Isnin, 31 Disember 2012

Perutusan Tahun Baru 2013





“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;” (Aali ‘Imran:190)

Memang hebat KekuasaanMu yang Allah. Daripada pertukaran malam dan siang itulah terciptanya hari, minggu, tahun, dekad dan kurun. Dan pertukaran itulah mengubah suasana serta kehidupan makhluk, khususnya yang bernama manusia dan aku sebahagian daripadanya.

Pertukaran malam dan siang menukar bayi menjadi kanak-kanak, kanak-kanak menjadi remaja, remaja menjadi dewasa, dewasa menjadi tua, dan tua menjadi ….? 

Hari ini, manusia menghitung sebagai hari pertama bagi suatu tahun baru, iaitu tahun 2013. Ia disambut dengan pelbagai acara, pelbagai gaya, pelbagai suasana, pelbagai rasa, pelbagai doa di sini sana.

Doa kita, sebagai muslim tidak lain dan tidak bukan supaya agama ini kian tersebar dengan lebih luas, supaya ia sampai, mengetuk pintu-pintu hati bani insan hingga ke gegendang telinga janin di dalam rahim ibu.

Doa kita, saudara-saudara kita rakyat Palestin yang terusir dari tanah air sejak lebih 60 tahun yang lalu akan kembali menjulang bendera kemenangan dengan izinNya, lantas musuh-musuh durjana yang merampas tanpa hak, yang bermaharajalela melakukan kezaliman tanpa batas akan tersungkur, tersembam dan terhina.

Doa kita, saudara-saudara kita di Syria meraih kemenangan, bebas dari cengkaman manusia paling jahat, Basyar al-Asad. Asad bermakna singa. Namun singapun tidak seganas Basyar yang membunuh anak bangsa sendiri. Doa kita semoga Allah segerakan pembalasanNya terhadap si kejam pemusnah umat itu.

Doa kita, saudara-saudara kita di mana-mana jua di seluruh pelusuk alam maya ini diampuni dosa-dosa mereka, diberi hidayah ke jalan yang lurus, diberi kekuatan untuk iltizam dalam perjuangan menegakkan Kalimah Allah sehingga tiada lagi fitnah dan dunia tunduk menyerah hanya kepada Allah.

Doa kita, sebagaimana Allah telah panjangkan usia kita hingga ke saat ini, maka hendaknya Dia membimbing kita supaya mampu memanfaatkan usia yang masih berbaki ini untuk meningkatkan amal soleh sebagai bekalan hari esok ketika kita dipanggil pulang mengadapNya. Ketika itu, tidak ada apa yang bermanfaat kecuali amal soleh.


Belajar Terus Belajar !!!

Salam Perjuangan !!!



Biro Penerangan Gpms Negeri Melaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan