Selasa, 20 Disember 2011

Bersatulah Bangsaku Demi Islam Tercinta !

Bersatulah Bangsaku Demi Islam Tercinta !


Islam datang sebagai sebuah agama samawi yang sempurna; ajarannya merangkumi urusan dunia dan akhirat. Apa jua urusan yang berkaitan dengan hal ehwal kehidupan, dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besarnya telah pun dipandu oleh Islam bagi menjamin kesejahteraan hidup umat manusia. Ianya berpaksi kepada hubungan hamba dengan Pencipta, hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan makhluk Allah yang lainnya.

Segalanya telah disediakan jalan penyelesaiannya yang terbaik berpandukan Kitabullah dan Sunnah Rasulnya. Islam tidak pernah memisahkan walau satu urusan manusia pun dengan wahyu Allah s.w.t. Semuanya tersedia lengkap, termasuk urusan yang melibatkan politik kenegaraan. Inilah pegangan setiap umat yang bersyahadah dengan kalimah Tauhid. Tidak ada sesiapa yang berani mengatakan urusan politik tidak ada dalam agama Allah ini.

Namun, yang menjadi persoalannya ialah ‘faham politik’ yang dianuti oleh sebahagian umat Islam tersasar jauh dari apa yang Islam kehendaki. Politik Islam disalahertikan serta dibayangi oleh satu sistem atau ideologi politik demokrasi yang dicipta oleh orentalis barat. Maka politik Islam yang suci murni telah dicampuradukkan dengan politik demokrasi yang jauh bertentangan dengan politik Islam.

Makanya sebahagian umat ini telah menyertai aktiviti-aktiviti politik demokrasi dengan membawa ‘suara’ Islam yang diketegahkan sebagai ‘modal’ perjuangan bagi mendapatkan kuasa politik. Kuasa politik itu pula dibutuhkan atas alasan untuk melaksanakan Islam dalam pemerintahan nanti. Justeru aktiviti-aktiviti politik yang didasarkan kepada demokrasi inilah dinobatkan sebagai politik Islam. Lalu bila ada ceramah politik, diwar-warkan ianya sebagai ceramah politik Islam. Bila ada gerakerja, maka dikatakan kerakerja politik Islam dan sebagainya lagi.

Perlu difahami, bahawa politik Islam bukan begitu bentuk dan budayanya. Politik dalam Islam ialah merupakan tatacara atau sistem dalam urusan pentadbiran dan hal ehwal kenegaraan. Dalam Islam tidak ada aktiviti ‘politiking’ atau berpolitik atau gerakerja politik mahupun parti-parti politik bagi mendapatkan kuasa. Apa lagi politik untuk kerjaya. Maknanya, Islam tidak memberikan kebenaran kepada umatnya untuk melakukan gerakerja untuk mendapatkan kuasa atau lebih manis untuk merebut amanah memimpin Negara. Ianya bukan bahan rebutan oleh mana-mana pihak. Tidak ada sama sekali. Ia adalah hak Maha Pencipta.

Dalam Islam, amanah menjadi ‘amirul mukminin’ adalah amanah ummah keseluruhannya. Bukan amanah parti-parti politik tertentu. Persetujuan untuk melantik ketua Negara adalah berdasarkan musyawarah dan persetujuan yang dibai’ah oleh ummah. Tidak ada persengketaan dan perbalahan serta perebutan sengit untuk memperolehi kuasa itu, sepertimana yang berlaku dalam budaya politik demokrasi. Cumanya bila tidak ada lagi kesatuan ummah secara total, maka hal ini pun bisa terjadi. Ini tidak lain kerana didorong oleh perasaan tamak dan rakus serta tidak adanya ‘taqwallah’ yang menjadi mizan dalam sebarang tindakan.

Lalu di sini akan timbul kenyataan; betapa penyertaan kami dalam politik demokrasi ini adalah untuk melaksanakan ‘amar makruf nahi munkar’. Ya, mungkin itulah matlamat golongan Islamis yang turut serta dalam demokrasi. Namun kalau kita membuka lembaran sejarah sebelum sistem barat ini mula diperkenalkan, tidak ada pun para ulama yang mengajak rakyat bangkit menentang dan menjatuhkan khalifah atau amirul mukminin apabila mereka berlaku kezaliman dan sebagainya.

Pernah keempat-empat Para Imam dihukum oleh khalifah, namun gerakan untuk menjatuhkan khalifah tidak pernah dianjurkan oleh mereka. Yang ada ialah terus mentaati mereka dalam perkara yang tidak bertentangan dengan agama dan bersabar jika sebaliknya. Kepada Allah diserahkan yang selebihnya. Pendeknya tidak ada perebutan kuasa antara barisan para ulama untuk menggantikan umara yang sebegitu. Yang ada ialah teguran kepada para umara agar tetap berpegang dengan kitabullah dan Sunnah Rasulnya. Tidak lebih dari itu.

Jarum orentalis barat teramat halus. Ianya hanya bisa disedari oleh mereka yang dihidayahkan oleh Allah s.w.t sahaja. Mereka membawa sistem demokrasi yang membolehkan rakyat menjadi hakim, di tangan rakyatlah segala-galanya. Melalui suara demokrasi majoriti tanpa mengira ianya secocok dengan wahyu atau sebaliknya, apa jua hukum hakam atau perundangan boleh sahaja direka dan dilaksanakan asalkan mendapat persetujuan majoriti.

Untuk mencapai hasrat itu, haruslah ada parti politik, bila ada parti politik, mereka bebas bersuara, bila bebas bersuara, apa sahaja bisa terkeluar dari mulut diucapkan. Justeru di sini kita akan melihat pertembungan ‘pandangan’ di antara golongan Islamis tadi dengan golongan-golongan yang bukan Islamis dan sebaliknya. Inilah yang diinginkan oleh barat, berlakunya pertentangan yang membawa kepada permusuhan di kalangan ummah yang berlarutan sampai bila-bila. Bila perpecahan ini berlaku akan senanglah mereka ‘menghukum’ dan mempermain-mainkan umat Islam. Dan inilah matlamat demokrasi yang dipaksakan ke atas dunia umat Islam yang menggantikan sistem khalifah.

Mungkin para ulama politik telah ‘berijtihad’ membolehkan penyertaan dalam politik demokrasi dan pilihanraya. Namun ianya mesti ditunjangi oleh maslahah untuk menyampaikan dakwah ilallah. Kalaulah aspek dakwah ilallah ini menjadi visi dan misi penyertaan dalam sistem demokrasi, ianya adalah suatu yang perlu dipuji dan ummah perlu menyokong. Tetapi akan hal yang lain tercetus apabila gaya demokrasi tidak diamalkan selaras dengan panduan Islam.

Di sini timbul perasaan taksub terhadap puak atau parti masing-masing. Masing-masing bertegas mempertahankan pandangan dan sanggup berbalah sesama sendiri demi perjuangan yang dilaungkan. Maka tercalarlah hubungan persaudaraan di kalangan ummah, terputus silaturahim, masyarakat jadi berpuak-puak, sedang hal-hal sebegini amat-amat ditititberatkan oleh Islam. Maka perkelahian dan perbalahan sesama sendiri terus membarahi ummah. Padahal Islam telah pun menyediakan jalan keluar kepada semua kebobrokan itu, iaitu melalui ‘syura’. Namun penyelesainya melalui saranan wahyu itu tidak diendahkan langsung!

Semuanya terhenti atas kepentingan politik masing-masing. Kepentingan status quo, kepentingan puak, kepentingan peribadi yang melebihi kepentingan ummah keseluruhannya. Hasilnya, kesatuan ummah hancur. Perpaduan ummah kabur. Agama dan bangsa kian mundur.

Ummah yang satu aqidah, satu bangsa, satu rumpun hancur dek virus jahat demokrasi. Demokrasi yang mengajar kita menjadi sombong dan ego. Kerana kita percayakan sistem ciptaan barat ini. Justeru politik sebegini tidak ada kaitan dengan Islam. Bolehlah kiranya (tidak batal aqidah) jika ada yang mengatakan politik suku agama suku; yakni merujuk kepada politik bertuhankan demokrasi yang jauh terpesong dari ajaran dan wahyu Ilahi.

Lebih cocok lagi politik sebegini adalah politik yang mencemarkan kesucian Islam. Kerana Islam adalah agama kasih sayang, nasihat menasihati, ingat memperingati, tawadhuk dan merendah diri dan bukannya agama kata mengata, benci membenci, hukum menghukum, ego dan sombong diri yang dibenihkan oleh sistem orentalis ini.


Bersatulah Bangsaku !

Belajar Terus Belajar !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan