Isnin, 24 Februari 2014

Lahirkan jutawan anak bangsa melalui aspek pendidikan ?

Tumpuan terhadap pelajar yang cemerlang peperiksaan, golongan pelajar majoriti yang tidak bijak dalam peperiksaan juga tidak seharusnya dipinggirkan. Jika dipinggirkan, dibimbangi mereka akan terjebak dengan masalah sosial. Mereka ini mungkin kurang cemerlang dalam peperiksaan tetapi dalam hal-hal lain mereka mungkin lebih cemerlang berbanding yang memperoleh semua A. Perlu diingat, setiap insan ada kekuatan tersendiri. Justeru, saya ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar mempelbagaikan jenis sekolah di Malaysia dengan menubuhkan sekolah berteraskan perniagaan dan keusahawanan kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka ini rata-ratanya tidak begitu berminat dengan pembelajaran berteraskan peperiksaan semata-mata, di samping tidak mempunyai keupayaan untuk memilih profesion elit seperti doktor, akauntan dan jurutera. Bagi pandangan masyarakat majoriti, profesion elit sebeginilah yang menjamin masa hadapan anak-anak mereka walhal menurut Islam sumber utama kekayaan datangnya daripada perniagaan.Jurusan perniagaan sering di anggap sebagai kelas kedua dan tidak menjamin masa depan.

Malangnya di Malaysia, kursus-kursus perniagaan hanya diajar di peringkat universiti. Sewajarnya generasi muda didedahkan dengan asas perniagaan sejak di bangku sekolah lagi. Kalau kita teliti rata-rata ahli-ahli perniagaan yang berjaya telah memulakan perniagaan sejak berumur belasan tahun lagi. Mereka ini tidak dilatih secara formal dan hanya mempelajari selok-belok perniagaan dan keusahawanan melalui pengalaman sendiri. Pengalaman inilah yang amat berguna kepada mereka untuk menjadi usahawan dan ahli korporat yang berjaya dan kaya raya. Namun demikian, terdapat ramai juga yang tidak berjaya dalam perniagaan. Kebanyakan mereka ini mempunyai azam untuk berjaya dalam perniagaan, malangnya mereka tidak diterapkan dengan pelbagai disiplin ilmu perniagaan umpamanya bagaimana untuk mengurus kewangan perniagaan dengan baik. Ambil contoh terdapat ahli-ahli perniagaan yang baru setahun dua berniaga mengggunakan wang keuntungan perniagaan untuk membeli kereta mewah bagi tujuan peribadi. Wang keuntungan ini sepatutnya dilabur semula untuk memperkembangkan lagi perniagaan.

Ini baru bercakap mengenai modal belum lagi bercakap tentang bagaimana untuk membuat pelaburan dengan bijak supaya tidak mudah ditipu dengan orang lain. Di samping menguasai ilmu pengurusan kewangan, para pelajar juga sewajarnya didedahkan dengan prosedur yang betul untuk menubuhkan perniagaan. Kursus seperti ini akan membolehkan mereka mengetahui apakah jenis perniagaan yang mempunyai prospek yang baik pada masa hadapan. Umpamanya, mereka boleh didedahkan dengan perniagaan tani dan penternakan. Dalam perniagaan tani dan penternakan pula terdapat banyak cabang perniagaan yang boleh didedahkan kepada mereka. Malahan, aspek inovasi dan kreativiti serta teknologi maklumat dan komunikasi sewajarnya ditekankan dalam bidang perniagaan sebegini agar dapat menjana pendapatan lumayan di samping menampung permintaan pasaran tempatan.

Ini baru beberapa subjek yang wajib diperkenalkan di sekolah yang berteraskan perniagaan dan keusahawanan. Terdapat banyak lagi kursus yang boleh diajar kepada mereka. Sesi pembelajaran pula bukan setakat teori sahaja tetapi juga mereka sewajarnya didedahkan dengan dunia perniagaan sebenar. Yakinilah, jika sekiranya sekolah sebegini berjaya kelak, ia akan melahirkan lebih ramai lagi ahli perniagaan di kalangan generasi muda pada masa akan datang, bahkan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat serta memperkasakan lagi keupayaan ekonomi Malaysia. Kita perlu lahirkan lebih ramai jutawan Melayu bagi membuktikan semangat "Hidup Melayu ! " bukan sekadar laungan kosong sahaja.





Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan