Selasa, 20 Disember 2011

Melayu dan Globalisasi



BAYANGKAN senario ini:

`Secara tiba-tiba datang satu kuasa, yang entah dari mana, menyogokkan secara paksa pelbagai perkara baru yang menarik. Kita menerimanya kerana, pertama, tertarik dengan perkara-perkara baru yang dibawa olehnya; kedua, kerana mahu mengikut orang lain supaya tidak dikatakan ketinggalan; dan ketiga, kerana kita sememangnya tidak mempunyai pilihan lagi.

Kuasa baru itu kemudian terus menggoda kita dengan kehebatan—kehebatannya. Ia menawarkan terlalu banyak perkara yang dahulunya cuma menjadi igauan kita. Dalam pada itu kuasa tersebut akan memberitahu kita tentang betapa salahnya amalan-amalan kita selama ini, betapa kurangnya pengetahuan kita dan betapa buruknya budaya kita. Pemberitahuan itu akan dilakukan secara berulang ulang, manakala kehebatan-kehebatan baru yang disogokkan pula tidak pernah berkurang.
Akhirnya, kita pun perlahan-lahan percaya bahawa apa yang kita ada memang tidak baik dan tanpa berusaha memperbaikinya, kita terus melontarkan segala yang kita miliki itu jauh-jauh.
Apakah yang akan terjadi pada kita selepas itu?’

Sebenarnya, saya bercakap tentang globalisasi. Tentang konsep sebuah dunia baru. Tentang mala petaka yang mungkin dibawa olehnya.

Siapakah yang menyangka selepas berlalunya ancaman penaklukan dan perluasan wilayah, selepas sebuah demi sebuah tanah jajahan muncul sebagai kuasa yang merdeka, akan timbul pula satu bentuk penjajahan baru yang lebih bersopan tetapi sangat buas.

Tetapi itulah yang sedang berlaku. Tahun-tahun terakhir abad ke-20 telah memperkenalkan pada manusia sejagat konsep sebuah dunia baru, dunia tanpa sempadan dengan langit yang maha terbuka. Konsep yang sekarang ini menjadi bahan polemik di setiap penjuru dunia. Konsep yang menggelisahkan negara-negara kecil dan meresahkan negara-negara besar.

Globalisasi adalah arus yang tidak dapat dielakkan. Ia adalah percikan pasca modenisme yang sedang mara dan sedang kita hampiri.

Globalisasi telah, sedang dan akan terus memaksakan proses perubahan demografi, teknologi, penghapusan sempadan, penembusan budaya, perkahwinan bahasa dan pelbagai lagi ke atas umat manusia. Konsep yang ibarat hantu raya tidak bertuan itu sedang menelan konsep negara-bangsa, yang diperkenalkan oleh ahli falsafah Jerman, Johann Fichte (1762-1814). Ia sedang dalam perjalanan untuk mencipta kuasa-kuasa supranasional, yang bakal menenggelamkan kuasa negara-negara yang dibentuk oleh negeri-negeri kecil pada zaman penaklukan dan penjajahan.

Globalisasi menjanjikan kehidupan yang lebih mudah dan cemerlang. Ia akan mencabut nilai-nilai kebangsaan dan kenegaraan, lalu menggantikannya pula dengan konsep kesejagatan. Manusia perlahan-lahan akan hilang identiti asalnya, dan perlahan-lahan juga kumpulan di mana dia menjadi anggotanya akan larut dan menjadi sekulit dengan kumpulan lain yang lebih besar. Gabungan itu akan menjadi bangsa global. Ketika itu tidak ada lagi bangsa Melayu, Cina, India, Sepanyol, Arab, Inggeris atau apa sahaja. Tidak ada lagi puak Karen, Pygmy, Masai, Gypsy, Badwi dan sebagainya. Dalam hal kenegaraan pula, sedikit demi sedikit akan hilang nama negara-negara yang selama ini pernah dikenal dan disebut. Semuanya akan bercantum dalam satu proses yang aneh dan membentuk kumpulan negara global.

Di kalangan para pejuang hak asasi yang tergila-gilakan persamaan hak secara mutlak, mungkin ini yang mereka mimpikan. Mereka mungkin boleh bertepuk tangan apabila manusia menjadi sama, atau kelihatan sama, dengan menikmati hak yang sama sebagai individu tanpa dicela oleh hak-hak kenegaraan.

Di barat, kegilaan dan kekeliruan tentang hak asasi telah lama tumbuh. Kemuncak kegilaan itu ialah pada tahun 1789, tahun meletusnya revolusi besar terhadap hak-hak kemanusiaan di Peranchis. Tahun itu menyaksikan satu Perisytiharan besar yang merumuskan bahawa setiap ‘manusia adalah warganegara’.

Dalam perisytiharan yang sama, jelas disebutkan bahawa, tidak ada lagi tanggungjawab individu kepada masyarakat dan sebaliknya. Individu bebas bertindak bagi dirinya sendiri. Hanya satu garisan diletakkan untuk mengawal kebebasan itu, iaitu, individu tersebut tidak boleh mengganggu hak dan kebebasan individu lain.

Perisytiharan itu berkembang biak hasil usaha jaguh jaguh revolusi seperti Bonaparte, Jefferson, Goethe dan Miranda. Bergerak atas keinginan membentuk persaudaraan sejagat, mereka telah mempromosi idea itu dan sesudah mengalami pelbagai proses, termasuk dikhianati oleh idea bahawa keunggulan semangat kolektif mengatasi kebebasan individu yang menjadi dorongan pada budaya penjajahan, Perisytiharan 1789 itu berjaya juga berkembang biak sehingga menjadi asas Perisytiharan Hak Manusia pada tahun 1948.

Kemurniaan di sebalik Perisytiharan 1789 ialah, ia menjadi jaminan kebebasan bagi setiap orang dan menjadi rangka dasar bagi persefahaman dan kerjasama antara sesama manusia. Tetapi keburukannya ialah, menjadi asas pada pembentukan faham individualistik secara terbuka dan melonggarkan pegangan masyarakat ke atas anggotanya. Dua penentang revolusi yang tersohor, Edmund Burke di England dan Joseph de Maistre di Peranchis sama-sama mensifatkan Perisytiharan 1789 itu sebagai mengarut sebab ia mengubah nilai semula jadi manusia.

Globalisasi adalah lanjutan daripada impian pencetus pencetus idea 1789 itu. Sejarah mungkin akan berulang. Sebagaimana Peranchis memberikan hak kewarganegaraan kepada kumpulan orang-orang asing pada penghujung abad ke-18 lalu bagi membentuk sebuah Peranchis sebenar, globalisasi juga sedang membuka hak kewarganegaraannya kepada semua orang. Jika Perancis, yang menurut bekas pemimpinnya De Gaulle, ‘dibina bersama orang asing yang berkongsi kesukaran’, globalisasi pula ‘dibina bersama orang asing yang berkongsi keselesaan.’

Sama seperti orang lain, kita di Malaysia tidak akan terkecuali daripada serkupan jubah globalisasi ini. Jika ada sahabat yang paling baik sekarang ini, ia adalah globalisasi. Jika ada musuh yang paling jahat, ia juga tidak lain daripada globalisasi.

Bagi mereka yang kuat, ancaman globalisasi adalah minimum berbanding dengan yang lemah dan kurang kuat. Sekurang-kurangnya, mereka boleh menangguhkan ancaman itu dan mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan baru bagi mengatasinya.

Melayu tidak lemah, tetapi masalahnya, Melayu juga tidak kuat.

Kolonialisme yang dibawa oleh globalisasi mempunyai perbezaan ketara dengan bentuk penjajahan nyata. Sifatnya lebih abstrak.

Dalam menghadapi musuh nyata pun Melayu berkeadaan kelam kabut, bagaimanakah mungkin mereka mampu menghadapi musuh yang tidak nyata?

