Sabtu, 22 Februari 2014

Ke manakah halatuju Pendidikan Melayu ?





Setelah meraih kemerdekaan pada tahun 1957  sewajarnya dasar dan falsafah perjuangan orang melayu itu diperluaskan, tidak hanya tertumpu kepada hak-hak keistimewaan orang melayu sahaja.

Mari kita imbau semula sejarah selepas merdeka. Perjuangan diperluas kepada menuntut perkara yang dinafikan semasa kita dijajah, terutamanya dalam pendidikan tinggi. Walaupun perjuangan mendapatkan peluang pendidikan telah bermula lama sebelum merdeka, tetapi ia lebih kepada mendapatkan hak untuk belajar di sekolah.

Perjuangan pendidikan selepas itu lebih fokus kepada menegakkan bahasa, menguasai bidang sains dan dalam bidang teknologi.

Maka bermulalah perjuangan akademik dalam meningkatkan ilmu dan kebijaksanaan orang melayu dalam bidang pendidikan.

Bibit perjuangan akademik sebenarnya telah bermula sejak zaman penjajahan tetapi asas utama pada masa itu ialah untuk membebaskan tanah air terlebih dahulu. Selepas kemerdekaan, perjuangan untuk membebaskan diri dari kemunduran pendidikan ini telah menampakkan satu kejayaan yang memberangsangkan walaupun belum mencapai sasaran sepenuhnya.

Kini, ramai bilangan anak-anak melayu yang menjejakkan kaki ke menara gading dan memiliki sarjana dalam pelbagai bidang.Kecemerlangan akademik melayu masa kini sangat membanggakan.

Peningkatan dan pencapaian akademik seharusnya menjadi faktor peningkatan pencapaian melayu dalam bidang-bidang lain, terutamanya dalam bidang perniagaan.

Ianya sepatutnya berjalan seiringan, semakin berpendidikan semakin ramai yang menjadi usahawan, malangnya pihak pemerintah Singapura telah membebankan rakyat Singapura terutama sekali orang-orang Melayu. Banyak peraturan-peraturan yang pada pandangan saya adalah tidak munasabah langsung.

Kejayaan akademik hanyalah sekadar melahirkan komuniti “Melayu berpendidikan dan berjawatan” Rata-ratanya para graduan masih menjadikan sektor perkhidmatan awam sebagai kerjaya yang paling selesa dan selamat. Mereka akhirnya membina kepompong keselesaan (comfort zone) sendiri. Pendidikan dan kebijaksanaan yang diperolehi tidak menjadikan mereka insan yang berani menceburi dan meneroka bidang keusahawanan.

Tanpa disedari, hanya segelintir sahaja usahawan melayu yang menonjol dalam masyarakat melayu sendiri. Disebabkan itu juga, maka tidak wujud kelompok yang ghairah membeli rumah kedai, ruang pejabat atau kilang-kilang. Hampir semua orang melayu hanya bercita-cita membeli rumah kediaman tetapi tidak bercita-cita untuk membeli rumah kedai.

Adakah fenomena tersebut merupakan suatu kegagalan sistem pendidikan kita? Dimanakah silapnya sistem pendidikan kita? Sistem pendidikan mungkin tidak salah tetapi kesilapan kita terletak didalam dasar dan agenda perjuangan bangsa yang tidak jelas dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Keusahawanan tidak dijadikan teras budaya bangsa. Perjuangan kita untuk menguasai ekonomi negara hanya berupa retorik intelektual semata-mata.

Ia hanyalah suatu perbualan di seminar, konvensyen dan forum yang penuh dengan kertas-kertas kerja sahaja.

Kita hanya mampu membazirkan wang untuk mengadakan majlis-majlis perbincangan seperti isu-isu tertentu yang membelenggu masyarakat Melayu kita. Kesemua resolusi dan rumusan terkandas dalam bilik menyimpan kertas-kertas kerja. Isi kandungan kertas kerja gagal dilaksanakan untuk menjana ekonomi bangsa Melayu.

Kita takut kehilangan kerusi politik tetapi kita tidak takut kehilangan kerusi ekonomi. “kerusi-kerusi” makanan, perabot, hartanah dan lain-lain perniagaan yang sukar untuk kita tandingi dan rebut. Akhirnya semua kerusi tersebut dimenangi dan dibolot tanpa pertandingan.

Bagaimanakah untuk mencari huraian kepada masalah ini?

Sila berkunjung dan melihat sendiri kawasan-kawasan di negara jiran kita. Biarpun ianya kecil tetapi masyarakat melayu disana mampu mengusahakan perniagaan servis kenderaan, kedai optik, kedai barang perhiasan emas, kedai kasut, pakaian, elektronik, hartanah pencakar langit dan lain-lain perniagaan yang sukar kita lihat di Singapura milik Melayu kita. Pemimpin-pemimpin Melayu dari parti yang memerintah hanya sekadar bunga di taman, mereka tidak mampu untuk melakukan sepenuhnya untuk memajukan masyarakat Melayu sepenuhnya.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan