Isnin, 17 Februari 2014

RESPON PEMIMPIN GPMS TERHADAP KEMPEN JOM BAWA BEKAL KE SEKOLAH



"Kempen 'Jom Bawa Bekal Ke Sekolah' : Sedap, menepati citarasa, cegah keracunan, bersih, mengurangkan beban ibubapa, berjimat, merasa makanan air tangan keluarga dan bernutrisi tinggi."
(Jais Abdul Karim, Presiden GPMS)


"Kesempatan bersama pelajar-pelajar dalam siri ceramah Skuad Jelajah Motivasi Pendidikan Kepenggunaan sebentar tadi, saya cuba mengambil masa untuk bertanya mengenai pelajar-pelajar yang membawa bekal dan berbelanja di kantin. Rumusan yang dibuat, kebanyakkan pelajar datang dari keluarga (ibubapa) yang bekerjaya. Wang diberi untuk membeli makanan di kantin pada waktu rehat. Ibubapa tidak sempat untuk menyediakan hidangan pagi tetapi makanan tambahan seperti susu dan vitamin disediakan oleh ibubapa untuk anak-anak. Pada saya 'Kempen Pelajar Bijak Berbelanja' lebih sesuai berbanding 'Jom Bawa Bekal Ke Sekolah'."
(Mohd Marwan Abu Kassim, Pengerusi GPMS Negeri Melaka)


"Kita perlu adakan kempen minum air putih dan bawa bekal air putih ke sekolah. Anak-anak Cina minum berbotol-botol air putih semasa P&P. Minum air segar minda dan otak cergas. Anak-anak Melayu kurang minum air lalu menyebabkan mereka mengantuk dan otak letih. Kesan daripada kempen 'Jom Bawa Bekal Ke Sekolah' kita terpaksa berhadapan dengan pengusaha kantin yang majoritinya Melayu. Mereka ini akan mengambil sikap memerangi GPMS dan bakal menganggap GPMS ganggu periuk nasi mereka. Bersediakah kita nak hadapi serangan ni? Kedua, ramai juga Ahli GPMS sebagai pengusaha atau pekerja kantin sekolah. Adakah mereka akan membisu?"
(Nor Halmey Hamdah, Pengerusi GPMS Negeri Perlis)


"Saya berpendapat bahawa kempen 'Jom Bawa Bekal Ke Sekolah' ada pro dan kontranya. Pronya adalah dalam peningkatan kos sara hidup, idea ini sangat bertepatan dalam usaha mendidik pelajar-pelajar dan ibubapa untuk berjimat cermat, mendapat nutrisi yang seimbang, dan sebagainya. Kontranya, kempen ini secara tidak langsung akan memberi kesan 'sinis' atau tersirat bahawa masyarakat akan berhadapan dengan kegawatan atau masalah ekonomi dalam masa terdekat. Adakah ianya merupakan isyarat ke arah itu?"
(Adib Anas, Ketua Penerangan GPMS)


"Pada saya kempen ini tidak membantu dari segi usaha-usaha kerajaan mengerakkan ekonomi di peringkat IKS dan mikro. Saya melihat dari sudut tindakan dan peranan kerana dalam kerajaan laungkan model ekonomi baru seterusnya meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM24 ribu setahun ke RM96 ribu setahun, maka usaha ini sekiranya berjaya akan merencatkan pertumbuhan dan yang terjejas bukan setakat pengusaha kantin, tetapi pengusaha sayur, pembekal ikan, retailers dan lain-lain supply chainDari sudut ekonomi, akan menjejas peluang pekerjaan. Di pihak ibubapa pula, terpulang bagaimana ia mengawal perbelanjaan anak-anak mereka."
(Ahmad Izani Ab Ghani, Pengerusi GPMS Negeri Terengganu)


"Saya sokong kempen 'Jom Bawa Bekal Ke Sekolah'. Walaupun hujah Tuan Pengerusi GPMS Negeri Terengganu itu benar, tetapi kempen ini hanyalah satu kempen kesedaran tentang kebaikan membawa bekal, tanpa memaksa atau mewajibkan anak-anak sekolah membawa bekal. Seperti kata Tuan Pengerusi GPMS Negeri Melaka, kebanyakkan ibubapa masa ini bekerjaya dan tidak punya banyak masa untuk sediakan makanan sebagai bekalan kepada anak-anak. Setidak-tidaknya, mungkin sehari atau dua hari dalam 5 hari tempoh persekolahan, sudah cukup untuk menyahut kempen ini. Namun, saya paling setuju dengan cadangan kempen minum air kosong yang dicadangkan Tuan Pengerusi GPMS Negeri Perlis, itu lebih relevan dan berkesan bagi kesihatan dan kecergasan anak-anak di sekolah, Melayu khususnya."
(Mohd Faizal Zulkifly, Ahli Majlis Tertinggi GPMS)


"Kempen GPMS membawa bekal ke sekolah ? Kebanyakan pelajar pada tahun-tahun 1960-an hingga 1970-an membawa bekalan makanan dari rumah ke sekolah. Jika diteliti, terdapat banyak kebaikan membawa bekalan makanan dari rumah ke sekolah. Antara kebaikan yang dimaksudkan adalah dari segi kualiti makanan, kebersihan makanan dan penjimatan wang. Seperkara yang nyata ialah makanan yang disediakan dari rumah adalah lebih berkualiti serta berkhasiat. Manakala makanan yang disediakan di kantin mengandungi bahan perisa yang tinggi. Kandungan perisa makanan ini akan menjejaskan kesihatan seseorang. Tambahan pula, di kantin juga terdapat banyak bahan makanan ringan yang kurang berkhasiat. Bekalan makanan yang disediakan oleh ibu di rumah seperti nasi lemak dan sebagainya pasti lebih seimbang dan berkualiti. Secara perbandingan, makanan yang disediakan di rumah lebih bersih. Lumrahnya, ibu atau bapa yang menyediakan makanan sendiri akan mementingkan aspek kebersihan ketika menyediakan makanan. Sering terdapat kes keracunan makanan menimpa yang makan di luar. Dengan kata lain, membawa bekalan makanan dari rumah akan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa keracunan makanan. Membawa bekalan dari rumah juga menjimatkan wang seseorang pelajar. Ibu bapa boleh berjimat kerana dapat membeli bahan masakan mentah untuk dimasak sendiri. Wang yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk tujuan lain seperti membeli bahan bacaan dan membayar yuran peperiksaan awam kelak. Jelaslah bahawa membawa bekalan makanan dan minuman dari rumah ke sekolah menguntungkan ibu bapa dan pelajar. Tindakan ini harus diamalkan oleh pelajar demi kesihatan diri dan menjimatkan wang hasil daripada titik peluh ibu bapa. Bawalah bekalan makanan dan minuman dari rumah ke sekolah pada setiap hari supaya kesihatan terjamin dan boleh berjimat cermat."
(Mohamad Saifullah, Ketua Penerangan GPMS Negeri Melaka)


Untuk rujukan layari blog GPMS Kebangsaan : Klik Sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan