Selasa, 14 Mei 2013

SUMPAH MELAYU



Maka pada 10 Februari 1946, dibaca oleh orang Melayu mengenai sumpah Melayu untuk Melayu. Maka mereka bersumpah bahawa inilah asas keramat orang Melayu untuk terus membentuk tamadun bangsa untuk terus kekal relevan. Hari ini sumpah itu hanya dalam lipatan sejarah. Hari ini sumpah itu seakan di khianati kerana orang Melayu sendiri berfikiran bahawa mereka perlu berubah – berubah dengan kemajuan – berubah untuk meninggalkan – nilai murni bangsa – secocok dengan pembangunan moden dunia dan nilai baru yang sesuai dengan pendidikan moden. Kita bercerita untuk melepaskan sejarah, melanggar sumpah dan terus maju bersama-sama bangsa lain. Kita memilih menukar ketuanan kepada ketuanan rakyat. Ketuanan yang lepaskan hak yang selama ini ada, menjajakan pegangan untuk memperoleh kuasa dan mendabik dada menjadi pejuang politik yang tidak bermakna untuk bangsa itu sendiri.

Sebenarnya ketuanan rakyat yang dilaungkan adalah penjualan hak yang ada. Sebenarnya kesamarataan dalam demokrasi yang diperjuangkan lupa, bahawa Melayu yang mengekor dan belum lagi boleh berlari. Perjuangan Melayu adalah untuk Melayu, tidak perlu digeruni dan di perlu dikhuatiri. Perjuangan Melayu adalah untuk meningkatkan Melayu agar serasi bila bercerita mengenai kemodenan dan pembangunan agar kemajuan itu tidak timbul hanya di kelit mata kemudian di landa kepayahan hidup dan keciciran bangsa.

Kenapa Melayu takut membicarakan sumpah mereka? Kenapa Melayu takut membicarakan perjuangan Melayu? Adakah kerana ini menghilangkan rasa moden di kalangan mereka? Adakah ini menunjukkan bahawa kita tidak maju bila membicarakan tentang perjuangan bangsa?

Melayu sebenarnya perlu sedar dan perlu menjelaskan. Ketegasan kita memperkatakan hak dengan penjelasan yang sempurna. Kita perlu pertahankan sumpah kita kerana kita tidak mahu kedaulatan Melayu mengalir meninggalkan kita – lebih buruk bila Melayu beransur hilang di bumi sendiri.

Kita mesti mengenal apa yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan. Jangan terleka dengan perjuangan politik yang mementingkan segelintir mereka yang mahu terus berkuasa. Kita mahu mereka yang turut membicarakan hak yang perlu dipertahankan demi Melayu untuk Melayu.

Ini adalah untuk semua, yang tingi melangit, yang sedang duduk mencoret polisi dan kita yang berkeliaran di muka bumi menjadi rakyat Melayu yang kini seakan kehilangan maruah diri. Jangan angkuh membicarakan kemodenan dalam erti melupakan nilai Melayu kita yang ada. Jangan angkuh membicarakan pembangunan dengan menggadai hak kita.

Melayu itu perlu dicernakan semula. Dalam erti mempertahankan yang ada. Dalam erti memperjuangkan semula, yang telah terlepas akibat melanggar sumpah kita. Melayu itu perlu bangkit dalam melihat bahawa kita bukan ketinggalan tetapi kita semakin hari semakin pupus di muka dunia. Kita perlu menceritakan semula Melayu itu – dalam suasana baru tetapi penuh bermaruah dan tidak perlu segan pada apa yang kita ada.

Sekiranya ada antara kita – menyatakan sumpah ini kuno dan ketinggalan, maka katakan pada mereka, sumpah itu kekal membicarakan perjuangan kita dan yang terlupa adalah mereka yang palsu menyatakan bahawa ketuanan Melayu adalah sisa-sisa sahaja, perlu di campak bersama sampah-sampah lain yang tidak berguna dan bukan budaya yang perlu dipertahankan kerana mereka sedang menuntut kuasa untuk berdendam sesama Melayu yang ada dan mereka tidak ubah seperti sampah yang jijik untuk Melayu melihatnya.

Ini sepatutnya dikenang semula-kerana yang hilang kita, yang dikurangkan hak kita dan yang ada penipuan mereka yang membawa bunga-bunga palsu untuk kita – tidak berbau dan tanpa semangat dan roh sebenar.

Perjuangkan dan pertahankan – maruah bangsa agar kita menginsafi yang hilang pada kita kerana kita Melayu lupa bercerita – kita tidak hilang d dunia – wujud sebagai daun kering yang menanti terlerai dari pepohonan sungguhpun jejak ada tapi tidak bermakna.

Belajar Terus Belajar !
Salam Perjuangan !!!

Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat

Perjuangkan HAK MELAYU !






Mungkin ini hakikat perjuangan yang ada. Perjuangan menuntut "demokrasi total" adalah merupakan sensasi perjuangan yang kini merebak bagai wabak di negara kita ini. Tuduhan negara ini, kerajaan ini tidak mengamalkan demokrasi semakin lantang dibicarakan. Mendahului perjuangan yang menuntut agar "demokrasi sempurna" dilaksanakan di Malaysia adalah Barisan Alternatif ( gabungan Parti Keadilan Rakyat Malaysia serta PAS) dan Democratic Action Party yang tidak akan menyertai Barisan Alternatif selagi PAS tidak mengugurkan perjuangan negara Islam. Sungguhpun DAP tidak menyertai Barisan Alternatif tetapi perjuangan "Malaysian Malaysia" seakan teresap dalam manifesto Barisan Alternatif. Perjuangan inilah yang menjadi teras Barisan Alternatif dan DAP dalam usaha meragut sokongan dari kaum - kaum lagi. Adakah salah kalau kita katakan bahawa antara manifesto perjuangan parti pembangkang hari ini adalah "Malaysian Malaysia"

Perjuangan DAP inilah yang sebenar teresap dalam agenda beberapa kepimpinan PKR dalam usaha politik mereka untuk menjadi alternatif kepada pemerintahan yang sedia ada . Kenyataan 60% orang - orang Cina menolak Barisan Nasional mungkin juga adalah kejayaan hasil usaha PKR dan DAP. Kalau benar statistik penolakan ini berlaku ini adalah hasil perjuangan demokrasi tulen yang turut membawa agenda lain khususnya yang menyentuh hak - hak keistimewaan Melayu.

Adakah ini tidak benar? Adakah perjuangan ke arah demokrasi total tidak akan menghakis hak-hak keistimewaan orang Melayu? Adakah perjuangan "multi racial", komposisi Parti Keadilan Rakyat Malaysia yang ada dapat menjamin kuasa politik dimiliki oleh orang - orang Melayu atau mampukan perlembagaan parti itu secara khusus menjamin hak - hak orang Melayu terpilihara?

Menulis isu ini sebenarnya mempunyai implikasi yang agak besar. Ini akan dilabel sebagai satu tulisan berbau perkauman sekiranya kita menuduh perjuangan atas nama demokrasi hanya akan menguntungkan DAP dengan agenda Malaysian Malaysia. Ini perlu kita kupas, kerana apa yang kelihatan ialah perjuangan menuntut demokrasi total mensasarkan agenda - agenda lain yang lebih menumpukan kepada soal kepentingan kaum dan hasrat mencairkan hak keistimewaan Melayu. Perlu kita tegaskan bahawa ini bukan soal penentangan antara kaum tetapi penulisan ini adalah persoalan "survival" orang - orang Melayu sebagaimana terdapat ruangan yang cukup luas untuk parti yang memperjuangkan ras mempersoalkan kedudukan kaum Melayu dan kadang kala menyentuh isu kontradiksi agama sekali.

Apa yang mahu kita sama - sama fikirkan adalah perjuangan atas nama "demokrasi tulen" yang tidak semestinya memberikan keadilan kepada kaum Melayu dan tidak kelihatan pun kehadiran tuntutan "demokrasi tulen" itu akan menjaga hak orang - orang Melayu malah yang jelas ianya hadir sebagai satu perjuangan menuntut kesamarataan kaum yang akan gagal memberi keadilan kepada bumiputera.

Peringatan kepada Melayu

Peringatan kepada Melayu bukan bermaksud kita mendiskriminasi mana - mana pihak khususnya kaum lain tetapi adalah untuk kita sedar supaya kita tidak terserap dalam perjuangan "terma" tetapi akhirnya merugikan kaum Melayu itu sendiri. Kita tidak mahu Melayu tersedut dalam putaran perjuangan demokrasi tulen akhirnya menjayakan perjuangan "chauvinist" sesuatu kaum. Kita tidak mahu pula kita sebagai Melayu mendiskriminasi kaum lain tetapi kita jangan hanya duduk mendengar tuntutan kerana takut bersuara menegakkan hak.

Kita harus sedar bahawa kita perlu bangkit untuk mempertahankan hak kita sebagai bumiputera, sebagai rakyat Malaysia dan sebagai manusia. Namun perjuangan ini tidak seharusnya mengenepikan keadilan dan keadilan bukan bermakna pembahagian adil dari segi kuantitatif sahaja. Ianya bukan pengiraan "satu untuk aku dan satu untuk kamu" tetapi adalah pengagihan mengikut keperluan dengan mengambilkira bermacam faktor tambahan yang perlu dilakukan bagi mengimbangi skala yang ada.

Timbang khususnya dari sudut perekonomian yang ada bukan hadir dari nilai kosong atau seimbang. Timbang itu semenjak awal Tanah Melayu sudah condong memihak kepada kaum lain. Usaha kita adalah untuk menambah pemberat pada timbang itu agar ianya adil untuk kaum Melayu tetapi bukan bertindak mengurangkan berat untuk menyamaratakan timbang tersebut dengan mendiskriminasi kaum lain. Itu perlu kita tegaskan. Namun dalam kita menegaskan perkara tersebut ada sahaja "chauvinist" sesuatu kaum yang akan menuduh ini adalah hasutan kaum dan lebih malang pula sekiranya Melayu sendiri jadi takut untuk menyuarakan hak.

Kita sedar bahawa "chauvinist" ini ada pada semua kaum. Ini perlu kita tangani malah sekiranya ada "chauvinist" ini dari kalangan Melayu maka itu juga perlu kita tolak. Namun memperjuangkan agenda bangsa tidak seharusnya tersekat oleh ketakutan yang akhirnya merugikan kita. Kita harus berani menyuarakan sebagaimana mereka berani mempersoalkan. Kita harus terangkan kepada semua bumiputera khususnya Melayu kerana itu kewajipan kita dalam menyedarkan betapa perlu kita mempertahankan agenda Melayu supaya tidak terikut dengan perjuangan "demokrasi" oleh sesetengah mereka yang mendefinisikannya sebagai penghapusan hak - hak keistimewaan orang - orang bumiputera. Ini adalah definisi songsang demokrasi yang tidak menerapkan keadilan sebenar dalam perjuangan itu. Kita harus mendefinisikan demokrasi dalam ertikata keadilan yang sebenar dan tidak menyekat roh keadilan hanya berpaksikan perkataan dan perjuangan demokrasi kosong tanpa nilai.John Rawls dalam bukunya A Theory of Justice menyentuh,Keadilan Sosial sebagai semua "keperluan utama atau primer - kebebasan dan peluang, pendapatan dan kekayaan serta asas-asas harga diri, mestilah diagihkan sama rata melainkan pengagihan sebahagian atau semua keperluan yang tidak sama rata menguntungkan mereka yang diketepikan." Adakah ini perlaksanaan kita? Adakah segelintir yang terpilih aman menghirup kemakmuran sedangkan yang lain celaka dalam kemodenan dan pembangunan negara? Definisi ini menunjukkan bahawa keadilan sosial mensyaratkan supaya sekiranya berlakukan pengagihan yang tidak serata tetapi memihak kepada yang ketepi maka ini adalah juga ciri-ciri khusus KEADILAN.

Malangnya, kita terpaut dengan perjuang demokrasi, keadilan yang mempunyai niat - niat tertentu yang bermotifkan politik. Kita terlena dengan konon-kononnya demokrasi itu adalah keadilan dan syarat keadilan itu adalah mencabut keistimewaan hak orang Melayu. Ada pula yang berhujah bahawa adalah tidak demokratik sekiranya kita mempunyai parti berasaskan ras, tidak demokratik sekiranya ada perbezaan hak, kuota dan tidak melaksanakan meritokrasi. Lebih buruk lagi bila ada yang mengatakan kerajaan menindas, mendiskriminasi dan mencabut hak orang bukan bumiputera dan Melayu. Kumpulan ini merangkumkan perjuangan - perjuangan dan tuduhan ini sebagai kerajan tidak demokratik dan zalim. Lebih mengharukan apabila Melayu sendiri dalam Parti Keadilan Rakyat Malaysia turut seolah - olah membicara dengan nada yang serupa konsep DAP "Malaysian Malaysia" seolah - olah kewarganegaraan yang ada tiada nilai untuk hidup di Malaysia. Benar kita "Malaysian" tidak kira bangsa, adat dan agama tetapi jangan perjuangan itu menuntut pembasmian hak keistimewaan sebagai syarat demokrasi dan keadilan. Orang Melayu harus sedar dan tidak terikut dengan perjuangan keadilan dan demokrasi mereka, yang hanya tertumpu kepada cita - cita politik semata - mata.

Dari sudut ekonomi kalau ditimbang, penyertaan kaum lain menyebabkan timbang itu senget sebelah. Pendedahan 85% kontrak kerajaan jatuh semula kepada kaum lain cukup untuk kita mengatakan bahawa Melayu jauh tertinggal sungguh pun ada peningkatan. Ini cukup untuk menunjukkan bahawa bagi kaum lain timbangnya berat dan bagi Melayu dacing itu terapung di atas kerana ringan kerana kita jauh terkebelakang. Adakah dengan menuruti formula keadilan sosial maka salah kalau kita memberi ruang kepada Melayu untuk merapatkan partisipasi ekonomi tersebut?

Kita harus menegaskan : Keperluan Melayu itu untuk meningkatkan partisipasi ekonomi bukan dengan menghalang kaum lain untuk berniaga atau mendiskriminasi mereka. Ironisnya tuntutan Demokrasi dan Keadilan hanya tertumpu untuk mencabut hak - keistimewaan orang - orang Melayu dan ini amat dikesali.

Amaran untuk Melayu

Kita jangan terikut - ikut dengan perjuangan konon-kononnya atas nama demokrasi maka dengan itu hak-hak kita perlu dihakis.

Kita jangan terpedaya konon-kononnya perjuangan demokrasi mereka adalah untuk keadilan tetapi sebenarnya hanya satu tentangan yang berlandaskan pejuangan kesamarataan yang tidak adil.

Kita jangan mengatakan bahawa perjuangan Agenda Melayu itu adalah perjuangan ras, jangan sekali terserap dengan manifesto khusus DAP yang menggunakan perjuangan atas nama demokrasi tetapi perkauman.

Melayu kena berani menyuarakan hak dan Melayu tidak seharusnya mengorbankan hak yang ada semata - mata kerana mahukan undi.Kita tidak seharusnya termakan dengan dahyah pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat Malaysia yang mengatakan mereka tidak berasaskan ras tetapi memperjuangkan keadilan sejagat, kerana itu hanyalah kenyataan politik untuk memancing undi bukan Melayu.

Hari ini kita berdepan dengan statistik bahawa 60% orang - orang Cina menolak Barisan Nasional. Ada yang bersetuju dengan statistik itu dan ada yang mengatakan statistik itu tidak benar. Yang mengatakan statistik itu tidak benar telah memberi hujah bahawa bila sampai waktu pilihanraya maka tindakan drastik Barisan Nasional adalah untuk memenangi hati pengundi Cina dengan melunaskan tuntutan mereka. Mereka berhujah bahawa statistik tersebut hanya satu ugutan dan akhirnya Barisan Nasional bertindak akur untuk terus memenangi hati pengundi Cina. Apa pun hujahnya, Melayu akan terus berdepan dengan tuntutan yang sekiranya dijawab maka apa sahaja jawapan itu akan dituduh ultra Melayu dan rasis.

Sesuaian dengan itu kita perlu menetapkan bahawa agar Melayu tidak terikut - ikut dalam perjuangan kononnya keadilan berteraskan "Malaysian Malaysia" kerana agenda mereka hanya akan mengkikis pegangan Melayu yang selama ini wujud dan perlu. Fikir-fikirkanlah

Salam Perjuangan !
Belajar Terus Belajar !


Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat

Perjuangan Melayu Bukan "Rasis"





Rasis bila kita membicarakan persoalan orang - orang Melayu. Rasis bila kita cuba membangkitkan persoalan bahasa Melayu. Rasis bila kita menceritakan berkenaan betapa ketinggalan orang - orang Melayu dari sudut ekonomi dan rasis bila kita berusaha untuk menyedarkan orang - orang Melayu betapa mereka perlu bangkit, menolak Melayu - Melayu Perdana, menolak mereka yang menitiskan apa yang telah diperuntukkan kepada orang - orang Melayu dan bangun menentukan kehebatan bangsa dan agama. Kenapa itu semua rasis. Kenapa perjuangan mempertahankan bahasa - bahasa ibunda kaum lain, mempertahankan sekolah dan sebagainya tidak dianggap rasis. Bekali dibicarakan bahawa mereka berhak menuntut, memperjuangkan dan kita juga berhak menuntut dan mempertahankan bukan dari sudut yang bersifat rasis tetapi dari sudut pembangunan bangsa itu sendiri.

Sebenarnya beberapa kesedaran perlu kita beritahu, perjuangan membebaskan Melayu dari sekatan minda, sekatan perekonomian dan sekatan budaya bukan satu perjuangan mendiskriminasikan kaum lain. Ini ditegaskan berkali-kali tetapi kenapa kegerunan berlaku dan ada antara Melayu - Melayu kita yang turut risau seolah - olah ini melanggar demokrasi, melanggar hak kemanusiaan dan mendiskriminasikan Melayu. Masalah Melayu semakin kritikan bila suara untuk memartabatkan Melayu dibantahi oleh orang Melayu yang mempunyai hajat lain.

Mungkin sekali lagi kita perlu sedarkan bahawa perjuangan membasmi kemiskinan adalah perjuangan tanpa sekatan atau sempadan perkauman tetapi mungkin penelitian diberi kepada Melayu kerana Melayu dalam keadaan yang lebih rapuh. Kita bukan membicarakan soal Melayu miskin hanya dari segi harta dan pegangan ekonomi tetapi kemiskinan yang menyeluruhi Melayu adalah erti kemiskinan yang sebenarnya, bila segala ruang alternatif untuk memajukan diri tertutup. Kemiskinan yang didefinisikan dengan ketiadaan ruang untuk membangunkan, kebuntuan arah dan kesempitan pergerakan. Ini adalah bentuk kemiskinan yang lebih buruk dari kemiskinan harta kerana kemiskinan ini melibatkan diri dari segi fizikal dan jasmani.


Ini perlu diubah dan ini perlu diberi perhatian khusus. Ini yang perlu kita kaji dan kita membaharui. Penekanan untuk isu ini perlu menyeluruh dan ini bukan rasis. Kita jangan terpedaya dengan alasan bahawa setiap perbincangan mengenai Melayu adalah rasis. Kita tidak perlu gusar dengan pembentukan dan penubuhan yang melibatkan Melayu dan ini tidak boleh dilabel sebagai ekstremis. Agak menghairankan bila usaha untuk membicarakan isu Melayu turut ditentang bukan sahaja oleh bangsa lain tetapi oleh bangsa kita sendiri. Mungkin ini ada kaitan dengan kepentingan politik tetapi yang mahu dituju bukan memeras bangsa lain untuk memberi ufti kepada orang -orang Melayu tetapi Melayu dibebaskan dari kemiskinan yang paling hodoh dan kematian awal yakni kematian minda.


Dalam pembentukan ruang - ruang bagi membebaskan pergerakan, minda dan keupayaan Melayu maka kita perlu lebih serius membicarakan isu - isu Melayu melangkaui sempadan politik. Kita harus jelas bahawa kita memberi tumpuan kepada nasib orang - orang Melayu sebagaimana yang lain cuba memberi tumpuan yang sama untuk pembangunan bangsa mereka. Justeru itu perjuangan, meneliti dan membela nasib orang - orang Melayu adalah pada kekurangan asas tetapi bukan untuk hadir mendiskriminasikan bangsa lain. Oleh itu kesedaran perlu - erti kemiskinan juga perlu dikaji - keperluan asas yang kekurangan perlu diambil kira dalam membicarakan perjuangan Melayu. Perjuangan bangsa bukan untuk merompak hasil yang lain tetapi berada dalam kedudukan yang mampu menghasilkan pendapat agar mereka turut bebas dan merdeka.

Salam Perjuangan !
Belajar Terus Belajar !

Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat

Ahad, 12 Mei 2013

Pertahankan Hak Melayu







Penguasaan Melayu dan bumiputera dalam pegangan ekuiti kepada sekurang-kurang 40% dengan pendapatan minima isi rumah keluarga Melayu sebanyak RM5000 adalah bertujuan memperjuangkan hak bangsa Melayu yang dilihat terpinggir, dan bukannya mahu mengambil hak kaum lain.

Melayu hanya minta 40% ekuiti seterusnya baki 60% terpulang kepada kerajaan. Kita faham bahawa ekonomi masih lagi baru kepada orang Melayu sebab itu kita meletakkannya sebagai satu target bagi kerajaan yang akan memerintah kelak.

Lebih menarik ianya bukan tertumpu kepada individu tertentu sahaja tetapi ianya kepada seluruh masyarakat orang Melayu. Hal ini kerana kita tidak mahu berlaku polarisasi dalam menangani masalah ekonomi.

Dalam Islam tidak wujud isu diskriminasi atau menganiaya orang lain. Contoh misalnya, di Kuala Lumpur atau Selangor, tiada rumah yang murah. Harga rumah di bandar mencecah sehingga 700 ribu ringgit bagi sebuah rumah teres, dan jika dibandingkan pendapatan orang Melayu dengan kaum lain sudah tentu orang Melayu tidak mampu memiliki rumah tersebut dan akhirnya akan keluar dari kawasan bandar atau kembali ke pinggir bandar.

Jadi yang akan mendominasi bandar ialah orang Cina. Jadi sudah tentu tidak berlakunya integrasi kaum yang baik di situ. Hal ini kerana jika dilihat dalam indeks pendapatan bulanan, orang Melayu dalam kategori yang terendah, yang mana orang India di kedudukan kedua manakala orang Cina di tahap pertama.Bangsa lain juga semakin kerap mengetengahkan pendapat bahawa mereka adalah warganegara yang berhak mendapat layanan adil di bawah Perlembagaan dan tidak sepatutnya ada diskriminasi selain tanggapan bahawa mereka juga menempuh banyak rintangan seperti tidak mendapat biasiswa serta sukar melanjutkan pengajian di universiti awam.

Paling menyakitkan apabila orang bukan Melayu menganggap bahawa keistimewaan yang dinikmati oleh Melayu di bawah Perlembagaan ada bersifat sementara dan bertentangan dengan hak asasi manusia, oleh itu selepas 50 tahun merdeka peruntukan tersebut patut dihapuskan.

Orang bukan Melayu juga mendakwa bahawa mereka telah menyumbang dengan banyaknya untuk membangunkan negara dan Malaysia maju hasil usaha mereka – sepatutnya mereka diberi hak yang sama.

Di sebalik dakwaan dan tanggapan oleh kaum-kaum lain itu, hakikat paling nyata ialah sumbangan orang Melayu terhadap pembangunan negara mereka amat tertinggal dari sudut ekonomi dan terpinggir di negara sendiri sehingga menduduki tangga ke bawah dalam catatan pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, pendapatan, paras kemiskinan dan kepunyaan harta.

Oleh itu, beliau melihat orang Melayu sebagai tidak mempunyai pilihan sebaliknya bersedia untuk mempertahankan hak istimewa mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, mempertahankan ketuanan Melayu dengan berpandu pada sejarah, mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu yang tunggal sebagai bahasa rasmi serta mempertahankan juga kesucian agama Islam dan ke- dudukannya. Hakikatnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengembalikan kedaulatan Melayu.



Salam Perjuangan !

Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat

Sabtu, 11 Mei 2013

Jangan Malu dengan Laungan Hidup Melayu !






Laungan “Hidup Melayu” yang begitu bersemangat, sebagai orang Melayu kini berada dalam keadaan serba salah. Kini ramai orang Melayu sendiri malu alah apabila isu isu mengenai orang Melayu diketengahkan. Ada yang mengatakan apabila kita bercakap soal Melayu, ianya ‘rasis.’ Perjuangan memartabatkan Bangsa Melayu tidak bermakna kita hendak menafikan hak orang lain.

Kini, mereka mempersoalkan bahawa orang Melayu itu layak sebagai anak pribumi dan ada juga mahu melabelkan orang Melayu sebagai ‘Pendatang’”.Pasca Perang Dunia II orang Melayu tidak bersatu dan berpecah sehingga kedudukan orang Melayu walaupun sebagai majoriti dipandang sepi dan diabaikan. Bagaimana UMNO berjaya menyatukan orang orang Melayu pada 11 Mei 1946 dan berjaya menggagalkan Malayan Union. British pada masa itu ingin menyingkirkan kuasa Raja Raja.

Perpaduan berjaya menjadikan orang Melayu yang lemah dan tidak ada apa apa itu menjadi kuat. Oleh kerana perpaduan (yang padu) ini, orang Melayu mampu tuntut Kemerdekaan.

Tidak siapa dapat nafikan kita berjaya bangunkan negara dan orang Melayu dengan begitu baik. Ini kerana kita bersatu padu. Kita berjaya memilih pemerintah yang berjaya.
Kita akui kita berkerjasama dengan kaum lain. Kita timbang rasa dengan kaum lain. Tunku Abdul Rahman sampai bagi 1 juta kerakyatan orang Bukan Melayu melalui jus soli. Janganlah lupa itu dan kenanglah jasa itu. Balas budi sikit. 

Bagi Bukan Melayu, kita beri sesiapa saja mahu berniaga atau kumpul harta. Tetapi janganlah sampai nak ambik hak orang Melayu. Kita kongsi secara adil.

Orang Melayu berjumlah dengan kedudukan majoriti, perpecahan akan mengakibatkan mereka hilang kuasa politik. Kalau orang Melayu pecah tiga, siapa yang menang itu terpaksa ‘tunduk’ kepada permintaan dan tekanan orang lain. Kuasa pada orang Melayu itu tidak ada makna.

Hari ini ada orang Melayu menyokong DAP pun ada! Memecah belahkan orang Melayu hanyalah cara untuk melemahkan mereka”. Orang Melayu berjaya dibangunkan dengan memberikan mereka pelajaran, termasuk luar negeri. Sekarang ini, ada orang Melayu yang berjaya dibangunkan ini mula mempersoalkan dasar dasar Kerajaan, termasuk dasar yang berjaya meletakan mereka dalam kedudukan yang selesa sekarang ini.

Cuba lihat senarai 1 hingga 10 jutawan berapa ramai Melayu ? Mereka sudah ada kekayaan kini ingin kekuasaan. Berfikirlah Melayu !!!

Pulau Pandan jauh ketengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik, dilupakan juga

Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd  Saifullah B Hj Dolmat

Isnin, 15 April 2013

Mencari titik Pertemuan MELAYU









Perpaduan Melayu kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’ akibat persaingan kabilah politik dalam kalangan mereka yang kini tidak lagi menghiraukan tindak-tanduk masing-masing.
Orang Melayu semakin taksub menumpukan kesetiaan berdasarkan slogan, lambang dan simbol kabilah masing-masing hingga alpa kepada agenda yang lebih besar serta kelangsungan kaum untuk jangka panjang.

Persaingan politik telah menghalalkan cara sehingga merentasi etika Islam dan melanggar tata kesopanan budaya.

“Jika ada suara menuntut untuk dipertahankan kedudukan kaum tertentu, suara tersebut dimomokkan sebagai rasis, dianggap merugikan strategi perjuangan dan disifatkan sebagai menyinggung perasaan kaum lain.Akibatnya, sedikit demi sedikit hak, maruah dan martabat bangsa telah terhakis,”

Tidak menjadi kesalahan orang Melayu yang berada dalam pelbagai kabilah untuk mencapai kata sepakat, bersatu pendirian, mempertahan, melindungi dan menguruskan perkara-perkara menyentuh hak, maruah serta martabat Melayu dan agama Islam.

Orang Melayu juga wajib disedarkan bahawa mereka sudah terlalu selesa sebagai penduduk majoriti, sudah terlalu selesa bersandarkan kekuatan politik, dinaungi kerajaan sehingga ummah tidak lagi memiliki pertubuhan bebas dan berkecuali, tegas dan berani menyuarakan tuntutan ummah.

Orang Melayu juga perlu memahami dan mendalami konsep federalisme berasaskan Perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan iaitu kerajaan yang dipilih oleh rakyat ditubuhkan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan dan raja atau Yang Dipertua di peringkat negeri.


Belajar Terus Belajar !

Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat

Ketua Penerangan Gpms Melaka

Selasa, 19 Mac 2013

Melayu Perlu Bersatu !!!


Membina Perpaduan Melayu !



MELAYU yang beragama Islam hari ini sedikit mujur kerana masih ada kuasa dalam politik negara. Ada dua parti besar yang diterajui orang Melayu sejak sebelum merdeka, kedua-dua parti itu hari ini mengadakan kerjasama dengan parti lain yang bukan diterajui orang Islam.

Bagi satu golongan Melayu, mereka berhasil menjadi dominan terhadap rakan parti sekutu mereka yang bukan Muslim. Manakala segolongan lagi tidaklah sedominan seperti yang mereka war-warkan kepada umum kerana setiap kali mereka cuba untuk mengaku dominan, rakan-rakan politik mereka akan segera menjeling bengis sehingga membuat mereka terkedu seminit dua.

Namun, kedua-dua parti Melayu itu masih mempunyai rekod-rekod kejayaan masing-masing terhadap bangsa dan agama dari perspektif yang berbeza. Ia bagaimanapun bukanlah jenis kejayaan besar yang boleh dibanggakan sehingga tujuh generasi yang seterusnya

Mungkin anda  sulit untuk fahami mengenai apa yang pejuangmelaka rasai saat ini apabila melihat Melayu sesama Melayu membenci sesama sendiri.

Cuba anda meletakkan diri anda di dalam situasi ini.

Katakan, anda terpinga-pinga menyembunyikan diri di padang pasir selama beratus tahun untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman, kemudian memeluk Islam bagi memperbaharui akidah yang diajarkan Musa selepas berjumpa orang Arab dan beranak-pinak sepanjang membuat perjalanan ke sebuah negeri di Asia Tenggara yang menjadi sebutan orang-orang Arab.

Anda datang daripada jauh merentas bukit-bukau dan gunung-ganang untuk berjumpa dengan bangsa yang menguasai Asia Tenggara setelah mendengar khabar berita mengenai kemegahan mereka yang disampaikan orang Arab ke telinga anda semasa anda berlegar-legar di padang pasir. Tetapi apabila anda sampai ke sana, anda melihat bangsa itu sudah mula bercakaran sesama mereka.

Maka, perjalanan anda merentas bukit dan gunung-ganang menjadi seperti sia-sia. Anda mengharapkan untuk bersama bangsa yang gah itu, tetapi apa yang anda lihat ialah bangsa yang gah itu sedang bermusuhan sesama mereka. Apa yang anda rasa selepas melihat bangsa itu bercakaran? Jadi, untuk bersama bangsa yang gah itu, apa yang perlu anda lakukan?

Anda perlu mendamaikan mereka supaya anda dapat bersama mereka untuk mencipta kegemilangan. Selagi mereka tidak didamaikan, selagi itulah hasrat mencapai kegemilangan tidak akan tercapai.

Anda perlu mendamaikan mereka pada saat anda perlu menyembunyikan identiti Yahudi yang anda warisi kerana bangsa gah itu sangat membenci Yahudi sebagaimana mereka membenci sesama mereka sendiri.

Apa yang kita lihat dengan jelas ialah, kejayaan terbesar orang Melayu ialah kejayaan para pemimpinnya menanam kebencian terhadap sesama bangsa. Ia adalah kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh bangsa Yahudi sendiri. Bukan Yahudi sekular yang membunuh Yahudi ortodoks di Jerman semasa Perang Dunia Kedua, bukan, ia bukan seperti yang diperkatakan teori-teori konspirasi yang popular bagi memperkatakan kewujudan negara haram Israel yang didirikan atas fahaman nafsu sekular Zionis yang menjauhi agama.

Seorang Yahudi tidak akan berkata buruk kepada Yahudi yang lain meskipun saudara Yahudinya itu beragama Islam atau Nasrani sekalipun. Andai berkata buruk pun mereka tidak tergamak, apatah lagi untuk membunuh sesama bangsa dengan mereka. Berkata dengan ucapan keras adalah tidak sama dengan berkata dengan ucapan buruk. Rabbai Aaron Cohen tidak pernah berhenti mengutuk dan mendedahkan kekejaman Yahudi Zionis kepada dunia, namun Zionis juga tidak tergamak untuk mengapa-apakan Aaron Cohen kerana dia sebangsa dengan Yahudi.

Berbeza dengan orang Melayu, mereka tidak teragak-agak untuk menghambur kata-kata buruk kepada saudara sebangsa dengan harapan akan ada saudara sebangsa mereka akan membenci saudara sebangsa yang tidak sefahaman dengan mereka. Apabila wujud kumpulan sefahaman yang membenci saudara sebangsa, mereka fikir mereka akan lebih bertambah kuat. Mereka fikir mereka telah berjaya kerana ada di kalangan saudara sebangsa mereka mula membenci bangsa mereka sendiri dari kumpulan yang lain, tetapi kita melihatnya sebagai satu kerugian.

Menyayangi bangsa sendiri tidak bermakna anda memeluk mentaliti Yahudi. Melayu adalah bangsa yang ditakdirkan untuk memimpin umat Islam di Asia Tenggara. Andai lemah Melayu di Asia Tenggara diakibatkan permusuhan sesama sendiri, maka lemahlah Islam yang dianuti mereka. Ia kerana Islam itu dianuti oleh bangsa yang menganuti agama itu. Kalau lemah bangsa itu, maka lemahlah juga kedaulatan agama yang dianuti mereka. Islam tidak lemah, ia kuat dari segala sudut kehidupan, tetapi kedaulatannya dilemahkan oleh sikap orang Melayu sendiri.

Akhir ini, sangat ramai orang Melayu yang mengucapkan kata-kata buruk terhadap Melayu yang lain. Mereka mengucapkan kata-kata buruk itu di setiap keadaan, di Facebook, di Twitter, di blog-blog dan sebagainya. Mereka sudah tidak tahu apa maksud kesopanan, kesantunan dan kehalusan budi bicara dalam menyampaikan maksud. Mereka seperti sudah tidak ada budi bahasa. Orang UMNO atau orang PAS, sama sahaja. Maki-makian, carut-mencarut terhadap sesama mereka sudah seperti makanan sehari-hari disebabkan perbezaan fahaman.

Ada satu ketika, orang PAS memulakan kata-kata buruk di laman-laman sosial dan di blog-blog. Dalam satu ketika yang lain pula, orang UMNO memulakan kata-kata yang sama. Kesannya, orang Melayu sentiasa bertelingkah kerana sudah tidak tahu bagaimana untuk bersantun.

Pada ketika lain, orang PAS menyalahkan orang UMNO. Pada ketika lain, orang UMNO pula menyalahkan PAS. Kesannya juga sama, terus-menerus bertelingkah tanpa ada kesudahan. Sama juga dengan memulakan pergaduhan, ada masa ia dimulakan orang PAS dan ada masa lain ia dimulakan orang UMNO. Berterusan lagi bertelingkah.

Orang Melayu bersama pemimpin mereka menyandang rekod kejayaan yang tidak dicapai oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Ia adalah kejayaan menyemai sikap benci-membenci sesama bangsa, sesama umat. Pada ketika agama seperti sedang tersepit di tengah-tengah, mereka masih bertelingkah menghimpit agama. Jangan sampai apabila kedaulatan agama turut musnah pada ketika mereka musnah akibat tersepit dan menghimpit sesama mereka.

Islam adalah agama yang sangat dekat di hati orang Melayu, mungkin sekali Islam itu juga adalah hati orang Melayu. Namun, mereka tidak pernah menjadikan agama itu sebagai jambatan untuk menyatupadukan mereka. Sebaliknya, mereka membanding-bandingkan sesama mereka dengan menggunakan agama.

Islam itu diturunkan (antaranya) kepada manusia. Manakala manusia itu pula berbilang bangsa. Kita tidak boleh menafikan hakikat manusia itu dijadikan berlainan bangsa. Pernyataan yang mengatakan Islam tidak memandang bangsa atau kaum adalah satu pernyataan yang tidak salah, tetapi ia tidak dihuraikan dengan cukup jujur oleh orang yang mengucapkan pernyataan itu.

Orang yang mengucapkan pernyataan itu tidak pernah melihat pengertian secara menyeluruh.  Kalau tidak bersetuju dengan perenggan ini, adalah lebih baik mereka terlebih dahulu membaca penjelasan kita sebelum ini sehingga faham.

Akibat tidak faham mengenai kepentingan bangsa terhadap agama, maka wujudlah golongan yang mempersenda perjuangan segolongan lain yang dilihat terlalu bersifat kebangsaan. Di sinilah bermulanya siri kejayaan demi kejayaan yang dicipta kedua-dua golongan Melayu itu di persada dunia.

Jadi, apakah kejayaan terbesar kedua-dua parti teras Melayu itu?

Kejayaan terbesar orang Melayu ialah berhasil menanam kebencian terhadap sesama bangsa.

Kejayaan terbesar orang Melayu ialah berhasil menyemarakkan api kebencian terhadap sesama umat. Itulah kejayaan terbesar bangsa Melayu yang mana kejayaan seperti itu tidak pernah dicapai oleh bangsa-bangsa lain di mana-mana pelosok dunia.

Orang Melayu barangkali sangat berbangga dengan kejayaan itu apabila sikap mereka itu disebut-sebut dan disanjung-sanjung oleh bangsa-bangsa lain di dunia.

Marilah menuju kejayaan.

“DAMAIKANLAH SAUDARA-SAUDARA KAMU YANG SAMA AGAMA DENGAN KAMU.”



Ketua Penerangan Gpms Melaka