Jumaat, 27 Jun 2014

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dan Selamat Berpuasa.

Dalam bulan Ramadhan banyak sekali sebab-sebab turunnya ampunan. Di antara sebab-sebab itu adalah :

Melakukan PUASA di bulan ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa puasa Ramadhan karena iman dan mengharap pahala Allah, niscaya ia diampuni dosanya yang telah lalu. "(Hadith Muttafaq 'Alaih)

Melakukan SOLAT TERAWIH DAN TAHAJJUD di dalamnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barang siapa melakukan solat malam di bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosanya yang telah lalu. " (Hadith Muttafaq 'Alaih)

Melakukan solat dan ibadah lain di malam Lailatul Qadar. Yaitu pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah malam yang penuh berkah, yang di dalamnya diturunkan Al-Qur'anul Karim. Dan pada malam itu pula dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Barangsiapa melakukan solat di malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala Allah, niscaya ia diampuni dosanya yang telah lalu . (Hadith Muttafaq 'Alaih)

MEMBERI IFTHAR (makanan untuk berbuka) kepada orang yang berpuasa.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang di dalamnya (bulan Ramadhan) memberi ifthar kepada orang berpuasa, niscaya hal itu menjadi sebab ampunan dari dosa dosanya, dan pembebasan dirinya dari api Neraka. " (HR. Ibnu Khuzaimah (dan ia mensahihkan hadith ini), Al-Baihaqi dan lainnya).

BERISTIGHFAR : Meminta ampunan serta berdo'a ketika dalam keadaan puasa, berbuka dan ketika makan sahur.

Do'a orang puasa adalah mustajab (dikabulkan), baik ketika dalam keadaan puasa ataupun ketika berbuka Allah memerintahkan agar kita berdo'a dan Dia menjamin mengabulkannya.

Allah berfirman :"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdo'alah kepada-Ku, niscaya Aku mengabulkannya untukmu . "(Ghaafir: 60)

Dan dalam sebuah hadith disebutkan: "Ada tiga macam orang yang tidak ditolak do'anya. Di antaranya disebutkan,"orang yang berpuasa hingga ia berbuka" (HR. Ahmad, At-Tirmidzi, An-Nasaa'i dan Ibnu Majah). (Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam kitab Sahih mereka masing-masing, dan At-Tirmidzi mengatakannya hadith sahih hasan.)

Karena itu, hendaknya setiap muslim memperbanyak, dzikir, do'a dan istighfar di setiap waktu, terutama pada bulan Ramadhan, ketika sedang berpuasa, berbuka dan ketika sahur.

Nabi s.a.w. bersabda: "Tuhan kami Yang Mahasuci dan Maha tinggi turun pada setiap malam ke langit dunia, (iaitu) ketika masih berlangsung sepertiga malam yang akhir seraya berfirman "Barangsiapa berdo'a kepada-Ku, niscaya Aku kabulkan untuknya, barangsiapa memohon kepada-Ku, niscaya Aku memberinya dan barangsiapa memohon ampunan kepada-Ku, niscaya Aku mengampuninya. " (HR. Muslim).

Di antara sebab-sebab ampunan iaitu istighfar (permohonan ampun) para malaikat untuk orang-orang berpuasa, sampai mereka berbuka. Demikian seperti disebutkan dalam hadith Abu Hurairah di muka, yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Jika sebab-sebab ampunan di bulan Ramadhan demikian banyak, maka orang yang tidak mendapatkan ampunan di dalamnya adalah orang yang memiliki seburuk-buruk nasib.

Bilakah lagi ia mendapatkan ampunan jika ia tidak diampuni pada bulan ini? Bilakah dikabulkannya (permohonan) orang yang ditolak pada saat Lailatul Qadar?Bilakah baiknya orang yang tidak menjadi baik pada bulan Ramadhan ?

Dahulu, ketika datang bulan Ramadhan, umat Islam senantiasa berdo'a : "Ya Allah, bulan Ramadhan telah menaungi kami dan telah hadir maka serahkanlah ia kepada kami dan serahkanlah kami kepadanya. Kurniailah kami kemampuan untuk berpuasa dan solat di dalamnya, kurniailah kami di dalamnya kesungguhan, semangat, kekuatan dan sikap rajin. Dan lindungilah kami didalamnya dari berbagal fitnah '.

Selamat berpuasa di ucapkan daripada kepimpinan Gpms Negeri Melaka. Belajar terus Belajar.

Jumaat, 9 Mei 2014

Memori hitam Melayu yang terpadam.

Apa kesilapan Tunku? Benarkah ia satu kesilapan ? Tidak boleh dinafikan, mengeluarkan Singapura salah sebuah negeri dibawah Pesekutuan Tanah Melayu telah memberi impak yang besar pada Malaysia hari ini. Biarpun peristiwa itu sudah berlalu menjangkau 45 tahun, namun Malaysia masih diancam oleh politik ala PAP yang berkiblatkan Singapura yang diamalkan DAP di Malaysia.

Keputusan pemisahan Singapura dari Malaysia diambil secara perseorangan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika beliau di London pada tahun 1965. Ketika itu Tunku Abdul Rahman bercuti selama 53 hari bagi mendapatkan rawatan di sebuah klinik di London. Ramai cendiakawan Melayu dan pengkaji sejarah melihat bahawa keputusan ini adalah bersifat peribadi tetapi jika Tunku bersabar dan membawa isu ini dalam meja rundingan dan perbincangan bersama kepimpinan persekutuan ketika itu, pasti ada jalan lebih baik yang boleh direncana bagi menyelesaikan masalah pergaduhan kaum di Singapura.

Punca utama kepada pergaduhan kaum ini adalah kerana Lee Kuan Yew dan parti PAP pimpinannya enggan bertolak ansur dengan kerajaan Malaysia pimpinan Tunku Abdul Rahman.

Lee Kuan Yew sering mendakwa orang Melayu hanya berjumlah 39 % sementara bukan Melayu 51 % dan melayakkan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Malaysia sebagaimana saranan Ramanathan. Lee Kuan Yew mempersoalkan orang Melayu sebagai penduduk jati Malaysia, mereka sebenarnya adalah juga pendatang sebagaimana Cina dan India. Contoh yang diberikan ialah Syed Jaafar Albar, ahli politik Johor yang mempunyai darah campuran keturunan Arab.

Lee Kuan Yew menyalahkan Tunku dalam kegagalan konsep "Malaysian Malay". Tunku dikatakan telah terpengaruh dengan ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh beberapa pelampau Melayu dari 'ultra Malay' dan 'Young Turk'. Sebaliknya, Lee Kuan Yew mewar-warkan konsep "Malaysian Malaysia" dan mendapat sambutan banyak parti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kecuali MCA. Gagasan Lee Kuan Yew meliputi Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Sebelum 1963, PAP hanya bertanding di Singapura sahaja dan Perikatan bertanding di Semenanjung Malaysia sahaja. Tapi pada 1963, Tan Siew Sin mendesak Perikatan bertanding di Singapura, namun UMNO kalah teruk. Tan Siew Sin merupakan Presiden MCA dan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu. Pada 1964, Lee Kuan Yew mengarahkan PAP bertanding dalam pilihan raya kebangsaan di Semenanjung Malaysia bagi menentang MCA.

UMNO mahu Perlembagaan Singapura diubah bagi menjamin masa depan orang Melayu. Sedangkan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin Singapura yang ada autoriti dalam pentadbiran negeri Singapura enggan berbuat demikian. Sebaliknya Lee Kuan Yew berjanji akan memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui peluang pekerjaan, pendidikan dan skim perumahan.

Dalam projek perumahan, perkampungan Melayu di Singapura telah dihapuskan. Akibatnya, beberapa pergaduhan berlaku. Julai 1964, kira-kira 114 persatuan orang Melayu bertemu dengan Othman Wok iaitu Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura bagi membincangkan kepincangan orang Melayu Singapura. Tatkala itu, 12,000 orang Melayu mengadakan perarakan di jalan raya Singapura. Akhirnya tercetus rusuhan kaum antara Melayu dengan Cina di Singapura . Lebih 22 orang terbunuh, 200 cedera dan 1130 ditangkap. Bulan Ogos pula, sekali lagi pergaduhan berlaku. 8 terbunuh dan 60 cedera.

Kejadian ini meyakinkan Tunku bahawa dengan mengekalkan Singapura dalam Malaysia bakal mengundang rusuhan perkauman yang lebih dashyat lagi. Tepat atau tidak keputusan Tunku ini bukan isu yang perlu kita perdebatkan lagi. Pemimpin Melayu khususnya dari UMNO perlu sedar dan faham mengenai isu ini sebaik mungkin serta tidak prejudis kepada mana-mana kaum. Kesetiaan MCA dalam menghadapi PAP perlu dihargai sekaligus kerasisan kaum Cina PAP dapat diimbangi dengan keputusan MCA yang memihak Perikatan.

UMNO perlu bertegas di dalam isu mempertahankan kuasa Melayu di semua negeri serta mereka juga perlu sentiasa menyedarkan Melayu impak jika Melayu kehilangan kuasa. Contoh yang paling hampir adalah kesan pemerintahan DAP di P.Pinang yang kini persis corak pemerintahan PAP Singapura semasa pra pemisahan. Bezanya penerimaan orang Melayu P.Pinang dengan penerimaan orang Melayu Singapura dahulu adalah tiada pendekatan emosi sehingga mencetuskan pergaduhan kaum. Tetapi jika DAP P.Pinang semakin rakus meratah tanah-tanah orang Melayu, saya khuatir pergaduhan ini bakal berlaku jua akhirnya. Kita dapat saksikan kini, satu persatu perkampungan Melayu di Pulau Pinang dirampas oleh DAP.


Apa yang tersirat disebalik semua ini adalah agenda DAP untuk mengurangkan pengundi Melayu di P.Pinang berkaitan dengan impian dalam pengekalan kuasa mereka disana. Ini kerana, orang Melayu semakin sedar bahawa DAP bakal mengancam mereka dan DAP amat takut, orang Melayu tidak lagi mengundi mereka pada PRU13. Daripada memperjudikan masa depan DAP kepada tangan-tangan Melayu lebih baik selagi mereka ada kuasa, Melayu perlu diusirkan dahulu.

Jika sentimen ini berlarutan serta satu persatu hak Melayu ditidakkan, UMNO selaku parti perjuang kepada orang-orang Melayu perlu bertindak. Sebelum ia melarat sehingga mencetuskan pergaduhan kaum, kebimbangan yang disuarakan kini perlu diambil berat. Kerakusan Lim Guan Eng perlu dihentikan dan keadilan kepada orang Melayu perlu diutamakan.

Janganlah kita ulangi kesilapan dahulu kerana tanah kita ini perlu kita pertahankan kerana tanah inilah satu-satunya tapak untuk kita pacakkan panji Islam dan panji Melayu yang amat kita cintai. Jika ia digadaikan hanya kerana toleransi, di mana lagi mahu kita bertapak dan bagaimanalah nasib anak cucu kita nanti jika wariskan Malaysia yang sudah tergadai?

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka




posted from Bloggeroid

Ahad, 4 Mei 2014

Sudah matangkah politik Melayu ?

Semakin detik kemerdekaan melanjutkan usia, semakin resah kita sebagai anak muda melihat dan mengamati suasana. Semakin tua usia kemerdekaan maka semakin tua juga usia pergerakan pola politik negara.

Berdasarkan senarai 10 rakyat Malaysia yang terkaya. Orang Melayu hanya pada kedudukan yang ke-7 iaitu Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Apa yang signifikan antara senarai 10 orang terkaya Malaysia dengan persoalan ketuanan Melayu. Orang Melayu masih di belakang. Namun tuntutan kaum yang lain masih lagi bernafsu besar. Isu Lina Joy, artikel 11, Penghantaran memorandum oleh 11 Menteri non-muslim terhadap tentang isu artikel 11. Perebutan anak dan pengurusan jenazah antara muslim dan non-muslim dan terbaru penentangan hudud oleh bukan Islam. Jelas perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

Rakyat perlu faham tentang Islam dan menghormatinya. Mungkin juga ini berlaku kerana pemimpin sendiri sudah tidak mengendahkan Islam dan pihak yang memperjuangkan Islam seperti PAS sudah ketandusan idea untuk menyebarkan dakwah Islam. Ini semua tanggungjawab kita bersama di samping bebanan yang lebih besar untuk bertanggungjawab itu sepatutnya dipikul bersama.

Namun pada ketika Malaysia menarik nafas mendetikkan nadi, golongan anak muda, mahasiswa dan belia juga tidak terkecuali daripada mencorakkan dan mematerikan diri dalam lipatan sejarah negara.Perkembangan politik di Malaysia semenjak kemerdekaan hingga hari ini masih didominasi oleh politik perkauman.

Hal ini demikian kerana berbagai-bagai-bagai kelompok etnik sentiasa mengemukakan tuntutan yang bertentangan dan sukar dipenuhi. Analoginya mudah, jika tetamu datang ke rumah, tuan rumah boleh membuat kopi untuk tetamu sebagai menghormati tetamu tetapi apabila tetamu mengarahkan tuan rumah untuk membuat kopi, adakah situasi ini boleh diterima.

Orang Melayu sudah memberi sebagai penghormatan kepada bangsa lain. Namun apabila diminta dengan rakus sehingga hak orang Melayu pun terancam sudah pasti permintaan tidak akan ditunaikan.Bak kata Tunku”….orang Melayu sedia memberi hak-hak yang munasabah dan patut kepada orang bukan Melayu.

Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang banyak daripada hak-hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa yang bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang telah berbudi sebegitu banyak seperti yang telah diperbuat oleh orang Melayu.

Sungguhpun ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian Persekutuan tetapi tidak sekali-kali mencegah atau menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kekayaan dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan yang bukan Melayu…” Belia dan golongan anak muda melihat perbalahan antara agama dan kaum ini sebagai suatu perkembangan sebagai yang tidak sihat dan tidak mempunyai makna.

Apa makna merdeka kalau yang di atas terus tidak mengendahkan apa yang berlaku di bawah. Prejudis antara agama dan kaum semakin meruncing. Kita anak muda mahu situasi ini diperbetulkan.Hari ini kita mahu memperingatkan anak muda supaya bangkit untuk melihat isu-isu semasa yang berlaku dalam negara secara makro dan mikro.

Golongan cerdik pandai harus bangkit untuk kembali menjadikan suara suara rakyat. Hari ini golongan belia mahu golongan elit politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang terutamanya UMNO dan PAS untuk melihat dan menangani secara serius masalah agama dan bangsa kita.

Tidak ada ertinya membincangkan tentang politik ketuanan Melayu jika agama dan bangsa tergadai.Dalam aspek yang lain, gerakan perlu mempunyai prinsip untuk bergerak secara bebas. Disebabkan ketidakbebasan menyebabkan kita tidak lagi bertindak sebagai loceng amaran buat pemimpin. Untuk membentuk kesedaran dan menghidupkan jiwa anak muda, pembudayaan ilmu perlu dipasakkan di dalam jiwa belia. Budaya jurnalisme wajib di segarkan semula.

Teks-teks usrah harus dikembangkan menjadi teks yang masyarakat umum boleh mendapat manfaat daripadanya. Teks usrah yang membincangkan tentang akidah, ibadah dan muamalat wajib sampai seberapa segera yang mungkin buat masyarakat kita yang kian nazak menanti maut dalam jeritan ketuanan Melayu masih nyaring dilaungkan. Tanggungjawab ini ada pada belia.

Sebarkan ilmu yang benar walau sedikit seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah.Kegagalan teks-teks usrah yang sepatutnya menjadi rujukan masyarakat mengakibatkan kemungkaran yang lebih besar telah berlaku. Lihat kemungkaran Lina Joy dalam mencabar Islam.

Bagi kita sebagai anak muda Islam, Lina Joy bukan mempertahankan haknya tetapi mencabar hak orang Islam untuk mempertahankan agama. Perbincangan isu Lina Joy atas landasan kebebasan agama dan hak asasi manusia adalah suatu yang tidak relevan.Mana mungkin Islam sebagai agama yang berlainan dengan agama yang lain harus mempunyai kayu ukur undang-undang yang sama dengan agama lain.

Perkara ini antara kandungan terpenting yang perlu diberi faham kepada pencinta agama lain. Kita bukan menghalang untuk penganut agama lain mengamalkan agama mereka tetapi apabila mereka sudah mula mempersoalkan amalan dan undang-undang Islam kita, maka penerangan perlu diberi dan pencarian kefahaman adalah tanggungjawab mereka untuk memahami Islam dalam kaca mata konteks undang-undang Islam bukannya hanya dari kaca mata undang-undang atau hak asasi manusia semata-mata.

Hak asasi manusia tidak akan bernilai apabila nilai hak asasi itu bertentangan dengan nilai dan undang-undang Islam. Bezanya Islam ialah kita mempunyai undang-undang kita yang berpandukan Al-Quran dan Al-Sunah. Ayuh fahamilah Islam dengan “actualknowledge” bukan hanya secara "surface". Islam tidak memusuhi sesiapa.Agenda untuk membentuk satu peradaban bangsa dan negara yang benar-benar utuh dan jitu bukanlah suatu yang mustahil untuk dicapai.

Yang penting, hubungan interaktif dan dinamik perlu dimiliki oleh setiap barisan kepimpinan dan cendekiawan negara.Tahap pemikiran yang cemerlang dengan idea yang bernas dan merentas bidang pengetahuan lain mampu untuk memacu dan membentuk peradaban manusia yang seiring dengan kemajuan intelektual.

Golongan intelek perlu diizinkan untuk membentuk persekitaran negara. Akibat golongan cerdik pandai tidak beroleh upaya untuk membentuk persekitaran, kita melihat antara kelompok yang boleh memelihara dan membentuk suasana adalah kelompok politik.Landskap politik Malaysia jelas menunjukkan hanya ada dua parti politik yang berteraskan keahlian Melayu secara “genuine” adalah antara UMNO dan PAS. KEADILAN tidak boleh dimasukkan dalam kelompok ini kerana parti itu merupakan sebuah parti yang multiracial. Justeru kepentingan Melayu tidak dapat dibawa melalui parti tersebut.

Membincangkan tentang polimik siapakah yang lebih layak untuk melabelkan diri sebagai pejuang Melayu dan siapakah yang akan menjadi jaguh pejuang Islam akan kita bahaskan. UMNO dan PAS perlu memperakui bahawa perjuangan berasaskan kalimah tauhid adalah perjuangan yang kekal. Percayalah bahawa perjuangan tanpa mengambil kira kalimah tauhid tidak akan kekal.Namun, dalam arena politik Malaysia kita juga perlu memperakui bahawa perjuangan memartabatkan bangsa tanpa menindas bangsa lain juga adalah perjuangan yang tidak boleh di pinggirkan.

Ini bukan bermakna kita mahu berjuang semata-mata kerana bangsa. Islam tidak menuntut untuk kita berjuang hanya semata-mata kerana bangsa tetapi mempertahankan bangsa demi survival agama adalah yang wajib kita cermati dalam konteks politik Malaysia.Kepimpinan yang berjaya untuk menambat hati rakyat ialah kepimpinan yang menegakkan agama serta mempertahankan bangsa dengan membantu bangsa lain juga.

Keadilan sosial perlu diwujudkan melalui keselesaan sosial. Hari ini UMNO yang menjerit mempertahankan Melayu sudah lagi tidak cakna dengan masalah orang Melayu dan PAS yang menjerit tentang negara Islam sudah hilang taringnya untuk melaung dan bertindak menyelamatkan Islam walaupun diakui usaha kedua-dua parti ada. Usaha itu perlu lebih dinamik dan holistik. Anak muda akan bersama dengan kepimpinan yang dinamik dan holistik dalam membawa agenda Islam dan Melayu.Kedua-dua situasi ini berlaku kerana ada saling perkaitan antara UMNO dan PAS.

Perjuangan UMNO untuk bangsa tidak boleh dilihat secara rasialis dan perjuangan PAS untuk Islam tidak boleh ditolak sama sekali dan mengatakan mereka ekstremis agama, tetapi yang menjadi ketidaksefahaman antara penggerak kedua-dua parti ialah UMNO takut kehilangan kuasa jika mengiakan apa jua berkaitan Islam disebabkan kerana kemungkinan ramai pemimpin UMNO tidak berlatarbelakangkan pengajian Islam.

PAS pula terlalu takut untuk membicarakan tentang kepentingan Melayu kerana takut dicop sebagai meniru langkah perjuangan UMNO yang berteraskan bangsa. Adakah memperjuangkan bangsa di samping agenda teras Islam bertentangan dengan agama?

Sebenarnya situasi seperti ini hanya akan merugikan Islam dan bangsa Melayu. Akhirnya UMNO akan tersepit dan PAS juga tidak akan ke mana. UMNO perlu juga menjerit untuk Islam di dalam Parlimen dan PAS juga perlu menjerit tentang Melayu di dalam Parlimen. Kita faham dengan perjuangan Islam adalah merangkumi semua, tetapi cara PAS mempersembahkan pendekatan itu yang perlu lebih holistik dengan mengambil kira demografi Malaysia.

Puncanya bukan Islam itu yang salah tetapi pendekatan kita yang kurang sesuai. Sebab itu PAS selaku parti yang memperjuangkan Islam harus melihat pendekatan Melayu dalam masa yang sama berpegang kepada teras Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai rujukan utama. UMNO juga perlu begitu, perjuangan bangsa Melayu tanpa mempertahankan agama mereka adalah satu perjuangan yang sia-sia.Jika 50 dahulu tidak ada yang berani mencabar Islam dengan undang-undang disebabkan mereka faham tentang Islam walaupun tidak menerimanya.

Namun pada hari ini, ada yang sudah berani mengatakan tidak pada Islam secara terangan.

Di manakah maruah kepimpinan UMNO selaku parti yang memerintah secara bersama dalam BN? Di mana pula peranan PAS. Hilang Islam maka hilanglah Melayu kerana Melayu itu ditafsirkan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya Melayu. Ketuanan Melayu akan hilang apabila generasi muda sudah jauh daripada agama.Fikirkanlah wahai pemimpin. Kita tidak punyai banyak masa. Di saat generasi muda bangsa lain sudah berfikir secara matang tetapi anak muda Melayu dilalaikan dengan hiburan.

Bukan kita melarang langsung hiburan kerana agama juga membenarkannya, tetapi apakah makna hiburan kalau perkara tersebut memusnahkan jati diri, adab sopan dan maruah agama dan bangsa.

Jika UMNO mahu mengekalkan kuasa, bawalah secara jujur agama kita. Ketuanan Melayu bukan tiket untuk kita menidakkan peranan agama dalam perjuangan. Jika tidak belia akan menolak parti yang tidak membawa agenda Islam dan Melayu. Kita yakin bahawa formula membawa agenda Islam dan Melayu secara tulen akan membantu membina negara Malaysia yang lebih harmoni dalam erti kata yang sebenar.Keselesaan sosial yang sebenar adalah apabila kita dilayan dengan mengikut hubungan perasaan saling hormat-menghormati sesama manusia.

Kepada generasi muda , ayuh kita kayakan minda. Kemiskinan minda menjadikan masyarakat kurang kesedaran sosial dan tidak peka dengan keadaan sosial semasa. Keadaan ini menjurus kepada kepincangan sosial.

Kata-kata Prof. Dr. Hamka: Orang yang bersahabat dengan “orang di atas” janganlah takut menyatakan cacat dan kekurangan yang harus diperbaiki. Kerana tiga orang yang beroleh celaka di atas dunia dan diancam oleh bahaya besar iaitu sahabat raja yang tidak mahu menerangkan kepada raja, apa cacat kerajaan. Orang sakit yang tidak mahu menerangkan kepada doktor apa macam penyakitnya. Dan seorang teman yang tidak mahu menyatakan rasa hatinya kepada sahabatnya. Ketiga-tiga orang itulah ialah orang yang khianat kepada dirinya sendiri.Kita sebagai generasi muda jangan sesekali meletakkan diri kita sebagai orang yang khianat pada diri sendiri.

Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah b Hj Dolmat

posted from Bloggeroid

Apa itu GST ? Belajar terus Belajar

Apakah itu GST

GST = CUKAI BRGN DN PERKHIDMATAN (good and service tax)

Masakini kita byr 2 cukai atas setiap barangan / perkhidmatan yg kita beli / guna iaitu :
cukai jualan. (5%) dan
cukai perkhidmatan ( 10%);
ini akan dimansuhkan dn digantikan dengan GST.

Mengapa kerajaan melaksanakan GST?

Untuk memperbaiki sistem cukai sedia ada.

Ini adalah kerana cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada mempunyai kelemahan, seperti cukai dua kali ganda ke atas pengguna dan ketiadaan pelepasan cukai sepenuhnya ke atas barangan yang dieksport dan isu-isu harga pindahan.

Kelemahan-kelemahan ini menyebabkan kerugian kepada kedua-dua pihak pengguna dan kerajaan.

Apakah kadar GST?

Kadar GST dicadangkan ditetapkan pada 6%. Kadar ini adalah yang paling rendah di kalangan negara-negara ASEAN : 10% di Indonesia , Vietnam, Kemboja, Filipina , Laos dan 7% di Singapura dan Thailand.

Bilakah GST akan berkuatkuasa?

Mulai 1 April 2015.

Sebagai cukai pengguna, GST akan dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan. Adakah ini bermakna bahawa segala-galanya akan menjadi lebih mahal?

Tidak semestinya, harga brg akn mnjadi lebih murah kerana kadar cukai GST hanya 6% berbanding cukai sblm ini 16%.

Sesetengah barangan dan perkhidmatan dikecualikan cukai.

Barangan makanan asas tidak dikenakan GST (beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempas ratus, ikan masin, cencalok, budu, belacan)

Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna.

Perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan: kesihatan, perkhidmatan Pengeluaran passport, pembelajaran di sekolah.

Perkhidmatan pengangkutan: bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuh raya.

Jual beli dan sewa rumah kediaman

Perkhidmatan kewangan terpilih

Adakah kerajaan membantu rakyat menghadapi GST?

pelbagai bantuan dan sokongan dalam tempoh peralihan ini disediakn kerajaan.

Pertama, Kerajaan akan memberi bantuan tunai sekali RM300 kepada penerima BR1M.

Adakah kita masih perlu membayar cukai pendapatan kadar yang sama?

Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan sebanyak 1-3 % untuk semua pembayar cukai.

Pembayar cukai yang lain akan menikmati penjimatan cukai dan struktur cukai pendapatan individu akan dikaji.

Pendapatan bercukai dinaikkan kepada:

melebihi RM400,000 dan kadar cukai maksimum 26% dikurangkan kepada 24%, 24.5% dan 25%

Bagaimana pula dengan perniagaan?

Kerajaan akan mengurangkan cukai pendapatan syarikat daripada 25% kepada 24% mulai tahun taksiran 2016

Cukai pendapatan syarikat kecil/sederhana turun daripada 20% kepada 19% mulai tahun taksiran 2016

Cukai pendapatan koperasi dikurangkan 1-2 mata peratus mulai tahun taksiran 2015 dan potongan cukai bg yuran kesetiausahaan

Pemfailan cukai mulai tahun taksiran 2015

Potongan cukai tambahan untuk kos beli peralatan dan perisian ICT bagi tahun taksiran 2014 dan 2015

Geran latihan GST RM100 juta Bantuan RM150 juta untuk beli perisian perakaunan

Mengapa GST ini dilaksanakan sekarang dan bukan kemudian?

Kerajaan berpendapat bahawa kerana kadar inflasi 2% adalah rendah dan ia sememangnya masa terbaik untuk melaksanakan GST.

Berapa banyak negara lain yang telah melaksanakan GST?

Lebih daripada 160 buah negara sudah melaksanakan GST. Kerajaan berpendapat ini menunjukkan bahawa GST terbukti ialah" telus, berkesan dan sistem cukai yang adil"

Adakah harga barangan naik?

Pengguna hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja.

Perubahan harga barang atau
Perkhidmatan amat minimun apabila GST dilaksanakan

Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung samada ianya adalah barangan asas atau tidak.

Apa yg ptg:

GST bukan cukai baru, tetapi mnggntikn cukai jualan & perkhidmatan. Masakini rakyat dh byr 2 cukai tu.

GST mngmbilkira pola prbelnjaan mngikut kategori pndptn. Mkn & kprluan asas tdk dikenakn cukai.

GST bukan kos kpd perniagaan

IHP=INDEKS HARGA PENGGUNA akn turun bg sesetgh brngan/ perkhidmatan spt:
- Pakaian, kasut
- Hiasan, perkakas rumah, penyelenggaraan, dll
- Komunikasi

posted from Bloggeroid

Selasa, 29 April 2014

Gpms Melaka Bantah Himpunan 1 Mei

Sehingga kini, pelbagai pihak termasuk Gpms Melaka yang di ketuai oleh Tuan timb Pengerusi Ustaz Abdul Rahim Hj Yusoff telah menyuarakan bantahan dan membuat laporan polis mengenai perhimpunan haram yang akan diadakan pada 1 Mei ini. Pihak termasuk peniaga, pemandu teksi, pihak berkuasa seperti polis, pemimpin kerajaan dan badan bukan kerajaan juga memainkan peranan dalam membuat bantahan perhimpunan ini. Bagaimanapun, kumpulan pengacau ini tetap berdegil untuk meneruskan juga agenda mereka untuk turun di jalanan.

Kumpulan ini cuba menghalalkan tindak-tanduk mereka dengan menjadikan rakyat sebagai perisai, tanpa memikirkan kesan negatif yang akan timbul daripada tindakan mereka. Perhimpunan haram yang berlaku di Thailand, Indonesia dan Timur Tengah jelas memperlihatkan impak negatif yang sangat besar terhadap kestabilan politik, perpaduan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi, selain merencatkan peningkatan kehadiran pelancong di negara terbabit. Apa yang lebih membimbangkan, ada pihak luar yang mengambil kesempatan dan ini boleh menjejaskan imej negara di mata dunia.

Lebih malang lagi, tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengacau itu turut membawa kesusahan terhadap golongan warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Golongan peniaga juga akan terjejas teruk sehingga terpaksa menanggung kerugian besar ekoran rusuhan yang terjadi ketika kumpulan pengacau ghairah berdemonstrasi.

Jika penganjur menyatakan tujuan perhimpunan haram ini untuk membantah GST kenapa ia tidak dibawa mengikut saluran yang betul, iaitu menyerahkan kepada menggunakan saluran undang-undang atau parlimen di dewan raktat untuk menuntut atau menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan. Malah, kerajaan sendiri telah menyatakan kesudian untuk mendengar tuntutan dan pandangan kumpulan pengacau ini.

Ada yang berpandangan berhimpun itu suatu bentuk kebebasan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun sejauh manakah keberkesanan pihak penganjur untuk menjamin demonstrasi yang dijalankan tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada banyak pihak, khususnya rakyat di sekitar Kuala Lumpur. Jika kita amati, berdasarkan pengalaman lalu, perhimpunan seumpama ini telah mengundang terlalu banyak impak buruk kepada negara apabila demonstrasi dijalankan di jalanan. Pihak yang berkepentingan tentunya tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam hal ini.

Kalau disoroti pengalaman dahulu, pihak berkuasa seperti polis dan pasukan anti rusuhan seperti FRU dilabel sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap aktivis yang berdemonstrasi. Wartawan asing dan media yang menyokong agenda perjuangan parti tertentu ternyata membuat liputan berat sebelah apabila hanya menyiarkan sedutan rakaman yang menggambarkan pihak berkuasa bertindak ganas menghuraikan perhimpunan yang diadakan.

Antara aspek yang perlu diberi perhatian oleh golongan yang degil ini adalah kerugian yang bakal ditanggung banyak pihak jika demonstrasi haram ini diteruskan. Presiden Persatuan Pemandu Teksi Lembah Klang, Datuk Aslah Abdullah mendakwa seramai 21,000 pemandu teksi di Lembah Klang akan mengalami kerugian RM3.2 juta sehari. Itu baru pemandu teksi. Bayangkan berapa besar jumlah keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung golongan peniaga dan individu di sekitar lokasi yang disasarkan pihak berkenaan untuk berdemo?

Perlukah kita mengikut adunan cara dari timur tengah dan barat yang melakukan demo setiap kali tidak berpuas hati kepada sesuatu isu sehingga menggugat keharmonian dan menggulingkan kerajaan ? Masih tidak relevankah ahli parlimen dan politik yang memperjuangkan hak mereka ?

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2009 melaporkan, peniaga di sekitar ibu negara menanggung kerugian sekurang-kurangnya RM100 juta akibat demonstrasi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang didalangi oleh pihak yang sama sehari sebelumnya. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang meninjau lokasi terbabit, anggaran awal jumlah kerugian itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima daripada para peniaga. Peniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman sahaja, menanggung kerugian dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Soalnya, sanggupkah penganjur perhimpunan itu membayar pampasan dan kerugian kepada golongan peniaga ini? Atau, adakah pihak penganjur akan sekali lagi bersikap lepas tangan dan menyalahkan pihak berkuasa sekiranya berlaku rusuhan dan kerosakan harta benda awam akibat kedegilan dan kerakusan kumpulan berkenaan.


Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah b Hj Dolmat


posted from Bloggeroid

Isnin, 21 April 2014

Permata Melayu yang hilang

Adakah bahasa ibunda masih hidup? Apakah bahasa ibunda masih lagi relevan? Apakah anak muda seperti masih lagi memandang tinggi dan bangga akan bahasa ibunda?

Khir Johari telah menukar penggunaan tulisan jawi kepada rumi pada tahun 1966 ketika beliau memegang jawatan sebagai menteri pelajaran.Tindakan Khir Johari tidaklah dianggap sebagai cerdik, berani atau progressif dan hanyalah insan yang membunuh warisan tulisan jawi.Siapa harus dipertanggungjawabkan atas kejahilan bangsa dalam membaca tulisan jawi ?

Hari ini saya melihat anak-anak Melayu seolah-olah sesat dalam perjalanan mencari identiti.Setiap bangsa mempunyai ras,bahasa dan budaya mereka.Tidak ketinggalan Melayu yang asalnya mempunyai identiti sendiri.Ya benar, tulisan jawi itu asimilisasi dari abjad arab dan rumi datang dari abjad Inggeris. Ini memang tidak dapat dinafikan kedua-duanya adalah asimilisasi dari identiti bangsa lain, tetapi bagi saya tulisan jawi merupakan lambang persaudaraan antara bangsa melayu dan bangsa arab ketika itu.Tulisan melayu Jawi tidak seharusnya dibunuh kerana ia adalah warisan sejarah identiti bangsa Melayu.

Ini berkait rapat dengan teori kedatangan Islam ke nusantara yang diperkenalkan John Crawford disokong oleh Syed Naquib yang berteori bahawa Islam datang dari tanah arab.Hujahnya jika dilihat tulisan jawi merupakan asimilisasi tulisan arab maka mereka bersetuju Islam itu datang dari tanah arab itu sendiri.Jika kita biasa dengan nama Hamzah Fansuri, Nuruddin al Raniri, dan Abdul Samad al Palembangi, mereka ini adalah ulama nusantara yang menulis kitab mereka di dalam tulisan

Sejak akhir ini saya melihat bahawa anak Melayu semakin jauh sesat dalam mencari identiti. Nama yang diberi ibubapa seolah-olah mengiyakan kesesatan dalam mencari identiti, maka lahirlah golongan anak Melayu moden hasil dari tulisan rumi yang yang menulis Bahasa Melayu seakan tidak pernah diajar tatabahasa. Penggunaan bahasa SMS dan rojak merosakkan lagi martabat bahasa Melayu.

Bukannya saya menentang tulisan rumi, cuma bertanya kita ini bangsa apa dan apa identiti kita ? Bukanlah mahu berbangga akan bangsa cuma risau akan identiti bangsa ini semakin terhakis.Ketika orang Jepun maju dengan bahasa mereka, ketika India terus mundur dengan bahasa Inggerisnya, ketika Melayu sesat dalam identitinya.Cuma kadang saya terfikir jika terus menggunakan jawi, bahasa seperti di atas mungkin tidak wujud.Mungkin ini bangsa baru pecahan dari Melayu.Apa pun yang berlaku, penggunaan bahasa Inggeris sebagai nama pertubuhan yang memperjuangkan bangsa melayu seperti UMNO (United Malays National Organisations) merupakan kesilapan yang paling ketara tercatat dalam perjalanan bangsa Melayu mencari identiti perjuangan bangsa.Tidak sesuai penggunaan nama PEKEMBAR (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ) yang secara terang dan bersuluh membawa ideologi dan jatidiri perjuangan Melayu ?

Buat pemimpin Melayu perlu di ingatkan siapa yang akan menjulang bahasa Melayu jika bukan anak bangsanya.Kita buka mata hati kita dan renung semula apa lagi yang tinggal untuk anak bangsa selain tulisan jawi dan bahasa Melayu.
Bahasa jiwa bangsa.

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


posted from Bloggeroid

Sabtu, 19 April 2014

Relevankah pendidikan vernakular ?

Mewujudkan masyarakat yang utuh diikat oleh nilai kebersamaan yakni nilai kebangsaan atau nilai nasional masih merupakan cita-cita yang tidak tercapai. Malah semakin hari nilai kebangsaan ini semakin diperkecilkan oleh pihak tertentu yang cenderung mengobarkan chauvinisme. Akhirnya sehingga hari ini masyarakat Malaysia wujud sebagai suatu bentuk masyarakat selari atau parallel society, iaitu masyarakat yang hidup dalam negara yang sama tetapi berjuang dan bergerak dalam kepentingan kelompok atau kaum masing-masing. Lebih buruk lagi setiap kelompok kaum meletakkan kepentingan kelompok kaum masing-masing di atas kepentingan nasional.

Banyak faktor yang membawa kepada perpecahan dan perjuangan kepentingan kelompok kaum ini antaranya warisan kolonial, politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Namun apa yang paling malang ialah sehingga hari ini Malaysia masih tidak mampu untuk mewujudkan suatu sistem pendidikan kebangsaan yang benar-benar bersifat satu bangsa, satu bahasa dan satu negara.

Sebaliknya sistem pendidikan Malaysia mewujudkan sistem pendidikan majmuk yang berakar dari zaman kolonial dan zaman imigran yang anakronisme, yakni sudah tidak berada dalam zamannya lagi. Sistem pendidikan kebangsaan menjadi sesuatu yang janggal apabila berada selari dengan pendidikan vernakular yakni sekolah Cina dan Tamil yang terletak ’di luar’ sistem pendidikan kebangsaan itu sendiri.

Malah lebih janggal lagi apabila institusi pendidikan vernakular ini memberikan saingan secara terang-terangan kepada institusi pendidikan kebangsaan, sehingga dalam keadaan tertentu ia seperti berada dalam keadaan ’memperkecil dan memusuhi’ sistem pendidikan kebangsaan. Walaupun sistem pendidikan vernakular ini diiktiraf dan diperakui dengan termaktubnya Akta Pendidikan 1996, tetapi timbul persoalan apakah wujud keperluan untuk mempertahankan sistem pendidikan vernakular dalam melihat kepentingan dan sumbangannya terhadap perpaduan masyarakat Malaysia yang lebih besar dan menyeluruh.

Sejarah pendidikan vernakular sebenarnya lebih terarah kepada sistem pendidikan Cina yang wujud pada awal abad ke-20 di Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya ketika itu. Teras sebenar kepada sistem pendidikan vernakular yang memperteguhkankeberadaan situasi parallel society ini sebenarnya terletak kepada gerakan dan sejarah pendidikan Cina di Malaysia. Menurut Cheong Yuen Keong dalam bukunya Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia: Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong(1970-2002) menyatakan bahawa gerakan pendidikan Cina merupakan satu perjuangan sosial yang menuntut agar pendidikan bahasa ibunda Cina dikekalkan. Gerakan ini berjaya mendapat penyertaan dan dukungan daripada masyarakat Cina dan berlanjutan dalam jangka waktu yang panjang serta membawa kesan dan pengaruh yang luas.

Gerakan ini berasal dari akar umbi dan dipimpin oleh satu kumpulan kepentingan atau interest group iaitu Dong Jiao Zong. Perjuangannya pada peringkat awal adalah untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap pendidikan Cina dalam sistem pendidikan negara. Kini ia berperanan sebagai kumpulan pendesak dalam penggubalan dasar kerajaan yang berkaitan dengan pendidikan Cina.

Sejarah pendidikan Cina bermula dengan penghijrahan orang Cina ke Tanah Melayu yang membawa bersama penubuhan sekolah Cina di merata tempat sekitar awal abad ke-20. Pada mulanya kerajaan kolonial British membiarkan penubuhan sekolahvernakular terutamanya sekolah Cina ini, tetapi pada tahun 1920 British memperkenalkan Ordinan Pendaftaran Sekolah 1920 yang dilaksanakan untuk mewajibkan pendaftaran semua sekolah dan guru agar kerajaan British dapat mengawal sekolah Cina. Hal ini mendapat tentang daripada guru-guru dan pemimpin sekolah Cina, lalu mengemukakan petisyen kepada kerajaan British di Tanah Melayu dan Pejabat Luar Negeri di London untuk memansuhkan ordinan tersebut.

Kerajaan British tidak bersedia menarik ordinan tersebut sebaliknya membawa lima orang wakil pendidikan Cina Singapura ke mahkamah dan kemudian dihukum dengan dihantar pulang ke negara China. Pada zaman Jepun, sekolah Cina telah diharamkan sama sekali. Setelah perang berakhir, British kembali berkuasa di Tanah Melayu dan mula mengambil langkah yang lebih bersifat jangka panjang dalam sistem pendidikan. Kerajaan British melihat bahawa sekolah Cina dan sekolah vernakular adalah faktor utama yang menghalang penyatupaduan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Maka British mengambil pendekatan untuk menyekat perkembangan sekolah Cina. British mengemukakan Cheeseman Annual Report on Education in the Malayan Union 1946 dan Laporan Pendidikan Holgate 1950 untuk mewujudkan sistem persekolahan yang seragam kepada semua kaum di Tanah Melayu.

Pada tahun 1946, sudah terdapat 1078 buah sekolah Cina dengan pelajar berjumlah 168,303 orang di Tanah Melayu. Pentadbir dan guru sekolah Cina telah mengadakan mesyuarat peringkat negara di Singapura pada 6 Mei 1946, lalu membentuk Jawatankuasa Bimbingan Pemulihan Sekolah Malaya untuk memulihkan sekolah Cina. Jawatankuasa ini merupakan landasan kepada penubuhan Jiao Zong lima tahun kemudiannya. Dalam merealisasikan sistem pendidikan kebangsaan yang bertujuan menggalakkan integrasi kaum dan seterusnya membawa kepada pembinaan bangsa, British telah mengemukakan Laporan Barnes pada 10 Jun 1951.

British seterusnya menyeru masyarakat Cina dan India agar menerima sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat satu aliran ini. Laporan Barnes mengemukakan syor agar sistem pendidikan vernakular dimansuhkan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sekolah kebangsaan akan diberikan kemudahan yang terbaik agar menjadi sekolah yang paling bermutu. Masyarakat Melayu menerima Laporan Barnes sebagai sesuatu yang baikbagi perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta permulaan untuk melakukan reformasi yang menyeluruh dan bersifat kebangsaan dalam sistem pendidikan. Namun guru-guru sekolah Cina dan pihak yang bersimpati dengan mereka menentang dengan keras cita-cita untuk mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan ini sepertimana yang dikemukakan oleh Laporan Barnes.

Satu konvensyen Persatuan Guru-guru Cina seluruh Malaya diadakan di Dewan Besar Persatuan Hokkien Kuala Lumpur pada 24-25 Ogos 1951 untuk membantah Laporan Barnes. Konvensyen ini telah membawa kepada usul penubuhan Gabungan PersatuanSekolah Cina Se-Malaya iaitu Jiao Zong yang dirasmikan pada 26 Disember 1951.

Jiao Zong menjadi kubu serta landasan untuk melancarkan penentangan serta tuntutan dalam memperjuangkan kelangsungan pendidikan sekolah Cina di Tanah Melayu. Selain menghantar memorandum dan petisyen, Jiao Zong juga telah berusaha mendapatkan sokongan masyarakat Cina, institusi masyarakat Cina, dan parti politik masyarakat Cina di Tanah Melayu sehingga menjadikan Jiao Zong sebagai ’gergasi yang perkasa’ dalam perjuangan gerakan pendidikan Cina di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan, dan membawa kepada era kemerdekaan.

Sejarah awal gerakan pendidikan Cina di Tanah Melayu pada era pemerintahan British menunjukkan tentang keinginan yang sangat kuat golongan berpendidikan dan berpengaruh masyarakat Cina untuk mewujudkan sistem pendidikan Cina yangtersendiri, serta tidak bercampur dengan masyarakat lain khususnya masyarakat Melayu yang merupakan masyarakat peribumi.

Keinginan dan cita-cita untuk mempertahankan sikap chauvinisme ini selalunya disembunyikan dengan slogan memperjuangkan bahasa ibunda dan budaya masyarakat Cina. Namun pada hakikatnya golongan elit yang merupakan kumpulan kepentingan ini berjuang untuk mewujudkan suatu bentuk parallel society yang bergerak seperti serampang dua mata; iaitu mewujudkan masyarakat Cina yang terpisah melalui sistem pendidikan dan pada masa yang sama menjaga kepentingan ’ekonomi perkauman’ yang menentukan kelangsungan hidup masyarakat Cina di Tanah Melayu.

Pemimpin harus di ingatkan gunakan kuasa politik yang ada untuk membela anak bangsa dan pribumumi.Jangan di biarkan sekolah vernakular menjadi duri dalam daging dalam mewujudkan semangat perpaduan dan rekonsilasi nasional .Usah manjakan mereka dengan peruntukkan yang banyak menjelang sahaja pilihanraya akhirnya menyebabkan sekolah kebangsaan di anak tirikan.

"Belajar terus Belajar"

Mohd Saifullah b Hj Dolmat
Ketua Penerangan Gpms Melaka


posted from Bloggeroid