Selasa, 9 Ogos 2016

Politik Melayu Tidak Matang ?

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur dalam lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu aggresif hingga boleh meletakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.”
Pertembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihanraya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan ketika. Pihak yang yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyak yang di bawah.
Rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Dan apabila keputusan diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam pilihanraya Amerika suatu ketika dulu) mereka merujuk kes itu ke mahkamah.
Namun setelah mahkamah memutuskan yang Bush ada pemenang mutlak, Al Gore menerimanya dan bekata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu serang menyerang tidak berlaku lagi.
Rakyat tidak kira anggota Parti Demokrat ataupun Republikan akan terus berkerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Republikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak memaksimakan keuntungan rakyat dan keutuhan negara sepanjang tempoh pemerintahan Republikan.
Jika adapun kritikan tetapi ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara.
Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibok ‘berpolitik’ kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibokkan oleh tanggung-jawab dan peranan di bidang masing-masing.
Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai alat negara secara global bukan lagi sebagai jentera parti secara sempit. Sebagai balasan, kerajaan akan menerima komitmen serta kesetiaan bukan sahaja daripada anggota parti tertentu tetapi dari seluruh rakyat.
Nampaknya kematangan yang sama belum ada di kalangan orang Melayu. Sama ada di pihak manapun sama-sama masih kuat terikat dengan kepentingan parti walaupun musim pilihanraya telah berlaku. Akibatnya, yang menang gagal ‘mengisi’ kemenangan manakala yang kalah pula terus menggigit tidak kira masa, tempat dan perkara.
Apa sahaja yang dikatakan ‘putih’ oleh satu pihak, pihak yang sebelah lagi akan berkata ‘hitam’. Dan rakyat seluruhnya turut terheret dalam gaya politik ‘separuh masak’ ini ke jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, mesjid, sekolah-sekolah, kedai-kedai kopi, kaki lima dan lain-lain tempat. Akibatnya, orang Melayu berpolitik hampir setiap masa, setiap tempat dan setiap perkara.
Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, penilaian dan pengkajian tidak lagi bersandarkan pada etika sesuatu kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartaian.
Untuk memberi sesuatu jawatan misalnya, perlu diteliti sipulan orang parti mana? Untuk memberi satu tender atau kenaikan pangkat misalnya, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang ketimbang kemampuan di bidang-bidang yang berkenaan. Dan praktik ini nampaknya mula membudaya dalam semua parti yang diterajui oleh orang Melayu.
Budaya negatif ini telah merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah-mati yang diamalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, orang Melayu akan menjadi semakin emosi berbanding rasional dalam menghadapi sesuatu isu peringkat nasional atau antarabangsa.
Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang tertentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampaui batas-batas parti politik. Mungkin seorang pentadbir yang cekap dan amanah boleh tersingkir kerana adanya calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya oleh sesuatu pihak.
Ataupun ada pula pentadbir atau pengurus yang bertindak bukan atas penilaian ilmu dan etika bidang kepakarannya (walaupun ia memiliki kemampuan itu) dalam jabatan, agensi dan unit yang diterajuinya.
Bayangkan apa akan jadi jika sesuatu perkara, polisi, isu atau dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya telah disorot oleh seorang pentadbir, pengurus atau pengerusi melalui kacamata pemikiran dan jiwa yang lebih dipengaruhi oleh untung-rugi parti yang disokongnya.
Jika sikap yang sama menular ke bidang pendidikan, ekonomi, budaya, sukan dan lain-lain maka lama-kelamaan akan berleluasalah penguasaan tenaga kerja yang tidak pakar di semua bidang di semua peringkat sama ada di daerah, negeri dan negara.
Yang dominan nanti ialah tenaga yang hanya ada ketaatan tetapi tidak ada kepakaran, yang dengan ini nanti akan menyebabkan umat Melayu tidak akan menjadi bangsa yang cemerlang.
Walaupun ada banyak persatuan tetapi orang Melayu seharusnya punya satu kesatuan. Yang berbeza cuma cara dan kaedah, tetapi prinsip dan matlamat tetap sama. Pada waktu tenang, kaedah yang sesuai dengan ketenangan digunakan, tetapi pada waktu tegang, kaedah yang sesuai dengan keadaan itu pula digunakan. Dalam hal ini sekali lagi kematangan bangsa Cina terserlah.
Kecapaian di bidang ekonomi dan akademik oleh bangsa Cina misalnya, sentiasa diiringi oleh tuntutan-tuntutan politik yang matang dan kena pada masanya. Sebagai contoh, secara berkesan, kaedah ini telah berjaya menambah ruang dan peluang mereka dalam bidang akademik dengan terbinanya berbagai-bagai institusi pengajian tinggi swasta, mengamalkan budaya dan bahasa dengan lebih meluas. Ya, parti politik mereka berbeza, tetapi perbezaan itu lebih bercorak ‘the same differences’.
Cuba lihat kematangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang politik dan ketenteraan buat menghadapi dunia Islam. Sebaik sahaja WTC diserang mereka terus bersatu dengan Amerika, kononnya untuk memerangi keganasan. Negara-negara Eropah juga telah berjaya mengatasi perbezaan pendapat dalam bidang ekonomi apabila rela menggunakan mata wang yang sama untuk menghadapi era ekonomi global yang lebih mencabar. Mereka tidak membesarkan krisis yang ada apabila ada cabaran dari pihak ketiga. Malangnya, kematangan yang sama belum ada dalam senario politik Malaysia.
Kebencian akan membunuh kerasionalan. Kebencian orang Melayu kepada penjajah menyebabkan lahirnya segelintir mereka yang memilih komunis (PKM) sebagai cara berjuang menegakkan keadilan, sedangkan komunis bukanlah ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah. Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menilai.
Cuba lihat apa kata Sayidina Muawiyah apabila kerajaan Kristian cuba mempengaruhinya bagi menjatuhkan ‘rival’ politiknya Sayidina Ali. Beliau menulis kepada raja Kristian, “Saya telah mengetahui bahawa anda beranggapan pemerintahan Ali lemah, dan memutuskan untuk menyerangnya kerana beranggapan Muawiyah tidak akan membantu Ali. Demi Allah, sangkaan anda keliru. Ini adalah masalah ‘ghairat’ Islam. Jika anda berani menyerang Ali maka diantara tentera-tentera yang berperang di puhak Ali, Muawiyah akan berdiri di barisan paling hadapan!”
Barangkali sudah tiba masanya ujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpoliik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan ‘gentleman’ dalam menghadapi perbezaan pegangan politik.
Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka terhadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan. Aktiviti politik mereka mungkin terhad pada musim pilihan raya sahaja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan berkerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah dipertanggung-jawabkan.
Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, itu tidak dijadikan alasan untuk ‘mensabotaj’ kerajaan ‘dari dalam’, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut peruntukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan ‘berpolitik’ dengan menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihanraya yang akan datang.
Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mempunyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut keyakinan dan keimanan (fardu Ain) sekaligus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu Kifayah).
Dengan sifat Mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.
Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak ditangan parti tersebut, tetapi sebalik survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu.
Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada ‘public victory’ (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan membina kekuatan diri sendiri (‘personal victory’) terlebih dahulu.
Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apapun masalah yang melanda parti. Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kaomintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara.
Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu jalan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah matlamat. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk menuju matlamatnya!
Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang-orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara lansung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-duanya aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya. Inilah kematangan berpolitik namanya.
Aliran ketiga ini bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi korporat, tanpa melihat dan dilihat secara prajudis. Asalkan peluang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekersama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan ‘tidak ke mana-mana tetapi ada di mana-mana’.
Idea perlu ujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk menangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali.
Yang ‘bergaduh’ atas ijtihad masing-masing ialah kedua pemimpin itu… Tetapi masyarakat Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan peranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa perkembangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak terhenti sekalipun terjadi peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.
Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama berpolitik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana meletakkan kepentingan Allah dan Rasul tertinggi di atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus berkembang dengan cepat dan meluas?
Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukanlah lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat yang bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian, ejekan,  dan sebagainya.
Apa yang umat Melayu dapat dari ‘wacana’ seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik ‘lipstik’ dan ‘kosmetik’ ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pemikiran Melayu.
Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama.
Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang, ‘What we see depends mainly on what we look for’, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.
Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara di kalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk ‘menguruskan’ perbezaan ini. Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’ bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu pertentangan!

Khamis, 4 Ogos 2016

Program GPMS Negeri Melaka sepanjang Mei-Julai

PROGRAM GPMS NEGERI MELAKA



1)      Nama Program : Program Tazkirah Maghrib Di Seluruh Kem PLKN
  Tarikh : 10/ Mei / 2016
  Lokasi : 5 Kem PLKN Negeri Melaka

2)      Nama Program : Program gotong-royong di sekitar pantai Pengkalan Balak
                           Program kerjasama dengan GPMS Negeri Pulau Pinang
  Tarikh : 23/ Mei/ 2016
  Lokasi : Parlimen Masjid Tanah

3)      Nama Program : Program Motivasi Dan Qiamullail untuk pelajar Tahun 6 dan
                           Tingkatan 3
  Tarikh : 28/ Mei/ 2016
  Lokasi : Masjid Kampung Tedong, Merlimau

4)      Nama Program : Kunjungan Hormat Kepada Ketua Menteri Melaka
                           Sempena Sambutan Hari Belia Negeri Peringkat Negeri Melaka
  Tarikh : 29/ Mei/ 2016
  Lokasi : Dataran Pahlawan Melaka

5)      Nama Program : Taklimat Pendaftaran Pertubuhan (ROY)
                           Anjuran MGBM Negeri Melaka
  Tarikh : 3/ 6/ 2016
  Lokasi : Kompleks Belia Dan Sukan, Ayer Keroh

6)      Nama Program : Program Majlis Berbuka Puasa, Malam Amal Meraikan Anak Yatim
                           dan Warga Emas Kerjasama dengan LPKPM
  Tarikh : 11/ 6/ 2016
  Lokasi : Ayer Keroh D’Village Resort

7)      Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Bersama Y.A.B Perdana Menteri
                           bersama dengan kepimpinan GPMS Kebangsaan
  Tarikh : 15/ 6/ 2016
  Lokasi : Seri Perdana, Putrajaya

8)      Nama Program : Program 1 Beras 1 Asnaf Anjuran GPMS Negeri Melaka sepanjang     
                            bulan Ramadhan
  Lokasi : Seluruh Negeri Melaka

9)      Nama Program : Majlis Berbuka Puasa dan Khatam Al-Quran
                           kerjasama dengan Perwakilan Pelajar KAYM
   Tarikh : 20/ 6/ 2016
   Lokasi : Dewan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM)



10)  Nama Program : Program Singgah Sahur dan Kuliah Subuh MRSM
                            dibawah Biro Agama GPMS Kebangsaan
  Tarikh : 22/ 6/ 2016
  Lokasi : MRSM Terendak dan MRSM Jasin

11)   Nama Program : Sesi Kunjung Hormat dan Memperkenalkan Kepimpinan GPMS Melaka bersama TYT Negeri Melaka
Tarikh : 24/ 6/ 2016
Lokasi : Istana TYT Negeri Melaka

12)   Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Bersama Mantan Presiden GPMS dan Veteran GPMS dibawah   GPMS Kebangsaan
Tarikh : 24/ 6/ 2016
Lokasi : Restoran D’ Saji Ampang

 

13)  Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Meraikan Anak-anak Yatim Sekitar Negeri Melaka anjuran    GPMS Negeri Melaka
   Tarikh : 28/ 6/ 2016
   Lokasi : Surau Ozana Villa

14)  Nama Program : Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri Melaka anjuran MGBM Negeri Melaka
  Tarikh : 2/ 7/ 2016
  Lokasi : Kediaman Rasmi Ketua Menteri Melaka

15)  Nama Program : Kunjungan Hormat ke Pejabat CEO Micost
  Tarikh : 13/ 7/ 2016
  Lokasi : Kolej Micost

16)  Nama Program : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri GPMS Negeri Melaka
  Tarikh : 24/ 7/ 2016
  Lokasi : Taman Duyung Permai

17)  Nama Program : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MGBM (Juadah makanan oleh GPMS Melaka)
  Tarikh : 30/ 7/ 2016
  Lokasi : Tapak bangunan WAY
 

Ahad, 24 April 2016

Belia , CCRIS PTPTN dan kerajaan

Isu CCRIS kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula hangat diperkatakan kini. Polemik ini bertambah rumit dengan beberapa isu yang berkaitan seperti penyediaan pendidikan percuma, pengurusan kewangan kerajaan, sistem Ujrah yang dilakukan pihak PTPTN dan masa depan pelajar Melayu.

Dalam menangani isu ini, saya menyeru semua pihak supaya dapat melakukan perbincangan meja bulat secara intelektual untuk mencari jalan penyelesaian seperti mana yang ditekankan dalam Islam dan bukannya melalui jalan demonstrasi yang hanya meningkatkan emosi tanpa memberikan kefahaman yang jelas terhadap isu tersebut. Daripada sudut pandangan saya menyokong agar PTPTN terus penambahbaikan dari sudut sistem dan implimentasi. Keadaan semasa menunjukkan mahasiswa IPT masih memerlukan bantuan sara hidup bagi meneruskan kehidupan mereka sebagai pelajar IPT. Ini bertepatan dengan objektif penubuhan PTPTN. Dengan adanya PTPTN rakyat yang mendapat tawaran ke universiti tapi tidak berkemampuan boleh meminta pinjaman mudah alih. Untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan PTPTN, saya mencadangkan sistem caj perkhidmatan 1% atau caj lain dihapuskan terus dan ditanggung oleh kerajaan sebagai komitmen memberikan kemudahan pinjaman kepada mahasiswa. Ini bertepatan dengan sistem pinjaman Islam dan mampu mengurangkan beban mahasiswa apabila mereka tamat pengajian nanti.

Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya tidak berlumba-lumba menjadikan pendidikan sebagai suatu medium untuk menjuarai isu berdasarkan sentimen tanpa kajian terperinci. Ilmu ialah hak setiap individu dan pihak kerajaan perlu memastikan setiap rakyatnya menikmati pendidikan yang sempurna dalam mencapai agenda pembangunan Negara. Selain daripada isu pemberian kemudahan pinjaman kepada mahasiswa untuk belajar di IPTA/S, penting untuk melihat sistem dan modul pembelajaran yang diguna pakai samada ia boleh melahirkan tenaga mahir atau sekadar pekerja biasa akibat daripada sistem yang mementingkan peperiksaan.

Saya menyambut baik tindakan kerajaan yang sedang memperkukuhkan bidang pendidikan teknikal dan kemahiran agar memberi lebih pilihan kepada pelajar. Bagi pelajar yang menuntut di IPTS, beban pinjaman terpaksa ditanggung apabila mereka mula menduduki alam pekerjaan. Dana untuk operasi bagi institusi pendidikan itu seharusnya bukan datang daripada mahasiswa, sebagai contoh universiti di Singapura telah membuktikan dengan prestasi yang baik universiti mampu beroperasi hasil jualan kajian yang telah dijalankan.

Saya harap parti politik supaya tidak menggunakan isu ini sebagai “political mileage” untuk mendapatkan sokongan sesetengah pihak. Apa yang penting dalam isu ini ialah kebajikan rakyat dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna berdasarkan unjuran kekuatan mampu urus kerajaan. Saya yakin pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang mustahil dan fantasi bahkan kerajaan telah membuktikan pendidikan percuma bagi sekolah rendah menengah, institut kemahiran dan teknikal serta pelajar matrikulasi. Namun bagi mencapai pendidikan percuma diperingkat ijazah bukanlah usaha semalaman seperti yang dijanjikan sesetengah pihak. Masyarakat awam diminta tidak mudah terpengaruh dengan janji penghapusan PTPTN bersandarkan formula-formula mudah kerana dalam mentadbir Negara pelbagai aspek perlu diteliti.

Kerajaan juga perlu berfikir implikasi 1.25 juta rakyat Malaysia yang telah menerima CCRIS dan 30-40% terdiri daripada graduan yang tamat belajar.

Adakah sebarang kajian terperinci di lakukan? Adakah kerajaan sudah bersedia untuk menerima kesan gelombang pengundi muda yang semakin kurang mesra kepada parti kerajaan khususnya? Pada jangkaan saya peti undi 3 dan 4 pasti akan kembali menunjukkan impak pada PRU akan datang nanti.

Pada pandangan saya kerajaan perlu membela rakyat khususnya belia yang kian terperangkap dengan gaji minimum , suasana ekonomi global dan persekitaran politik yang kian suram buat masa ini. Langkah CCRIS bukan satu langkah yang bijak.






posted from Bloggeroid

Sabtu, 23 April 2016

Pengorbanan Melayu untuk bangsa lain

Terlebih dahulu saya ingin jelaskan kepada bangsa-bangsa lain tujuan saya ketengahkan artikel atau isu ini bukanlah bertujuan untuk menyemarakkan semangat perkauman di kalangan Melayu ataupun ingin memusuhi bangsa lain terutamanya cina. Tidak sama sekali, saya sendiri mempunyai ramai kawan yang berketurunan cina. Saya hanyalah bertujuan ‘menjernihkan air yang keruh’ bagi membuka minda kaum-kaum lain terutamanya cina menganai pengorbanan-pengorbanan yang pernah dilakukan oleh bangsa Melayu yang sering dianggap ‘racist’ oleh mereka sedangkan sudah banyak Melayu berkorban untuk mereka.

Kita mulakan dengan Perlembagaan Malaysia, walaupun di dalam perlembagaan kita ada fasal yang dikaitkan dengan ‘kontrak sosial’ yang melibatkan hak istimewa Melayu tetapi itu bukanlah penanda aras yang boleh melabelkan masyarakat Melayu sebagai perkauman, tetapi itulah yang sepatutnya diberikan kepada Melayu yang pada masa ini pun masih ketinggalan berbanding bangsa-bangsa lain di Malaysia. Sebagai contoh, cuba andaikan Melayu ini ‘tuan rumah’ kepada rumah yang bernama ‘Malaysia’ dan kaum lain-lain pula adalah ‘tetamu kehormat’ kepada rumah bernama “Malaysia’, namun di atas keterbukaan Melayu, mereka sanggup menerima ‘bangsa lain ini’ sebagai ahli keluarga rumah yang bernama ‘Malaysia’. Walaupun pengorbanan mereka sudah lama berlalu, namun ia tetap perlulah dihormati oleh kaum-kaum lain dan dihargai.

Bercakap pasal perlembagaan, sedar atau tidak sedar Melayu yang mengikut Perlembagaan beragama Islam tidak begitu defensif untuk melaksanakan apa yang dikatakan ‘undang-undang Islam’ yang dituntut di dalam Islam ke atas umatnya demi menjaga hubungan baik kaum-kaum lain di Malaysia walaupun pengorbanan itu kemudianya membawa kepada ‘persengketaan Melayu’ namun demi bangsa lain mereka terpaksa berkorban tetapi malangnya pengorbanan ini langsung tidak dihargai walaupun pengorbanan ini adalah ‘pengorbanan besar’ bagi umat Melayu.

Kita beralih pula kepada sektor pendidikan, di dalam sektor pendidikan juga orang Melayu telah banyak bekorban untuk bangsa lain. Sebagai contoh, sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang mewakili kaum-kaum lain dibenarkan dibuka oleh kaum cina dan india sedangkan dalam masa yang sama Melayu terpaksa mengorbankan ‘sekolah Melayu’ dan digantikan dengan Sekolah Kebangsaan di mana penyertaanya terbuka kepada semua kaum Melayu tidak membantah.

Pengorbanan Melayu di dalam pengajian tinggi juga tidak terkira besar nilainya, sebagai contoh Universiti Tengku Abdul Rahman yang penuntutnya majoritinya adalah kaum cina, tidak juga ditentang oleh Melayu walaupun orang Melayu masih ketinggalan di dalam sektor ini. Sebagai perbandingan cuba kita lihat perbezaan “Universiti Tun Abdul Razak” dengan “Universiti Tengku Abdul Rahman” walaupun pemiliknya adalah Melayu tetapi ia tidak menyekat kemasukkan pelajar bukan Melayu untuk menimba ilmu di universiti ini, Universiti Tengku Abdul Rahman pula ‘memang’ ia tidak meletakkan syarat untuk bangsa cina, tetapi 99% pelajarnya berbangsa cina. Dari segi fasiliti pula, UNITAR lebih ketinggalan berbanding UTAR namun ianya tidak sedikitpun menimbulkan kebencian Melayu terhadap bangsa lain.

Dari sektor pengajian tinggi kita beralih pula kepada sektor ekonomi.Tujuan Dasar Ekonomi Baru atau DEB diperkenalkan ialah untuk merapatkan jurang ekonomi di antara bangsa Melayu dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia di mana pada ketika itu Melayu berupakan bangsa yang ‘mundur’, selepas DEB dilaksanakan memang kekuatan ekonomi Melayu dapat dipertingkatkan sedikit namun, hingga pada hari ini ia tidak berjaya mencapai sasaran 30% penguasaan ekonomi, memandangkan kaum cina tetap menjadi peneraju utama di dalam bidang ekonomi. Sebagai contoh kontraktor bumiputera walau besar mana sekalipun terpaksa bergantung kepada ‘pembekal-pembekal besar’ yang lazimnya dimiliki oleh bangsa Cina dan ia membuktikan ‘kebergantungan Melayu’ terhadap bangsa Cina atau bangsa lain juga boleh dikira satu perngorbanan Melayu.

Kita beralih pula kepada isu semasa mengenai tuntutan HINDRAF terlebih dahulu izinkan penulis senaraikan dakwaan HINDRAF ;

a) Kerajaan dikatakan dibantu oleh “Islamic Extremist violent armed terrorists” (orang Melayu)

b) Mereka berkata Kerajaan Malaysia melakukan “Ethnic Cleansing” iaitu Kerajaan sedang membunuh dan menghapuskan orang Tamil.

c) 100 orang keturunan India “ditetak dan dibunuh oleh Kerajaan yang dikuasai oleh UMNO.” Perbuatan ini kononnya adalah “mini genocide” (pembunuhan beramai-ramai mini)

d) Tiap tiga minggu kuil Hindu diroboh.

e) Kerajaan yang kononnya dikuasai oleh UMNO telah lancar serangan bersenjata dengan 600 anggota polis, polis simpanan, pelampau Islam dan pengganas (terrorist) bersenjata (orang Melayu).

f) Pegawai Bandaraya dan Polis dikatakan membaling batu dan menyerang orang Hindu dengan pisau, kayu dan batang besi. Kononya 20 orang Hindu mengalami cedera parah.

Walaupun tuduhan-tuduhan mereka boleh menjurus ke arah perkauman namun orang Melayu tetap berdiam diri dan langsung tidak melabelkan tuduhan tersebut sebagai provokasi ‘perkauman’ bagi menghina kaum Melayu, tidak ada Melayu yang ‘melenting’ berhubung tuduhan HINDRAF tersebut. Bukan itu sahaja, tidak ada tuntutan daripada Melayu agar mereka memohon maaf di atas tindakan mereka bahkan ada yang dah bergelar Yang Berhormat yang penulis percaya ada juga pengundi Melayu yang mengundi mereka.

Sebelum saya terlupa kita sentuh sedikit mengenai ‘kerakyatan’ oleh kerana Melayu terkenal dengan sifat ‘terbukanya’ mereka telah membuka ‘kerakyatan’ Malaysia kepada bangsa-bangsa lain melalui apa yang dikatakan ‘jus soli’, ini merupakan pengorbanan yang tidak kurang besarnya orang Melayu terhadap bangsa lain di Malaysia.

Begitulah rentetan ‘kesabaran’ orang Melayu terhadap bangsa lain di Malaysia. Walaupun bangsa mereka terus dipijak, namun mereka tidak sanggup ‘memijak’ bangsa lain. Perlu diingatkan juga kesabaran orang Melayu ada batasnya, jika sampai kami bangsa Melayu terus diperhambakan dan diperkotak-katikkan oleh bangsa lain ia akan membawa kepada kebangkitan orang Melayu sepertimana kebangkitan orang Melayu menentang penjajah inggeri satu ketika itu.

Saya berharap dengan penjelasan ini, kaum-kaum lain dapat menilai dengan setelus-telusnya mengenai pengorbanan-pengorbanan yang dibuat oleh Melayu untuk bangsa lain. Jangan lagi ‘menuduh’ orang Melayu ‘racist’ kerana Melayu sememangnya tidak ‘racist’ apa yang mereka buat hanyalah mempertahankan hak mereka sahaja. Dengan penjelasan ini jugalah harapnya ‘bangsa-bangsa lain’ dapat membuka minda dan menerimanya dengan hati yang terbuka.




posted from Bloggeroid

Selasa, 16 Februari 2016

Pena Melayu Islam: Strategi Cina buat Melayu Malu.

Pena Melayu Islam: Strategi Cina buat Melayu Malu.: Kita biasa mendengar orang cina bermuafakat dan boleh berniaga benda yang sama sebelah menyebelah. Mereka tidak berdengki antara satu sama l...

Ahad, 14 Februari 2016

Strategi Cina buat Melayu Malu.

Kita biasa mendengar orang cina bermuafakat dan boleh berniaga benda yang sama sebelah menyebelah. Mereka tidak berdengki antara satu sama lain. Benarkah begitu? Satu perkara yang harus kita sematkan difikiran kita bahawa bangsa ini hidup berniaga ratusan tahun. Hakikatnya berniaga benda yang sama sebelah-menyebelah adalah persaingan. Mereka juga menerima perkara itu sebagai teori yang sama. Tapi mengapa masih mereka ini mampu berniaga sebelah-menyebelah?

Susah Satu Senang Banyak

Masalah yang paling utama dilihat dalam perniagaan adalah pemasaran. Ia adalah peraturan utama dalam mempastikan survival sesebuah perniagaan iaitu mempastikan pelanggan sentiasa ada. Mempastikan pelanggan sentiasa ada bermaksud mempastikan pelanggan sentiasa datang. Mempastikan pelanggan sentiasa datang bermaksud pelanggan sentiasa ingat untuk datang.

Untuk mempastikan pelanggan sentiasa ingat untuk datang, maka hendaklah dipastikan pelanggan mempunyai sebab yang kukuh untuk datang. Apakah sebab yang kukuh untuk menarik perhatian pelanggan datang? Dalam konsep yang bakal saya terangkan ini ia merujuk kepada menarik perhatian pelanggan datang atas sebab mereka mempunyai banyak pilihan. Anda pasti masih keliru dan tertanya-tanya bukan? Teruskan bacaan....

Pemasaran Mulut Ke Mulut

Teknik pemasaran ini adalah yang terbaik dari segala teknik. Kerana itu ia menjadi asas utama dalam perniagaan jaringan (network business). Ini adalah kerana cakap dan saranan daripada kawan atau kenalan lebih bersifat nasihat (consulting) berbanding mesej melalui iklan yang bersifat memujuk.

Kerana itu teknik ini dilihat lebih berkesan dan murah dalam jangka panjang. Konsepnya mudah iaitu mempastikan orang tidak rasa segan atau takut-takut untuk bercerita kepada rakan-rakan mereka. Mereka akan berasa seronok untuk bercerita tentang sesuatu kerana pada mereka ia seperti satu pertolongan. Namun bagaimanakah perkaitan perkara ini dengan konsep berniaga sebelah-menyebelah oleh orang cina?

Membentuk Persepsi Mega

Persepsi adalah perkara yang mudah terserap ke dalam hati seseorang melalui pancaindera. Sama ada melalui mata, mulut dan telinga. Konsep teknik ini ialah mempastikan orang ramai melihatnya sebagai satu entiti mega yang memberi banyak pilihan. Biar saya berikan contoh.

