Khamis, 20 Februari 2014

Perspeksi tuntutan PBS kacamata Gpms Melaka

Saya menerima luahan sahabat seorang guru yang menceritakan tugas-tugas guru masakini:
Guru-guru perlu menghadap komputer berjam-jam lamanya untuk memasukkan pelbagai jenis data dalam pelbagai jenis perisian komputer seperti SAPS, SMM, APDM, SSDM, SSDM-A, SPPPBS, NILAM, ESPLG, e-Dat, e-Operasi, Hrmis, e-Perolehan, dan lain-lain lagi. Memasukkan segala maklumat pelajar juga di bawah tanggungjawab guru-guru. Malahan guru-guru juga telah menjadi pegawai kesihatan di sekolah. Guru-guru jugalah yang menimbang berat pelajar dan mengira BMI untuk setiap pelajar, menganalisis dan merekodkannya pada setiap bulan.
Dengan adanya sistem PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) pula, beban tugas guru semakin bertambah. Kekurangan masa dan kelemahan sistem yang disediakan termasuklah masalah akses sistem PBS. Kerja-kerja PBS seperti membina instrument sendiri, menanda, menyemak, menyusun dan memasukkan data ke dalam sistem di mana melibatkan 160 orang pelajar bagi setiap 216 soalan. Masalah paling besar ialah semasa ingin memasukkan 160 band pelajar ke dalam sistem. (160 X 216 = 34,560 data). Selepas dimasukkan dalam sistem, guru-guru terpaksa menggeledah fail untuk memasukkan latihan untuk semua pelajar. Jadi bayangkan berapa banyak data dan masa harus diambil untuk menyiapkannya?
Sistem sedia ada pula tidak mesra pengguna dan kerapkali menghadapi 'internal error'. Tak cukup dengan ini semua, guru2 juga perlu membuat pelbagai kerja2 perkeranian, kerja pemfailan, pengisian pelbagai jenis data, penandaan, pengisisan data dan penyusunan beratus latihan PBS, majlis dan aktiviti rasmi sekolah, kursus, mesyuarat, penandaan buku latihan, kelas tambahan dan bermacam bagai lagi. Di sekolah juga guru-guru berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja ko-kurikulum, mengisi data, terlibat dalam AJK kecil untuk pelbagai jenis program, menjalankan kelas tambahan dan lain-lain lagi, di rumah juga kerja terpaksa disambung sampai ke pagi.
Ada nak tambah lagi? Ya, memang ada banyak lagi tugas-tugas yang saya tak larat nak masukkan di sini. Sehinggakan kalangan guru merasakan dengan pelbagai tugasan ini, bilakah masanya untuk guru-guru ini nak membuat persediaan untuk masuk mengajar dan menjadi pendidik yang efektif? Bukankah ini yang sepatutnya menjadi fokus utama para guru? Seelok-eloknya janganlah dibebankan guru-guru dengan tugas yang tiada kaitan dengan profesion perguruan. Yang mana tiada kaitan dengan guru-guru jangan ditugaskan kepada guru. Betulkah begini?
Kenalan-kenalan guru dari negara-negara maju seperti Singapura, Korea Selatan, Jepun, Jerman dan juga USA sendiri “tabik hormat” dengan kalangan guru-guru Malaysia melihatkan beban tugas yang ditanggung mereka. Segala tugas diletakkan di atas bahu seorang insan yang menggalas profesion guru di Malaysia. Tugas guru adalah mengajar dan mendidik anak-anak bangsa kita, bukannya banyak dihabiskan masa untuk menaip. Kerja-kerja menaip seeloknya diserahkan kepada kerani. Ataupun, kerajaan perlu mengambil lebih ramai kakitangan sokongan termasuklah mengambil kalangan graduan berjumlah berpuluh ribu yang masih menganggur di luar sana menggalas tugas sebagai pembantu guru.
Hakikatnya, saya percaya semua orang lebih gemar jika guru-guru yang diambil untuk mendidik anak-anak bangsa kita adalah dinilai berdasarkan kebolehan mengajar, kreativiti, keinginan semula jadi ingin mengajar dan bukanlah meletakkan profesion guru sebagai pilihan kedua selepas masih tidak mendapat kerja melalui jurusan yang diambil. Ini baru cerita guru-guru di sekolah-sekolah seluruh tanah air kita. Bagaimana pula dengan pensyarah-pensyarah kolej serta universiti? Saya percaya, kisah yang lebih kurang sama juga dapat didengari? Semoga Kementerian Pelajaran mendengar luahan guru-guru ini dan mengambil titik tengah bagi memartabatkan agenda pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi.Gunakan pendekatan yang bijak dan jangan menjadi diktator dengan melabel tuntutan mereka untuk menjatuhkan kerajaan. Ingat tanpa guru tidak akan lahir seorang Menteri dan jasanya umpama lilin membakar diri.

Belajar terus Belajar

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan