Sabtu, 26 Januari 2013

HALATUJU POLITIK MELAYU ABAD 21


HALATUJU KEPEMIMPINAN POLITIK MELAYU ABAD 21



Tidak dapat dinafikan bahawa politik memainkan peranan sejarah yang amat signifikan dalam proses kebangkitan sebuah negara-bangsa. Jatuh-bangun sesebuah negara-bangsa amat bergantung kepada halatuju kepemimpinan dan politik semasa.
 Malangnya, perkembangan dan pergolakan politik negara secara langsung menunjukkan kepimpinan Melayu  sentiasa berhadapan dengan konflik dalaman yang tidak kunjung padam.
 Politik Melayu abad 21 tidaklah banyak berbeza daripada abad ke-20, bahkan semakin parah. Dari segi politik, Melayu kini sekurang-kurangnya terbelah tiga. Kalau dahulu politik Melayu hanya diwakili oleh UMNO dan PAS, kini muncul PKR sebagai alternatif. Melayu yang sudah bosan dengan UMNO dan kurang cocok dengan PAS telah memilih PKR sebagai alternatif.
 Tahun 1998 adalah titik-tolak yang paling tragis dalam sejarah kepemimpinan politik Melayu. Pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu amat mengejutkan. Kalau dahulu kemelut politik melayu hanya berkisar di sekitar masalah kepemimpinan dalam UMNO, tetapi sejak tahun 1998, corak politik Melayu berubah dengan begitu drastik.
 Walaupun sudah berlaku perpecahan di kalangan Melayu pada tahun 1987 apabila berlaku pertandingan jawatan Presiden UMNO di antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh sehingga membawa kepada penubuhan Parti Semangat 46, namun keadaan itu reda pada tahun 1995 apabila UMNO dan BN menang besar dalam PRU ke-9. Tetapi perkembangan politik pada tahun 1998 dan PRU 1999 memberi kesan yang besar. Kemenangan BN dan UMNO yang dilihat telah memadamkan gerakan REFORMASI yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim pada tahun 2004, namun realiti politik 2008 telah bertukar corak dan mewarnai senario politik Melayu di abad ke-21 ini.
 UMNO dan BN  yang telah memerintah negara sejak kemerdekaan 1957 telah gagal mempertahankan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat. Politik baru menuntut ketelusan dan keadilan yang mementingkan rakyat dan pengundi mendapat tempat.
 Akibat kekecohan yang ketara di saf kepimpinan Melayu dalam pelbagai bidang sama ada kepimpinan politik, ekonomi, sosial, budaya, korporat dan birokrat serta intelektual, kepemimpinan bangsa Melayu telah kehilangan tumpuan dalam memperbaiki nasib bangsa.
 Di samping banyak retorik politik dilaungkan, kita juga menyaksikan tabiat bergimik dalam kepemimpinan yang tidak menguntungkan bangsa Melayu sendiri. Dengan aksi menghunus keris dan bertempik untuk mengisytihar perang ke atas bangsa sendiri, ternyata kepimpinan Melayu mudah dibuai emosi yang tidak terkendali.
 Menghulur bantuan kepada bangsa yang terpinggir bukan dilihat sebagai sebuah amanah tetapi sekadar propaganda politik dan pembinaan imej untuk diperaga. Menjelajah di kawasan Melayu terlantar bukan kerana mahu merasai penderitaan dan mencari jalan mengatasi kenapa derita itu berlaku, akan tetapi kerana mahu dilihat merakyat dan prihatin kepada rakyat. Anehnya rakyat itu jualah yang sering dijadi bahan media untuk menunjukkan kononnya keprihatinan pemimpin yang beraspirasi tinggi bagi memudahkannya mendaki puncak kedudukan yang menawarkan keselesaan.
 Pernyataan-pernyataan yang nampaknya lebih untuk menonjolkan diri dari benar-benar mengatasi masalah bangsa menyebabkan mada depan Melayu terus menghadapi ketidaktentuan.
 Nampaknya masyarakat Melayu terbanyak sudah tidak lagi menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada kepemimpinan Melayu yang sedia ada, lantaran yang disaksikan dan dipekikkan ialah laungan dan retorik besar tanpa komitmen bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib bangsa.
 Yang nyata ialah persoalan bangsa Melayu dalam pelbagai sektor kini sangat rapuh bila berhadapan dengan persaingan dan rempuhan global, sehingga banyak kepentingan bangsa  terpaksa diperjudikan hanya kerana pemimpin-pemimpin mencanangkan agenda peribadi dalam perlumbaan di pentas politik.
 Pemikiran dangkal sesetengah pemimpin telah meletakkan bangsa Melayu dalam keadaan yang merugikan. Bukan kerana bangsa Melayu tidak mahu dan tidak mampu bersaing, akan tetapi akibat pemimpin yang tidak jujur dan hanya mementingkan kuasa dan kedudukan daripada soal memperbaiki nasib bangsa  Melayu terbanyak, telah menjadikan bangsa Melayu terus berada di pihak yang tersudut.
 Sikap mabuk jawatan dan gila kuasa sering diperlihatkan dalam kelompok kepimpinan bangsa Melayu. Bukan asing lagi cerita politik wang, politik cantas-mencatas dan politik bunuh-membunuh,  menjadi watak politik bangsa melayu. Bahasa politik nampaknya mempunyai kamusnya sendiri yang tidak  mempunyai kaitan samasekali dengan nasib rakyat. Politik dianggap sebuah permainan, berparti politik dilihat sebagai medan bertarung merebut pengaruh.
 Golongan kepemimpinan elit bangsa Melayu masih mempamerkan watak feudal yang sangat ketara sehingga yang menjadi keutamaan ialah untuk mendapat tempat di hati mereka yang berkuasa dan berharap akan membuka peluang untuk melanjutkan  cita-cita naik ke atas. Soal hak dan batil bukan menjadi pantang larang dalam kepimpinan bangsa. Awlawiyat siyasi (keutamaan politik) mereka bukan untuk perubahan tetapi untuk kantong masing-masing, bukan untuk transformasi bangsa tetapi untuk tengkorok peribadi.
 Retorik Murahan?
Kini 2008 berlalu dengan sejumlah isu bangsa yang masih terus berpanjangan. Dengan kepimpinan Melayu di peringkat negara yang silih berganti dari peringkat negeri dan pusat, dari peringkat akar umbi sehingga korporat, yang nyata isu-isu yang mendepani bangsa Melayu semacam tidak berkesudahan. Apakah kita menghadapi suatu laknat bangsa yang tidak terawat lagi?
 Perhatikan ketika mana bangsa Melayu melihat kampung halaman serta tanah milik Melayu ditelan pembangunan tahun demi tahun. Kepimpinan Melayu terus beretorik dengan pelbagai pengumuman. Malangnya penguncupan tanah milik Melayu terus meruncing.
 Kini pembangunan terus dipacu yang melibatkan pengambilan tanah rakyat terus menerus di beberapa negeri melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Atas nama pembangunan projek mega, kawasan pertumbuhan ekonomi yang digelar pembangunan koridor ekonomi dijangka akan menelan lagi tanah yang umumnya akan melibatkan tanah milik Melayu. Dasar Tanah Negara masih belum mampu menyelesaikan masalah pembangunan tanah termasuk soal tanah wakaf Melayu.
Kes penyelewengan dan salahguna kuasa yang mengakibatkan tanah Melayu tergadai dan pindah tangan  kepada bukan cerita baru. Bertahun-tahun isu tanah Melayu diungkap dalam pelbagai forum dan persidangan namun ia terus tidak menunjukkan tanda yang menyakinkan bahawa orang Melayu akhirnya tidak akan merempat di negara sendiri. Sejauhmanakah peninggalan Tanah Rizab Melayu sehingga ke saat ini dan apakah ia benar-benar masih wujud seperti yang direkodkan?
 Namun dari hari ke hari kita membaca berita projek-projek yang diumumkan untuk akhirnya mengambil tanah Melayu. Adakah pemimpin Melayu mengambil tahu dan secara serius menangani isu ini ? Dari apa yang kita ikuti , perbahasan di DUN dan Parlimen jarang kedengaran hal ini diungkit.
 Demikian juga persoalan gejala sosial bangsa Melayu yang  bertalu-talu berlaku seolah-olah bangsa ini tidak mampu mengatasi masalah yang sangat jelas boleh di atasi, hanya jika pemimpin-pemimpin  Melayu bertegas.
 Siapakah jika tidak pemimpin-pemimpin birokrat dan politik Melayulah yang mengeluarkan keizinan  KDN kepada majalah-majalah hiburan dan novel murahan, kebenaran menyiarkan acara hiburan yang tidak sesuai dengan budaya bangsa, keizinan rasmi untuk terus mengganjurkan konsert yang tidak habis-habis merosakkan adab pergaulan generasi muda, kelulusan siaran drama, filem dan acara TV  yang meninggalkan kesan negatif kepada nilai dan budaya hidup bangsa adalah sederet isu yang sebenarnya boleh diatasi dengan ketegasan pemimpin.
Akan tetapi sikap pemimpin Melayu yang umumnya bermahzab liberal dan berfikah plural inilah telah menggadai akhlak anak bangsa sehingga Melayu tidak lagi dihormati sebagai bangsa berbudi dan bersantun tinggi. Akibatnya perpsepsi bangsa lain terhadap bangsa Melayu pasti buruk dan tidak dihormati. Bercakap sahaja persoalan anak muda Melayu, bangsa lain akan mencemuh bahawa biarlah bangsa Melayu  terus bergelut dengan isu dadah, mat rempit, lepak, buang anak, penceraian, jenayah, maksiat, sumbang mahram, hiburan liar, pengangguran dan seribu satu masalah sosial.
 Ditambah semangkok lagi pemimpin-pemimpin media Melayu ternyata bukan sahaja berkesan dalam mendedahkan keruntuhan-keruntuhan sosial bangsa malah turut tidak rasa bersalah mempromosi gelagat budaya tidak beradab di kalangan golongan budayawan dan seniman Melayu.  Akibat kelekaan dan sikap tidak peduli pemimpin-pemimpin Melayu  dengan barah bangsa  ini, kita sudah mencapai peringkat kronik menunggu maut. Di tangan pemimpin Melayu jugalah lessen judi dan arak dilulus, konsert artis Barat  menggila diizinkan, filem budaya ganas dan lucah dipermisikan,  pusat hiburan dan segala khidmat social escort dibenarkan.
 Sementara itu, bangsa lain termasuk pendatang asing  bertungkus lumus menguasai apa sahaja ruang  yang diperolehi untuk bertapak kukuh di tanah air ini. Statistik terbaru melaporkan 50% dari 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baru yang dikatakan diwujudkan di negara ini dikuasai oleh pendatang asing. Apa sahaja pekerjaan yang ditolak bangsa Melayu akan  dikerumuni bangsa lain, apa sahaja kemahiran yang tidak diendah bangsa Melayu akan dikuasai bangsa lain.
 Kini peruntukan kuota Melayu untuk institusi-institusi tertentu sudah mula didesak untuk dibuka atas nama meritokrasi. Atas alasan orang Melayu sendiri tidak dapat memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang diperlukan semada dalam institusi awam, professional atau  teknologi,  malah termasuk perjawatan tinggi dan khusus dalam bilang keselamatan dan ketenteraan, maka bangsa ini akan melalui peminggiran-sendiri (self alienation) dalam tanah air sendiri.
 Siapakah yang menggubal dasar ini, siapa yang merombak peraturan ini, jika tidak pemimpin politik dan birokrat Melayu itu jugalah!
 Maka natijahnya sangat merunsingkan  kita, jika dihitung implikasinya dalam jangka masa panjang. Sepintas lalu sahaja kita dapat melihat kesannya sehingga ke peringkat sektor  kecil seperti kedai gunting rambut, tukang kasut, kedai bakeri,  bengkel basikal dan motor, pembuat kunci, pembuat bingkai dan pemotong cermin, memperbaiki tayar kereta, kedai foto dan fotostat, pembaik jam, pembuat pembalut kerusi kereta, bengkel besi dan lain-lain telah jauh dikuasai bangsa lain.
 Adakah  boleh kita persalahkan  bangsa lain ketika pemimpin bangsa  Melayu sendiri tidak serius untuk memastikan generasi mudanya boleh hidup berdikari? Bolehkah kita menuding jari kepada orang lain jika ibu bapa Melayu sendiri yang membiarkan anaknya merempit pada malam hari, pemimpin Melayu pula bercakaran sesama sendiri (dari merebut jawatan ketua bahagian sehingga bercita-cita menjadi menteri), profesional dan korporat Melayu pula mengkhayalkan hidup mewah sementara anak-anak bangsa sendiri merempat sana ke mari mencari kerja di syarikat bangsa lain?
 Keputusan Pilihan Raya Ke-12  ini mempunyai seribu erti yang perlu difikirkan dengan sedalam-dalamnya oleh orang Melayu khususnya. Kita sudah kehilangan Singapura 45 tahun dahulu, dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung tertindas tanpa disedari. Tidak ada kuota menteri penuh Melayu, azan tidak boleh dilaungkan di luar masjid, bahasa Melayu menjadi bahasa ketiga, orang Melayu tidak dibenarkan memegang jawatan tertinggi dalam tentera dan polis, mereka menuntut Pulau Batu Putih sebagai milik mereka dan pelbagai lagi milik bangsa Melayu yang sudah lenyap di tanah Singapura.
 Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula. Dalam tempoh akan datang, jika orang-orang Melayu tidak juga sedar bahawa mereka sekarang sudah hilang kuasa politik. Melayu sudah kehilangan kuasa tawar-menawar  (bargaining power) di tanah air sendiri.

Berfikirlah Orang Melayu. 
Siapa yang menjadi teras Melayu ? Siapa yang di perkudakan ?
Ekonomi Malaysia mereka telah kawal , Seterusnya kuasa POLITIK menjadi taruhan !
Belajar Terus Belajar !
Salam Perjuangan !!!




Ketua Penerangan Gpms Negeri Melaka
Mohd Saifullah B Hj Dolmat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan