Ahad, 20 Ogos 2017

Apakah erti kemerdekaan buat bangsaku?


Apabila berbicara tentang kemerdekaan, biasanya kita akan mengaitkan dengan tamatnya era 500 tahun penjajahan kolonial. Makna kemerdekaan ini walaupun benar tetapi hanya memberi maksud kemerdekaan daripada sudut fizikal.


Kenapa penting untuk mengetahui makna sebenar kemerdekaan?


Sebab kita akan bertindak berdasarkan naratif yang kita faham. Kalau kita faham kemerdekaan sekadar bebas daripada cengkaman penjajah, kita akan berasa lega dan tiada apa untuk dirisaukan kerana sememangnya tiada lagi penjajah British di tanah ini.


Tetapi jika kita faham kemerdekaan adalah bebas daripada penjajahan fizikal dan kegelapan jahiliyyah, nescaya kita akan berasa cemas dan bertindak kerana hakikatnya bangsa ini masih dijajah dan terdedah dengan serangan ideologi atau isme-isme acuan barat walaupun jasad bangsa kita telah bebas sejak 1957.


Jika kita teliti dalam mana-mana perperangan, pihak yang menang kebanyakkannya adalah pihak yang pandai membaca strategi, tahu helah dan tipu daya musuh. Pihak yang kalah pula sama ada tidak tahu atau terperangkap dalam strategi dan helah pihak lawan.


Begitu juga umat Islam yang merdeka dan menang adalah umat yang kenal jahilliyah dan menjadikannya sebagai musuh manakala umat yang kalah adalah apabila dia tidak tahu apa yang sepatut menjadi musuh kepadanya. Umar al-khattab telah pun mengungkapkan kejahilan ini dalam ungkapan yang cukup mendalam


إنما تُنقَضُ عُرى الإسلام عروة عروة إذا نشأ في الإسلام من لم يعرف الجاهلية


Sungguh akan terurai ikatan Islam satu persatu apabila orang yang lahir dalam Islam tetapi tidak mengenal Jahilliyah


Sebelum kita pergi lebih jauh, Jahilliyah yang saya maksudkan bukan sekadar berbentuk perbuatan mencuri, berzina, merompak dan seumpamanya tetapi yang ingin saya tekankan adalah jahilliyah yang berbentuk fahaman,isme atau anutan. Saya lebih suka merujuknya kepada serangan pemikiran (ghazwul fikri).


Mungkin saya boleh katakan bahawa selepas tarikh keramat 1957, sebenarnya serangan penjajahan belum berakhir, tetapi hanya berubah bentuk dan sifatnya tanpa menafikan betapa besarnya nikmat kemerdekaan daripada penjajah ketika itu. Bentuknya adalah serangan pemikiran atau softpower dengan mengimport isme-isme acuan barat.


Strategi hardpower ataupun melalui penjajahan fizikal mungkin boleh menjajah jasad bangsa kita namun bukan pemikiran kita. Buktinya walaupun selepas 500 tahun penjajahan yang disulami agenda kristianisasi, bangsa Melayu masih lagi bangsa yang berpegang teguh dengan ajaran Islam.


Namun, penjajahan masakini bentuknya telah berubah kepada softpower yang bebrbentuk ideologi atau pemikiran yang songsang. Serangannya mungkin perlahan tetapi boleh menghancurkan jati diri umat Islam untuk beratus tahun lamanya. Paling merisaukan adalah serangannya halus dan telahpun diterima sebahagian umat Islam sebagai anutan kerana faktor normalisasi.


Kesempatan yang ada ini mungkin terlalu singkat untuk saya menyebut dan menghurai semua serangan pemikiran yang berlaku. Tetapi saya ingin memfokuskan kepada beberapa perkara yang sebenarnya dekat dengan kita.


Hak Asasi Manusia acuan barat (human right)


Hakikatnya, serangan penjajah tidak berlegar isu fizikal, tetapi serangan dari sudut cara fikir, hak dan budaya yang kini dijaja melalui hak asasi manusia (HAM). Bila berbicara tentang serangan cara fikir melalui HAM, kita tidak berbicara hak asasi manusia yang dituntut Islam kerana Islam ada menggariskan hak asasi sebagai seorang muslim tetapi kita berbicara tentang HAM menurut acuan barat yang menjadikan individualistik dan hawa nafsu sebagai tonggak fahaman humanisme.


Maksudnya, kehendak individu tidak akan terikat dengan undang-undang, agama dan seumpamanya kerana kebebasan individu adalah hak mutlak setiap orang. Mereka bebas berbuat apa sahaja selagi tidak menganggu hak orang lain seperti menjadi komuniti LGBT dan atheis. Bunyinya tampak murni tetapi sangat celaru daripada sudut aqidah sebagai seorang muslim yang wajib tunduk kepada kehendak Allah swt.


Suka atau tidak, fahaman humanisme ini telahpun menjadi anutan majoriti negara-negara di dunia. Buktinya daripada jumlah 194 negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hanya 76 negara sahaja yang menjadikan LGBT sebagai jenayah dan jumlah ini boleh mengurang hari ke hari. Kini, negara yang menentang LGBT telah menjadi minoriti walaupun suatu tika dahulu majoriti rakyat dunia menolak LGBT. Sekali lagi, faktor normalisasi.


Bila kita pergi ke peringkat antarabangsa, negara-negara minoriti ini akan dipandang seorang kerana tidak tunduk kepada undang-undang dan tekanan antarabangsa yang menjadikan HAM acuan barat ini sebagai undang-undang di negara mereka. Manakala, ‘pejuang-pejuang’ HAM di negara minoriti ini akan diangkat sebagai tokoh di peringkat antarabangsa seperti Datuk Nor Farida dan Taufik Ismail daripada G25.


Negara jiran kita iaitu Indonesia adalah contoh negara Islam yang sangat terkesan dengan iedologi HAM. Indonesia mempunyai 13 juta komuniti LGBT berdasarkan taburan daripada 260 juta penduduknya. Bahkan berdasarkan satu bancian, kadar penduduk yang murtad di Indonesia adalah seramai 2 juta setahun. Negara kita Malaysia mungkin tidak kritikal seperti negara jiran, tetapi beberapa isu yang berlaku membayangkan bahawa tidak mustahil Malaysia boleh menjadi seperti negara jiran kita suatu hari nanti yang menjadikan kita banyak sebab untuk risau dan khuatir.


Baru-baru ini, satu laman sesawang yang menjadi rujukan golongan gay yang ingin melancong di Malaysia mengatakan terdapat lebih kurang 160 ribu individu di Lembah Klang. Laman sesawang tersebut mengeluarkan angka tersebut sebagai satu perkhidmatan kepada bakal-bakal pelancong gay yang mahu menjejak kaki mereka di Malaysia tanpa perlu ‘mengorbankkan’ gaya hidup songsang mereka.


Baru-baru ini juga sekumpulan anak Melayu beragama Islam menyertai Kelab Atheist Republic Kuala Lumpur yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Kumpulan itu dipercayai terdiri daripada orang Melayu dan Islam yang menggelar diri mereka sebagai ‘bekas Muslim’ serta didakwa mengadakan pertemuan secara tertutup di Kuala Lumpur.


Bahana fahaman humanisme ini jelas tidak memberikan sebarang keuntungan kepada umat Islam. Kini, orang yang menjaga agama menjadi minoriti di dunia dan tidak mustahil orang yang menjaga agama di negara kita boleh menjadi minoriti.


Memelihara dan mengukuhkan peruntukan perlembagaan sedia ada


Nilai kedudukan Islam dalam Malaysia adalah bergantung kepada kedudukan Islam dalam perlembagaan yang mana peruntukan akhirnya akan ditentukan oleh mahkamah. Banyak usaha yang dilakukan oleh pejuang HAM ini bertujuan mencabar kedudukan Islam dalam perlembagaan atas alasan toleransi agama dan berbilang kaum. Hakikatnya, perbuatan ini bertujuan untuk menghalalkan segala nilai-nilai tidak bermoral yang bertentangan dengan prinsip agama.


Kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan banyak mengekang amalan-amalan songsang seperti LGBT, atheis dari terus berleluasa dalam masyarakat melalui kuasa-kuasa yang diberikan kepada mahkamah syariah dan jabatan agama. Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar’ie. Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Usaha untuk memperkasakan ini wajib disokong sehingga pindaan ini bejaya dilaksanakan.


Ada pihak yang mempertikaikan perlembagaan kerana tidak memberikan keistimewaan yang sama rata kepada rakyat berbilang kaum termasuk daripada golongan Melayu. Polisi yang dikatakan berat sebelah ini menjadi punca pecah belah dalam masyarakat. Namun, sama rata bukan asas perpaduan kerana sama rata tidak semestinya adil. Tetapi asas perpaduan adalah janji, taat setia dan tidak khianat pada toleransi orang Melayu dan persetujuan yang telah dicapai pemimpin pelbagai kaum ketika mencapai kemerdekaan daripada Bristih dahulu.


Hakikatnya, perlembagaan negara kita bukan berdasarkan 60 tahun kemerdekaan, tetapi berdasarkan 500 tahun perjuangan agama dan bangsa Melayu membebaskan diri daripada cengkaman penjajah dan berdasarkan sejarah yang panjang. Tanah Melayu sebenarnya telah lama menjadi negara Islam sejak daripada kurun ke-7 berbuktikan manuskrip-manuskrip arab dan surat menyurat antara kerajaan Bani Ummayah dengan sultan-sultan di Tanah Melayu. Negara Islam akan terus menjadi identiti utama Malaysia dan menjadi kewajipan setiap rakyat yang bergelar muslim untuk mendaulatkan syariat Islam di bumi ini.


Makna kemerdekaan


Kemerdekaan yang sebenar berpunca apabila seseorang tahu dan faham apa yang dimahukan Allah daripada dirinya dan bukan sekadar apa yang dia mahukan daripada Allah.

Apabila berbicara tentang makna kemerdekaan, saya gemar merujuk kemerdekaan kepada ayat al-Quran yang berbunyi


الله ولي الذين آمنوا يخرجهم من الظلمات إلى النور


“Allah adalah wali kepada orang-orang beriman yang mengeluarkan orang beriman dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya keimanan”


Bagi saya kemerdekaan yang hakiki adalah apabila kita boleh mengeluarkan diri kita daripada kegelapan jahiliyah kepada cahaya Islam. Apabila kita tunduk sepenuhnya kepada arahan Allah swt. Insan yang mengimani makna kemerdekaan ini akan membebaskan dirinya daripada segala perbuatan dan pemikiran yang bertentangan dengan Islam serta membawa dan menegakkan risalah Islam ke serata dunia. Bahkan, dia mengenali dengan baik ajaran-ajaran yang bertentangan dengan agama serta menentangnya daripada segala sudut. Dia meyakini bahawa hanya sistem Islam merupakan cara hidup yang terbaik bagi umat manusia dan relevan untuk sepanjang zaman.


Kemerdekaan yang hakiki akan membebaskan jiwanya daripada dunia yang sempit kepada akhirat yang maha luas kerana Islam membebaskan manusia daripada perhambaan kepada manusia yang berbentuk sistem, kekayaan, pangkat dan seumpamanya kepada keluasan rahmat dan ganjaran yang terbentang luas di akhirat kelak. Islam membebaskan manusia daripada perhambaan kepada material kepada sistem hidup yang tunduk kepada kehendak Tuhan yang Maha Kaya.


Semoga kemerdekaan negara ke 60 pada tahun ini bukan sahaja memperingatkan kita kepada pembebasan daripada cengkaman penjajah, tetapi juga mengingatkan kita untuk terus memerdekakan diri daripada kegelapan sistem dan nilai-nilai songsang barat yang sekian lama menghancurkan negara dan jati diri umat Islam. Ya Allah, peliharalah kemerdekaan negara dan umat ini serta bimbinglah kami kepada agamaMu yang benar.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan