Jumaat, 18 April 2014

Mencari Semangat Melayu yang layu

‘Melayu sebenarnya bangsa yang besar!’

Para pemimpin kita, datuk nenek kita, bijak pandai kita tidak pernah jemu-jemu mengulang frasa itu. Asal ada konvensyen, ada seminar, ada tempat untuk berucap, ada kertas untuk ditulis, ada ruang untuk bercakap dan ada orang bersedia mendengar, mereka akan mengulangi, atau setidak-tidaknya
menyelitkan sejarah kegemilangan lampau bangsa Melayu.

Tujuannya amat jelas. Mereka bermaksud untuk membangkitkan semangat bangsa mereka. Mereka mahu kita sama-sama sedar bahawa Melayu bukannya bangsa kecil yang boleh diperlekehkan. Melayu pernah gemilang. Melayu pernah hebat. Melayu pernah menjadi kuasa yang disegani dan digeruni.

Dasar pandang belakang ini dalam banyak keadaan memang membawa kebaikan. Setakat sekarang ia berjaya menghidupkan jiwa orang Melayu. Mampu mencetuskan semangat untuk ikut bersaing. Mampu membangkitkan impian kita untuk kembali menjadi besar seperti dahulu.

Tetapi kekerapan melihat ke belakang juga kalau tersilap diamalkan boleh mendepankan orang Melayu dengan masalah lain. Mereka mungkin lupa pada apa yang ada di depan. Mereka mungkin lupa untuk mengimbangkan antara kegemilangan silam dengan kemungkinan-kemungkinan yang bakal mendatang.

Di sinilah dilemanya sekarang. Dalam ghairah mengejar kegemilangan, yang pernah dimiliki tetapi kemudian hilang itu, Melayu sering lupa tempat berpijak dan berdiri. Dengan perkataan lain, Melayu mudah lupa diri.

Kenapa ini terjadi?

Jawapannya mungkin berbagai, tetapi satu di antara yang penting ialah, Melayu sebenarnya tidak kenal diri dan bila seseorang itu tidak kenal dirinya jangan hairanlah jika ia mudah kehilangan hala dan arah.

Cubalah buat kajian rambang, berapa kerat Melayu yang tahu asal keturunannya?

Tidak ramai. Kebanyakan Melayu cuma tahu salasilah keluarganya sehingga ke peringkat moyangnya sahaja. Jarang yang tahu lebih daripada itu. Malah bagi anak-anak Melayu generasi siber ini, ada yang sudah tidak tahu nama datuk atau neneknya sendiri.

Lakukanlah kajian yang sama ke atas mereka yang bukan Melayu. Kebanyakan keluarga Cina mempunyai rekod susur galur salasilah yang teratur. Jika mereka tidak menyimpannya secara peribadi, persatuan-persatuan yang mewakili nasab mereka akan melakukannya.

Seorang budak lelaki Cina barangkali boleh bercerita dengan baik bagaimana moyangnya dahulu meninggalkan Swatow dengan kapal yang sarat dengan ribuan penumpang bersama keping keping siling di saku. Tetapi jangan terkejut jika banyak budakbudak Melayu yang tidak tahu bagaimana bapanya mula merantau ke Kuala Lumpur sepuluh atau lima belas tahun lalu.

Apakah kesimpulan kasar yang boleh dibuat daripada kenyataan-kenyataan di atas?
Mudah. Ia mencerminkan sikap Melayu yang kurang cenderung melihat ke dalam dirinya.

Tidak mengambil berat tentang susur galur keluarga adalah gambaran terhadap tidak wujudnya perasaan menghargai keluarga sendiri. Dan orang yang tidak menghargai keluarga sendiri jarang sekali boleh diharap untuk menghargai bangsanya kerana bangsa sesungguhnya bermula daripada keluarga!

Semua orang tahu majoriti penduduk asal yang berketurunan Inggeris di Australia adalah penjenayah penjenayah yang dibuang negeri. Tidak lama selepas bermulanya penguasaan Inggeris ke atas pulau besar itu pada tahun 1778, Australia menjadi tempat humbanan segala jenis penjahat. Jika orang-orang Australia melihat salasilah keturunan mereka sehingga ke tarikh itu, sudah tentu mereka patut menutup muka setiap kali muncul di depan khalayak. Malah mereka mungkin berhak meludah kubur nenek moyang masing-masing.

Tetapi mereka tidak pula berbuat begitu. Sebaliknya orang Australia terbilang sebagai jenis manusia yang cukup berbangga dengan keturunannya. Untuk mengelak daripada dikaitkan dengan penjenayah-penjenayah buangan pada abad ke-18, mereka bersusah payah mencari susur galur keturunan mereka hingga ke akar umbinya. Mereka berusaha seberapa yang boleh untuk menghubungkan diri mereka dengan England, dan sekaligus menumpang kemegahan dan kedaulatan British. Mereka akan mencari jalan untuk mengaku keturunan Shakespeare walaupun hakikatnya mereka mungkin cucu cicit Kapten Kidd The Pirate.

Kesan langsung daripada sikap berbangga dengan keturunannya itu menyebabkan orang Australia memiliki keyakinan diri yang agak luar biasa sehingga mendorong mereka berani bertindak sebagai ‘timbalan polis dunia’ dalam banyak hal yang membabitkan hubungan politik antarabangsa di sekitar Asia Pasifik. Hakikatnya bukan mereka tidak sedar yang mereka tidak layak. Tetapi jiwa besar mereka menyebabkan penjajah tanah Aborigines itu mengenepikan realiti tersebut.

Jepun juga merupakan satu lagi bangsa yang tebal dengan nilai kebangsaannya. Dan nilai itu juga disemai melalui semangat menghargai keluarga sendiri. Dengan kepercayaan bahawa mereka adalah dan keturunan Maharaja Jimmu, yang berasal dan anak dewa matahari, orang Jepun tidak pernah mahu bertuankan sesiapa sahaja selain daripada matahari. Hasil daripada pemilikan keyakinan diri yang kuat, bangsa yang kecil dan pendek itu, akhirnya bangkit menjadi kuasa besar di dunia walaupun realitinya daripada segi kurniaan alam, Jepun memiliki sumber semula jadi yang sangat terhad dan hanya 20 peratus daripada muka buminya sesuai untuk kerja-kerja pertanian.

Jangan pula kita lupa pada golongan Baba Peranakan di Melaka. Selepas beberapa generasi berada di bumi Melayu ini mereka masih kekal dengan identiti asal. Walaupun banyak menyerapkan budaya Melayu dalam kehidupan harian, namun golongan tersebut tidak menyingkirkan terus keperibadian warisan mereka. Mereka terus kelihatan Cina dalam terlalu banyak perkara.

Orang-orang China yang menguasai China Town di beberapa kota besar dunia juga terkenal dengan keupayaan mengekalkan identiti mereka. Kelompok Cina di London, New York dan Los Angeles misalnya, tidak pernah mengalah pada tekanan-tekanan budaya yang mereka hadapi setiap saat. Pengaruh budaya barat yang begitu kuat jelas tidak mampu menembusi ketaksuban mereka pada budaya sendiri. Hasilnya, jika anda melangkah masuk ke premis mereka, anda akan mendapati suasananya tidak banyak berbeza dengan apa yang ada dalam premis-premis kediaman di Beijing, Hefei atau Zhengzhou. Mereka masih bertutur dalam bahasa Cina, malah sesetengah generasi tuanya tidak boleh berbahasa Inggeris. Mereka juga masih menggunakan alat-alat dekorasi Cina dan mengamalkan adat resam nenek moyang yang dibawa bersama beratus tahun dahulu.

Satu faktor yang memungkinkan kenapa orang Melayu tidak begitu berminat untuk menjenguk ke akar umbi keluarga dan keturunannya ialah soal assabiyah. Sebagai penganut Islam yang taat, orang Melayu mungkin beranggapan, membanggakan keturunan adalah satu unsur assabiyah – unsur yang ditolak oleh Islam kerana nilai puak dan kesukuannya.

Tetapi Melayu yang bijak sepatutnya melihat assabiyah dalam konteks yang lebih luas, bukannya asabiyah-jahiliyah. Kita tidak menganjurkan mereka menjadi pengamal jingo nasiolisme yang serba sempit. Menyayangi dan menghargai keluarga serta keturunan sendiri tidak harus disamakan dengan orang lain yang lebih berhak.

Kerana tidak menghargai keluarga dan keturunan, Melayu juga akhirnya tidak mempedulikan sangat asal bangsanya. Mereka seringkali tidak pernah mahu tahu dari mana orang Melayu bermula. Sehingga sekarang amat sedikit sarjana Melayu yang mahu mengembara mencari titik mula bangsanya. Kebanyakan mereka lebih sibuk dengan agenda politik semasa. Menyiapkan kertas kerja bagi sebuah projek perdana sentiasa dianggap lebih baik daripada menyempurnakan kajian tentang salasilah bangsa sendiri.

Sampai sekarang, apabila bercakap tentang asal usul orang Melayu masih kabur dan keliru. Ada yang percaya bangsa sawo matang ini asalnya dari Yunnan dan tidak kurang yang percaya ia bermula dari pulau-pulau di Tenggara Asia. Yang mengaitkan Melayu dengan keturunan Iskandar Zulkarnain di Macedonia pun ada. Dalam pada itu ada pendapat lain menyatakan manusia Melayu sebenarnya bermula di sini, di bumi ini, bukannya di tempat-tempat lain. Pendeknya, tidak ada satu pun yang jelas.

Kurangnya kepekaan terhadap faktor salasilah ini menyebabkan tidak ramai orang Melayu sedar bahawa mereka mempunyai sejarah yang cukup gemilang. Lingkungan pulau-pulau yang dikuasai oleh mereka – apa yang dinamakan Malay Archipelago – adalah kelompok pulau yang paling luas di dunia, dengan panjangnya melebihi 6,100 km. dari Lautan Hindi ke barat daya Lautan Pasifik.

Ada beberapa pendapat menyebut, orang Melayu telah muncul sejak lebih 5,000 tahun dahulu. Pendapat itu dikuatkan dengan kisah seorang anak raja Byzantium, sebuah wilayah terkenal dalam pemerintahan kerajaan Greek Purba yang kononnya telah pernah singgah di Kedah ketika dalam pelayarannya ke negeri China. Di Kedah, anak raja itu dikatakan telah melihat apa yang ditafsirkan oleh sesetengah ahli sejarah sebagai tamadun yang cukup tinggi.

Mengambilkira bahawa Byzantium hanya wujud pada kurun ke-7 Sebelum Masehi, pendapat di atas mungkin boleh dipersoalkan. Ia mungkin bersifat epik dan mitos semata-mata.

Tetapi masih ada bukti lain yang boleh dipakai untuk menunjukkan bahawa usia bangsa Melayu mungkin telah mencecah 5,000 tahun. Bukti itu tersembunyi di sebalik sejarah perkembangan Bahasa Melayu sendiri.

Bahasa Melayu yang termasuk dalam kelompok bahasa bahasa Austronesia adalah sebahagian daripada antara 600 hingga 1,000 bahasa yang terdapat dalam kumpulan yang sama. Semua bahasa ini, daripada yang dituturkan oleh penduduk Kepulauan Solomon, Vanuatu, Kiribati, Tonga, Samoa dan pelbagai pulau lain hinggalah ke bahasa yang digunakan sehari-harian oleh kita di Malaysia dan di Indonesia, adalah berasal dan satu bahasa atau dialek yang sama, yang dinamakan Proto-Austronesian. Dan Proto-Austronesian dipercayai telah digunakan lebih 5,000 tahun dahulu! Ertinya nenek moyang orang Melayu memang telah wujud semenjak 3,000 tahun Sebelum Masehi.

Sehingga sekarang bahasa Melayu masih merupakan salah satu bahasa utama di dunia. Ia dituturkan oleh lebih 150 juta manusia, khususnya di Indonesia dan di Malaysia. Dan kalau betul ‘bahasa menunjukkan bangsa’ ianya bermakna bangsa Melayu sebenarnya merupakan bangsa yang besar.

Tetapi bolehkah kenyataan itu digunapakai? Sukar untuk dijawab.

Wallace dalam ‘Malay Archipelago’ mengkelaskan Melayu pada tiga kategori iaitu orang Benua, orang Laut dan orang Melayu (jati). Orang Benua, yang dianggapnya tidak bertamadun, dikatakan menguasai kawasan di sekitar Sumatera dan daerah-daerah pendalaman bertanah tinggi di Melaka. Orang Laut pula, menurut Wallace, hidup dalam keadaan separa-bertamadun dan mereka mendiami kawasan pantai. Antara ketiga-tiganya, Orang Melayu merupakan yang paling terkehadapan daripada segi tamadun dan mereka ini termasuklah orang Jawa dan orang Melayu jati.

Bagi orang yang mudah terpesona dengan angka, mereka mungkin boleh menepuk dada jika dikatakan bahawa jumlah orang Melayu di seluruh dunia dianggarkan lebih 500 juta orang atau kira-kira sembilan peratus daripada jumlah penduduk dunia. Angka ini meliputi semua Melayu yang berada di Malaysia, Indonesia, Filipina, Madagascar, Maldives, Afrika Selatan, Kampuchea dan pelbagai pelosok dunia yang lain.

Ini merupakan satu lagi musibah yang berpunca daripada tiadanya perasaan mahu menghargai keturunan sendiri. Berbanding dengan bangsa lain, orang Melayu amat mudah kehilangan identiti. Sementara orang-orang Cina, biar di mana pun mereka berada, akan kekal dengan imej Cinanya, orang Melayu akan segera hilang imej Melayunya selepas dua tiga keturunan berada di tempat orang.
Contoh paling jelas barangkali boleh dilihat di Afrika Selatan, di mana orang-orang Melayu di sana kian dihakis oleh persekitarannya. Mereka, kebanyakannya dari tanah Jawa mula sampai di bumi ‘gelap’ itu pada tahun 1667 sebagai orang buangan dan abdi penjajah Belanda. Bagi suatu tempoh yang agak lama mereka mampu bertahan. Bagaimanapun menjelang abad ke-19, imej Melayu mereka semakin menjadi tipis. Mereka mula beradun dengan pengaruh Arab, India, Sri Lanka, China dan tidak terkecuali Eropah. Bahasa asal mereka mula hilang pada sekitar 1850-an. Perkataan-perkataan Melayu tidak lagi mampu berdiri sendiri sebaliknya diserap, dan kemudian tenggelam dalam bahasa Afrikaans.

Bandingkanlah keadaan mereka dengan orang-orang Malabar yang sudah beberapa keturunan berkampung mencari makan di London atau di Hongkong. Jika contoh itu tidak memadai, lihatlah pula bagaimana keadaan anak-anak Melayu yang bermastautin di London sejak lima atau enam puluh tahun lalu. Belum habis satu keturunan sudah ada antara mereka yang tidak boleh berbahasa Melayu lagi.

Kenapa ini terjadi? Jawapannya mungkin terselindung di sebalik pepatah ‘masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembik’, yang menjadi salah satu warisan ‘gemilang’ yang dibanggakan oleh orang Melayu.

Pepatah itu boleh ditafsirkan dengan dua nilai utama. Pertama, ianya adalah manifestasi terhadap kehalusan hati budi Melayu dan kedua, merupakan cerminan pada perasaan ‘rendah diri’ (inferior) yang dikatakan terdapat dalam jiwa mereka secara semulajadi.

Biar tafsiran mana pun yang dipilih, apa yang jelas ialah pepatah tersebut telah menjadi kunci kepada sikap kebanyakan orang Melayu apabila berhadapan dengan elemen-elemen luar. Ia secara tidak langsung mengajar mereka supaya sentiasa bersifat mengalah dan ‘mengutamakan kera di hutan, walaupun anak di rumah mungkin kelaparan’.

Lihatlah bagaimana cara kebanyakan Melayu berinteraksi dengan orang asing. Kelazimannya, mereka akan bersusah payah menyesuaikan diri dengan orang asing tersebut. Apabila bercakap dengan orang Cina, mereka akan bermati-matian menggunakan bahasa pasar yang penuh telor keCinaannya. Begitu juga apabila bercakap dengan orang India atau orang apa sahaja. Mereka jarang menggunakan bahasa Melayu yang betul. Mereka bersedia melonggarkan segala hukum tata bahasa sendiri. Mereka sanggup mengorbankan nahu yang diwarisi turun-temurun.

Semua ini adalah antara faktor yang menyumbang kepada penghakisan nilai-nilai Melayu. Tetapi faktor yang lebih besar, dan yang paling besar sebenarnya ialah kerana kita tidak pernah berbangga menjadi Melayu sebagaimana orang Cina berbangga menjadi Cina dan orang Inggeris berbangga dilahirkan sebagai Inggeris. Dan rasa bangga itu tidak akan dapat dibina, apatah lagi dipupuk, jika Melayu terus melupakan asal keturunannya.

‘Melayu sebenarnya bangsa yang besar’ hanya akan menjadi kenangan yang cukup indah, yang akhirnya akan melontarkan Melayu ke dalam kenyataan yang amat pahit.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka

posted from Bloggeroid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan