Ahad, 21 September 2014

Membentuk Melayu Professional

Orang Melayu sering dikaitkan dengan “Takkan Melayu Hilang Di dunia”. Perumpamaan atau ungkapan klasik ini seakan menjadi darah daging orang Melayu apabila kedudukan mereka sebagai pribumi dipersoalkan. Mereka harus sedar di era globalisasi di mana dunia tanpa sempadan akan menyebabkan Melayu akan hilang suatu hari nanti. Tidak mustahil orang Melayu suatu hari nanti hanya memiliki “baju Melayu” sahaja setelah selipar pun sudah menjadi milik Jepun “selipar Jepun”.

Persoalan yang ingin dikemukakan di sini ialah masyarakat Melayu perlu bangun mengubah kedudukan mereka agar setanding dan dihormati oleh bangsa bukan Melayu. Bukan maksud nak menafikan kedudukan dan hak bukan Melayu, tetapi lebih kepada ingin membuka mata masyarakat Melayu hari ini agar membuka minda dan sentiasa berusaha memajukan diri demi masa depan yang penuh mencabar. Persoalan mengenai perubahan minda kearah kemajuan orang Melayu bukan isu yang baru bahkan ia telah lama diperdebatkan sejak tahun 1930an lagi. Pada masa ini akhbar dan majalah sentiasa menyeru orang Melayu agar maju dalam pelbagai bidang. Sehingga ke hari ini isu mengenai orang Melayu tidak pernah padam. Persoalannya mengapakah orang Melayu mengambil masa yang agak lama untuk berubah? Keadaan ini ada logiknya memandangkan beberapa perkara atau isu yang berlaku dalam negara masih lagi dikaitkan dengan orang Melayu. Di antaranya ialah dari segi perpaduan. Perpaduan di kalangan masyarakat Melayu masih lagi berlaku kepincangan disebabkan oleh ideologi politik yang berbeza, telah memecahbelahkan masyarakat Melayu ke dalam kelompok yang taksub politik. Rentetan daripada sini ideologi politik berbeza menyebabkan mereka tidak senang tinggal sekampung dan tidak selesa bersama dalam majlis.

Harus disedari bahawa masyarakat Melayu pada zaman dahulu sangat terkenal dengan sifat kerjasama, tolong-menolong serta aktiviti gotong-royong. Bagaimanakah sifat ini boleh hilang dan pudar dari diri orang Melayu?. Lupakah kita pada peribahasa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”. Dalam hal ini jika orang Melayu masih lagi berpuak-puak, kemajuan yang ingin dicapai akan lambat lagi untuk berlaku. Wawasan 2020 juga takkan tercapai kerana ia memerlukan komitmen semua pihak.

Aspek kedua ialah irihati yang berpanjangan. Masalah irihati juga sukar dibuang dalam diri orang Melayu pada hari ini. Keadaan ini dapat dilihat di semua sektor sama ada sektor swasta ataupun kerajaan. Sama ada yang berpangkat atau orang bawahan. Semuanya sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan yang lain. Ada segelintir yang merasa irihati dengan kejayaan orang lain tetapi tidak mahu untuk berusaha agar menjadi lebih baik daripada orang lain. Bahkan ada di antara mereka berusaha mencari jalan bagaimana nak menjatuhkan orang lain. Jika keadaan ini berterusan orang Melayu tidak akan maju sampai bila-bila dan ini bertentangan dengan ciri-ciri masyarakat bertamadun. Peribahasa Melayu ada mengatakan “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” melambangkan perlunya orang Melayu itu bersama berkongsi kejayaan dan bersama mencari kesilapan dalam merencanakan sesuatu pekerjaan.
Begitu juga dengan semangat patriotisme atau semangat kebangsaan yang semakin luntur dalam diri orang Melayu. Semangat kebangsaan ini perlu ada dalam diri setiap individu yang mengaku dirinya sebagai warganegara Malaysia. Perlu disedari tanpa semangat sayangkan negara yang kuat, negara ini akan runtuh bila-bila masa. Tetapi apa yang berlaku sekarang ini ialah kurangnya penghayatan orang Melayu sendiri terhadap program-program yang berunsurkan patriotisme. Contoh yang paling simple sekali ialah semasa sambutan bulan kemerdekaan. Ada di antara mereka pada hari ini yang merasakan sambutan terhadap bulan tersebut tidak memberi apa-apa erti dan tidak ada kaitan dengan mereka yang hidup dalam dunia yang sudah ada segalanya. Bagi mereka perjuangan menentang penjajah sudah tamat, Komunis sudah lari, negara dah maju, nak buat apa lagi? Pemikiran sebegini perlu dibuang dalam diri setiap generasi baru Melayu pada hari ini kerana setiap individu itu ada tanggungjawab atau amanah yang perlu dipikul. Kalau orang Melayu dulu berjuang mempertahankan tanah air daripada penjajah, Melayu baru pula harus berjuang bagi memastikan mereka tidak mudah dijajah dari segi ekonomi dan pemikiran.

Dari segi penguasaan ilmu juga, orang Melayu seakan ditinggalkan oleh orang bukan Melayu. Lihat sahajalah pencapaian anak Melayu dengan pencapaian yang diperolehi oleh bangsa bukan Melayu di IPTA/IPTS. Pencapaian pelajar bukan Melayu paling tinggi jika dibandingkan pelajar Melayu. Mengapa hal ini terjadi? Rasanya warga universiti sudah sedia maklum akan hal ini. Mengapa pelajar Melayu sukar untuk menguasai sesuatu ilmu? Di mana silapnya? Sebagai bekas pelajar saya sendiri dapat memberikan jawapannya iaitu kesungguhan dan usaha yang dilakukan oleh pelajar bukan Melayu. Pelajar bukan Melayu jika dilihat begitu komited dengan apa yang dilakukan, mengapa pelajar Melayu sukar melakukannya. Ini juga perlu dikaji untuk mengetahui apakah faktor yang membelenggu anak-anak Melayu sehingga mereka tidak komited dengan pembelajaran. Pelajar Melayu perlu sedar jika mereka ketinggalan dalam bidang ilmu mereka akan ketinggalan dalam semua bidang. Orang Melayu perlu sentiasa dahagakan ilmu dan ungkapan “longlife learning” perlu disematkan dalam jiwa setiap generasi Melayu. Percayalah tanpa ilmu yang kukuh orang Melayu akan senang ditindas.

Dari segi ekonomi, mengapakah orang Melayu masih kurang berjaya dalam sektor ekonomi?. Pelbagai langkah telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi agar setanding dengan bangsa lain. Antaranya ialah pengenalan DEB (Dasar Ekonomi Baru) untuk menarik sekurang-kurangnya 30% kaum bumiputra terlibat dalam perdagangan dan perindustrian. Keadaan ini juga tidak banyak berubah. Walaupun ada peningkatan tetapi belum mencapai tahap yang membanggakan. Masyarakat Melayu perlu sedar untuk menjadi sebuah negara dan bangsa yang kuat, langkah pertama ialah mereka perlu kukuh pegangan ekonominya. Tanpa pegangan ekonomi yang kuat sesuatu masyarakat itu tidak akan kemana-mana. Justeru itu masyarakat Melayu perlu berusaha mengukuhkan kedudukan ekonomi dengan sentiasa mencari peluang dan tidak menunggu bantuan dari pihak kerajaan semata-mata. Masyarakat Melayu perlu ada strategi sendiri untuk memajukan diri dalam ekonomi. Budaya bantuan perlu dikikis dalam diri orang Melayu. Lihat sahaja masyarakat bukan Melayu di negara ini. Kebanyakan mereka boleh berjaya dengan cemerlang walaupun tanpa bantuan sesiapa. Budaya “Spoon Feeding” perlu dibuang dalam diri setiap orang Melayu kerana ia menggalakkan orang Melayu kurang berusaha dan menanti pihak kerajaan untuk mengubah nasib mereka.
Orang Melayu juga harus sedar pegangan mereka dalam bidang politik tidak akan kekal selama-lamanya. Pihak luar sentiasa mengintai untuk “menangguk di air keruh” dan jangan disangka “air yang tenang tidak ada buaya”. Orang Melayu perlu sentiasa berwaspada agar dunia politik mereka tidak diganggu gugat oleh pihak luar. Mereka perlu membuang pemikiran sempit mereka yang suka berpuak-puak hanya kerana ideologi politik yang berbeza. Kita tidak ingin perkara ini menjadi seperti kata pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Orang Melayu perlu bijak mencari jalan agar politik Melayu sentiasa unggul dan tidak mudah untuk dimusnahkan. Tetapi bagaimanakah caranya? Tentu sekali ialah pemuafakatan dan kerjasama yang tidak mengira ideologi politik serta membuang budaya jatuh menjatuhkan di antara satu sama lain.

Masyarakat Melayu pada hari ini juga seakan menjadi juara dalam semua gejala sosial dan pengaruh negatif dalam masyarakat Malaysia. Lihat sahaja pada statistik jenayah, serta penyalahgunaan dadah semuanya didominasi oleh orang Melayu. Laporan pihak Pemadam menjelaskan untuk penagihan dadah bagi Januari hingga Disember 2013, memperlihatkan jumlah penagih Melayu seramai 22,344 orang, Cina 5,131 orang dan India 3,228 orang. Ini hanya satu kategori daripada gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat Malaysia, kategori yang lain masyarakat Melayu masih lagi mendominasi jumlah tertinggi. Mengapa gejala sosial ini didominasi oleh orang Melayu juga memerlukan satu kajian yang menyeluruh dilakukan bagi mengenalpasti faktor agar jalan penyelesaian dapat diadakan. Golongan remaja Melayu perlu sedar mereka adalah bakal pemimpin pada masa akan datang. Justeru itu pendidikan awal adalah penting bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala negatif tersebut. Keadaan ini ada kaitannya dengan pendidikan. Tahap pendidikan yang rendah amat mempengaruhi perlakuan remaja dewasa ini yang menyebabkan mereka senang terpengaruh melakukan sesuatu di luar batasan.

"ALLAH akan menaikkan darjat seseorang melalui ilmu"

Belajar terus belajar.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan