjid. Selain itu, masjid juga boleh menjadi tempat perkumpulan golongan muda dengan mewujudkan kafe internet. Kelas-kelas komputer dan tuisyen pun boleh dianjurkan. Ketiga, menekankan pendidikan Islam kepada golongan muda ini terutamanya pembacaan al-Quran dan solat lima kali sehari.

Al-Quran adalah sumber takwa yang isinya mempunyai rasa agam dan pernyataan isinya adalah bunyi yang berseni. Pembacaan al-Quran itu dianjurkan dalam keadaan berlagu. Ini memerlukan kerjasama ibubapa yang komited ingin mendidik anak mereka agar mampu membaca al-Quran dan menjaga solat lima kali sehari. Teladan daripada ibubapa sangat penting.

Menghantar anak-anak muda ini ke masjid atau mana-mana tempat yang mengajarkan seni suara melagukan bacaan al-Quran mampu menarik minat mereka. Unsur-unsur kesenian itu tidak lari dengan pembudayaan yang dibawa oleh agama Islam. Sekiranya masjid menjadi tempat belajar mereka, hendak atau tidak mereka pasti akan bersolat sama-sama dan tidak meninggalkan solat.

Keempat, alunan azan di masjid-masjid dan surau-surau perlu diperbaiki. Ini boleh dilakukan dengan memberikan ruang kepada golongan muda untuk melaungkan azan. Kadangkala sudah menjadi kelaziman di Malaysia bahawa hanya muazzin bertugas yang dibenarkan azan.

Unsur kesenian yang tergabung dalam keindahan laungan azan yang merdu membawa kepada keindahan isinya. Perkara yang sebaliknya berlaku kepada lagu black metal yang cukup keras yang membawa kepada keburukan isinya.

Memperingatkan kepada solat menggunakan unsur seni untuk memanggil. Bilal bin Rabah pernah pergi berjihad menyertai Abu Ubaidah ke Syria dan sekembalinya ke Madinaha, beliau azan di masjid. Suaranya cukup merdu ditambah dengan tangisan kerana teringatkan Rasulullah telah membawa orang bergegas ke masjid.

Irama dan suasana mengharukan hati, menggetarkan jiwa dan memperkuatkan iman. Maka, apabila bertemu rasa agama dan rasa seni, ia membentuk tenaga rohani yang dapat melahirkan kemahuan yang menggerakkan langkah ke masjid.Perkara yang sama kadangkala berlaku dalam sesetengah lagu dendangan Ramli Sarip, P Ramlee, M. Nasir dan Raihan yang mampu membuat orang menangis dan mengingati Allah.

Keempat, lanjutan daripada ketiga tadi, maka perlu diperbanyakkan konsert yang menyanyikan lagu-lagu puisi bercirikan ketuhanan dan keagamaan. Ini adalah contoh seni untuk Tuhan. Seni suara yanga berpangkal daripada taqwa dan bergerak kepada suatu tujuan iaitu mendatangkan kesan nilai pada diri sendiri dan masyarakat.

Apabila program sebegini diperhebatkan berbanding lagu-lagu yang tidak membawa unsur nilai-nilai moral, pasti kita dapat membawa golongan muda ke arah yang lebih baik. Orang dapat mencapai apapun yang mereka inginkan, sama ada ianya baik atau jahat, asalkan jumlah yang menginginkannya benar-benar cukup banyak (Maryam Jameelah, 1985). Jadi, seandainya ramai ingin membina kebudayaan ini dengan baik, ia akan jadi baik dan begitulah sebaliknya.

Kelima, seminar-seminar berkenaan kesenian dan Islam perlu digiatkan bagi menanam pemahaman yang betul terhadap ajaran Islam sebenar. Apabila kesenian diputuskan hubungannya daripada Islam, ia akan menyeleweng mencari jalan-jalan dan sifat-sifatnya sendiri, yang akan merugikan atau merosakkan, sehingga wujud hal-hal bertentangan dengan tujuannya. Maka, tujuan kesenian untuk kesenangan itu akhirnya membawa kepada kerosakan (Sidi Gazalba,1962).

Keenam, rekreasi bersama keluarga atau kawan juga turut membantu pembinaan kebudayaan. Apabila rekreasi yang berbentuk kesenangan-kesenangan seperti duduk di taman sambil menikmati aroma harum bunga-bungaan dan bersiar-siar bersama isteri dan anak-anak. Bercakap dengan kawan akrab sejenis mengenai persoalan harian, cerita pembacaan puisi, dan sebagainya. Ini mampu mengelakkan mereka terjebak dengan perkara yang luar batasan pengetahuan ibubapa di samping perkongsian masalah dan perasaan yang dapat mewujudkan persefahaman dan kesatuan.

Begitulah seharusnya kita menggembeleng tenaga untuk membina kebudayaan Melayu mengikut teras asasnya yang sama sekali tidak asing dengan ajaran agama Islam.


Belajar Terus Belajar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan