Isnin, 11 Mac 2013

Menjawab Persoalan Ketuanan Melayu






Kemuliaan seseorang bukan terletak kepada ketuanan bangsanya, tetapi kepada keimanan dan ketakwaan. Tidak ada makna, bangsa mulia, agama tercela. Allah tidak ada akan tanya kita soal bangsa, keturunan dan darjat di alam barzakh. Yang ditanya adalah soalan-soalan bocor yang semua sedia tahu seperti siapa Tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa Nabi kamu? Jika dapat jawab, selamat. Jika tidak, tunggulah pembalasannya.

Lagipun dalam al-Quran tidak ada nama-nama bangsa seperti Melayu, Cina, India, mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak, kecuali kaum tertentu dalam lipatan sejarah. Al-Quran menjelaskan secara umum kejadian sesuatu bangsa yang diciptakan untuk saling mengenali. Bangsa yang paling mulia adalah kalangan mereka yang beriman dan bertakwa. Pastinya dalam hal ini setiap bangsa yang diciptakan ada asal-usul dan tanah tumpah darahnya.  

Tidak berlaku dalam sejarah, sesebuah negara tiba-tiba mempunyai pelbagai bangsa. Lumrah yang berlaku, satu bangsa dicipta di satu tempat. Bangsa tersebut akan menjadi nama identiti negara, seperti Melayu-Tanah Melayu, Cina-China, India-India dan lain-lain. Bangsa-bangsa ini adalah tuan kepada tanah airnya sendiri. Jika ada hak-hak istimewa mereka, itu adalah perkara biasa, selagi mana ia tidak menindas dan menganiaya orang lain.

Pada saya, istilah ketuanan Melayu bukanlah punca Melayu  benci kepada Cina dan India, atau sebaliknya seperti yang didakwa. Jika dihilangkan istilah ketuanan Melayu dan digantikan dengan ketuanan syarak sebagaimana yang disyorkan, apakah jaminan bahawa perkara negatif tersebut tidak berlaku? Bolehkah DAP akan menerima ketuanan syarak? Cakap biar berpijak di bumi nyata.

Permasalahan hari ini bukan berpunca daripada istilah ketuanan Melayu. Istilah tersebut tidak bersalah. Yang berdosa adalah manusia yang mengimplementasikan sesuatu sistem sehingga menimbulkan masalah. Misalnya,  sistem pendidikan, perumahan, akhbar dan banyak lagi sosialisasi yang bersifat perkauman. Kenapa terlalu sukar untuk mengakui kelemahan ini?

Saya bersetuju dengan pendapat, bangsa sukar untuk mempertahankan agama, sebaliknya agamalah memperkuatkan bangsa. Mulianya Melayu bukan kerana Melayu tetapi kerana Islam. Melayu menjadi mulia setelah memeluk Islam 600 tahun lalu. Tanpa Islam, Melayu tidak ada apa-apa.

Saya harap beliau buatlah literature review mengenai ketuanan Melayu. Mungkin juga beliau boleh membaca buku saya bertajuk Masih Adakah ketuanan Melayu? Janganlah mencari publisiti murahan dengan memperalatkan istilah ini. Ketuanan Melayu bukan merujuk kepada Melayu itu tuan, bangsa lain itu hamba.

Selaku pengkaji, istilah ketuanan Melayu hanyalah satu identiti, merujuk kepada penduduk asal negara ini atau penduduk yang mula-mula membentuk kerajaan di Tanah Melayu. Ketuanan langsung tidak merujuk kepada ketidakadilan. Lagipun, keadilan bukanlah merujuk kepada 1=1, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Perlu difahami bahawa unsur-unsur ketuanan Melayu terdapat dan termaktub dalam perlembagaan seperti hak istimewa Islam, Melayu dan Raja.

Sama juga masalah yang berlaku di Lahad Datu hari ini. Kesultanan Sulu sudah tidak ada hak ke atas Sabah. Ketuanannya ke atas Sabah telah hilang apabila mereka tidak membentuk kerajaan di sana. Referendum rakyat Sabah sebulat suara mahu berada dalam Malaysia. Suruhanjaya Cobbold ini ditubuhkan menguatkan lagi kedudukan Sabah sehingga membawa kepada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Benar, asal-usul Sabah berada di bawah ketuanan Kesultanan Sulu sebelum diserahkan kepada Syarikat Borneo Utara. Setelah diserahkan, rakyat Sulu tidak ada lagi ketuanan di sana. Sabah telah menjadi sebahagian negeri kolonial British. Pada 1962, British menyerahkan negeri Sabah kepada Tanah Melayu sebagai menyambut idea penubuhan Malaysia selaras dengan kehendak rakyat Sabah. Walaupun selepas itu Filipina,Indonesia dan Brunei turut menuntut, ia sudah tidak sah lagi kerana ketuanannya telah hilang. Pada 9 Julai 1963, British dan Tanah Melayu mencapai kata sepakat, setuju Sabah sah milik Tanah Melayu. Tuntutan waris Sultan Sulu hanya berdasarkan surat pajakan lama yang sudah tidak relevan lagi. 

Contoh ini amat jelas dalam memahami ketuanan sesuatu bangsa. Pengorbanan mempertahankan kedaulatan negara adalah suatu jihad. Malangnya ada segelintir yang menuduh ia adalah sandiwara. Lebih menyedihkan ada yang sanggup berkata, polis yang terkorban adalah mati katak. Saudaraku, cubalah hayati SMS yang dihantar oleh salah  anggota polis yang berkorban, vat69

"Wahai Isteriku, maafkan abang seandainya abang tersalah cakap mahupun terkasar perbuatan..jagalah dan didiklah anak-anak kita menjadi orang yang berguna. Wahai anak-anakku, maafkan ayah kerana acapkali ayah tiada disaat anak-anak ayah memerlukan kasih sayang seorang ayah.. Wahai mak & abah, ampunkan anakmu dari hujung rambut hingga hujung kaki, sesungguhnya mak & abah telah mendidik aku menjadi insan yang berguna pada negara.. Wahai Ibu & Ayah Mertuaku, maafkan anakanda kerana memilih kerjaya yang memungkinkan anak ibu & ayah menjadi balu sebelum usia.. Oh Malaysiaku, maafkan aku andai aku gugur di medan perang. Demi Allah aku telah berusaha sedaya upaya.." 

Membaca SMS ini tiba-tiba air mata gugur. Inilah semangat ketuanan bangsa berdaulat. Sanggup mati sebagai pahlawan yang sejati demi agama, bangsa dan negara. Jasamu pasti dikenang, mereka yang hidup belum tentu seberani ini. Al-Fatihah.


Belajar Terus Belajar !

Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan