Jumaat, 9 Mei 2014

Memori hitam Melayu yang terpadam.

Apa kesilapan Tunku? Benarkah ia satu kesilapan ? Tidak boleh dinafikan, mengeluarkan Singapura salah sebuah negeri dibawah Pesekutuan Tanah Melayu telah memberi impak yang besar pada Malaysia hari ini. Biarpun peristiwa itu sudah berlalu menjangkau 45 tahun, namun Malaysia masih diancam oleh politik ala PAP yang berkiblatkan Singapura yang diamalkan DAP di Malaysia.

Keputusan pemisahan Singapura dari Malaysia diambil secara perseorangan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika beliau di London pada tahun 1965. Ketika itu Tunku Abdul Rahman bercuti selama 53 hari bagi mendapatkan rawatan di sebuah klinik di London. Ramai cendiakawan Melayu dan pengkaji sejarah melihat bahawa keputusan ini adalah bersifat peribadi tetapi jika Tunku bersabar dan membawa isu ini dalam meja rundingan dan perbincangan bersama kepimpinan persekutuan ketika itu, pasti ada jalan lebih baik yang boleh direncana bagi menyelesaikan masalah pergaduhan kaum di Singapura.

Punca utama kepada pergaduhan kaum ini adalah kerana Lee Kuan Yew dan parti PAP pimpinannya enggan bertolak ansur dengan kerajaan Malaysia pimpinan Tunku Abdul Rahman.

Lee Kuan Yew sering mendakwa orang Melayu hanya berjumlah 39 % sementara bukan Melayu 51 % dan melayakkan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Malaysia sebagaimana saranan Ramanathan. Lee Kuan Yew mempersoalkan orang Melayu sebagai penduduk jati Malaysia, mereka sebenarnya adalah juga pendatang sebagaimana Cina dan India. Contoh yang diberikan ialah Syed Jaafar Albar, ahli politik Johor yang mempunyai darah campuran keturunan Arab.

Lee Kuan Yew menyalahkan Tunku dalam kegagalan konsep "Malaysian Malay". Tunku dikatakan telah terpengaruh dengan ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh beberapa pelampau Melayu dari 'ultra Malay' dan 'Young Turk'. Sebaliknya, Lee Kuan Yew mewar-warkan konsep "Malaysian Malaysia" dan mendapat sambutan banyak parti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kecuali MCA. Gagasan Lee Kuan Yew meliputi Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Sebelum 1963, PAP hanya bertanding di Singapura sahaja dan Perikatan bertanding di Semenanjung Malaysia sahaja. Tapi pada 1963, Tan Siew Sin mendesak Perikatan bertanding di Singapura, namun UMNO kalah teruk. Tan Siew Sin merupakan Presiden MCA dan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu. Pada 1964, Lee Kuan Yew mengarahkan PAP bertanding dalam pilihan raya kebangsaan di Semenanjung Malaysia bagi menentang MCA.

UMNO mahu Perlembagaan Singapura diubah bagi menjamin masa depan orang Melayu. Sedangkan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin Singapura yang ada autoriti dalam pentadbiran negeri Singapura enggan berbuat demikian. Sebaliknya Lee Kuan Yew berjanji akan memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui peluang pekerjaan, pendidikan dan skim perumahan.

Dalam projek perumahan, perkampungan Melayu di Singapura telah dihapuskan. Akibatnya, beberapa pergaduhan berlaku. Julai 1964, kira-kira 114 persatuan orang Melayu bertemu dengan Othman Wok iaitu Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura bagi membincangkan kepincangan orang Melayu Singapura. Tatkala itu, 12,000 orang Melayu mengadakan perarakan di jalan raya Singapura. Akhirnya tercetus rusuhan kaum antara Melayu dengan Cina di Singapura . Lebih 22 orang terbunuh, 200 cedera dan 1130 ditangkap. Bulan Ogos pula, sekali lagi pergaduhan berlaku. 8 terbunuh dan 60 cedera.

Kejadian ini meyakinkan Tunku bahawa dengan mengekalkan Singapura dalam Malaysia bakal mengundang rusuhan perkauman yang lebih dashyat lagi. Tepat atau tidak keputusan Tunku ini bukan isu yang perlu kita perdebatkan lagi. Pemimpin Melayu khususnya dari UMNO perlu sedar dan faham mengenai isu ini sebaik mungkin serta tidak prejudis kepada mana-mana kaum. Kesetiaan MCA dalam menghadapi PAP perlu dihargai sekaligus kerasisan kaum Cina PAP dapat diimbangi dengan keputusan MCA yang memihak Perikatan.

UMNO perlu bertegas di dalam isu mempertahankan kuasa Melayu di semua negeri serta mereka juga perlu sentiasa menyedarkan Melayu impak jika Melayu kehilangan kuasa. Contoh yang paling hampir adalah kesan pemerintahan DAP di P.Pinang yang kini persis corak pemerintahan PAP Singapura semasa pra pemisahan. Bezanya penerimaan orang Melayu P.Pinang dengan penerimaan orang Melayu Singapura dahulu adalah tiada pendekatan emosi sehingga mencetuskan pergaduhan kaum. Tetapi jika DAP P.Pinang semakin rakus meratah tanah-tanah orang Melayu, saya khuatir pergaduhan ini bakal berlaku jua akhirnya. Kita dapat saksikan kini, satu persatu perkampungan Melayu di Pulau Pinang dirampas oleh DAP.


Apa yang tersirat disebalik semua ini adalah agenda DAP untuk mengurangkan pengundi Melayu di P.Pinang berkaitan dengan impian dalam pengekalan kuasa mereka disana. Ini kerana, orang Melayu semakin sedar bahawa DAP bakal mengancam mereka dan DAP amat takut, orang Melayu tidak lagi mengundi mereka pada PRU13. Daripada memperjudikan masa depan DAP kepada tangan-tangan Melayu lebih baik selagi mereka ada kuasa, Melayu perlu diusirkan dahulu.

Jika sentimen ini berlarutan serta satu persatu hak Melayu ditidakkan, UMNO selaku parti perjuang kepada orang-orang Melayu perlu bertindak. Sebelum ia melarat sehingga mencetuskan pergaduhan kaum, kebimbangan yang disuarakan kini perlu diambil berat. Kerakusan Lim Guan Eng perlu dihentikan dan keadilan kepada orang Melayu perlu diutamakan.

Janganlah kita ulangi kesilapan dahulu kerana tanah kita ini perlu kita pertahankan kerana tanah inilah satu-satunya tapak untuk kita pacakkan panji Islam dan panji Melayu yang amat kita cintai. Jika ia digadaikan hanya kerana toleransi, di mana lagi mahu kita bertapak dan bagaimanalah nasib anak cucu kita nanti jika wariskan Malaysia yang sudah tergadai?

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka




posted from Bloggeroid

1 ulasan:

  1. masa akan datang, P.Pinang dan Sabah pula, orang Melayu sibuk dok gaduh aje....

    BalasPadam