Apabila anda mahu membeli barangan runcit, anda pasti lebih teruja untuk pergi ke tempat yang banyak pilihan dan berharga murah. Jawapannya apa yang bermain difikiran anda masakini ialah pasaraya mega seperti Mydin, Tesco, Giant dan sebagainya. Konsep ini juga yang digunakan peniaga cina yang menjual benda yang sama sebelah-menyebelah.

Konsep Perniagaan Berpusat

Sebuah kedai menjual kain mungkin ada 50 jenis kain. Cuba anda bayangkan apa persepsi anda bagi sebuah tempat yang 50 buah kedai menjual kain? Secara amnya anda terus terfikir betapa banyaknya pilihan anda disana. Benar atau tidak?

Kemudian anda terfikir sekiranya anda pergi ke sebuah kedai yang menjual kain dan tidak berjumpa harga yang bersesuaian, anda harus memandu atau mengeluarkan lagi kos petrol untuk mencari kedai lain. Di situ anda rugi bukan? Jadi sudah pasti pilihan anda ialah tempat perniagaan yang mempunyai banyak pilihan dan peluang anda mencari harga yang paling murah.

Pusat Perniagaan Sedia Ada Di Malaysia

Terdapat pusat perniagaan seperti ini di Malaysia sama ada diaturkan oleh kerajaan ataupun oleh pakatan peniaga itu sendiri. Saya lebih suka memberi contoh dimana pusat yang diatur oleh peniaga sendiri kerana ini membuktikan mereka bersepakat dan menerima konsep ini.

Apabila anda bercerita tentang lanskap, apakah tempat yang sering manis dibibir banyak orang di Kuala Lumpur dan Selangor. Jawapannya ialah sungai Buloh. Di Sungai Buloh terbaris puluhan kedai yang menjual produk lanskap dari pokok hinggalah ke pasu bunga. Saya sendiri pernah bertanya 10 orang rakan di Kuala Lumpur secara santai dan 9 orang daripada mereka menyarankan Sungai Buloh.

Pemasaran Bermula Dari Rumah Bakal Pelanggan

Menarik perhatian pelanggan haruslah bermula daripada rumah mereka. Ini adalah penting supaya apabila mereka memegang kunci kereta, hati mereka sudah teringat untuk memandu ke tempat anda.

Seperti saya katakan tadi, apabila dari 10 orang yang ditanya 9 daripadanya berkata Sungai Buloh. Maka 9 orang ini akan memandu ke Sungai Buloh. Peniaga di Sungai Buloh sudah mempunyai 9 orang prospek. Sementara peniaga lanskap di tempat lain hanya ada satu.

20 kedai lanskap di Sungai Buloh mempunyai 9 orang prospek tetapi 20 buah kedai merata tempat hanya mempunyai 1 orang prospek sahaja. Bukankah ini satu penjimatan kos pemasaran?

Orang Melayu Jangan Berdengki Tetapi Memanfaatkan Kaedah Ini

Keluarga saya pernah menjadi mangsa hasad dengki orang melayu sewaktu menjalankan perniagaan restoran. Sungguhpun restoran keluarga saya berjauhan dari kelompok restoran melayu lain, namun ahli keluarga saya tidak terlepas daripada terkena ilmu hitam yang merosakkan perniagaan dari masa ke semasa hinggakan pernah memberi kesan kepada kesihatan.

Ke manakah akhirnya budaya ini? Andai ada 10 restoran melayu berdekatan, pelanggan sebenarnya lebih suka pergi ke sana. Tetapi apabila tinggal 1 sahaja, adakah mereka ini fikir bahawa semua pelanggan akan menjadi milik mereka? Mereka silap sama sekali. Sudahnya 1 restoran yang tinggal ini mungkin akan gulung tikar juga.

Jangan takut untuk berniaga berdekatan. Anda hakikatnya membentuk satu tempat perniagaan berpusat yang mampu menarik perhatian pelanggan. Peniaga keropok lekor di Terengganu telah membuktikannya. Begitu juga beberapa tempat yang sering mencetus minat pelanggan untuk ke sana.

Pelanggan mahukan pilihan dan harga. Beri mereka apa yang mereka mahu. Jangan habiskan wang anda menambah dosa hasad dengki dan juga secara tidak sedar meruntuhkan prospek.

Belajar terus Belajar