Demografi Melayu sehingga awal abad ke-21 ini masih bertunjangkan suasana-suasana yang tidak membantu ke arah pembinaan kekuatan untuk menghadapi musuh kabur itu. Terlalu banyak ruang yang dibuka dan terbuka untuk diresapi oleh agen-agen emperialis baru yang bertuankan teknologi itu.

Serangan-serangan globalisasi setakat ini telah banyak menumbangkan kehormatan Melayu. Kita terperangkap dalam fahaman-fahaman ekonomi yang memisahkan kita daripada nilai Melayu sebenar. Kita terjerat dalam idea-idea baru yang mendidik Melayu supaya meninggalkan jati dirinya. Kita terjebak dalam konsep politik yang mengangkat isme melebihi kepentingan agama dan bangsa.

Semua ini menjadikan budaya kita berubah. Proses asimilasi budaya ini pula tidak pernah berhenti. Dari satu sudut ia kelihatan seperti dipaksakan ke atas kita, tetapi dari sudut yang lain ia adalah pencabulan yang kita relakan.

Contoh mudahnya sangat banyak. Yang paling dekat ada di dalam rumah sendiri. Tiada siapa yang memaksa kita membeli televisyen, tetapi kita sendiri yang mengangkutnya ke rumah. Tidak cukup satu, kita beli dua dan tiga. Masih tidak mengapa kalau siaran televisyen itu merupakan hasil kerja bangsa kita yang serasi dengan nilai budaya kita. Tetapi ia menjadi masalah apabila ‘peti beracun’ itu sarat dengan program-program asing atau program tempatan yang berwajah asing. Tiada siapa memaksa kita menontonnya, tetapi kita seolah-olah tidak boleh hidup jika tidak berbuat demikian.

Itu baru televisyen, bagaimana dengan VCD, kaset dan internet? Jangan pula lupa bahawa selain bahan bacaan, bercetak atau pun tidak, radio juga merupakan agen penyebar budaya yang cukup besar pengaruhnya.

Asimilasi budaya sampai bila-bila pun tidak akan berpihak pada yang lemah dan yang kurang kuat. Kira-kira 400 tahun dahulu sekumpulan orang Rusia menawan satu kawasan di utara negara itu yang bernama Siberia. Selama beberapa generasi mereka hidup tanpa sebarang masalah besar. Mereka sesama sendiri mungkin terpisah sedikit daripada dunia luar, tetapi mereka hidup didalam persekitaran sendiri yang tidak membimbangkan.

Penduduk Siberia itu terbahagi kepada kumpulan kumpulan etnik. Mereka bertutur dan berhubung dalam bahasa-bahasa Utara.

Pada tahun 1924, tidak lama selepas komunis berkuasa di Rusia, nasib orang-orang Siberia itu mula berubah. Bermula daripada penubuhan Jawatankuasa Bagi Membantu Penduduk Utara Jauh, proses ‘pelupusan’ budaya penduduk Siberia pun bergerak tanpa menoleh ke belakang lagi.

Kakitangan pemerintah, termasuk guru-guru dari Kremlin dihantar ke Siberia dengan satu misi; membantu kumpulan etnik yang berbeza dan mengubah cara hidup mereka daripada cara tradisi kepada cara komunis.

Secara perlahan-lahan, penduduk Siberia dipaksa menerima nilai baru. Mereka yang telah sekian lama hidup, dan sekian lama mendapat makan dan pakai, secara tiba-tiba diajar tentang apa yang patut dibuat dan apa yang tidak. Corak kehidupan tradisi mereka diperlekehkan habis habisan, manakala nilai komunisme diangkat dengan sehebat-hebatnya. Buku-buku teks di sekolah mula dipenuhi oleh kisah kehebatan Lenin dan Stalin, serta kejahatan rejim Czar. Semangat revolusi diselit secara terang-terangan. Hal ehwal tempatan dicicirkan, mulanya secara sedikit demi sedikit, dan kemudian lenyap sama sekali. Orang-orang tua yang dahulunya dihormati, kini ditampalkan dengan imej orang-orang dungu yang tidak boleh dijadikan contoh. Shaman (pawang) yang menjadi kepala adat dilabelkan sebagai penipu dan pengkhianat yang menyekat kemajuan.

Hasilnya, dalam masa yang cukup singkat wajah sebenar penduduk Siberia hilang. Bahasa-bahasa Utara juga hilang.

Nasib yang sama akan menimpa sesiapa sahaja yang lemah di era globalisasi ini. Dan kita tidak mahu ianya berlaku terhadap umat Melayu. Namun ia harus akan berlaku jika kita terlalu taksub pada nilai-nilai baru tanpa mengambil langkah perlu bagi membina jati diri; bukan binaan yang bersandarkan slogan, tetapi binaan dalam erti kata sebenar.

Melayu belum tercabut terus daripada akar umbinya. Tetapi sebahagian besar Melayu sedang bergerak ke arah itu. Telah wujud kumpulan-kumpulan Melayu yang tidak mempunyai semangat kebangsaan lagi dan bilangan mereka sedang bertambah dengan banyaknya. Mereka meninggalkan
sebahagian besar resam dan adat budaya Melayu, memandang jelek pada tata kehidupan bangsa sendiri, berasa malu berbahasa ibunda dan tidak pernah mahu mengambil tahu tentang roh rumpun keturunannya. Pada mereka budaya Melayu mengekang kemajuan. Lebih memedihkan lagi ada antara mereka yang sudah tidak mahu mengaku dirinya Melayu.

Terdapat kemungkinan kes-kes membenci akar umbi ini merupakan cetusan daripada rasa kecewa yang terpengap di hati-hati anak Melayu itu sendiri. Kemelut yang melanda hidup manusia Melayu, kekalutan jiwa, kejumudan fikiran dan ketidak tentu haluan bangsanya menyebabkan kumpulan yang ghairah dengan kejayaan itu berasa gelisah. Mereka menganggap bangsa mereka bukan lagi faktor yang membantu, sebaliknya beban yang menyulitkan. Akhirnya, mereka mengambil jalan mudah, membuang susu sebelanga semata-mata kerana nila setitik. Obsesi pada kejayaan peribadi menjadikan mereka tidak sanggup meluangkan masa lagi untuk menyelamatkan susu yang tercemar itu.

Semua itu berlaku kerana globalisasi, dan kerana kealpaan Melayu sendiri.

Kemunculan manusia-manusia yang membenci bangsa sendiri itu adalah ciri-ciri kejayaan awal globalisasi. Di peringkat itu pencabutan manusia daripada masyarakat dan bangsanya telah berlaku. Langkah selepas itu, untuk mencabut manusia daripada negara dan negara daripada manusia, tidak lagi menjadi sukar. Kata Johann Fichte, tatkala mengulas tentang negara-bangsa dan ‘hak darah’, “tanpa negara, nyata atau khayalan, sesuatu bangsa tidak mempunyai masa depan.”

Inilah yang menggelisahkan semua nasionalis di segenap pelosok dunia. Mereka yang berpegang pada konsep ‘hak darah’ tidak akan dapat menerima apa juga bentuk pelupusan bangsa dan negara.

Kita pula bagaimana?

Relakah kita melihat seorang demi seorang Melayu meninggalkan Melayu untuk menyekutukan diri dengan bangsa global yang abstrak itu? Sanggupkah kita melihat seorang demi seorang Melayu dicabut keluar daripada kelompok kita? Mahukah kita menjadi seperti kumpulan etnik kecil di Ukraine, Armenia dan Arzebaijan yang sering merindui ‘hak darah’ mereka yang semakin lama menjadi semakin tipis? Mahukah kita melihat yang tinggal sebagai warisan bangsa nanti cuma nostalgia semata-mata?

Pedulikan orang lain. Kita tidak perlu, dan tidak berhak membincangkan masa depan mereka. Kita mungkin boleh melakukannya, menyibuk tentang urusan orang lain, hanya jika kita sendiri tidak mempunyai masalah. Realitinya pula, sebagai bukan-Melayu dan bukan-Islam, masalah mereka mungkin tidak seberat kita. Mereka mungkin tidak mempunyai terlalu banyak nilai yang dipertahankan. Nilai-nilai yang ada juga barangkali lebih bersifat ‘absorbent’ berbanding dengan nilai-nilai kita.

Bagi setiap Melayu dan Islam, apatah lagi yang berada di Malaysia, tanggungjawab kita sentiasa berat. Dalam apa juga yang hendak dilakukan kita diikat dan terikat oleh tiga kewajipan berkembar; terhadap agama, terhadap bangsa dan terhadap nusa.

Tidak ada satu pun antara ketiga-tiga tuntutan itu boleh dicicirkan, setidak-tidaknya untuk tempoh beberapa dekad akan datang. Setiap satu daripadanya perlu untuk menegakkan yang dua lagi.

Dalam menghadapi karenah globalisasi inilah tiga perkara asas ini yang mesti kita lindungi. Ketiga-tiganya juga merupakan komponen-komponen yang sangat penting untuk menggerakkan apa sahaja strategi bagi menangkis segala bentuk serangan, termasuk globalisasi.

Kita mungkin menganggap setakat ini kita tidak menghadapi masalah dengan nusa. Kita ditakdirkan berada di sebuah bumi milik kita sendiri. Dengan izin Allah, negara ini pula memiliki segala ciri sebuah negara yang ingin didiami. Saingan yang kita hadapi dengan semua mereka yang berkongsi bumi ini hanyalah persaingan lazim yang tidak berbentuk ancaman.

Tetapi itu cuma anggapan. Realitinya mungkin berbeza. Kita harus akur bahawa sejarah politik antarabangsa kerap membuktikan keikhlasan jiran tidak boleh dijadikan sandaran untuk kita bersenang-senang. Kemungkinan adanya jiran yang cemburu dengan pencapaian kita tetap wujud. Samalah juga dengan kemungkinan ada jiran yang rela dirinya diperalatkan oleh kuasa-kuasa lain.

Kesemua kemungkmnan itu menuntut kesedaran yang tidak sedikit. Hakikat bahawa ada di kalangan negara tetangga yang sentiasa memberi tumpuan untuk memperkuatkan bidang ketenteraan dan pertahanannya mesti dilihat dengan penuh kewaspadaan, kalaupun bukan dengan kecurigaan. Kita tidak perlu menuduh sesiapa, tetapi kita perlu berjaga-jaga.

Kesimpulannya, kita masih ada masalah dalam soal nusa.Kita juga bermasalah dalam soal bangsa dan agama. Himpunan kesemuanya menunjukkan kita memang ada masalah besar.

Masalah yang berkaitan dengan kepentingan nusa mungkin lebih mudah ditangani kerana ianya bersifat fikizal. Tetapi tidak dalam masalah-masalah bangsa dan agama. Sifatnya terlalu abstrak. Sama seperti hantu dan tahyul yang menjadi urat nadi kehidupan sekelompok kecil kawan rakan yang
sebangsa dengan kita.

Secara langsung masalah yang kabur ini akan turut menyulitkan usaha untuk mencari jalan penyelesaiannya.Sebagaimana hantu dan tahyul, ia sering membawa kesan yang sangat menakutkan.

Masalah Melayu yang masih tidak boleh duduk semeja dalam hal yang menyangkuti perjuangan agama dan bangsa menyediakan ruang yang cukup baik untuk globalisasi menenggelamkan mereka. Di sinilah asas kekhuatiran kita.

Agak sukar untuk membayangkan kesan sebenar globalisasi, tetapi tidak sukar untuk membayangkan nasib orang Melayu jika mereka masih memandang ringan soal perpaduan bangsa dan kedaulatan agama.

Tetapi berapa keratkah Melayu yang sedar, dan berapa keratkah pula yang mahu disedarkan?


Belajar Terus Belajar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan